Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

Thursday, August 28, 2008

Belajar untuk menghargai

Letih betul dengan politik ni. Mari kita berehat seketika. Kita berbual tentang anak-anak, bakal pewaris negara ini. Jika ada yang ingin melihat dari sudut lain, silakan. Barangkali Demang ada sesuatu yang ingin disampaikan lewat penceritaan Cheguman ini.

==========================================

Si kecil aku yang berusia enam tahun mengendeng lagi.

"Haziq nak apa?" tanyaku sambil menariknya ke pangku.

"Bukan... Papa boleh bawa Ajiq ke mini market?" suaranya lembut mendayu. Suara lemak, kata sepupunya.

Dia sudah terbiasa memulakan jawapan dengan perkataan 'bukan'. Sebenarnya aku kurang gemar tabiatnya itu. Seolah enggan berterus terang. Namun mungkin juga sekadar berdiplomasi.

Mini market yang dimaksudkan hanyalah kedai runcit dalam kampung itu. Aku tidak pasti adakah selain daripada puteraku ini, orang lain juga turut menggunakan istilah mini market untuk kedai tersebut.

"Ok lah. Kita pergi sekarang." Aku mengambil keputusan.

Sebaik tiba di kedai, kulihat Haziq sudah tahu rak yang perlu dituju. Aku mengekori dari belakang.

Haziq membelek beberapa permainan yang bergantungan. Kemudian beralih ke tempat makanan ringan pula. Tangannya mencapai bungkusan besar sejenis makanan ringan dan mengunjukkan pada ku.

"Eh, besar sangat tu." tegurku.

Haziq meletakkannya semula. Dia beralih kembali ke rak mainan.

"Papa cuba tengok harga ni." Haziq mengumpanku.

"Hmm, enam ringgit lebih." jawabku bena tak bena. Kuserahkan 'jam power rangers' itu ke tangannya semula. Dia menyambut dan meletakkan semula ke rak.

"Ajiq ada lima ringgit...Takpe lah. Lain kali Ajiq beli." ujarnya membuat keputusan.

Aku tersenyum dan membawanya pulang.

Esoknya, Haziq menghampiriku lagi.

"Papa, semalam Ajiq kata nak ke mini market, kan?" dia menduga. Kejap lagi Papa bawa Ajiq, ye. Nanti la, lepas Papa siap kerja." sambungnya lagi, berdiplomasi.

Sebenarnya aku bukan lah sibuk sangat. Sekadar menjenguk blog-blog tertentu sementara menanti maghrib.

"Tak apa la. Kita pergi sekarang. Ajak abang sama." aku mempelawa.

Sebentar kemudian kedua-dua puteraku sudah mengapuk motorsikal bersamaku untuk ke kedai.

Sebaik tiba, Haziq tidak perlu berfikir panjang. Dia mengambil mainan idamannya dan mengeluarkan dompet dari poket. Terkial-kial tangan kecilnya menarik wang kertas sambil mainan dikepit bawah ketiak.

Aku pura-pura tidak melihat.

Dia mengeluarkan wang lima ringgit dan satu ringgit lantas diunjuk kepada pemilik kedai.

"Tak cukup tu." aku menegur. "Lagi seringgit".

Haziq membuka semula dompetnya dan menyerahkan sekeping lagi wang satu ringgit. Pemilik kedai memulangkan baki sepuluh sen kepadanya.

Dua orang anak daripada rahim yang sama namun membawa karektor berbeza.

Anak sulungku tidak banyak meminta. Apa sahaja yang diberi, diterima begitu sahaja. Jika kemahuannya tidak dipenuhi, dia akur. Namun biasanya kuberikan alasan yang munasabah.

Adiknya, kukira terlalu banyak meminta. Akhirnya, beberapa hari lepas isteriku membuat syarat. Jika ingin sesuatu mesti menggunakan wang sendiri.

Haziq sangat gembira dengan mainan barunya.

"Tak nak makan ke" tanyaku.

"Aziq nak makan roti bakar. Nanti ibu buatkan." jawabnya.

Aku makan nasi bersama isteriku. Ketika makan, isteriku memberitahu: "Tadi Haziq tanya: roti bakar tu Ajiq nak kena bayar juga ke?"

"Semalam dia tidur bersama duit tu. Bangun saja dari tidur dia cepat-cepat kira. Ada sekeping tercicir, rupa-rupanya ada di bawah bantal." tokok isteriku.

Alhamdulillah, puteraku sedang belajar menghargai wang. Insya Allah akan kufahamkan pula bahawa wang bukan segalanya.

Bergenang mataku menonton iklan terbaru Petronas lakonan Adhlin Sauqi. Iklan Maybank juga mengajak kita kembali menilai diri.

Tahniah kepada pihak yang berada di sebalik pembikinan kedua-dua iklan tersebut.

5 comments:

Danielle_Corleone said...

Kisah santai. tenang sedikit.

melayuangkat said...

Assalamualakum Cheguman,

Saya pun 'terasa' dengan iklan itu. Terkenang masa kecil kecil dulu betapa kita semua memang diajar menghargai apa juga wang yang ada dalam kocek, sebab memang tak ada wang pun!!

Kebanyakan orang pun tak ada wang!!

Memang seronok observed kanak kanak, dan dari kecil kita boleh agak gaya dan cara mereka nanti bila besar!!

Che Eduardo said...

Chegu,

Dua iklan yang amat bertepatan dengan keadaan sekarang. Chegu mengajar anak dengan betul. Tahniah diucapkan..

Che

kerispusakamelayu said...

SAYA JUGA TERHARU MEMBACA CERITA CHEGUMAN...

DAN SETUJU IKLAN AFDLIN SHAUKI MENYENTUH PERASAAN.

BAYANGKAN KESUSAHAN MENJADIKAN ANAK PANDAI MENYESUAIKAN DIRI DAN DALAM DIAM PULUHAN RIBU DISIMPAN UNTUK MASA DEPAN LEBIH BERERTI.

SAYA ADA ANAK JUGA.

KADANG KADANG KERAS SUARA DILUAR, MENANGIS DI DALAM HATI, DALAM MELENTUH BULUH AGAR LENTUR SEBELUM KERAS MENJADI REBUNG DI KEMUDIAN HARI...

Demang Lebar Daun said...

Jumaat lepas, balik dari sekolah Haziq mengajak ku ke 'mini matket' lagi.

"Ehh.. 'kan baru lagi beli jam 'power rangers'?" soalku.

"Mana ada lagi, bang. Dia dah jual kat kawan sekelas dia." isteriku menyampuk.

"A..ah, Papa. Dia jual enam ringgit." abangnya menambah.

"Hmm... Haziq beli RM5.90 dan jual RM6 ertinya untung 10 sen. Kalau kira kos perjalanan, tak cukup untung tu. Tapi, jangan sampai bapak budak tu datang komplein kat sekolah dah." ujarku.

"Anak cikgu pulak tu..." Busunya mencelah.

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)