Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Saturday, February 14, 2009

Kuning Warna Diraja

Selepas solat maghrib tadi isteri Demang meminta dibelikan burger di gerai yang Demang ceritakan dulu. Sebenarnya isteri Demang baru kebah dari demam dan belum berselera makan nasi.

Ketika tiba di satu persimpangan, kenderaan masih berbaris panjang. Terdapat satu lorong dari sebelah kiri yang ingin masuk ke lorong utama. Demang berada di lorong utama. Sebuah lori kecil kelihatan cuba memasuki lorong tersebut dan Demang memberi laluan padanya. Dalam kesamaran neon kelihatan wajah pemandu lori berbangsa India itu tersenyum lebar sambil mengangkat tangan tanda terima kasih. (kalau Datuk David Arumugam barangkali dia akan melaung ‘terima kasiiih). Demang membalasnya dengan senang hati.

Sebenarnya Demang bukanlah baik sangat. Tindakan Demang memberi laluan pada lori tersebut ialah kerana di hadapan kereta Demang ialah ‘petak kuning’. Mahu tidak mahu Demang mesti mematuhi peraturan tersebut agar tidak disaman!

Nampaknya apabila kita mematuhi peraturan, banyak masalah menjadi mudah.

Selepas membeli 5 ketul burger maka Demang perlu pulang ke rumah. Oleh kerana gerai tersebut di sebelah kiri jalan, Demang sudah menjangkakan akan mengalami masalah untuk keluar daripada kawasan gerai tersebut bagi memasuki jalan utama. Namun dalam barisan kereta yang panjang itu, sebuah kereta telah berhenti dan memberi laluan pada kereta Demang. Sebagai tanda terima kasih, Demang membunyikan hon padanya sambil mengangkat tangan. Rupa-rupanya di situ juga ada ‘petak kuning’.

Apabila tiba di lorong untuk masuk ke kampung Demang, satu lagi masalah menunggu kerana lorong itu agak sempit. Malah di pintu masuk kampung tersebut kenderaan tidak boleh berselisih. Keadaan menjadi lebih sukar apabila terdapat kenderaan yang ingin keluar dan dalam masa yang sama terdapat kenderaan yang ingin memasuki lorong tersebut.

Sekali lagi ‘petak kuning’ menyelamatkan keadaan.

Penyediaan ‘petak kuning’ adalah sebahagian daripada perlaksanaa proses undang-undang bagi menjaga ketenteraman awam. Justeru jika ada pihak yang cuba ‘melanggarnya’ maka akan berlakulah kekecohan. Secara kebetulan, warna kuning yang digunakan pada petak tersebut sama dengan warna diraja. Hal ini mengingatkan Demang tentang masih terdapat rakyat dan warganegara Malaysia yang belum begitu faham tentang keperluan undang-undang dan juga tidak faham tentang undang-undang. Lebih menyedihkan apabila orang yang tidak faham turut ikut menyibuk berbekalkan keyakinan pada pendapat pemimpin mereka semata-mata. Mereka tidak berusaha membaca dan memahami sendiri undang-undang tersebut.

Isu ini timbul apabila Demang menziarahi blog http://taipingmali.blogspot.com/2009/02/dah-kalah-mengaku-kalah-lah.html/ dan menemui satu komen daripada seorang pengunjung bernama Kembara Putih. Nampaknya saudara Kemabara Putih tersebut tidak mempunyai ‘rumah’ atau blog sendiri. Jadi, bebaslah beliau menulis apa sahaja dan lari dari situ meninggalkan tanggungjawabnya. Dengan kata lain beliau bukanlah seorang yang berani bertanggungjawab atas tulisannya.

Demang tampal di sini komen beliau:

kembara putih berkata...
Kesian..Inilah masalahnya bila Sultan silap membuat keputusan, langgar perlembagaan tubuh negeri.
2009 Februari 14 19:51

Di sini Demang turunkan sebuah email yang Demang terima daripada seorang sahabat untuk kita memahami kedudukan sebenar krisis di Perak berdasarkan perspektif perlembagaan.

Selamat membaca.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Saya akan kemukakan
fakta berlandaskan undang-undang yang terdapat dalam Perlembagaan
negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan. Sesungguhnya tindakan
meyaman sultan merupakan tindakan biadap dan tergopoh gapah.
Menyedihkan apabila tajuk posting terbaru Anwar Ibrahim berbunyi :
Constitutional crisis caused by the Sultan, yang jelas merujuk kepada
DYMM Sultan Azlan Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan.

Mengapa Nizar Harus Letak Jawatan

Perlembagaan Persekutuan dalam artikel 43(2)(a) jelas menyatakan
bahawa Yang Dipertuan Agong berhak melantik ketua eksekutif yang
telah mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Benar dakwaan Nizar
mengatakan bahawa Sultan bertindak atas nasihat beliau sebagai ketua
kerajaan. Ini termaktub di dalam artikel 40(1) dan 40(1A) yang
terdapat didalam perlembagaan. Namun Nizar harus membaca Artikel 40(2)
(a), (b), dan (c) bersama. Ini kerana ia jelas menyatakan hak
esklusif Sultan yang boleh bertindak sendirian tanpa mengikuti
nasihat beliau di dalam perkara membabitkan perlantikan ketua
kerajaan (selagi beliau mematuhi provisio dalam 43(2)(a)), kedua
baginda mempunyai kuasa untuk TIDAK MEMBUBARKAN DEWAN PERWAKILAN
(Parliament atau DUN Negeri), dan terakhir memanggil semua Raja-raja
untuk mesyuarat Majlis Raja-raja.

Berikut merupakan provisio yang terdapat dalam Perlembagaan
Persekutuan tetapi berdasarkan Akta Interpretasi, ia diaplikasi
kepada semua perlembagaan negeri kerana perlembagaan negeri mesti
sama dengan perlembagaan persekutuan. Berbalik kepada perlembagaan di
Perak, Artikel 16 Fasal 7 Perlembagaan Negeri Perak menyebut
seseorang anggota majlis selain MB (Menteri Besar) memegang jawatan
atas perkenan Sultan. Dengan lain perkataan, MB tidak boleh dipecat.
Klausa ini telah disalah tafsir oleh pemimpin dan penyokong Pakatan
pembangkang. Benar seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh
Sultan jika Menteri Besar itu masih mempunyai sokongan majoriti Dewan
perwakilan. Tetapi jika keadaan sebaliknya, Sultan mempunyai hak
untuk memecat MB.

Hung Parliament

"Hung parliament" bermaksud tiada majoriti jelas dalam sesebuah Dewan
Rakyat atau DUN. Sebagai contoh, parti A mempunyai 89 kerusi dan
parti B 88 kerusi, atau kedua-dua sama 89 kerusi, dalam situasi ini
lebih elok diadakan pilihanraya semula kerana beza kerusi cukup
tipis. Walaubagaimanapun tidak wujud situasi "hung parliament" di
Perak ketika ini kerana BN memiliki majoriti 3 kerusi. Dan seperkara
lagi yang harus diambil kira ialah jumlah kerusi yang terdapat di
Perak ialah 59 kerusi. Perbezaan jelas dan tiada masalah kerana
perbezaan ialah 3 kerusi daripada 59 kerusi merupakan suatu jumlah
yang jelas.

3 ADUN Sudah jumpa Sultan

Anwar Ibrahim dan bekas speaker DUN Perak Sivakumar mahu mengadakan
sidang khas DUN bagi menjalankan "vote of no confidence" terhadap
Nizar. Untuk pengetahuan kedua-dua manusia di atas, perlembagaan
tidak pernah menyebut bagaimanakah caranya untuk jelaskan "vote of no
confidence" itu. Dalam kes Stephen Kalong Ninkan v Tun Abg Hj Openg &
Tawi Sli (1966), sebuah surat ditandatangani oleh majoriti ADUN
negeri Sarawak tidak diterima oleh mahkamah kerana ia dikatakan
terdapat unsur penipuan dan tidak jelas. Tambahan pula tidak semua
ADUN hadir ke persidangan khas terbabit. Ini menunjukkan bahawa surat
ditandatangani boleh menjadi sah jika ia tidak terdapat unsur
penipuan. Oleh itu, tidak disebut bagaimana cara "vote of no
confidence" itu sewajarnya diadakan. Cukupkah dengan berjumpa dengan
DYMM Sultan? Atau mengangkat tangan sebagai undian seperti kita
lakukan untuk pilih ketua darjah dahulu? Atau dengan surat berserta
tandatangan yang sah?

Oleh kerana ia tidak disebut, maka apa jua cara pun boleh diguna
selagi ia boleh membawa perhatian DYMM ke atas isu terbabit. Saya
difahamkan ketiga-tiga ADUN Bebas tersebut telah pun berjumpa
mengadap ke-bawah Duli Tuanku untuk menyatakan pendirian mereka.
Jangan dipersoalkan 28 ADUN BN yang lain kerana sudah tentu mereka
menyatakan sokongan terhadap BN. Begitu juga 28 lagi ADUN Pakatan.
Tumpuan kita seharusnya kepada 3 ADUN ini sahaja.

Perjanjian Yang Tidak Sah.

Saya juga difahamkan bahawa terdapat perjanjian tidak bertarikh
ditandatangani oleh wakil-wakil Pakatan setelah menang dalam
pilihanraya lalu. Perjanjian tersebut menyatakan mereka akan letak
jawatan jika lompat parti. Persoalannya adalah ia tidak logik dan
tidak sah dari segi undang-undang.

Artikel 10(1) (c) menyatakan hak warganegara untuk menyertai mana-
mana persatuan, selagi ia berdaftar dan sah. Namun artikel 10(2)(c)
menyatakan "parliament may by law impose on the right conferred by
paragraph (c) of clause (1), such restriction as it deems necessary
or expedient in the interest of the security of the Federation or any
part thereof, public order or morality."

Persoalannya disini adakah BN merupakan pertubuhan yang tidak
bermoral dan mengancam keselamatan negara? Tidak bermoral kerana
lompat parti? Dulu Nizar kata ia tidak salah dari segi undang-undang
bukan?

Kesemua hujah diatas dibuat selepas saya merujuk kembali perlembagaan
persekutuan dan undang-undang tubuh kerajaan Negeri Perak. Tindakan
Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan amatlah dialu-alukan demi
membuktikan hujah saya diatas. Karpal tahu undang-undang ini, cuma
oleh kerana beliau bertindak berkapasitikan posisi beliau sebagai
pemimpin pembangkang, sudah tentu beliau tidak mahu mengalah. Datuk
Ambiga Sreenevasan, President Bar Council dalam keterangannya kepada
NSTP juga mengatakan Sultan mempunyai kuasa untuk memecat Nizar.
Pakar perlembagaan dan pensyarah Fakulti Undang-undang UiTM, Prof
Dr.Shad Saleem Faruqi dalam kenyataannya kepada Bernama juga
bersetuju bahawa Sultan mempunyai kuasa esklusif terbabit.

Lebih menarik lagi, orang yang membuat keputusan ini ialah DYMM
Sultan Azlan Shah sendiri yang juga merupakan mantan Ketua Hakim
Negara. Sudah tentulah beliau telah mengkaji terlebih dahulu akan
kesahihannya. Siapa Karpal Singh?

Detik Terkena Batang Hidung Sendiri.

Suatu ketika dahulu Anwar kerap kali menyatakan bahawa beliau mahu
merampas kuasa dengan beberapa ahli parlimen BN yang akan melompat ke
Pakatan. Kini situasi telah berubah. Anwar telan ludah sendiri.
Kepada penyokong Pakatan yang tidak berpuas hati, terimalah hakikat
bahawa ini merupakan proses demokrasi yang kamu semua pernah
perjuangkan dahulu sebelum 16 September 2008.

Saya juga berharap kenyataan saya kali ini dapat menenangkan perasaan
penyokong Pakatan yang marah dan kecewa. Terima lah hakikat bahawa
kita masih bersultankan Melayu, bukan bertuankan Anwar Ibrahim. Kita
masih berbudayakan Melayu dan Malaysia, bukan kurang ajar dan
derhaka, dan ini semua berlaku diatas "kebenaran" undang-undang itu
sendiri, dan bukan dengan sesuka hati DYMM Sultan Azlan Shah. Daulat
Tuanku!

Siddiq Azani,
Fakulti Undang-undang UiTM Malaysia.


Terima kasih saudara Siddiq Azani.

1 comment:

Tai said...

Demang, inilah akibatnya, kalau buta sejarah dan nak tunjuk pandai.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)