Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

Monday, March 30, 2009

Persepsi baru rakyat Malaysia




Sebelum bertolak ke Hulu Terengganu bagi menjayakan satu program motivasi baru-baru ini saya diberikan sebotol penjimat petrol oleh seorang rakan. Beliau meminta saya menguji samada produk tersebut berkesan atau tidak.

Maka saya pun menuangkan bahan tersebut ke dalam tangki di samping petrol. Memang berlaku penjimatan sekitar 20-30%. Maknanya, setiap RM100 yang saya belanjakan, saya jimat RM20-30.

Saya mula mencongak. Jika dulu saya guna RM100 untuk membeli petrol, kini saya cuma keluarkan RM80. Saya jimat RM20. Kemudian, RM20 tersebut saya gunakan untuk membeli sebotol penjimat petrol berharga RM15. Maknanya saya cuma jimat RM5.

Apabila saya kemukakan pada rakan-rakan, ada yang memandang remeh dengan tindakan saya itu. Kata mereka tak berbaloi dengan usaha tersebut cuma dapat jimat RM5. “Lagipun petrol dah turun harga.” kata mereka.

Itu adalah persepsi masing-masing.

Mudahnya mereka berfikir. Apabila harga petrol dunia mencanak naik, dengan mudah mereka salahkan kerajaan. Apabila diberikan alternatif, mereka menolak dengan pelbagai alasan.

Persepsi saya begini:

Pertama:
Penjimatan petrol sebanyak 20% tersebut membantu melambatkan penyusutan simpanan petroleum dunia.

Kedua:
Penggunaan produk penjimat petrol yang diperbuat daripada minyak sawit tersebut membantu industri minyak sawit negara. Kebetulan bapa saya adalah seorang peneroka Felda.

Ketiga:
Penggunaan penjimat petrol tersebut menyokong usaha kreatif dan inovatif saintis Melayu yang berjaya mencipta dan mengeluarkan produk tersebut.

Keempat:
Penjimat petrol tersebut bertindak menjaga enjen kereta saya dan menjadikannya lebih lancar dan meningkatkan jangka hayat.

Kelima:
Ia juga menyumbang ke arah alam sekitar yang lebih baik.

Keenam:
Duit RM5 itu saya boleh beli kerepek untuk dimakan sepanjang perjalanan. Dengan itu membantu perusahaan kerepek makcik-makcik di kampung. Kebetulan di kampung saya (Sabak Bernam) memang ramai pengeluar kerepek yang enak.

Ketujuh:
Peningkatan jualan kerepek memberi pendapatan tambahan pada penanam ubi kayu, pisang dan sebagainya di kampung-kampung termasuk ibu saya.

Demikianlah manafaat RM5 yang saya jimatkan melalui produk penjimat petrol tersebut.

Kerja tambahan yang perlu saya buat hanyalah menuang sedikit penjimat petrol tersebut ke dalam tangki setiap kali mengisi petrol. Susah sangat ke?

Dalam keadaan ekonomi dunia yang begitu gawat sekarang sebarang usaha walaupun kecil akan memberi impak pada ekonomi negara. Kita perlu faham di mana perlu berjimat dan di mana perlu berbelanja.

Dalam ekonomi Islam, wang perlu diaktifkan bukan disimpan di bawah bantal atau di bank dalam bentuk simpanan tetap. Pelaburan adalah sesuatu yang amat digalakkan.

Oh ya. Sebenarnya saya tidak perlu mengeluarkan duit poket untuk membeli penjimat petrol tersebut. Oleh kerana rakan saya itu juga pelanggan tetap minyak herba (serbaguna) Morhabshi yang keluarga saya keluarkan. Justeru saya dan rakan tersebut boleh melakukan sistem barter. Saya beri beliau 4 botol minyak Morhabshi dan saya dapat sebotol penjimat petrol.

Alhamdulillah. Demikianlah sumbangan kecil saya selaku rakyat Malaysia dan seorang muslim.

Di sebalik cerita Cheguman tadi, Demang pula ingin menyampuk. Tanggapan rakan-rakan Cheguman terhadap penjimat petrol tadi adalah satu persepsi. Demikianlah yang berlaku selama ini pada kerajaan BN dan parti UMNO. Rakyat dihijab untuk melihat keburukan kerajaan sehingga membuat kesimpulan mudah iaitu apa sahaja yang kerajaan buat, itu tidak betul; sebaliknya jika pembangkang yang berkata, itulah kebenaran. Padahal, jika kita mahu berfikir secara positif, kita akan mampu melihat kebaikannya.

Sebenarnya, syarikat pengeluar penjimat petrol tadi tidakpun memberitahu Cheguman hikmah pada ekonomi ummah berpunca daripada penggunaan produk tersebut. Namun dengan berfikir secara positif barulah kita dapat memahaminya. Sebenarnya Allah SWT yang memberi ilham pada kita. Jika kita ingin kebaikan, maka itulah yang diberikan. Sebaliknya jika kita gemar berfikir negatif dan menyalahkan orang lain, maka di situlah minda kita beroperasi. Kita akan terus menjadi manusia yang berfikiran negatif terhadap usaha orang lain.

Marilah kita melihat barisan baru Najib secara positif dan ketepikan semua persepsi buruk. Berdoalah pada Allah SWT agar negara kita terus aman. Masa depan di tangan kita, Insya-Allah. Janganlah terlalu bermimpi untuk memperolehi para pemimpin yang serba sempurna. Adakah kita sendiri sempurna? Adakah pemimpin yang belum mendapat kuasa itu sempurna? Adakah pemimpin yang dulunya pernah berkuasa (nombor 2 dalam kerajaan) itu sempurna?

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya."

Sunday, March 29, 2009

"Nizar calon terbaik" - DAP Perak

Oleh: Wan Nordin Wan Yaacob (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019994&Itemid=1
Tue | Mar 24, 09 | 1:46:20 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Pengerusi DAP Perak, Dato' Ngeh Ko Ham menyifatkan pencalonan Dato' Seri Ir Nizar Jamaludin sebagai calon PAS di Bukit Gantang adalah tepat dan terbaik.

Demang tidak mahu komen panjang-panjang. Berita di atas sudah cukup menjelaskan betapa bergunanya Nizar pada DAP. Maklumlah.. kesetiaan Nizar pada DAP amat hebat. Beliau sanggup melihat rakan-rakan PKR berbangsa Melayu dijerkah dan disergah oleh Ngeh ketika turut mencadangkan agar tanah untuk orang Melayu juga diberi kelulusan. Terkebil-kebil ADUN yang pernah menjadi posmen tersebut ditengking Ngeh. Barangkali Nizar juga membantah tindakan Ngeh itu walaupun kita tidak mendengarnya. Beliau membantah dalam hati.

Demang tidak tahu siapa yang akan menang dalam PRK yang diadakan serentak ini. Namun tinjauan Demang mendapati gelombang baru sedang berarak ke segenap bandar dan desa mengenai barisan baru kepimpinan UMNO bakal merubah landskap politik negara. Manakan tidak, DS NAjib memang sudah lama ditunggu-tunggu untuk menerajui negara. Tanyalah pada anggota tentera dan guru-guru yang pernah dinaungi oleh beliau. Malah suatu masa dulu jika sesebuah kementerian ingin dinaiktarafkan maka caranya ialah serahkan kementerian tersebut pada DS Najib. Perubahan drastik akan berlaku yang memberi kebajikan pada semua pihak.

Itulah sebabnya subuh Jumaat semalam Demang bangkit dengan ceria. Alhamdulillah, sinar kembali menyuluh Malaysia. Setelah beberapa tahun kepimpinan negara dipermainkan dengan hanya berbekalkan persepsi semata-mata, kini rakyat melihat satu harapan baru sedang menjelma.

Keadaannya begitu berbeza sekarang.

Saturday, March 28, 2009

Dunia ini kita kongsi bersama




Apakah yang kita mahukan sementara kita hidup di dunia ini? Demang percaya ramai tahukan jawapannya. Iaitu untuk beribadat kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya iaitu tidak Ia jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Nya.

Nampak macam mudah, dan sebenarnya ia tidaklah sukar andai manusia tidak bernafsu dan tidak berakal.

Bagaimana untuk beribadat?

Pertama, kita perlukan suasana yang aman dan tenang. Namun perlu diingat, bukan semua manusia gembira melihat kita beribadat kepada Allah.

Manusia yang ibadat dan anutannya berbeza daripada kita sebenarnya tidak pernah senang hati selagi kita tidak mengikut mereka. Ingatlah bahawa bilangan mereka lebih ramai berbanding kita. Pada mereka, kita lah penganut ajaran sesat yang perlu diperbetulkan. Sedarkah anda tentang itu? 'Sedar' dan 'tahu' mempunyai dua maksud yang berbeza.

Nota penting:
(Biasanya orang Islam tidak ada masalah dengan penganut Budha atau Hindu. Itu sebabnya tidak berlaku pergaduhan antara agama di Malaysia).

Justeru usaha mencari dan mengekalkan 'tempat beribadat' yang aman sejak dahulu kala menjadi satu tugas berat. Lihat sahaja peristiwa di Palestin. Penganut dua agama berebut tempat yang hanya ada satu.

Cabaran pertama kita untuk beribadat dengan tenang ialah nafsu kita sendiri. Salah satu daripadanya ialah nafsu seks. Maka Islam menetapkan caranya iaitu melayani nafsu melalui pernikahan. Kemudian di sebalik kenikmatan bersuami isteri itu Allah SWT menyertakan benih manusia baru.

Maka lahirlah anak-anak comel yang bakal membesar menjadi manusia, generasi demi generasi.

Sementara menanti anak-anak itu matang maka tanggungjawab kitalah mendidik dan mengawasi mereka. Maklumlah, anak manusia tidak serupa anak ayam atau anak ikan yang mampu hidup sendiri walaupun tidak dihantar kemana-mana sekolah.

Membesarkan anak-anak memerlukan kediaman dan lokasi yang sesuai. Membina generasi pula memerkukan sebuah negara yang aman dan harmoni. Mahukah kita sebuah rumah di dalam sebuah kampung atu bandar di sebuah negeri seperti Palestin atau Iraq?

Negara-negara tersebut asalnya aman damai. Malah di bumi Palestin terdapat Masjid Al Aqsa yang juga masjid suci ummat Islam. Namun negara tersebut kini menjadi pusat penyembelihan ummat Islam akibat sengketa sesama mereka.

Negara kita masih aman namun tidak selamanya boleh kekal begitu. Bibit-bibit perpecahan sudah kelihatan di sana-sini.

Demang tidak mahu menulis panjang sebab Demang hanya ingin menyeru satu perkara: Marilah kita bersama-sama membina negarabangsa dan negarakota milik kita ini.

Kepada pembaca bukan Islam, Demang percaya anda juga inginkan sebuah negara yang aman dan damai untuk melakukan ibadah mengikut cara masing-masing dengan tenang.

Dalam Al-Quran menyebut: "Lakum dinukum waliyadin" yang bermaksud bagimu agamamu dan bagiku agamaku".

Marilah kita bina negara ini bersama-sama dan agihkan kekayaan negara dengan adil.

Bagi ahli-ahli UMNO, ingatlah: Biduk lalu kiambang bertaut. Anda ada tanggung jawab lain yang lebih besar.

PS:
Malam ini ada kempen 'Earth Hour'. Jangan lupa untuk padamkan lampu di rumah anda selama sejam iaitu 8.30 - 9.30 malam. Mari kita membantu menyelamatkan bumi kita. Selagi ia belum khiamat, tanggung jawab kitalah untuk menjaganya.

Thursday, March 26, 2009

Apa matlamat anda?



Perhimpunan UMNO sedang berlangsung. Sedar atau tidak sekalian rakyat turut mengikutinya dengan cermat. Malah seluruh dunia sedang memerhatikan kita. Demang juga tidak ketinggalan. Namun, oleh kerana Demang adalah Demang, maka disamping kita membicarakannya, Demang ingin berkongsi sebuah cerita dongeng.

Kisah dikatakan berlaku di sebuah negeri di selatan benua cina, lama dahulu. Demangpun sudah lupa namanya. Sebagaimana negeri lain di mana-mana pelusuk dunia, maka negeri tersebut juga mempunyai ketua iaitu seorang raja. Namanya pun Demang sudah lupa.

Raja yang digelar Maharaja tersebut mempunyai seorang puteri yang cantik jelita. Maaf, Demang juga tidak ingat namanya.

Pada suatu hari Maharaja telah memanggil Kapitan Tua masuk mengadap. Oleh kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa cina purba maka Demang terjemahkan secara bebas seperti berikut:

"Haiya... wa manyak lisau la apek." titah baginda dengan wajah yang gusar.

"Apa pasat? Lu moleh celita sama wa. Nanti wa kasi nasihat. Itu memang wa punya keleje." Ujar Kapitan Tua dengan rasa tanggungjawab.

"Itu, wa punya puteli sulah busat tapi talak kawin lagi oo." Maharaja mengeluh.

"Itu manyak sinang. Kita kasi kawin saja la. Tuanku manyak luit, bila-bila moleh bikin kenduri busat." jawab memanda dengan penuh wibawa.

"Haiya... kalau wa cakap lu bodo, lu malah. Itu wa tau la. Tapi, sapa kita mau kasi kawin sama wa punya puteli?" maharaja mencerlangkan mata sepetnya ke arah Kapitan Tua.

"Soli la tuanku. Nanti wa pikir aaa..." jawab Kapitan Tua terkulat-kulat.

"Ha... wa ada idea. Kita bikin satu pertandingan. Kita panggil semua pemuda dalam negeli kita masuk pertandingan. Sapa menang kita panggil dia kawin sama itu puteli." Kapitan Tua bersuara girang.

Setelah ber'cong-ceng-cong-ceng' kira-kira 45 minit maka kedua-duanya tersenyum lebar kerana menemui satu idea yang amat bernas.

Maka pihak mediapun dimaklumkan bagi menyebarkan pengumuman kepada seluruh rakyat negeri tersebut bahawa Maharaja akan mengadakan suatu pertandingan bagi memilih menantu.

Dipendekkan cerita, pada hari Pemilihan Agung tersebut berduyun-duyunlah rakyat jelata dan kerabat diraja serta orang bangsawan berhimpun di kawasan istana.

Entah bila dikerjakan, rupa-rupanya di hadapan istana tersebut sudah dibuat orang sebuah kolam berkeluasan mengikut piawaian olimpik.

Dipendekkan lagi cerita dengan membuang ucapan perasmian dan sebagainya maka Kapitan Tua pun tampil ke hadapan untuk membuat pengumuman pertandingan.

Berikut adalah terjemahannya:

"wa manyak suka hati lu olang suma mai sini ini hali. Wa kasi tau aa.. Balang siapa moleh telejun ini kolam dari tebing sini; belenang ka, selam ka, lu olang punya suka, dan naik ikut tebing sana, yang pertama dikila pemenang..." Kapitan Tua berhenti sejenak, terbatuk kecil dan meludahkan kahak berwarna hijau pekat ke lantai. Menyedari perbuatannya itu dijeling oleh Maharaja, Kapitan Tua segera memijak kahak itu dengan terompah sambil mengisarnya.

"Woiii, itu bolo punya olang... jangan telejun dulu ma... wa belum abis cakap lagi." Kapitan Tua tiba-tiba menjerit apabila dilihatnya beberapa orang pemuda dan bukan pemuda (laki orang) ingin terjun ke dalam kolam.

"Hanya anak teluna saja boleh masuk ini contess ma... Lagi satu, bukan lakyat jelate Mahalaja talak dibenarkan masuk aa... Lagi satu aa... Dalam ini kolam aa, wa sulah kasi taluk lua tiga ekor buaya. Sula lama talak makan olang punya buaya." tambah Kapitan Tua lagi.

"Ke galisan, selia, GO..!" Kapitan Tua melaung. Namun tidak seorangpun yang terjun ke dalam kolam. Beberapa minit berlalu begitu sahaja. orang ramai tertanya-tanya.

"Haiya... tak mau mula ka? Wa punya vokal talak kuat ka? OK, wa kila satu kali lagi." Kapitan mengambil corong suara dan mengira sekali lagi.

Namun sebagaimana tadi, tidak ada seorang pemuda pun yang berani terjun ke dalam kolam.

Maharaja mula resah dan kecewa memikirkan tidak ada pemuda di negerinya yang hebat dan berani. Kapitan Tua juga marah dan sedih dengan kebaculan pemuda harapan bangsa. Rakyat jelata turut gelisah dan kecewa mengenangkan betapa jika negara diserang adakah para pemuda mampu menjadi benteng negara.

Tiba-tiba kedengaran bunyi tercebur dan kelihatan seorang pemuda berenang dengan pantas di dalam kolam tersebut. Dalam masa yang singkat beliau berjaya memanjat tebing penamat dan segera di peluk oleh Kapitan Tua.

"Wah! lu memang hebat. Bravo. Sikalang lu sudah menang. Lu akan dapat hadiah iaitu mewalisi semua haleta Mahalaja. Suka?" tanya Kapitan Tua dengan bangga.

"Tak mau..." ujar sipemuda sambil menggeleng kepala. Tubuhnya menggigil, kesejukan agaknya.

"Tak mau? Ok wa tau. Lu mau jadi maharaja? Takpa. Mahalaja sulah janji mau kasi lu jadi mahalaja." ucap Kapitan Tua tersenyum.

"Wa tak mau jadi mahalaja." bantah sipemuda dengan tegas.

Orang ramai yang turut mengikuti drama spontan tersebut turut tertanya-tanya.

"Tak pa. Lu boleh ambil semua. Lu tetap boleh kawin sama puteli laja. Jngan bimbang." pujuk KApitan Tua dengan lembut.

"Tak mau...! Wa tak mau tu semua." Sipemuda bersuara sambil mengetap bibir.

"Abis, lu mau apa?" Kapitan Tua pula menjadi berang.

"Wa mau cari sapa yang tolak wa masuk dalam kolam tadi!" jerit sipemuda.

Itu hanyalah cerita dongeng. Kisah si'tolol' yang menolak hadiah raja.

Mesej daripada Demang ialah: Apakah matlamat anda? Adakah anda seperti pemuda tolol tadi yang hadir di istana raja hanya kerana orang ramai menghadirinya? Lantas walaupun sudah diiktiraf sebagai pemenang dan bakal mendapat hadiah lumayan pun masih sibuk mengemukakan tuntutan yang remeh temeh?

Lihatlah di sekeliling kita: begitu ramai yang meletakkan laba dan habuan dunia sebagai matlamat perjuangan. Padahal Allah SWT telah menjanjikan syurga sebagai hadiah untuk manusia yang mengekalkan keimanan kepada-Nya. Tidakkah itu matlamat Kita?

Bagi Demang, perwakilan yang mengambil rasuah samalah seperti sitolol tadi yang tidak mahukan hadiah yang dijanjikan Allah iaitu pahala dan balasan syurga hasil perjuangan dalam UMNO. Mereka hanya nampak laba segera yang diperolehi apabila mengundi seseorang.

Oh ya. Jangan ahli UMNO sahaja yang diminta menjaga dosa dan pahala. Para penjawat awam, ahli korporat, buruh, pemandu, anggota keselamatan, pelajar, blogger, dan sesiapa sahaja ada amanah dan tanggung jawab masing-masing.

"Jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka".

Monday, March 23, 2009

Pemilihan Umno: "Pilihlah dengan hati nurani" (kata Tun DrM)




Seorang sahabat menelefon dari Terengganu meminta pandangan siapakah yang patut beliau pilih dalam pemilihan UMNO nanti?

Jika soalannya 'siapa' maka sukarlah Demang menjawabnya. Apatah lagi Demang bukannya ahli UMNO. Cuma yang boleh Demang kongsikan di sini ialah ciri-ciri pemimpin yang layak dipilih dan ciri-ciri pemimpin yang wajar di'nyahtinja'kan.

Jika nak disenaraikan ciri-ciri pemimpin yang baik, rasanya akan penuhlah ruangan ini dengan satu set nilai yang mungkin membosankan pembaca. Bukan bosan pada nilai tersebut tetapi bosan dengan ahli politik yang sekadar menjadikan nilai-nilai tersebut sebagai umpan bagi meraih sokongan semata-mata. Justeru Demang cari senarai-semak yang lebih pendek iaitu apakah isu yang rakyat perbualkan terutamanya menjelang pemilihan ini.

Apa isunya? Sudah terang lagi bersuluh. Sudah tentu isu yang menjadi mimpi buruk KM bagi negeri Demang bermastautin sekarang!

Demang akur, bukan mudah melenyapkan politik wang . Sekalipun UMNO itu dimusnahkan kita tidak boleh menjamin yang parti alternatif mampu bersifat bersih.Namun sebagai manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi muslim dan mukmin, wajarkah kita berlepas tangan dan membiarkannya terus berlaku samada dalam parti bernama UMNO atau parti yang mempunyai nama lain?

Pokok pangkal terletak pada kita. UMNO tidak akan masuk syurga atau neraka. UMNO hanya alat di dunia untuk mencapai kejayaan di akhirat. Bagi ahli UMNO yang insaf dengan tujuan Allah SWT menzahirkan mereka ke dunia akan mengambil peluang yang disediakan oleh UMNO sebagai wadah memperjuangkan Islam. Atau setidak-tidaknya tempat untuk mengumpul pahala. Atau, kalau itu pun sukar dilakukan, maka jangan jadikan UMNO tempat menumpang dosa orang lain. Pemberi dan penerima rasuah sama sahaja tarafnya. Pemimpin memberi rasuah sebab boleh untung juta-juta sebaliknya para perwakilan terima rasuah hanya untuk beberapa ratus atau ribu ringgit sahaja. Nasib tidak baik, belum sempat tiba di rumah sudah mati eksiden!

Kalaupun selamat tiba di rumah, nak dipengapakan duit haram itu? Sanggup bagi anak-anak makan dengan duit haram itu? Atau digunakan bagi menukar tayar kereta? Apa hal kalau tayar itu meletup ketika membawa keluarga? Mahu dibeli perabut dengan duit haram itu? Tidak takut ke rumah terbakar dan keluarga anda rentung di dalamnya?

Maklumlah... duit haram. Tapi jangan bimbang. Perkara begitu jarang berlaku dan anda mungkin bernasib baik. Kalau berlaku juga mungkin terhadap orang lain. Bagaimana dengan akhirat?

Petua Demang ringkas dan mudah: Kalau kita sudah tahu calon itu mengamalkan rasuah, kenapa masih nak pilih? Nak tahu siapa yang rasuah mudah sahaja. Kalau kita ditawarkan sejumlah wang oleh seseorang, jangan diundi calon itu. Takkanlah kita tidak tahu siapa yang menyogok walaupun mereka menggunakan agen?

Bagaimana pula jika kesemua calon memberi sogokan? Lagi mudah! Pulaukan sahaja perhimpunan UMNO itu. Jika perwakilan tidak mahu pulaukan, rakyat yang akan pulaukan terus UMNO!

Bagaimana jika hanya anda seorang yang bertindak sedangkan orang lain tidak peduli? Hai, takkan lah itu pun Demang nak ajarkan? Kalau tak faham juga, baca tatacara berikut:

Apabila seseorang muslim itu meninggal dunia maka wajib atas kita memandikannya, mengafankannya, menyembahyangkannya, dan mengebumikannya.

Selepas itu, pandai-pandailah dia jawab sendiri pada malaikat kat dalam kubur tu. Tak perlulah kita nak jaga semua tingkahlaku mereka kalau mereka tidak sudi menerimanya. Pendekata, mereka jawablah sendiri nanti.

Belum puas hati dengan cadangan Demang itu?

Demang ada petua kedua:

Jika ada 3 calon yang merasuah anda, undilah calon yang beri anda habuan yang paling sedikit. Contoh, jika calon A beri 100, calon B beri 30 dan calon C beri 10, undilah calon C. Tapi ingat; berdosa atau tidak, bukan Demang yang tentukan. Sekurang-kurangnya kita berusaha mengurangkan gejala rasuah. Demang yakin petua ni memang bagus. Pemilihan seterusnya nanti (jika UMNO masih ada), pasti para calon akan berlumba-lumba bagi rasuah paling sedikit. Lambat laun, bukan calon yang merasuah perwakilan sebaliknya perwakilan yang mengumpulkan dana dari kocek sendiri bagi menyokong seseorang calon yang sanggup menjadi pemimpin.

Nota Demang:
Ada sesiapa boleh tolong berikan Demang alamat web pendaftaran UMNO online? Demang nak masuk UMNO dan nak bertanding dalam pemilihan seterusnya. Tak lama lagi guru-guru dah boleh aktif politik!

Wednesday, March 11, 2009

Isu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris



Gerakan Munir tampak semakin lemah. Raihan masih berusaha memutuskan tali yang berbelit ditubuh sahabatnya itu. Buih-buih halus yang keluar dari rongga Munir semakin berkurangan. Sedari tadi lagi Munir sudah beberapa kali memberi isyarat pada Raihan agar meninggalkannya sendirian. Namun Raihan tidak tergamak. Selagi mampu, tubuh Munir akan dilepaskan dan dijuakkan ke permukaan.

Berada pada kedalaman 60 kaki di dasar tasik bukanlah perkara yang asing bagi mereka. Namun keadaan kali ini memang berbeza. Besi padu dari runtuhan jeti di tebing tasik telah menghempap kaki Munir. Tali-tali kecil yang melurut bersama tiang itu membelit tubuh Munir menyebabkan ia tidak boleh melepaskan diri. Kini tangki oksigen Munir juga sudah kontang. Tangki kepunyaan Raihan juga sudah semakin susut dan akan kehabisan bila-bila masa sahaja. Tali sial yang membelit tubuh Munir belum dapat dirungkai, malah semakin utuh apabila batang besi itu berinsut.

Raihan memandang wajah sahabatnya dengan sayu. Dia sedar, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukannya. Dia harus naik ke permukaan sekarang. Jika tidak, mayat mereka berdualah yang akan dinaikkan oleh orang lain nanti. Tegarkah Raihan meninggalkan Munir yang masih bernyawa itu? Mahu tidak mahu itulah keputusan yang sedang diambil Raihan kini.


.....................

Demikianlah sukarnya membuat keputusan. Barangkali itulah yang dirasakan para pejuang bahasa Melayu yang mengusung keranda 152 dalam demonstrasi di Istana Negara kelmarin. Itu jugalah perasaan yang turut dikongsi oleh saya dalam isu PPSMI ini. Seperti mengulum buah Simalakarma, ditelan mati emak diluah mati bapa.

Dalam keadaan begini kita perlu kembali pada realiti. Kerajaan bukan suka-suka hendak mengusik sensitiviti orang Melayu. Kerajaan bukan sekali-kali hendak membunuh bahasa Melayu. Malah Bahasa Melayu tidak akan mati dek penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains.

Kerajaan boleh sahaja membuat keputusan yang popular dengan membatalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains & Matematik sebagaimana kerajaaan membatalkan permit kerja 70 ribu pekerja Bangladesh setelah banyak pihak mendesak. Kerajaan boleh sahaja mengubah keputusan membenarkan kenaikan tol tidak sampai 12 jam setelah kenaikan diumumkan.

Kerajaan tidak berdegil semata-mata kerana egois atau angkuh.

Kenyataannya, apapun bahasa yang digunakan dalam pengajaran kedua-dua subjek tersebut hanya sebahagian kecil sahaja pelajar yang akan lulus dengan cemerlang. Sebahagian besar pelajar hanya akan memperolehi keputusan sederhana sahaja. Jika tidak percaya, tanyakan pada orang sekeliling anda yang belajar Sains dan Matematik menggunakan bahasa Melayu.

Kitapun tidak mengimpikan semua rakyat cemerlang dalam Sains dan Matematik. Itu hanya fantasi.

Sebahagian besar pelajar akan menyertai bidang teknikal, agama, sastera, pertanian, dan sebagainya. Dalam pada itu penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris akan lebih baik berbanding generasi sebelum ini. Sebagai contoh, kita berharap akan memperolehi ilmuan Islam yang mahir dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Soalan kedua, adakah bahasa Melayu akan pupus dengan perlaksanaan PPSMI? Tidak. Sebagaimana yang dinyatakan tadi hanya sebahagian kecil sahaja akan meneruskan pelajaran di universiti dalam bidang Sains dan Matematik sebagaimana juga yang berlaku sebelum ini.

Soalan ketiga, adakah pelajar Melayu terutama di luar bandar akan menjadi korban? Jangan lupa, jika pelajar Melayu terpaksa belajar dua bahasa, pelajar cina perlu belajar tiga bahasa termasuk bahasa ibunda mereka. Jika diikutkan kaum Cina lah yang akan membantah PPSMI ini.

Bagi pelajar Melayu di luar bandar, melalui PPSMI lah mereka mempunyai masa tambahan untuk berbahasa Inggeris. Selain dari waktu itu, mereka akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Mereka tidak seperti rakan-rakan yang lahir dalam keluarga yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di rumah. Mereka juga kurang didedahkan dengan interaksi dan komunikasi luar menggunakan bahasa Inggeris. Hanya di sekolah sahaja tempat mereka memberikan perhatian pada bahasa tersebut. Kita tidak mahu mereka semakin ketinggalan.

Soalan keempat, kenapa tidak kita asingkan pelajar yang ingin berbahasa Inggeris dengan yang 'tidak mampu'? Jawabnya, kerajaan (Tun DrM) tidak mahu bersikap tidak adil. Mereka mahu membuka peluang kepada semua rakyat tanpa mengira darjat. Malah jika kerajaan mengasingkan pelajar berbahasa Inggeris dengan yang berbahasa Melayu, pihak pembangkang tentu akan mendakwa bahawa kerajaan memang zalim.

Pembangkang memang begitu.

Apapun, Demang ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sasterawan Negara A. Samad Said kerana memainkan peranan dengan baik. Adalah menjadi tanggungjawab beliau dan orang seperti beliau untuk mengingatkan kerajaan supaya tidak tersilap membuat keputusan.

Tuesday, March 10, 2009

Perhimpunan PERKASA



PERHIMPUNAN PRIBUMI PERKASA NEGARA 22.MAC.09 (AHAD) 8.00 PAGI bertempat di Kompleks Sukan TNB Bangsar. Sesi Pagi Ucaptama Oleh Tun Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4. Sebelah Petang Sidang Kemuncak PERKASA. Kepada Bloggers BPN semua dijemput hadir demi kepentingan bangsa dan agama.

Minta tolong sahabat blogger terutamanya ahli BPN untuk menghebahkan perkara ini.

Monday, March 9, 2009

MLM vs Ahli Politik



Beberapa hari lepas seorang kenalan mengirim SMS untuk bertemu di satu tempat dengan alasan ada beberapa perkara nak dibincangkan. Saya bersetuju dan kami pun berjumpa di depan sebuah bangunan. Teman itu sudah menunggu dengan berpakaian kemas, siap dengan jaket kulit dan bertali leher.

Beliau kemudiannya mengajak saya masuk ke sebuah dewan dalam bangunan tersebut yang di dalamnya sudah terdapat ramai orang. Seorang lelaki sedang berceramah dengan penuh semangat.

Modus operandi syarikat yang dikatakan berasal dari Perancis itu rasanya sama sahaja dengan mana-mana syarikat MLM lain. Ahli-ahli akan mendapatkan prospek dan dibawa ke situ untuk 'ditarbiahkan' (sponsored).

Saya difahamkan bahawa syarikat tersebut sudah lama juga beroperasi di Malaysia namun baru sahaja dipelawa kepada orang Melayu. Ertinya, kebanyakan 'leader' adalah dari kalangan bukan Melayu.

Selalunya begitu la...

Saya mula terlibat dengan MLM sejak awal 1990-an. Mula-mula Amway yang berasal daripada AS. Selepas itu menyertai Revell, Naturae, Dolla, Eraedar, Zulian, dan berderet lagi nama syarikat. Tak kurang 20 rasanya.

Saya pernah berusaha menubuhkan sendiri syarikat MLM namun terpaksa diurungkan kerana masalah modal. Mutakhir, saya terlibat memulakan rangkaian pengedar bagi sebuah syarikat MLM tempatan.

Barangkali nasib tidak menyebelahi, walaupun tidak gagal namun tidak mencapai target yang saya idamkan. (dulu saya hanya mengejar matlamat).

Kini saya menutup pintu hati terhadap mana-mana syarikat MLM. Sekurang-kurangnya ada dua sebab iaitu pertama saya ingin menumpukan pada produk keluaran keluarga (minyak Morhabshi) dan kedua kerana kekangan masa.

Saya dapati banyak persamaan antara MLM dengan politik. Sebagaimana politik, ahli MLM juga bermula sebagai ahli biasa dan bergerak membina kumpulan sendiri. Kemampuan seseorang ahli membentuk kumpulan mewajarkan beliau menjadi ketua atau pemimpin kumpulan.

Dari semasa ke semasa pemimpin tadi melantik dan melatih ahli mereka membina kumpulan sendiri. Lebih banyak dan lebih besar kumpulan maka lebih tinggilah kedudukannya. Semakin ramai ketua yang berjaya dibina maka semakin tinggilah pangkatnya. Pendapatanpun semakin lumayan.

Usahawan MLM bermula sebagai ahli biasa, menjadi ketua kumpulan dan akhirnya mengetuai beberapa orang ketua kumpulan.

Berbeza dengan politik, dalam MLM tidak ada ketua bahagian atau ketua cawangan kerana perniagaan ini tidak menghadkan kawasan. Malah ia bersifat global sehingga anda boleh menaja ahli baru di seberang sempadan negara.

Samada MLM ataupun politik, persaingan tetap ada. Persaingan dalam politik timbul kerana jawatan ketua yang terhad manakala persaingan dalam MLM melibatkan usaha merebut penyokong (downline) Sebenarnya sama sahaja. Malah jika dalam politik terdapat tindakan 'melompat parti' dalam MLM juga ada istilahnya iaitu 'curi line' (under cutting).

Baik politik mahupun MLM, kedua-duanya adalah sistem yang baik. Jangan kerana ada sebilangan manusia yang rakus dan tamak di dalamnya maka kita buang semua sistem itu. Bergerak aktiflah di dalamnya dengan menjadikan hukum Islam sebagai panduan. Jadikan politik mahupun MLM sebagai salah satu alat untuk mendapat keredhaan Ilahi.

Selamat menyambut Maulidurrasul. Akhlak terbaik adalah akhlak Rasulullah.

Friday, March 6, 2009

manusia vs mahkamah




Sumber SMS Berita Harian 06/03/09, 10:02:31 AM: Mahkamah Tinggi KL memutuskan semakan kehakiman Mohamad Nizar berhubung status beliau sebagai MB Perak perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Catatan Demang:
Masih ingat kes Batu Putih? Masihkah Pulau batuan itu milik kita? Tidak! Pulau Batu Putih sudah menjadi kepunyaan Singapura. Mahkamah telah memutuskannya. Walaupun kita yakin bahawa pulau itu milik kita, namun dengan kepintaran mereka ia sudah bertukar milik.

Adakah sultan Perak masih didengar suaranya di dalam negerinya? Mahkamah Persekutuan akan memutuskannya. Melalaklah kepada seluruh dunia. Tidak ada gunanya. Nasib negeri Perak akan diputuskan oleh seorang hakim yang entah dari mana asal usulnya.

Nanti, tunggu dan lihatlah satu persatu hak kita dirampas melalui undang-undang. Jangan terperanjat kalau suatu hari nanti isteri dan anak-anak kita pula dirampas apabila mahkamah memutuskan yang kita tidak layak menjaga mereka menurut tafsiran mahkamah.

Manusia membina mahkamah dan terlupa memberinya emosi.

Thursday, March 5, 2009

Memegang keris biar pada hulunya



Masih ingatkah 'perbahasan' antara Salehudin Hashim (PKR) & Fuad Zakarshi(UMNO) bertajuk 'Sistem Demokrasi Rakyat & Raja Berperlembagaan' dalam Astro Awani 8.30 pada 28 Feb 2009 yang lalu?

Jika sudah lupa atau tidak dapat mengikutinya carilah ulasan saya dalam blog Waadat ini atau boleh juga menggeledah dalam Youtube.

Dalam perbincangan selama 30 minit itu masing-masing mendakwa parti merekalah yang mempertahankan raja-raja Melayu manakala parti lawan pula cuba membuang kuasa raja.

Siapa yang benar?

Sesiapa sahaja boleh mendakwa berada di pihak yang benar namun bagi kita yang mengetahui fakta, pasti boleh menilai siapa yang benar dan siapa yang berdusta?

Pada 1993 UMNO yang mendominasi BN telah mengetuai seluruh ahli dewan rakyat meluluskan pindaan perlembagaan bagi merombak semula kuasa raja. Ada tiga rentetan peristiwa yang perlu difahami wujud pada masa itu:

1) Beberapa tindakan yang dilakukan oleh 1-2 orang raja dan kerabat diraja telah menimbulkan kemarahan majoriti rakyat sehingga institusi itu dibenci.

2) Pendedahan @ promosi terhadap salahlaku pihak istana dilakukan secara besar-besaran dalam semua media yang ada ketika itu dan mendapat sokongan semua parti politik termasuk UMNO dan PAS.

3) Akhirnya parlimen yang terdiri daripada pelbagai parti menyokong agar perlembagaan negara dipinda dengan mengurangkan kuasa sultan termasuk Yang Dipertuan Agong.

Implikasi perubahan tersebut ialah sebarang keputusan yang dibuat oleh Dewan Rakyat dan melalui proses di Dewan Negara tidak boleh dibatalkan oleh Yang Dipertuan Agong. Baginda cuma boleh memulangkan semula draf tersebut ke Dewan Rakyat untuk dibincangkan semula jika tidak berkenan.

Sekiranya setelah melalui proses yang sama seperti di awal tadi dan dibawa kepada baginda maka baginda mempunyai masa selama 30 hari untuk menandatanganinya tanpa boleh menolaknya.

Usul yang dbawa dalam parlimen itu mendapat sokongan luar biasa oleh ahli parlimen sehingga media keesokannya melaporkan betapa semua parti telah bersatu demi meluluskan perkara itu.

Cuma... ada sedikit kebimbangan selepas itu bahawa kuasa raja akan diambilalih oleh ahli politik.

Demang berpendapat pihak yang cuba mengurangkan kuasa raja ialah semua orang Melayu yang diketuai para pemimpin politik Melayu dari UMNO dan PAS.

Kembali ke 2008-2009

1) Raja Perlis tidak memperkenankan perlantikan Shahidan Kassim untuk menjadi MB Perlis biarpun beliau mengetuai parti yang memperolehi majoriti dalam pilihanraya. Terdapat bantahan terhadap keputusan raja tersebut namun akhirnya semua pihak akur dengan kehendak raja.

2) Sultan Ternggganu tidak berkenan dengan cadangan melantik Idris Jusuh sebagai MB Terengganu walaupun beliau yang mengetuai BN Terengganu memenangi pilihanraya. Terdapat juga bantahan namun semua pihak akhirnya akur dengan kehendak sultan.

3) Di Perak, sultan berkenan melantik Nizar menjadi MB walaupun kerajaan campuran tersebut bukanlah pilihan orang Melayu Perak. Buktinya, rakyat Perak itu memilih 27 wakil UMNO berbanding cuma 6 wakil PAS dan 7 wakil Melayu PKR (3 ADUN PKR kemudiannya mengaku menyokong BN).

Adakah orang bukan Melayu menyokong kerajaan campuran itu? Belum tentu sebab kerajaan campuran tersebut hanya dibentuk selepas PRU12. Yakni selepas rakyat membuat keputusan.

Namun, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari apabila tiba-tiba kerajaan Nizar-DAP hilang majoriti. Mahu tidak mahu sultan terpaksa memberitahu Nizar bahawa beliau hilang kelayakan menjadi MB.

Maka penderhakaanpun bermula. Siapa yang menjadi dalangnya?

Lihatlah sendiri.

Monday, March 2, 2009

Tiada helah sebalik “Unity government”



Berikut adalah artikel yang saya kutip dari blos Roslam SMS. Walaupun antara kami sering berbeza pendapat namun akhirnya ditemui satu persamaan yang membuatkan saya teruja tiba-tiba. Sebagai tanda sokongan terhadap perkara ini maka saya letakkan artikel beliau dalam ruang utama blog Waadat.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Tiada helah sebalik “Unity government”

Menginsafi kemelut politik dan ekonomi yang sedang dihadapi Negara, dan demi membela dan mempertahankan perpaduan rakyat dan keutuhan Negara, Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang baru-baru ini telah mencetuskan satu idea yang menarik dan perlukan perhatian serius semua pihak.

Ia bermula dari ucapan beliau ketika membahaskan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan SPB Yang Dipertuan Agong di Parlimen dan kemudiannya diikuti dengan wawancara beliau dengan Malaysian Insider dan akhbar Siasah.

Tuan Guru melihat bahawa semua pihak perlu jujur dan ikhlas bersatu bagi membawa negara keluar dari kemelut politik dan ekonomi yang sedang sama-sama kita hadapi dan tanggung ini. Ia bukannya sesuatu yang dibikin-bikin tetapi ia suatu realiti dan rakyat mengharapkan suatu jalan penyelesaian yang baik buat mereka dan Negara.

Beberapa contoh kerajaan perpaduan tanpa pembangkang telah beliau lontarkan antaranya termasuk kerajaan pimpinan BJ Habibie di Indonesia pasca Suharto. Walaupun kerajaan itu tidak kekal lama namun impaknya telah membawa suatu perubahan besar yang telah melonjak Indonesia kehadapan sehingga kini dalam sektor politik dan ekonomi serta perpaduan nasional. Ia tidak kekal tetapi ia telah mencetuskan pendemokrasian baru, kebebasan rakyat dan ketelusan yang terus dikecapi warga Indonesia sehingga kini.

Kerana itu sudah tiba masanya untuk semua pihak di Malaysia berani mengambil pendekatan ini. PAS melontarkan gagasan ini untuk difikir dan dipertimbangkan bersama oleh semua pihak bukan sekadar lontaran antara PAS dan Umno tetapi menyeluruh meliputi semua badan siasah khasnya antara BN dan Pakatan Rakyat.

Kita melihat Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang dari Bn antara yang pertama memberikan keterbukaannya terhadap idea ini dan semalam Naib Presiden Umno Muhyuddin Yassin menuntut agar perincian yang lebih teliti dikemukakan oleh PAS dalam hal ini.

Sesungguhnya penerimaan yang positif dari semua pihak Umno, MCA, MIC, Gerakan, PKR, DAP dan lain-lain sangat penting diperingkat awal ini. Walaupun Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz menganggap idea ini sebagai suatu helah politik, diharapkan yang lain tidak seperti beliau. Rafidah sendiri rasanya sudah terkeluar dan pasti kecundang dari mainstream Umno menjelang pemilihan parti itu akhir bulan ini.

Oleh itu bersedialah kita untuk mencipta perubahan. Ianya tampak revolusioner tetapi ia tidak mustahil kalau semua pihak berfikir bagai negarawan dan pemimpin rakyat yang mengimpikan perpaduan demi Negara yang tercinta.


............................................

Bagi saya, "jujur dan ikhlas" sebagaimana kata Haji Hadi itu perlu diinsafi dan dihayati betul-betul. Jika ada yang cuba meremehkan atau cuba merosakkan cadangan ini sekali lagi, jangan dipedulikan. Bagi saya, jangan difikirkan sama ada berjaya atau tidak cadangan ini sebaliknya kesediaan untuk melaksanakannya sudah dikira satu amalan baik yang tidak ternilai.

Sebagaimana Panglima, saya juga menyeru semua ahli BPN menyokong usaha ini.

Resolusi BPN 3/2009 Mengutuk Tindakan Karpal Sing isu CELAKA Pemuda UMNO



Selepas dibuka kepada komen dan juga cadangan selama 8 Jam 1/2 dari jam 9 am hari ini maka di bawah ialah Resolusi terkini BPN siri 3/2009 untuk diedar dan disalin oleh Blogger BPN semua. Di harap dapat sokongan sahabat sahabat semua demi agama bangsa dan negara kita..

BPN dengan ini mengambil keputusan mengeluarkan resolusi berkenaan tindakan Karpal Singh yang terang dan jelas ingin menaikkan kemarahan bangsa Melayu dan Muslim berhubung tindakannya mencarut perkataan CELAKA beberapa hari yang lalu di Parlimen. Meskipun sudah ditarik kembali namun ia tetap didengar dan dibaca oleh rakyat Malaysia.

BPN merasakan tindakan beliau sangat tidak wajar menggunakan perkataan CELAKA kepada pemuda UMNO tersebut, apatah lagi dengan menuduh Pemuda UMNO sebagai pihak yang telah menghantar dua butir peluru kepadanya tempoh hari. Ini sangat berbahaya kepada suasana harmoni negara kita dan juga boleh menaikkan sentimen kebencian yang boleh memudaratkan orang awam yang tidak berdosa.

Permainan politik keterlaluan ini boleh menimbulkan huru hara di negara kita jika tidak dibendung dengan segera oleh pihak yang berwajib.

Seperti mana yang kita tahu bahawa DAP dan Pakatan Rakyat memang sudah terang terangan sejak dahulu hingga kini cuba menyentuh beberapa isu sangat sensitif negara kita dengan sengaja dan jelas ada niat jahat di sebalik tindakan mereka.Isu babi,azan,tanah,papan tanda jawi,Hindraf adalah contoh yang boleh kita nampak telah dipolitikkan sebelum ini.

Meskipun sudah diberi amaran oleh Raja Raja kita agar isu isu sensitif tersebut jangan diusik atau dicabar oleh mana mana pihak, namun mereka seperti tidak mendengar atau memahami atau menghormati titah Raja kita yang menjadi RUKUN NEGARA yang kedua ( Kesetiaan Kepada Raja dan Negara ) yang sangat penting sehingga diletakkan di kedudukan tersebut selepas keimanan kita kepada Allah Yang Maha Esa,

BPN dengan ini merasa terpanggil untuk membuat satu Resolusi bersama oleh rakan rakan Blogger BPN agar semua dapat menyedari tindakan Karpal ini sangat berbahaya dan perlu dikutuk oleh kita semua. Jika kita masih sayangkan negara yang menjadi tempat kita bernaung selama ini.


HIDUP BPN !!!

SATU SUARA SATU ARAH SATU AKIDAH...


Disediakan :

Panglima Perang Cyber
Yang Dipertua Blogger Pembela Negara.

Sunday, March 1, 2009

Nik Aziz, Hj Hadi, dan Anwar menyeru semua rakyat bersatu hadapi krisis ekonomi




Tanah Melayu, 29 Feb 2009, Ketiga-tiga pemimpin PR yang mendakwa mewakili pakatan rakyat menyeru sekalian rakyat Malaysia terutama orang Melayu agar bersatu dan bekerjasama bagi menghadapi keadaan ekonomi yang kian meruncing.

Dalam masa yang sama seorang lagi pemimpin PR iaitu En Karpal mengambil tindakan mengutuk sekeras-kerasnya Amerika yang dikatakan punca pada masalah ini. En Karpal berteriak 'CELAKA, CELAKA, CELAKA.

Mereka mengeluarkan resolusi bersama itu berikutan kenyataan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakop di Pulau Pinang pada 28 Feb (semalam).

Kesan kegawatan sudah mula dirasai apabila berpuluh ribu pekerja telah diberhentikan kerja. Begitu juga senarai syarikat yang tidak mampu meneruskan operasi serta bankrup semakin bertambah.

Menurut TS Nor Mohamed Yakop, TPM DS Najib Tun Razak sedang bekerja keras mengumpul maklumat bagi memastikan baget mini yang akan dibentangkan pada 10 Mac ini menyeluruh dan menyentuh semua bidang yang penting.

..............................

Demikian berita yang direka oleh Demang pada pagi Ahad 1 Mac 2009 setelah membaca kenyataan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakop (Pulau Pinang, 28 Feb).

Namun adakah ilusi Demang ini akan menjadi kenyataan? Mahukah ketiga-tiga pemimpin yang mendakwa disokong oleh rakyat Malaysia itu membuat kenyataan seperti itu?

Kaitannya dengan berita tadi ialah jika pemimpin PR yakin mereka lebih diterima rakyat berbanding UMNO maka buatlah sesuatu bagi manafaat rakyat. Sekurang-kurangnya ajaklah rakyat bersatu. Puluhan ribu pekerja (setakat mimggu lepas) telah dibuang kerja pun masih nak berpolitik? Jika esok atau bulan depan, atau tahun depan PR mengambil alih kerajaan mampukah mereka menyelesaikan masalah ekonomi ini?

Sudah-sudahlah tu. Jangan tunggu sehingga rakyat hilang sabar. Apabila dapur sudah jarang berasap, belanja anak sekolah sudah tidak boleh disediakan lagi, kenderaan tersadai tidak mampu digerakkan, hutang piutang berkarat dan berkeladak; mereka akan bangkit memberontak. Sebahagiannya akan mencari jalan mudah bagi memperolehi duit. Jenayah akan meningkat. Rompak, samun, pecah rumah tidak dapat dikawal lagi. Anak-anak gadis bertukar menjadi pelacur. Anak-anak lelaki akan menukarkan akidah dengan wang yang disalurkan oleh pertubuhan tertentu. Lebih teruk lagi apabila antara kaum saling tuduh menuduh dan saling menyalahkan. Maklumlah, golongan majikan dan pemodal (kapitalis) kebanyakannya berbangsa Cina manakala golongan pekerja berbangsa Melayu dan India. Maka akan berlaku pergaduhan kaum. Sudah lupakah peristiwa 13 Mei 1969?

Puaskah hati para pemimpin semua terutama pemimpin pembangkang? Demang salahkan pemimpin pembangkang kerana mereka dianggap paling kuat sekarang dan mampu mempengaruhi rakyat. Bukankah itu yang mereka war-warkan? Sebab lain Demang salahkan mereka ialah kerana usaha ke arah penyatuan sudah dilakukan berkali-kali dan Pak Lah selaku presiden UMNO telah bersedia memenuhi pelbagai syarat yang diutarakan oleh PAS. Malangnya keegoan PAS menghalang penyatuan tersebut dan lebih rela bersekongkol dengan DAP. Kononnya PAS mampu mengawal DAP yang berpenyakit sawan itu.

Seperkara lagi, Demang nak tahu di manakah sekarang Ahmad Awang iaitu pemimpin PAS Perak yang menolak penyatuan PAS-UMNO bagi membentuk kerajaan campuran di Perak dulu? Itulah orang yang pertama sekali Demang akan cari di pintu syurga nanti jika apa-apa berlaku pada negara bertuah ini. Ahmad Awang, jangan harap engkau dapat masuk syurga dengan mudah. Demang akan ajak sekalian rakyat heret kaki engkau dan humban ke neraka.

Pesuruhjaya PAS Perak tolak kerajaan campuran PAS-UMNO
lihat sini

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)