Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Wednesday, December 8, 2010

negara kita ada minyak...


Entah channel mana, entah tajuk apa; mata Demang tiba-tiba tertarik pada tayangan yang memaparkan sekumpulan singa sedang memerhati sekawan kerbau liar. Entah di hutan mana.

Seketika mengawasi, singa-singa mula merapati dan mengepung seekor kerbau yang paling besar dalam kawanan itu.

Kumpulan singa mula menyerang. Ada yang memanjat belakang kerbau, ada yang cuba menangkap tengkuk, dan ada pula yang menyerang bahagian perut. Serentak.

Ternyata kerbau liar tidak mudah ditawan. Saiznya yang tiga-empat kali ganda berbanding sang penyerang kelihatan begitu gagah untuk diterjah.

Sementara kerbau jantan menghadapi lawannya yang ramai, kerbau-kerbau lain hanya memerhati sahaja.

Biarpun belum tumbang, namun keletihan tampak ketara pada haiwan besar itu. Bahkan singa-singa yang menyerangnya juga mulai letih dan kelihatan kecewa. Mereka mula menyisih tetapi masih enggan meninggalkan bakal mangsa.

Seketika, seekor kerbau yang kedua terbesar menghampiri kerbau yang sedang kepenatan itu.

Langsung Demang tidak menyangka bahawa rupa-rupanya kerbau itu bukan datang untuk membantu, malah mula menyerang haiwan yang sejenis dengannya itu.

Kali ini kerbau yang sudah letih itu tidak mampu bertahan lagi menahan serangan rakan sendiri yang hampir sebesarnya. Akhirnya sang kerbau tersungkur dan rebah menyembah bumi.

Tanpa berlengah, para singa mengambil alih serangan dan menamatkan riwayat sang kerbau.

Maka tumbanglah kerbau malang itu dibaham pemangsanya yang kelaparan.

Kerbau yang menyerangnya tadi berlalu bersama kerbau-kerbau lain dengan megah kerana kini dia-lah yang menjadi KETUA baru bagi kumpulannya.

...

Termenung sebentar Demang menonton rancangan TV itu. Fikiran Demang ligat menerawang ke seluruh dunia mencari titik pertemuan antara kisah haiwan dengan kehidupan manusia.

Akhirnya Demang bertanya sendiri, kenapa perang saudara selalunya berlaku di negara Islam? Adakah ia suatu kebetulan?

Kenapa di setiap persengketaan pasti ada negara lain yang campur tangan? mana yang mula dahulu; persengketaan sesama sendiri atau hasutan anasir luar?

Demang terkenang Saddam Husein yang begitu gagah suatu ketika dahulu memerintah Iraq hinggakan Iran yang dibantu Rusia tidak dapat mengalahkan mereka. Quwait yang dilindungi Amerika juga diredah begitu sahaja.

Malah Amerika sendiri gagal menawan Iraq.

Amerika mengendurkan serangan terhadap Iraq. Dunia mengagumi Saddam dan memperlekeh kemampuan Amerika.

Namun tidak lama kemudian, beberapa pemimpin kiri yang melarikan diri ke Eropah dan Amerika mula memburuk-burukkan Saddam. Rahsia kelemahan Saddam disalurkan pada Amerika.

Para pemimpin kiri yang berada di Iraq turut memainkan peranan dari dalam.

Akhirnya kedudukan Saddam menjadi goyah. Tentangan dari dalam ternyata menjadi tekanan yang sukar di atasi.

Akhirnya Amerika mengemukakan alasan mudah: Iraq memiliki senjata pemusnah. Makanya Iraq perlu dimusnahkan.

Kisah seterusnya, anda boleh ikuti setiap hari melalui mana-mana media yang anda suka.

Tiba-tiba Demang teringat bahawa Malaysia mempunyai banyak persamaan dengan Iraq.

Setidak-tidaknya, negara kita ada minyak.

3 comments:

Anonymous said...

dah lama Demang tak menulis begini...

Pakteh said...

Sambung kisah kerbau:

Pakteh menonton dari awal...
Pada mulanya memang kerbau2 ini bekerjasama. pakteh menonton bersama makteh, anak-anak dan juga mak&ayah mertua. Semua kagum dan memuji kerbau liar yang berjaya menakutkan singa. Malah satu ketika singa cedera parah diraduk tanduk kerbau.

Apa yang pakteh lihat, strategi memainkan peranan. Kerbau apabila diserang, hanya seekor atau dua yang akan mempertahan atau menyerang balas. Berbeza dengan singa yang akan menyerang serentak.

Singa hampir berputus asa dan selepas melepasi sungai, seolah2 kerbau akan menang...kisah seterusnya telah ditulis oleh Demang. Mermang tragis melihat kumpulan sendiri menolak kerbau yg cedera untuk dibaham oleh singa

Dalam politik terkini: PKR/PR/Anwar menyerang serentak mana2 individu dalam UMNO/BN. Memang akan ada yang mempertahankan UMNO/Bn tetapi tidak tersusun. Hanya muncul sesekali panglima perang dan kembali berdiam diri. Akhirnya apabila sudah gagal..rakan dalam team akan menolak sahabat yang lemah kepada musuh untuk dibaham.

DS Khir Toyo diserang lebih setahun oleh PR...

Cheguman said...

terima kasih Pak Teh.

Ohya, kepada semua pengunjung, Pak Teh di atas ialah Pak teh yang original. Klik pada nama beliau untuk ke bolg beliau.

Seorang lagi penulis Waadat yang juga memakai nama Pak Teh telah tidak lagi menulis di blog ini bagi menghormati blogger Pak Teh tadi.

Harap maklum.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)