Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Kitab Ramuan & Petua Perubatan Herba

Monday, August 31, 2015

KP BTN hilang di celah sambutan merdeka

Tatkala orang UMNO pun malu mengaku UMNO dan orang bukan UMNO enggan mengaku Melayu, siapakah yang bertungkus lumus mempertahankan istilah MELAYU?

Demang jawab, BTN lah orangnya. Maksud Demang orang BTN.

PERKASA datang kemudian. Itupun setelah dapat hembusan semangat daripada orang BTN.

Demang mengungkit kisah pasca penyingkiran Anwar, perletakan jawatan Mahathir, dan zaman kembali memuncak  di bawah Paklah sebelum Paklah pula kecundang.

Rentetan peristiwa besar tersebut  bermula di zaman Mahathir sehingga pada peleraiannya PM ke4 itu terpaksa meletak jawatan.

Yang menyelamatkan keadaan waktu itu ialah kursus SSM di bawah JPA yang dikendalikan BTN dengan modul khas berkonsep mempertahankan negara, sesuai dengan motto Bersama Menjiwai Kegemilangan.

Kesannya, 2004 Paklah menang besar.

Pihak lain yang bukan daripada BTN terutama blogger bebas jangan kecil hati. Demang sedar jasa anda yang tidak ternilai berjuang tanpa bayaran.

Jika modul BTN dilaksanakan dengan betul, di akhir kursus para peserta yang terdiri daripada penjawat awam meliputi pelbagai kaum dapat memahami bahawa menjaga negara adalah tanggungjawab bersama tanpa mengira kaum.

Kalau tidak percaya, hubungi Demang dan Demang boleh usahakan untuk anda meneliti dan mengalami sendiri modul tersebut. Demang sanggup disaman jika modul tersebut bakal memecahbelah perpaduan dan merugikan mana-mana kaum.

BTN menekankan pemahaman pada perlembagaan Malaysia yang menjaga keistimewaan orang Melayu serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

TIDAK pernah ada dalam mana-mana modul BTN sejak dahulu yang hanya memperjuangkan orang Melayu dengan mengenepikan atau meminggirkan kaum-kaum lain.

Malangnya usaha murni BTN yang dijangkakan dapat menarik perasaan cintakan perpaduan dilihat oleh pembangkang sebagai bakal menguntungkan BN dan UMNO yang kebetulan memegang tampuk pemerintahan, sekaligus meranapkan impian mereka mengambilalih kuasa.

BTN difitnah dan ditohmah. Seperti biasa, orang Melayu yang malas menyiasat berita terus percaya bulat-bulat.

Akhirnya pembangkang berjaya menghasut kerajaan agar kursus tersebut ditamatkan. Hampir tiada langsung pihak yang sanggup pertahankan, termasuk UMNO.

Maklumlah, ketika itu untuk mengaku berbangsa Melayu pun malu!

Kenapa pembangkang membenci BTN?

Apabila rakyat bersatu demi negara maka kerajaan yang sedang memerintah akan selamat.

Sebaliknya jika rakyat sentiasa dalam keadaan gelisah, tidak puas hati, saling tuduh menuduh, suka komplen, maka parti yang memerintah akan kalah.

Itu sebabnya rakyat tidak boleh dibiarkan bersyukur dan bantu membantu membina negara.

Namun itu semua sudah berlalu. Kini BTN sudah tidak kelihatan lagi memberi kefahaman pada rakyat tentang kenegaraan.

KP BTN pun sudah lama tidak kelihatan. Hilang agaknya.

Samada KP BTN menghilangkan diri atau dihilangkan, HILANGlah namanya.

Jika anak hilang, memang perlu dicari sampai jumpa namun jika penjawat awam hilang, perlulah diganti dengan yang lain.

Rasanya ramai yang boleh jadi pengganti. Maksud Demang, pengganti yang lebih baik.

Sunday, August 30, 2015

Bersih sudah jadi rasis

Secara tidak sengaja Demang tersangkut  dalam kesesakan berhampiran perhimpunan haram BERSIH 4 KL semalam.

Tidak perlu komen panjang, Demang lihat sendiri dua perkara:

1. Kebanyakan peserta adalah golongan yang baru melepasi zaman kanak-kanak (klik artikal berkaitan)
2. Kebanyakan remaja yang baru aqil baligh itu adalah kaum cina. 

Namun ada juga 2-3 kerat remaja Melayu. Budak-budak kolej mana entahlah.

Semua berbaju kuning. Siapa sponsor?

Kata isteri Demang, baguslah. Mereka yang akan dapat untung nanti maka biarlah mereka yang berusaha sendiri.

Semalam, perhimpunan BERSIH sudah jadi perhimpunan kaum. Orang Melayu perhatikan sahaja.

 Namun perlu diingat, orang Melayu bukan boleh lama sangat bersabar.

Saturday, August 29, 2015

Berhati-hati buat analisis

Guru tak baca tak apa tapi pegawai elok baca.

Ada satu taklimat oleh seorang pegawai yang asalnya seorang guru pada sekumpulan guru prasekolah di Melaka.

Turut ditaklimatkan ialah guru besar sekolah yang terlibat.

Isunya ialah ramai murid Tahun Satu di sekolah kebangsaan yang masih belum menguasai kemahiran membaca dan menulis.

Pegawai tersebut melahirkan rasa tidak puas hati kerana guru-guru prasekolah yang kebanyakannya berijazah dan dibayar gaji serta elaun yang tinggi namun masih ramai murid Tahun Satu belum menguasai kemahiran asas tersebut.

Maka terdiamlah para guru dan guru besar tersebut 'disekolahkan' oleh sang pegawai. Agaknya masing-masing melengung memikirkan tuduhan yang dilemparkan.

Tiba-tiba seorang guru wanita bangun. Beliau memberitahu bahawa di sekolah beliau ada dua kelas prasekolah dengan murid seramai 50 orang.

Daripada 50 orang tersebut, hampir semua memasuki tahun satu di sekolah yang sama. Jumlah kelas tahun satu ialah 4 buah dengan anggaran murid sekitar 200 orang. Itu faktanya.

Persoalannya, jika terdapat 50 orang daripada 200 itu belum boleh membaca, adakah semua murid yang tidak boleh membaca itu datang daripada prasekolah?

Bagi seseorang yang berjawatan pegawai pelajaran seperti sang pegawai tadi beliau sepatutnya tahu bahawa hanya sebahagian kecil sahaja kanak-kanak memasuki prasekolah kebangsaan manakala yang ramainya belajar di tadika swasta sebelum memasuki darjah satu.

Seperkara lagi, kanak-kanak yang layak memasuki prasekolah ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah.

Anda boleh nampak dan faham realitinya? Demang mohon maaf kerana terpaksa menyebut di sini bahawa golongan berpendapatan rendah biasanya tidak sama pencapaian akademiknya dengan keluarga sederhana dan ke atas.

Kenapa? Salah satu sebabnya ialah kemudahan di rumah yang kurang lengkap selain kemampuan untuk memberi pendidikan tambahan, termasuk penggunaan teknologi terbaru.

Pernah dengar istilah pendidikan tidak langsung? Ia bermula di rumah.

Sayangnya kebanyakan murid prasekolah bergantung hampir sepenuhnya pada inisiatif guru prasekolah sahaja.

Demang nak gambarkan sedikit contoh keluarga berpendapatan rendah di sekolah yang guru wanita tadi bertugas.

Pada bulan puasa baru-baru ini seorang guru berkunjung ke rumah keluarga tersebut membawa makanan. Menangis guru tersebut melihat anak-anak keluarga itu begitu teruja menyambut makanan kerana mereka memang tidak mempunyai makanan yang baik untuk berbuka hari itu.

Barangkali memang begitu setiap hari.

Demang bawa isu ini untuk kita sedar betapa kemahiran membuat analisis sangat penting. Membuat tuduhan tanpa melihat masalah daripada pelbagai sudut hanya akan menampakkan kebodohan sendiri.

Itu sebabnya kita laksanakan KBAT atau Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.

Sebelum itu pegawai yang hendak dilantik sebagai pegawai pelajaran mestilah benar-benar berpemikiran KBAT supaya mereka tidak terus merosakkan sistem dengan kebodohan semulajadi mereka.

Kedua-dua cerita di atas adalah peristiwa benar yang baru berlaku. Demang sendiri tidak menyangka masih ada keluarga daif begitu ketika sebahagian daripada kita sibuk menukar kereta import dan gadjet komunikasi terbaru.

Sebahagian duit kutipan GST patut diperuntukan kepada golongan tersebut.

Thursday, August 27, 2015

Alfatihah

Bagai api dalam sekam, bagai gunting dalam lipatan.
Kedua-duanya bekerja dari dalam. Jika sudah selesai barulah nampak rupanya. Itu pun cuma alatnya. Tok dalang masih belum menampakkan muka.

Mat Sabu tidaklah bodoh sangat. Setakat mengira 222 bahagi 2 tentulah dia tahu jumlahnya. Mat Sabu pun tahu bahawa kalau menang semua kerusi yang ditandingipun PAS masih belum dapat menguasai kerajaan. Maklumlah, PAS tidak pernah bertanding lebih daripada separuh kerusi parlimen.

Untuk tubuh kerajaan mesti ada satu perdua atau 111+1 (terkini) kerusi  di parlimen. Untuk mengubah perlembagaan pula perlu sokongan dua pertiga. Barulah hudud boleh dilaksanakan.
Namun apabila PAS berhajat tubuh kerajaan dan meminda perlembagaan, Mat Sabu berteriak sama, dan kemudian terkekeh-kekeh ketawa bersama para pengikutnya.

Pemimpin PAS tulen bukan tidak tahu realiti ini. Namun PAS perlu terus hadir sebagai pengimbang pada UMNO. Parti peneraju itu tidak boleh dibiarkan berseorangan. Adanya PAS adalah bagi memberi amaran pada parti komponan BN lain bahawa jika mereka mengada-ngada kerusi BN (melalui UMNO) akan digantikan dengan wakil PAS.

Kini api tidak lagi di dalam sekam dan gunting pun sudah di luar lipatan. Ertinya fasa bekerja dari dalam sudah selesai. Penubuhan GHB menampakkan Mat Sabu dan kuncu-kuncunya memasuki fasa kedua. Samada memang sudah bersedia atau terpaksa, Mat Sabu mesti meneruskan langkah bagi memastikan pendapatan yang disalurkan daripada pihak penyedia dana tidak terhenti atau beralih pada orang lain pula.

Platfom Mat Sabu dalam PAS sudah hancur maka tidak ada sebab untuk dia terus menerima dana.
Nasib Anwar mesti dijadikan iktibar. Apabila sudah tidak boleh diguna, dalam botol pawanglah tempatnya sebelum dikambus di dalam tanah.

GHB bukan untuk menarik orang UMNO. Kalau PAS dan PKR pun orang UMNO tidak hingin, parti serabut baru itu lagilah tidak dipandang. Orang UMNO sudah jelak dengan parti serpihan.

Bagaimana pula dengan pengundi Melayu? Dalam sejarah PRU, rata-rata pengundi Melayu atas pagar akan tetap memberi undi pada BN. Kalau luak pun, tak sampai menjejas majoriti di parlimen.

Maka yang akan terpeleot ialah PAS dan PKR. PAS menanggung musibah akibat kesilapan besar beberapa pemimpin saduran yang menyamar sebagai pejuang Islam. Ahmad Awang mungkin salah seorang daripadanya. Jika tidakpun, beliau memang pernah buat silap besar di Perak!

Penyedia dana bagi merampas Putrajaya daripada tampuk pemerintahan Islam sudah mengira. GHB akan mengecilkan lagi saiz PAS. PKR tidak dirisau kerana parti itu hanya seperti buih di lautan. Nampak mengepul tapi tidak sampai ke dasar pun.

Apabila PAS lemah, UMNO bukan bertambah kuat. Orang Melayu yang galak menentang kerajaan akan menyertai GHB pula. Jika sebelum ini PAS, PKR, dan DAP sekadar bekerjasama secara tak rasmi, selepas ini GHB akan bergabung terus dengan DAP.

Dalam surah Al-Fatihah, kita memohon pada Allah agar ditunjukkan jalan yang lurus dan bukannya jalan orang yang sesat.

Orang yang sesat bukanlah orang yang tiada matlamat sejak awal. Mereka asalnya sebahagian ahli rombongan namun atas sesuatu sebab, mereka keluar daripada jemaah dan akhirnya tersesat. Salah satu puncanya ialah mereka cuba mencari jalan pintas.

Semoga kita kekal di jalan yang lurus dan tidak termasuk dalam golongan orang yang sesat.

Al-fatihah.

Wednesday, August 26, 2015

Rahsia lirik anak kecil main api

Demang rasa masih ramai yang menyimpan bait-bait lagu Warisan dalam hatinya:

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah
Bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Apa maksud anak kecil main api? Barangkali banyaklah maksudnya. Di sini Demang nak ambil satu sudut sahaja iaitu kenapa digunakan 'anak kecil'?

Istilah lain untuk anak kecil ialah kanak-kanak. Besar sikit dipanggil budak-budak. Selepas itu dikenali sebagai remaja, anak muda, dewasa, orang tua, dan akhir sekali orang tua ganyot lah gamaknya.

Tahap paling rendah dalam kematangan manusia ialah anak kecil. Dalam peristiwa nabi Musa dengan firaun, bagi membuktikan Musa yang masih kecil ketika itu memang belum matang maka disuakan api. Musa yang masih anak kecil ketika itu menyentuh api tersebut dan menangis kepanasan.

Itu membuktikan bahawa Musa memang anak kecil yang belum tahu membezakan benda bahaya dengan benda selamat, walaupun baginda akan menjadi rasulullah apabila dewasa.

Zaman remaja adalah tempoh usia yang penuh konflik dan tercari-cari identiti diri. Istilah lain ialah jati diri. Namun tiada garis pemisah yang jelas antara zaman remaja dengan dewasa. Ada juga yang berumur 39 tahun masih berkelakuan macam remaja.

Jika anak kecil belum tahu membezakan api dengan ais, budak remaja kita andaikan lebih cerdik. Apapun perlu diingat mereka baru keluar daripada zaman budak-budak. Jika yang 39 tahun pun kekadang berkelakuan macam budak-budak maka tidak mustahillah ramai remaja yang masih belum keluar daripada kepompong kanak-kanak mereka.

Bagaimana dengan anak muda? Anak muda dan remaja sebenarnya sukar dibezakan. Kadang-kadang matang dan kadang-kadang macam budak-budak.

Masa Demang sekolah dulu, pelajar universiti amat dipandang tinggi. Maklumlah, mahasiswa. Tempat belajarpun dipanggil menara gading.

Itu dulu, sebab masa itu orang dewasa sekadar ada Sijil Darjah 6 dan SRP. Paling tinggipun SPM.

Hari ini golongan yang dipanggil 'orang tua-tua' sudah ada PHD dan sebagainya. Profesor berlambak. Dulu kalau disebut profesor, kita bayangkan orang tua berdahi luas, beruban atas bawah, pakai spek tebal, dan tak reti senyum.

Maaf, pelajar universiti bukan lagi golongan yang dipandang hebat oleh masyarakat. Mereka masih belajar dan nama sekolahnya ialah universiti.

Justeru jika nampak pelajar universiti berhimpun membantah kerajaan atau menulis dalam media sosial mengkritik sesuatu, kita kena ingat bahawa mereka berada dalam zaman peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa.

Mereka memang mudah dipengaruhi dan dimanipulasi. Takkan lah kita pun nak jadi budak-budak juga?

Oh ya. Demang tidak menulis dari perspektif generasi X,Y, Z.

Tuesday, August 25, 2015

Yang perlu ditukar

Apabila Demang kata Najib baik dan Mahathir kejam, orang Mahathir marah-marah. Padahal Demang bukannya tulis Mahathir zalim. Ada beza antara kejam dengan zalim.

Guru Demang beritahu, zalim adalah "meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya". Guru Demang beri contoh iaitu meletakkan selipar di atas kepala maka zalimlah namanya.

Manakala kejam seperti yang ditafsir DBP:

Kejam II: "tidak berperasaan belas kasihan; bengis": Sesudah berkuasa, dia sangat ~ terhadap orang-orang bawahannya.

Itu Kejam II. Carilah pula maksud Kejam I. Orang Kedah memang selalu guna.

Semak semula tulisan Demang semalam, lihat apa yang tersirat. Jika anda scan dengan cepat, anda hanya akan dapat yang tersurat.

Oleh kerana ramai yang ingin melihat Najib letak jawatan maka lakukanlah jika itu yang terbaik. Sebelum itu, lihat posting Demang kelmarin dulu (Ahad) tentang sikap rakyat.

Najib memang baik. Semua PM baik. Mahathir pun baik cuma beliau agak kejam. Beliau sanggup belah perut orang dan buang bahagian yang didapati boleh membahayakan seluruh tubuh. Itu yang Najib tak mampu lakukan.

Jika anda lihat posting Demang Ahad lalu, anda mungkin akan bersetuju bahawa selain menukar  PM, rakyat juga perlu menukar sikap. Jika tidak, kerja kita menukar PM akan jadi kerja yang tak habis-habis.

Demang juga sebut tentang integriti. Jika pemimpin sudah hilang integriti maka jawatan yang disandang perlu dipulangkan.

Rasanya selepas ini orang Najib pula akan marah Demang. Marahlah. Demang cuma kata, JIKA integriti hilang. Sebaliknya jika Najib boleh kembalikan kepercayaan rakyat, maka kekalkanlah.

Berkenaan sikap, ia memang sukar diubah. Kita memang pandai menasihati orang tetapi berapa banyak sikap buruk sendiri yang mampu kita ubah? Sanggupkah merombak kembali perbelanjaan? Jual kereta import dan beli kereta tempatan? Kalau nak rosak, kereta import pun bukanlah sempurna sangat. Harap glamor sahaja.

Mari kita ubah sama-sama. Kita tukar PM yang baru dan kita amalkan sikap yang baru. Itu barulah adil. Jika tidak, kita akan terus mengeluh dan merungut sampai qiamat. Naik PM baru, kita dok tang jugak. Naiklah gaji 2-3 kali ganda pun kita dok merungut jugak.

Monday, August 24, 2015

Bakal PM dan PM yang tersingkir

Mahathir seorang yang kejam. Najib pula orang baik.

Bukan Demang sahaja yang kata tetapi ramai lagi termasuk musuh politik beliau.

Paklah juga orang baik. itu sebabnya Mahathir lantik beliau menjadi TPM dan PM ketika rakyat di kemuncak kemarahan pada Mahafiraun dan Mahazalim momokan PKR.

Mahathir memang seorang yang kejam. Sesiapa yang cuba-cuba masuk politik di zaman beliau diberi dua pilihan: bersama-sama beliau atau dibunuh. Beliau tidak peduli samada mayat itu boleh ditanam atau menjadi zombi seperti Anwar.

Kuli dan Musa Hitam memahaminya melalui pengalaman sendiri.

Kuli adalah mangsa awal yang cuba mencabar legasi Mahathir. Pasukan beliau kuat dan modalpun kukuh. Maklumlah, kerabat diraja. Namun akhirnya hancur berkecai kerana misi perjuangan terlalu sempurna sedangkan pembawanya sendiri masih compang-camping.

Kuli ambil jalan keluar yang selamat dan kekal sebagai YB di daerahnya.

Musa Hitam adalah gandingan terbaik Mahathir sehingga muncul istilah kepimpinan 2M. Musa mabuk dengan fatamorgana dan lupa bahawa di atas sebuah bukit tidak boleh ada dua ekor harimau.

Musa Hitam mengalah sebelum segalanya menjadi hangus dan berpuas hati menjadi duta sahaja.

Pak Syeikh Anwar lebih hebat. Kadang-kadang ramai yang lupa siapa sebenarnya PM. Anwar naik keretapi ekspres terus ke puncak. Kadang-kadang mengah juga Mahathir mengejarnya, padahal tempat sepatutnya Anwar ialah di belakang.

Sayangnya kaki Anwar tersadung di pintu Putrajaya.

Anwar enggan mengalah, menjadi zombi dan lawan sampai jadi asap. Akhirnya sebagaimana spesis makhluk halus yang lain beliau ditangkap pawang diraja dan dimasukkan ke dalam botol sebelum dilempar ke laut.

Paklah disingkir kerana itu sahaja jalan untuk menghalang menantu beliau daripada bermaharajalela. Budak yang baru balik dari luar negeri itu sedang kemaruk mencari kawan dan pengaruh. Sebagaimana lazimnya anak orang kaya mencari kawan ialah dengan wang. Dia lupa yang dikikis bukan harta bapak mertuanya.

Kawan-kawan KJ pula samalah seperti kawan-kawan Sazali dalam filem Anakku Sazali. Mereka akan melayani apa sahaja kehendak Sazali supaya Sazali bawa lebih banyak wang!

Paklah beralah bagi menyelamatkan menantu beliau dan kini KJ berhempas pulas untuk menarik simpati.

Kini giliran Najib diuji. Jawapan akhir ada pada Najib. Mahathir akan menjadi pemeriksa. Jika jawapan itu beliau berkenan, Najib kekal. Sebaliknya jika jawapan itu tersasar, Mahathir tidak peduli walaupun ayah Najib berjasa besar menerima beliau kembali ke dalam UMNO.

Bahkan Mahathir sepatutnya berterima kasih pada Najib yang bertukar  team semasa Mahathir dicabar Kuli. Undi majoriti yang cuma beberapa helai itu sememangnya daripada Najib yang berpaling tadah daripada Kuli.

Namun seperti yang Demang sebut awal tadi, Mahathir seorang yang kejam. Beliau boleh memberi peluang tetapi jika peraturan dilanggar, hukuman dijatuhkan tanpa timbang rasa.

Semalam Demang sempat lihat video Mukhriz berucap dalam persidangan UMNO entah di mana. Anak kandung Mahathir itu bercakap tentang integriti. Adakah Mukhriz yang bercakap atau beliau sekadar posmen?

Apabila integriti yang disebut maka itu adalah tips peperiksaan yang semua kena faham. Integriti adalah nadi seseorang pemimpin. Jika integriti sudah hilang maka jawatan perlu dipulangkan.

Najib orang baik. Walaupun sudah ada desakan agar MB NS, Perak, dan Kedah digantikan atas alasan kesetiaan namun Najib tidak seperti Mahathir yang kejam. Najib anak bangsawan yang keluar daripada istana untuk berjuang bersama rakyat. Jika beliau mahu bersenang lenang, harta datuk sebelah ibunya bukan kepalang. Ayahnya sendiri seorang PM Malaysia yang amat disegani dan kaya integriti.

Ramai yang kata Demang 'play safe'. Sebenarnya profesional tidak melulu ambil risiko sebaliknya akan memastikan laluan daripada kedua-dua arah selamat, barulah melintas.

Sebagaimana kata Demang sejak awal, pemeriksaan masih berlangsung dan belum ada keputusan. Maka kenapa kita tidak boleh bersabar sedikit lagi? Jika sudah jelas Najib bersalah maka beliau perlu melepaskan beban yang ditanggung selama ini.

Najib orang baik tetapi dikelilingi kawan-kawan seperti kawan Anakku Sazali. Sayangnya Najib tidak mampu bertindak sekejam Mahathir.

Sunday, August 23, 2015

Yang turut bersalah akhirnya

Ketika mata rakyat melihat Najib berjaya menjadikan Malaysia negara paling sengkek di dunia, kerajaan mengeluarkan sejujut fakta yang membuktikan tuduhan tersebut bercanggah dengan realiti.

Antara yang dicatatkan ialah dari 2009 hingga 2014, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 47.7 peratus.

Demang percaya ramai yang mencemik kenyataan tersebut apatah melihat RM terus merudum. Terbaru malam tadi tersebar dalam media sosial, RM (bukan Rosmah Mansor) tidak diterima di Arab Saudi.

Jika kerajaan kata negara bagus dan rakyat pula mengeluh dengan kesempitan hidup, yang mana satu betul?

Fakta tidak pernah menipu walaupun 'fakta palsu' memang ada. Namun apabila fakta yang dikemukakan itu tulin maka itulah realitinya.

Habis, bagaimana pula dengan keluhan rakyat? Adakah itu bukan realiti?

Bagi Demang, kedua-duanya adalah realiti. Negara makin maju, pendapatan makin banyak, rakyat 'makin berada', ironinya ramai yang masih menderita.

Memang ironis!

Benarkah rakyat makin berada?

Ketika Demang melapor diri sebagai guru pada 1990, gaji Demang cuma RM435 sebulan. Hari ini sudah melebihi RM5k.

Ketika itu Demang cuma mampu mengambil alih motorsikal honda cup ayah Demang dan tinggal beramai-ramai di rumah kerajaan. Elaun perumahan tiada.

Duit tidak pernah cukup, tapi akhirnya cukup juga.

Hari ini, Demang lihat setiap rumah memiliki lebih daripada sebuah kereta. Rumah makin lawa, kereta buatan luar negara. Proton Saga? Maaf, untuk pergi kebun boleh lah. Kereta buatan negara dipandang lekeh. Macamlah kereta import tiada masalah.

Makin ramai yang mampu beli motorsikal berkuasa tinggi. Kalau dulu, jika terserempak di jalanraya pun, kepunyaan rakyat Singapura. Sekarang berlambak cikgu yang ada. Tak puas satu, beli dua.

Di dalam rumah sudah tiada tikar mengkuang atau tikar getah. Lantai indah, karpet import, dan sofa terkini menjadi penghias kediaman walaupun diguna sekali sekala.

Makan tidak hanya di rumah tetapi ada kalanya di luar tetapi bukan di warung-warung sebaliknya ke restauran masakan Thai dan restauran makanan ala Amerika. Berbuka puasa di hotel sudah perkara biasa.

Membeli belah tidak lagi di pasar malam atau pekan sehari seperti zaman 1990an sebaliknya di gedung perniaagaan berjenama.

Sesekali ke luar negara. Indonesia, China, Kemboja sudah tidak pelik lagi. Orang pergi umrah macam musim haji. Yang itu baguslah.

Dalam pada itu siang malam merungut pada kerajaan. Pantang terima benda-benda yang mengutuk kerajaan, cepat-cepat kongsi dalam grup media sosial. Meriah. Boleh gelak-gelak.

Sekarang, berteriak pula mata wang sendiri tak laku. Tidakkah kita turut jadi balaci pengkhianat negara memburukkan negara di mata dunia? Salah satu punca kemerosotan ekonomi ialah persepsi dunia terhadap negara. Wang sekarang bukan bersandar pada emas pun. Ada tangan yang mencatur dunia.

Kalau itupun tak tahu, tak payahlah bercakap pasal politik lagi. Pergi buat kerja masing-masing. Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurnia.



Tuesday, August 18, 2015

Kembali pada PAS asal

Ada orang tanya Demang, apa salah Nizar?

Adusss... itu cerita lama. Kalau tak tahu fakta politik dan tak reti analisis isu politik, tak payah bercakap pasal politik.

Layakkah nizar jadi mb perak?

Keputusan pru 2008 dun perak
UMNO 27 kerusi
MCA 1 kerusi
DAP 18 kerusi
PKR 7 kerusi
PAS 6 kerusi

Maaflah, Demang salin semula mesej Demang dalam whatsapp. Banyak singkatan perkataan.

1. Berdasarkan janji sebelum pru tersebut, DAP dan PAS masing2 mengisytiharkan TIDAK bekerjasama. Maka adakah boleh DAP dan PKR menukar pendirian selepas rakyat selesai mengundi? Adakah rakyat yg telah membuang undi rela dgn tindakan itu?

2. Layakkah nizar mewakili pas dan menjadi mb perak sedangkan pas cuma ada 6 kerusi?

3. Kenapa dap setuju nizar jadi mb?

4. Jika exco perak bermesyuarat, parti manakah yang akan menentukan keputusan jika undi dibuat?

5. Tidakkah nizar hanya boneka kpd dap?

6. Akhirnya setelah mesyuarat negeri meluluskan geran 999 tahun kpd cina barulah beberapa yb melayu insaf menyebabkan 2 org yb pkr melayu keluar drpd parti bagi membolehkan umno kembali membentuk kerajaan perak.

7. Selain nizar, pesuruhjaya pas (ahmad awang) yg menolak ajakan umno utk membentuk kerajaan campuran di perak juga boleh dianggap pengkhianat kerana tindakannya ternyata hampir2 merugikan org Islam. Mujur sultan perak campur tangan.

8. Malang sungguh org Islam apabila pemimpin pas tersebut lebih mementingkan DENDAM utk menghapuskan umno berbanding kepentingan Islam.

9. Bangga sungguh mereka melaungkan ABU (asal bukan umno) sehingga semua perkara lain ditolak demi ABU.

10. Siapa kita untuk menepis huluran salam perpaduan sesama Islam dan tetap mengatakan jika umno pernah tipu pas maka sampai bila2 pun umno tak boleh dipercayai.

11. Malang sungguh apabila kita boleh percaya pada puak kafir dan menolak muslim.

12. Umno dgn mca? Mca tak pernah lebih kuat drpd umno berbanding dap yg selalunya lebih berkuasa drpd pas. Di selangor, pas yg majoriti pun tak berani bertegas utk menjadi mb. Kenapa?

13. Mudah2an setelah musang berbulu ayam pakat keluar dan tubuh parti baru, pas akn kembali pada perjuangan asal.

Allahu akbar.

Wednesday, August 12, 2015

Najib tidak bersalah

Bagi yang menuduh atau tumpang share tuduhan bahawa Najib merompak, eloklah minta maaf segera sementara Najib masih hidup.

Setakat ini belum ada mana-mana pihak yang membuat laporan polis tentang kehilangan wang sebanyak RM2.6b. Maka jika tiada kehilangan maka tiadalah kes.

Jika bukan rompakan, dari mana wang tersebut?

Demang terima mesej yang diviralkan dikatakan ditulis oleh Dr Ridhuan Tee yang mendakwa wang tersebut adalah derma daripada individu di Timur Tengah. Mudah cakap, Pak Arab bagi Najib.

Namun sebaran itu tidak banyak membantu kerana kebanyakan rakyat dan pemimpin rakyat tidak percaya ada orang sanggup menderma begitu banyak.

Demang nak share sikit pengalaman Demang mempunyai seorang anak yang belajar di sebuah sekolah tahfiz swasta.

Selain sumbangan tetap daripada sebuah yayasan, dana juga diperolehi daripada derma orang ramai termasuk ibu bapa pelajar. Maklumlah, yuran wajib cuma RM100-300 sahaja sebulan. Untuk bayar gaji guru pun tak cukup dengan duit yuran.

Sekolah tersebut bukan sekolah pondok sebaliknya sekolah ulul albab dengan kemudahan lengkap. Selain tahfiz, ia juga beraliran sains. Tenaga pengajar berijazah dengan gred 41 ke atas (gaji permulaan lebih tinggi daripada guru di sekolah kerajaan).

Dua tahun lepas pihak sekolah menerima sebuah bas daripada seorang bapa dan sehingga kini tidak pernah diumumkan namanya. Demang dapat tahu namanya secara peribadi. Kalau tak silap Demang jutawan tersebut orang tabligh. Sangat sederhana orangnya.

Lebih memeranjatkan Demang apabila pengetua sekolah tersebut memberitahu Demang setelah anak penderma tersebut bertukar (kerana memilih bidang perakaunan yang tiada di situ), pihak sekolah terputus sumbangan tidak kurang 50k sebulan.

Ini bermakna dermawan tersebut turut menyumbang tidak kurang 50k setiap bulan secara senyap-senyap (hanya beberapa orang yang tahu).

Penderma tersebut bukanlah orang terkenal.

Maka apa dihairankan jika ada Pak Arab yang hartanya berbilon-bilion memberi sumbangan RM2.6b untuk perjuangan mempertahankan sebuah negara Islam daripada dikuasai puak kuffar yang telah berjaya menguasai ekonomi selama ini?

Bagi kita, 2.6b memang sangat banyak tetapi bagi bilionaire yang mengharapkan redho Allah, ia adalah kecil.

Soal bagaimana Najib memujuk Pak Arab itu sehingga beliau percaya pada Najib bukanlah masalah kita.

Ada pula yang pertikaikan, bagaimana Pak Arab tersebut hendak pastikan wang tersebut digunakan 100% untuk perjuangan dan bukan peribadi Najib?

Untuk makluman, orang tabligh yang menderma pada pusat tahfiz itupun tidak pernah meminta laporan terperinci ke mana wang derma beliau dibelanjakan.

Sudah tentu bukan semuanya diagihkan terus kepada pelajar sebaliknya digunakan sebahagiannya secara langsung termasuk gaji pengetua, mencantikkan kawasan sekolah dan sebagainya.

Kenapa dimasukkan ke akaun peribadi dan bukan akaun parti?

Demang tidak pula diberitahu tetapi logiknya, jika dimasukkan ke akaun parti akan bocorlah identiti penderma sedangkan penderma 2.6b sudah tentu bukan Pak Arab biasa. Beliau mungkin ada maslahat yang lebih besar berbuat begitu.

Demang tiada kepentngan peribadi untuk semata-mata mempertahankan Najib. Bukan dapat upah pun.

Ini hanyalah andaian Demang berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Terpulanglah mahu terima atau tidak. Sekurang-kurangnya bagi yang rasa derma 2.6b itu suatu yang mustahil, eloklah muhassabah diri dan lihat kembali banyak mana sumbangan kita demi agama.

Demang memang menyampah pada orang yang viralkan dalam grup media sosial konon tokoh korporat cina sangat dermawan berbanding tokoh korporat Melayu.

Ingat, bukan anda seorang sahaja yang sedang berjuang!

Thursday, August 6, 2015

Dendam Lawyatt

Lowyatt terus lengang, katanya. Kalau dulu nak berjalan pun susah, sekarang nak berlari berguling pun boleh.

Jika benar pengunjung tidak lagi penuh sesak, maka yang sesak sekarang ialah para peniaga di situ.

Area Bukit Bintang bukan calamg-calang nilai hartanahnya. Semua perniagaan ada di situ. Ada yang halal dan ada yang haram di sisi Islam. Di sisi negara, entah lah.

Katanya, selain pihak berkuasa, pihak gengster pun turut menjadi penjaga. Abang kawasan.

Jika benar Lowyatt lengang maka poket dan laci pengusaha di situ pun lengang lah. Bahananya bukan sedikit. Sewa perlu dibayar, pekerja perlu digaji. Selain itu ansuran kereta, rumah, perbelanjaan harian perlu disara.

Ia bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi apatah lagi bagi golongan yang tidak beriman.

Justeru kita perlu lebih berhati-hati dengan tindak balas mereka. Barangkali ia tidak dilakukan secara keras atau terbuka. Kaum yang terkenal licik itu pasti tidak akan membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja. Pasti mereka akan bertindak balas dengan strategi tertentu yang mungkin kira tidak sedar.

Demang rasa dalam keadaan kita saling kutuk mengutuk sesama sendiri, kerja mereka akan jadi lebih mudah. Mungkin juga mereka tidak kesah sangat tentang Lowyat sebaliknya Putrajaya lebih mengiurkan.

Malangnya ramai kalangan kita masih percaya bahawa untuk menang kita perlu mengalahkan orang lain, padahal yang dianggap musuh itu saudara sendiri.

Wednesday, August 5, 2015

Najib selamat

Nampaknya Najib sudah boleh menarik sedikit nafas lega sejak malam tadi apabila orang Melayu mula memahami maksud dana pilihanraya.

Sebagaimana posting Demang semalam, semua parti politik di Malaysia memiliki simpanan yang dipangil dana pilihanraya. Rakyat tiada masalah tentang itu sebab yang menghabiskannya pun bukan orang lain.

Setakat ini tiada sebarang bukti yang menunjukkan wang tersebut daripada sumber rasuah atau penyelewengan. Penderma tidak bernama tersebut dikatakan daripada negara timur tengah bagi mempertahankan kerajaan Islam di sebuah negara yang jadi rebutan antara orang Islam dengan puak kuffar.

Orang yang biasa berperang dengan puak kafir faham situasi Malaysia yang dikongsi dengan penganut agama lain ini. Bagi yang tak faham akan selalu membohongi diri sendiri bahawa kafir di Malaysia tidak berminat untuk merampas pemerintahan. Kononnya mereka cuma nak cari wang.

Ingat, cari wang bukan hanya dengan berniaga. Merompak, menipu, dan merampas pun boleh.

Merampas? Ya. Merampas tidak semestinya guna senjata dan kekerasan. Melalui demokrasi pun boleh. Apatah lagi demokrasi bercampur liberal.

Formula paling praktikal ialah dengan melaga-lagakan orang Islam. Satu pihak disuapkan kemewahan manakala satu pihak lagi dihasut supaya marah! Apa-isu pun boleh diperbesarkan.

Setakat ini kita dapat tahu UMNO ada RM2.6b. Berapa pula dana pilihanraya DAP? Dana pilihanraya bukan sahaja digunakan ketika pilihanraya malah untuk pelbagai strategi termasuk mengupah tentera maya  dalam media sosial.

Tuesday, August 4, 2015

Sah duit rasuah

Akhirnya setelah diserang dari segenap penjuru bertubi-tubi, kenyataan terkini ialah wang 2.6b di dalam akaun bank Najib adalah derma daripada penderma tidak bernama.

Bukan Demang kata tapi pihak berkuasa yang kata.

Dalam kelam kabut mempertahankan bos maka orang Najib bertungkus lumus mencari jalan keluar. Antaranya ialah dengan mendedahkan bahawa semua parti memiliki simpanan luar biasa yang dinamakan sebagai dana pilihanraya.

Malah Najib mendakwa beliau pernah meminta semua parti politik mengisytiharkan duit parti masing-masing tetapi ditolak oleh PKR dan DAP dengan alasan kerajaan tidak berhak tahu wang mereka.

Selain PKR yang memang diketahui amat kaya, PAS dengan tabungnya, DAP yang memang parti elit, bahkan UMNO era Tun M pun terungkit sama.

Demang rasa rakyat yang membaca berita-berita tersebut bukan sahaja berubah-rubah warna muka bahkan terjojol-jojol mata serta terlopong mulut menatap angka yang tidak pernah diduga.

Ada berapa kosong untuk 2.6 bilion? Demang sendiri terkial-kial menyusun digit-digit 0 dalam kalkulator.

Patutlah apabila didedahkan Anwar mempunyai 3b semasa PRU lalu parti-parti lain diam sahaja. Rupa-rupanya semua 2x5.

Dari mana wang berbilion tersebut?

Demang tegas mengatakan jika sesuatu sumbangan atau derma datangnya daripada individu atau syarikat yang dikenali, maka rasuah lah namanya.

Manakala jika diberi secara rahsia atau diam-diam tanpa diketahui identiti si pemberi tersebut, baru lah diharuskan.

Bagi Demang cara kutip duit menggunakan tabung yang dilakukan PAS barulah betul-betul derma ikhlas.

Demang teringat semasa  tinggal di Johor. Seorang polis memberitahu ketika bersembang di surau bahawa balai polis tempat dia bertugas menerima sumbangan daripada seorang taukey bagi membina kolam hiasan di perkarangan balai polis.

Itu adalah rasuah!

Begitu juga tindakan pengetua dan Guru Besar yang mengambil komisyen bagi pihak sekolah daripada pembekal atau meminta sumbangan daripada pembekal sempena sukan tahunan sekolah, itu juga rasuah.

Kesannya, jika anda baru cuba-cuba membekalkan barangan ke sekolah, jangan haraplah akan berjaya sebab pihak sekolah akan mendahulukan pembekal yang selalu memberi derma pada sekolah tersebut!

Implikasinya, barangan yang dibekalkan pada murid-murid jadi rendah kualitinya.

Itu bukan sahaja rasuah malah pengkhianatan.

Sunday, August 2, 2015

Rosmah selamatkan najib

Berapa peratuskah lagi rakyat yang masih sudi menerima Najib sebagai PM?

Demang percaya orang Najib pun tidak berani menjawab soalan tersebut dengan jujur, melainkan dia sudah lama tidak bertemu orang ramai atau gagal bersambung dengan internet.

Jangan ditanya orang Mahathir yang digelar protun. Sudah tentu jawapannya -10. Mereka tidak ada idea untuk membina atau membaiki. Bagi mereka hanya ada satu cara dalam dunia ini iaitu tukar yang baru.
Sebahagian dari mereka ini jugalah yang terlibat mendesak Tun Mahathir dan Paklah meletak jawatan dulu.

Demang tidak mahu meneka kemungkinan mereka ini sanggup menukar isteri apabila timbul masalah.

Sejujurnya Demang sendiri merasakan usia jawatan PM yang ada pada Najib sudah hampir tamat. Apatah lagi melihat beberapa muka lama yang telah direkodkan oleh rakyat sebagai hampas dimasukkan kembali dalam kabinet baru Najib.

Ada rakan bagitau Demang kabinet kayu. Demang jawab, kalau kayu jati, baguslah. Demang rasa yang dimaksudkan beliau ialah kabinet dapur yang ada di rumah Najib.

Cuma ada seorang manusia yang boleh memujuk dan mendapatkan kembali simpati rakyat. Itu pun jika beliau sanggup.

Siapa orang itu?

Tun Mahathir? Bukan. Tun M sudahpun memberi peluang pada Najib untuk menjadi PM maka rakyat sudah sukar untuk mempercayai Tun jika beliau mencadangkan Najib kekal sebagai PM lagi.

Jika Tun mampu menentukan siapa boleh jadi PM maka mudah sangatlah. Suruh sahaja Tun sebut nama seseorang, selesai masalah. Tak perlu susah hati dengan PRU14 nanti.

Namun proses untuk mengangkat seseorang sebagai PM bukan mudah. Tun M bukan penentu sebaliknya beliau cuma menyampaikan kehendak majoriti rakyat. Kalau tak mahu dengar, terimalah keputusan sebenar daripada rakyat nanti. Masalahnya, kalau rakyat nak buang PM mereka terpaksa buang dengan UMNO dan BN sekali

Jadi, siapa orang itu?

Najib kenal sangat orang itu cuma mungkin Najib kadang-kadang keliru kenapa Allah menciptakan wanita itu untuk berada di sisi beliau. Orang itu ialah Rosmah Mansur.

Demang bukan nak tuduh Rosmah buat macam-macam seperti yang disebar dalam media sosial. Demang juga tidak setuju apabila Tun mempersoalkan cincin Rosmah.

Demang cuma mahu Rosmah kembali menjadi isteri yang solehah. Soal solat, zakat, dan sebagainya Demang tidak nampak tetapi secara zahirnya yang terlihat ialah beliau masih belum menutup aurat sepenuhnya.

Penting sangatkah bertudung? Demang bukan ahli hukum tetapi sebagai penulis blog politik itulah kehendak pengundi muslim. Soal dia dengan Allah, itu masalah dia.

Selepas lengkap menutup aurat, Rosmah perlu bersemuka dengan rakyat. Buat kenyataan bersama suami bahawa beliau meminta maaf jika terdapat sebarang kesilapan beliau sebelum ini.

Mungkin beliau bukan betul-betul bersalah namun demi kelangsungan politik suami dan mengekalkan kedudukan sendiri selaku isteri PM, apa salahnya mohon maaf. Biar rakyat sejuk sedikit.

Tindakan yang perlu dilakukan oleh Rosmah ialah berusaha untuk menjadi isteri solehah. Tugas isteri solehah bukannya bekerja bersama suami seolah-olah memegang suatu potfolio khas negara.

Tugas dan tanggung jawab PM sangat banyak. Isteri solehah perlu pastikan suami dalam keadaan selesa dan elakkan dari menimbulkan masalah. Demang kata: elak. 'Buat' lagi lah tak boleh.

Suami Rosmah bukan orang biasa. Beliau adalah ketua pentadbir sebuah negara. Beliau penasihat utama pada Yang Dipertuan Agong yang menjadi Ketua Negara. Rosmah jangan keliru pula dengan jawatan itu.

Demang percaya jika Rosmah Mansur sanggup melakukan perkara ini, rakyat akan simpati dan pembangkang akan hilang separuh isu. Selebihnya kita fikirkan penyelesaiannya sama-sama.

Cuba buat yang itu dulu.

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)