Monday, April 28, 2014

Lawatan obama dan marketing strategy

Kenderaan khas presiden Amerika Syarikat 'The Beast'

KUALA LUMPUR: Lebih dikenali sebagai "The Beast", Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menaiki kenderaan rasminya sepanjang lawatan ke Malaysia iaitu Cadillac One.

Buatan General Motors keluaran 2009, kenderaan itu mempunyai spesifikasi sangat khusus untuk keselamatan presiden itu, juga mempunyai ciri-ciri seolah-olah sebuah kereta kebal.

Sepanjang lima meter dan berat lapan tan, "The Beast" dilengkapi pintu kalis peluru setebal 20 cm. Badannya cukup kukuh diperbuat daripada besi keluli, titanium dan seramik.

Tayarnya juga kalis bocor dan kerangka kalis letupan melindunginya daripada sebarang bom jalanan. Malah tangki minyak juga diperbuat daripada bahan kalis letupan.

Selain itu, The Beast turut dilengkapi senapang "shot-gun" dan kamera penglihatan malam.

Ia juga memiliki persediaan oksigen sendiri dan bekalan darah yang sama jenis dengan presiden sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Kenderaan itu boleh memuatkan maksimum 7 orang, termasuk presiden.

The Beast, kereta rasmi Obama disifatkan sebagai kenderaan perlindungan yang paling canggih di dunia.

Demang nak tanya sikit: benarkah semua 'langkah keselamatan tersebut diambil kerana rakyat Amerika sayang sangat pada presiden mereka? Bukankah ramai lagi yang bersedia untuk jadi pengganti?

Jika faktor keselamatan, tidak bolehkah negara-negara tuan rumah yang disinggahi menyediakan kenderaan yang sesuai?

Jika benar soal keselamatan, kenapa pula tidak dibawa sekali bilik tidur presiden ke sini?

Bukankah serangan terhadap presiden US adalah alasan paling kuat untuk mereka campur tangan di negara ini dan menguasai Selat Melaka sebagai tapak untuk menguasai rantau ini.

Sebenarnya semua persiapan dan persediaan terhadap langkah keselamatan tersebut hanyalah untuk memberitau dunia: lihatlah dunia betapa hebatnya presiden kami!

Dalam bisnes ia dipanggil 'marketing strategy'.

(Sumber berita Awani)

Friday, April 25, 2014

Ada udang di sebalik batu

Demang percaya peribahasa ada udang di sebalik batu sudah acap kita dengar. Setahu Demang ia bermaksud tindakan seseorang berbuat baik kerana sesuatu sebab yang tidak dinyatakan.

'Tidak dinyatakan' tidak bermakna orang tidak tahu. Bagi yang arif, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.

Jika seseorang yang kita kenal benar tetapi jarang mahu bertegur sapa malah kalau berselisih pun nampak sengaja memandang arah lain, tiba-tiba datang ke rumah membawa buah tangan, maka kemungkinan besar ada-lah hajatnya.

Mudah sahaja untuk mengenal kilasan ikan di air. Mula-mula anda perlu sedar apakah kelebihan anda? Adakah anda seorang pegawai di sebuah jabatan atau menantu anda baru sahaja menjadi wakil rakyat? Mungkin juga anda mempunyai anak gadis dan orang itu adalah ayah kepada seorang teruna.

Namun kita tidak perlu bimbang sangat. Udang bukanlah makhluk yang jahat atau berbahaya. Belilah udang sekilo dan bawa pulang. Masaklah apa sahaja: masak lemak, kari, tumis dengan petai, malah digoreng begitu sahaja pun sedap.

Masa kanak-kanak dulu Demang suka menangguk udang di sungai. Hasil tangkapan daripada aktiviti haram tersebut tidak dibawa pulang sebaliknya diselesaikan di tepi sungai sahaja. Udang itu Demang cucuk pada lidi dan dibakar. Anda pasti dapat bayangkan keenakannya.

Demang katakan aktiviti haram kerana jika bapa Demang tahu Demang ke sungai, berjalurlah kesan tali pinggang di tengah belakang.

Apabila meningkat remaja, aktiviti mencari ikan dan udang menjadi lebih seronok. Selain menggunakan pancing, kami ada musim menembak ikan, termasuklah udang galah.

Dengan 'pistol ikan' buatan sendiri berpelurukan sebatang besi tajam, kami memakai cermin khas bagi memudahkan gerakan mengintai mangsa.

Biasanya ikan-ikan besar bersembunyi di bawah batang kayu atau reba. Manakala untuk mencari udang galah, tumpuan Demang ialah di kawasan berbatu.

Benarkah udang suka bersembunyi di sebalik batu? Demang tidak tahu dan Demang cuma berpandukan peribahasa di atas yang diajar guru.

Setakat ini kita tidak nampak sesuatu yang negatif di sebalik batu. Udang adalah rezeki yang patut disyukuri. Justeru jika ada seseorang bersikap ada udang di sebalik batu maka jangan berprasangka buruk padanya sebaliknya layanlah dengan baik.

Barangkali ada hikmah yang bakal menguntungkan kita.

Wallahualam.

Thursday, April 24, 2014

Bersedia untuk membayar lebih

Apakah produk dan servis yang kita nikmati yang kita bayar dengan rela serta teruja?

Sudah tentu bukan yuran pengajian sebab jika demikian takkanlah ramai pelajar IPT beriya-iya menghamburkan perasaan hingga ke jalanraya.

Bahkan jika anak-anak manusia lahir tanpa ibubapa sudah tentulah ramai guru yang ada sekarang terpaksa bekerja di kilang-kilang walaupun yuran sekolah tak sampai 5 sen sehari!

Maksud Demang, pendidikan untuk diri sendiri bukanlah sesuatu yang disukai manusia dan tidak ramai yang bersedia untuk membayar kosnya.

Bagaimana dengan makanan? Sanggupkan kita menikmati sepinggan nasi putih, sepiring air garam, dan daun-daun sebagai ulaman bagi hidangan tengahari; dan menu yang sama juga kita hadap pada waktu malam?

Demang percaya jika itulah budget yang kita sediakan selama tiga hari berturut-turut maka pada hari ke-4, si suami akan kembali membujang.

Begitu juga soal pakaian dan tempat tinggal. Manusia tidak akan sanggup berlapang dada memiliki seadanya sebaliknya akan berusaha mendapatkan aksesori tambahan.

Manusia sanggup berbelanja apa sahaja asalkan bukan untuk keperluan asas. Ia termasuklah kecantikan dan penampilan diri, kelengkapan rumah, aksesori kenderaan, hobi, dan pengisian emosi.

Nampaknya secara tidak sengaja Demang telah menjawab persoalan yang Demang kemukakan di awal tadi.

Demang kuat berpendapat, manusia bukan bekerja untuk mendapatkan keperluan asas sebaliknya majoriti manusia sentiasa berusaha memenuhi keinginan (baca: nafsu).

Jangan meluat pada Demang sebab Demang juga sama seperti manusia lain kalaupun tidak seperti anda

Kita sedia membayar RM5 untuk secawan tea di kopitiam namun akan merungut panjang jika kerajaan menarik semula subsidi 20-30 sen bagi setiap kilogram gula.

Sekali lagi jangan pandang sinis pada Demang jika anda penyokong tegar pembangkang. Sebaiknya kita bersetuju pada kenyataan yang benar sebagaimana Demang menerima cadangan pelaksanaan hudud walaupun dicetuskan pihak bertentangan.

Demang menulis atas prinsip sesuatu yang sepatutnya dilakukan, bukan sesuatu yang sanggup diamalkan. Demang sedar di situ terdapat ironi yang ketara, bahkan Demang terpaksa  memadam beberapa perenggan sebelum artikal ini disiarkan.

Mahu tidak mahu kita terpaksa akui bahawa sentiasa ada peperangan dalam diri manusia. Di satu pihak kita tahu apakah yang wajar kita terima dan di satu pihak lagi sentiasa meruntun kita untuk merasai nikmat tambahan. Sayangnya kedua-dua sudut yang bertelagah itu berada dalam diri kita dan kita tak selalu mampu mengenepikannya.

Sebab itu Islam mengesyorkan kesederhanaan.

Thursday, April 17, 2014

Karpal mati

Akhirnya karier Karpal Sigh berakhir di bontot sebuah lori.

Demang sangka kematian pengerusi DAP yang menjadi sekutu pakatan pembangkang akan menggusarkan orang Islam yang menyokong mereka.

Ternyata tidak! Bahkan hampir semua orang Islam samada yang menyokong kerajaan mahupun yang menyebelahi pembangkang senada menyuarakan rasa syukur. Mereka menyifatkan Karpal Sigh sebagai penentang hudud!

Pastinya kematian Karpal Sigh bakal memberi impak yang bukan sedikit pada senario politik semasa. Lanskap politik akan berubah. Paling tidakpun ia akan membawa perspektif baru pada kelompok pemimpin dan rakyat.

Apapun, Demang masih melihat satu perkataan keramat yang paling menonjol dalam peristiwa ini: HUDUD!

Namun kenapa ketika Karpal Sigh terang-terang menolak perlaksanaan hudud, orang Islam di pihak pembangkang menyepi?

Maka Demang katakan bahawa isu hudud hanya isu dan bukan persoalan pokok.

(Sebenarnya ada satu artikal yang belum sempat Demang siarkan berkenaan ini).

Wednesday, April 16, 2014

Makin cerdik atau makin bodohkah kita?

Jika kepandaian itu berdasarkan perbezaan ilmu yang kita miliki dahulu dengan ilmu yang kita ada sekarang ditambah pengalaman sememangnya kita layak dikatakan semakin pandai. Namun bagaimana ilmu yang kita ada berbanding keperluan sekarang? Berapa besarkah ruang lingkup yang perlu kita kuasai hari ini?

Suatu ketika dulu jika seseorang membaca senaskah akhbar setiap pagi sudah dianggap terkehadapan namun di zaman sekarang info bertali arus menujah masuk peranti yang kita miliki pada setiap detik dan maklumat sentiasa bertukar status pada setiap ketika.

Justeru kemahiran asas yang wajib dikuasai sudah menganjak ke hadapan. Jika dulu sumber maklumat dikawal rapi dan hanya tiba pada kita setelah disahkan namun sekarang kita disuap berita mentah selari dengan tempat kejadian.

Itu berkenaan kita yang sudah dewasa. Bagaiamana dengan anak-anak kita? Tegalkah mereka dengan cabaran semasa atau bertukar menjadi tegar dan akhirnya menjadi tidak peduli dengan sebarang peringatan mahupun ancaman?

Bagi yang pernah membaca cerita Si Luncai tetapi kurang faham kenapa luncai terjun dengan labu-labunya, fenomena yang sedang berlaku sekarang adalah contoh yang baik.