Allahu ahad: Allah itu satu. Allah SWT tidak beranak atau diperanakkan.
Allah SWT mencipta Adam. Adam adalah makhluk.
Malah bukan Adam sahaja makhluk yang dicipta oleh Allah SWT.
Allah SWT turut mencipta Malaikat yang berperanan menguruskan hal berkaitan manusia. Dalam hal ini sudah tentu Allah SWT mampu menguruskan sendiri semua ciptaan-Nya namun pengagihan tugas dalam kalangan para malaikat mempunyai hikmah tersendiri.
Melalui perkongsian hidup Adam dan Hawa maka lahirlah anak-anak manusia. Padahal Allah SWT maha berkuasa untuk mencipta ummat manusia tanpa melalui proses persenyawaan, kehamilan dan kelahiran.
Adam bukan sekadar bapa malah juga nabi dan rasul yang bertanggung jawab memimpin anak cucunya agar mengesakan Allah, menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.
Adam juga bertindak sebagai pemimpin kepada keturunannya yang semakin bertambah ramai.
Sejarah perkembangan manusia terus berlangsung. Allah SWT tidak membiarkan manusia begitu sahaja tanpa pimpinan dan petunjuk. Selepas Adam tiada, dari semasa ke semasa rasul-rasul diutus untuk memimpin manusia.
Selepas rasul terakhir iaitu nabi Muhammad saw wafat, manusia tidak lagi mempunyai pemimpin dari kalangan rasul mahupun nabi. Namun makhluk jenis manusia ini tidak betah hidup tanpa pemimpin yang khusus boleh membimbing dan mengingatkan mereka tentang hakikat ketuhanan.
Justeru tugas ini diganti oleh khalifah-khalifah Islam bermula dengan khulafa rasyidin. Usaha ini disambung pula oleh dinasti atau bani tertentu silih berganti. Antaranya ialah bani Umaiyah dan bani Abbasiyah.
Meskipun dikatakan ada beberapa kelemahan dalam masa pemerintahan kerajaan beraja ini namun mereka tidak pernah cuai dalam memberi tumpuan pada:
1. Usaha dakwah Islamiah
2. Menaungi tradisi keilmuan
3. Menguasai perdagangan
4. Memperkasa sistem pertahanan
Hasilnya Islam tersebar luas melepasi tanah Arab, menjelajah benua Eropah dan merentasi benua Asia sehingga menarik minat beberapa kerajaan besar ketika itu. Salah satu daripadanya ialah Kesultanan Melaka yang kemudiannya memayungi lebih separuh Nusantara. Selain itu kesultanan Pasai, Aceh dan Brunei juga pernah menjadi pusat dakwah Islamiah.
Sistem pemerintahan beraja memang diamalkan dengan baik di kepulauan Melayu. Kedatangan Islam memantapkan lagi kedudukannya dengan konsep tauhid. Apabila sultan menerima akidah Islam maka sekalian rakyat mengikutinya. Lantas bermulalah satu lagi peranan institusi raja iaitu memegang amanah sebagai pemimpin Islam.
Kesultanan Melaka meneruskan tradisi kekhalifahan dengan muncul sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan, pusat pendidikan dan pusat penyebaran Islam.
Kesultanan Melayu Melaka mengaplikasikan piramid pemerintahan dengan meletakkan sultan sebagai ketua negara dan ketua agama.
Demikianlah keadaan sebenar negara kita. Amat malang apabila anak-anak Melayu sendiri tidak mahu mengerti akar sejarah dan asal usul keturunannya. Lebih malang lagi apabila enggan membaca dan memahami teks Sejarah Melayu tetapi ikut serta berbicara tentang Ketuanan Melayu. Akhirnya turut terpengaruh dengan pembohongan kaum sosialis dan komunis, antaranya:
1. mengangkat Jebat sebagai wira.
2. menuduh Tun Tuah sebagai pembodek.
3. memfitnah Sultan Mahmud sebagai raja yang buruk laku dan zalim.
4. mendakwa sistem feudal kejam terhadap rakyat.
5. Menyatakan bahawa 'Tuhan' hanya ciptaan kapitalis bagi memperbodohkan rakyat dan kaum buruh.
Kini fahaman komunis mungkin telah tiada namun corak pemikiran seperti perkara 1, 2, 3 dan 4 di atas sudah semakin ketara. Malang bagi kita apabila rakyat menerimanya tanpa periksa.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.