Kenyataan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Berhubung Dengan Pertemuan Pas Dan Umno
Disiarkan pada Jul 15, 2008
http://drmaza.com/
Saya menyeru umat Islam berdoa kepada Allah agar berlakunya pertemuan antara UMNO dan PAS dalam keadaan yang harmoni dan mendatangkan kebaikan untuk rakyat umumnya dan umat Islam khususnya. Pertemuan itu diharapkan bukan atas kepentingan mana-mana parti, sebaliknya di atas kemaslahatan umat. Anggaplah itu tanggungjawab menjaga ukhuwwah, dakwah dan menjaga maslahah ummah.
Jika mereka sebelum ini boleh bertemu dengan pihak-pihak yang jauh segi akidah dan prinsip dari parti mereka, mengapa pula tidak boleh untuk mereka duduk semeja dengan saudara muslim mereka. Walaupun masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa perkara, namun mereka menganut agama yang sama. Semoga Allah memberikan pahala yang besar kepada Presiden PAS DS TN Abdul Hadi Awang atas hasratnya itu. Juga semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada PM DS Abdullah Ahmad Badawi yang memberikan respons yang baik.
Firman Allah: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114). Tiada siapa yang membenci hasrat ini, melainkan mereka yang membenci kebaikan untuk umat dan negara.
Saya yakin, pertemuan itu bukan untuk meleburkan identiti politik mereka, sebaliknya mungkin hasrat atau idealisme politik masing-masing dapat dilaksanakan secara selaras dan matang. Memang sukar untuk mana-mana pihak pun dalam dunia ini mencapai keseluruhan idealisme perjuangannya. Tetapi bak kata kaedah: “Apa yang kita tidak capai kesemuanya, jangan pulak ditinggalkan keseluruhannya”. Ertinya, jika tidak dapat mencapai tahap seratus peratus pun, janganlah pula sedikit sebanyak yang mampu diperolehi ditinggalkan.
Sikap ingin bertemu antara satu sama lain dalam suasana yang lebih harmoni itu adalah lambang kematangan politik kedua parti tersebut.
Nabi s.a.w bersabda: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).
Pertemuan itu saya percaya, bukan untuk mengungkit kisah silam, tetapi untuk membuka lembaran baru yang lebih menjamin kebaikan untuk umat dan negara. Kita ingin melihat mereka duduk dengan penuh kasih sayang dan ukhuwwah. Marilah kita semua berdoa agar hasrat tersebut dapat direalisasikan.
Saya percaya, pada hari impian itu terlaksana, mereka yang ikhlas akan mengalirkan airmata kesyukuran yang tidak terhingga.
Demang: terasa seperti ada pepasir di sudut mata, ada genangan air menunggu rebak... Semoga doa ini diperkenankan Allah subhanahu wata'ala.
Buat masa ini Demang telah berjaya menghubungi sahabat-sahabat yang sedang berjuang dalam UMNO dan mereka telah berjanji untuk membuat usul permuafakatan ini dalam mesyuarat cawangan masing-masing. Demang minta kerjasama sahabat bloggers untuk turut bergerak di lapangan bagi merealisasikan cita-cita ini.
Insya Allah.
salam cheguman...
ReplyDeleteinsyaallah...mari kita sama2 berpimpin tangan, lupakan sengketa lama dan membuka lembaran baru, bg kemakmuran masa hadapan...
Ya, saya menyokong penuh. Saya sebagai bukan islam amat yakin, jika PAS dan Umno dah dapat muafakat, untungnya pasti kepada orang melayu juga. Jika ini berlaku, itulah hikmah pilihanraya 12. Dan kalau PAS atau Umno yang memerintah, saya tak rasa takut sebab kalau orang islam perintah, orang bukan islam tidak akan ditindas. Saya yakin berdasarkan cerita Nabi Muhammad yang saya baca.
ReplyDeleteChegu,
ReplyDeleteSelamat berkenalan. Hal orang Melayu biasa saya tak beri komen; sebab saya no inherent right untuk komen. Bagaimanapun, duduk bermuafakat lebih baik daripada demonstrasi dan bertekak lidah di Parlimen.
Sekian,
Che
Rahsia bersatu padu itu... Menjanjikan kekuatan pada ummah...
ReplyDeleteMenjanjikan keamanan dan kemakmuran jika bersatu di atas pegangan Alif Ba' dan Ta'...
Namun, kehancuran bakal terjadi jika penyatuan itu berlaku atas dasar Ta' Ta' Ta'