Tuesday, August 5, 2008

Dilema Sistem Peperiksaan

Seorang kanak-kanak yang memasuki prasekolah akan belajar selama enam tahun sebelum diuji dalam tahun ke 6 untuk disahkan samada berjaya atau gagal. Kemudian belajar lagi selama tiga tahun sblm diuji lagi. Selepas itu menanti dua tahun pula untuk menduduki SPM.

Dalam tempoh dua belas tahun mereka diuji tiga kali dan akhirnya sebahagian besar daripada mereka disahkan berprestasi sederhana dan rendah. Manakala sebahagian kecil sahaja dianggap cemerlang dan selebihnya adalah gagal.

Maka berderet-deretlah mereka berbaris menunggu giliran untuk ditemuduga kerja. Para penemuduga pun menilai kepingan kertas terkini yang ditaip oleh institusi masing-masing untuk diputuskan samada calon tersebut layak atau tidak untuk diambil sebagai pekerja.

Alangkah mudahnya memilih dan betapa gusarnya menanti dipilih.

Begitu ringkas kah diari seorang manusia? Dirakamkan di atas sekeping kertas dengan cop dan logo, diberi gred serta ditandatangani.

Memang tidak ada salahnya mencatatkan kebolehan manusia pada kertas. Namun adakah turut dicatat sama gelak tawa dan tangis hiba mereka? Adakah turut dicatatkan berapa kali mereka jatuh dan bangkit semula? Bagaimana hubungan perasaan mereka dengan orang lain? Apa pandangan orang lain terhadap individu itu? Apa kata rakan taulannya? Bagaimana pula pendapat musuh-musuhnya? Kreatif dan inovatif kah dia? Atau seorang yang suka membantah?

Sememangnya begitu banyak yang tidak dicatatkan pada kertas itu.

Apa ertinya semua ini?

Saya namakan fenomena ini sebagai 'pakej' dan 'pukal'.

Pakej tidak sama makna dengan pukal. Pakej merujuk pada tindakan untuk memilih hanya yang dikehendaki serta setiap satu daripadanya saling melengkapi. Pukal pula bermaksud mengumpulkan semua elemen samada yang dikehendaki atau tidak ke dalam satu bekas dan diberi satu label.

Bagaimana dengan anak-anak kita? Pakej atau pukal? Contohnya:

Pakej A
Akademik 'A1', bijak, warak, sederhana rajin, cekap, cergas, hormat, suka menolong.

Pakej B
Akademik 'A1', bijak, agak warak, rajin, cekap, cergas, hormat, bersukan.

Pakej C
Akademik 'A1', bijak, warak, rajin, sederhana cekap, cergas, hormat, berjiwa pemimpin.

Pukal A
Akademik 'A1', bijak menipu, curi tulang, cekap ambil kesempatan.

Pukal B
Akademik 'A1', licik, bermuslihat, pembodek, cakap besar.

Pukal C
Akademik 'A1', pandai berhujah, bijak memanipulasi keadaan, 'bertopeng'.

Para penyokong sistem peperiksaan akan berhujah bahawa kita wajar mengekalkan sistem tersebut kerana ia praktikal dan berwibawa. Dalam proses mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan, para pelajar akan mematuhi disiplin tertentu di samping diselitkan nilai-nilai murni yang sepatutnya mereka miliki. Dengan kata lain, pelajar yang tidak ada disiplin, siasah, sosial, patriotisme, akhlak dan sebagainya tidak akan berjaya dalam peperiksaan. Justeru pelajar yang berjaya boleh dianggap telah memenuhi semua kriteria insan yang seimbang.

Namun hujah tersebut boleh disangsikan dengan beberapa andaian. Sistem peperiksaan sekarang semata-mata berdasarkan kebolehan calon memberi jawapan pada hari peperiksaan tersebut. Contohnya, dalam subjek sejarah mungkin dikemukakan sepuluh soalan dan calon hanya menjawab 4 atau 5 soalan sahaja. Bayangkan, bagaimana jika calon yang gemar ponteng sekolah, melanggar disiplin, dan tidak tahu menghormati orang telah secara kebetulan membaca beberapa topik yang disoal? Maka dalam masa dua-tiga jam calon tersebut mendapat pengiktirafan 'bijak sejarah'. Anugerah tersebut disandang beliau seumur hidup!

Bagaimana dengan penyandang 'bijak matematik', 'bijak sains', 'bijak bahasa' dan sebagainya? Adakah mereka juga bijak mengawal emosi, bijak memilih antara yang baik dan yang buruk, bijak membezakan waktu solat dengan waktu berkaraoke dan sebagainya?

Lihatlah realiti hari ini. Terdapat pelajar bijak yang akhirnya menjadi pelacur, penagih dadah, perompak, penipu, penggodam sistem dan sebagainya. Cuba dapatkan telefon tangan remaja yang anda kenal. Jika anda berjaya 'menyelongkar' memori telefon tersebut, macam-macam yang boleh anda tonton. Malah jangan terperanjat jika salah seorang pelakon utama dalam klip video tersebut adalah remaja itu sendiri.

Anda bimbang? Saya juga begitu. Namun apa tindakan kita? Mahu berdemontrasi di jalanan agar kerajaan mengubah sistem pendidikan? Atau kita tukar sahaja kerajaan? Nanti naik kerajaan baru dan timbul kelemahan, adakah kita akan berdemontrasi lagi? Mungkin tidak, sebab kita memang penyokong kerajaan baru itu. Namun bagaimana dengan penyokong kerajaan yang dikalahkan? Adakah mereka akan dibenarkan untuk berdemonstrasi pula?

Mari kita berfikir bagaimana untuk menukar keadaan ini tanpa menukar kerajaan yang ada. Jadikan ini sebagai cabaran untuk minda kita. Insya Allah.

Jika anda ingin berkongsi dengan saya kaedahnya, jangan lupa untuk singgah lagi di sini.

Wallahu'alam.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam Cheguman,

    Hmm, isu ini telah lama saya fikirkan.

    Memang tidak mudah hendak menukar sesuatu yang telah 'diterima' semua sejak sekian lama.

    Untuk kecemerlangan dalam semua bidang pukalnya mesti selengkapnya. Kedua dunia dan akhirat.
    Ini tidak mudah tetapi boleh dicapai jika semua pihak bekerjasama dan peka dengan kehendak semasa bangsa masing masing.

    Dan mereka yang terlibat secara langsung pun boleh memainkan peranan masing masing jika mahu lahirkan insan insan cemerlang dalam bidang masing masing tanpa mengenepikan aspek keagamaan masing masing.

    WaAllahuAlam.

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.