Monday, November 24, 2008

Resolusi Bloggers Pembela Negara: Turunkan Harga Barang

Bloggers Pembela Negara kini setapak di depan. Merintis denai dan tidak gentar untuk berjuang. Kiri dan kanan hanyalah semak samun yang harus ditebas-tebang. Apa perlu dirisaukan? Perjalanan perlu diteruskan. Di hujung nanti ada padang yang wajib didatangi dan perhimpunan yang pasti dihadiri. Kita hanya menyambung tugas Rasulullah: menyampaikan.

Berikut adalah resolusi yang dikeluarkan hasil perbincangan para bloggers dalam forum maya Bloggers Pembela Negara (BPN).

Bloggers Pembela Negara yang bersidang secara maya pada 23 November 2008, jam 9.00pm-10.00pm atas tajuk “Bagaimanakah kita boleh membantu Sabah, khususnya dan semua negeri umumnya bagi merendahkan harga barangan?”

Kami telah mengenalpasti bahawa kegagalan menurunkan harga barangan walaupun kerajaan telah menetapkan harga siling dan menurunkan harga petrol adalah disebabkan sikap para peniaga, dan bukannya kerana masalah kos terutamanya kos pengangkutan, termasuk di Sabah.

Justeru, kami dengan sebulat suara mengusulkan:

1. Para petani dan pengusaha produk asas tani diberi insentif khas sebagaimana para pesawah dan nelayan. Insentif ini boleh diberikan berdasarkan produktiviti mereka. Contohnya, jika mereka mengeluarkan sayur kangkung bernilai RM10 maka kerajaan patut membayar insentif sekurang-kurangnya 50% iaitu berjumlah RM15 kepada petani tersebut. Oleh itu, mereka mendapat tambahan pendapatan yang meninggikan kuasa membeli mereka.

2. Kedegilan pihak pemborong di Sabah untuk menurunkan harga barangan keperluan dikenalpasti sebagai akibat kurangnya persaingan daripada pemborong lain. Selama ini para pemborong sedia ada telah memonopoli pasaran dan membina rangkaian tersendiri sehingga berupaya menentukan harga secara wewenang. Oleh itu kami mengesyorkan para pemborong daripada kaum lain termasuklah kaum India-Muslim untuk menyertai pasaran di Sabah.

3. Kerajaan perlu melantik syarikat GLC bagi mewujudkan rangkaian pengedaran bagi memberi saingan kepada pemborong sedia ada. Persaingan yang sihat akan memberi lebih pilihan kepada pengguna dan mampu mengawal kualiti serta harga pengguna.

4. Pihak kementerian iaitu KDNHEP perlu menguatkuasakan semua peraturan dan ketetapan yang telah diputuskan oleh kerajaan.

Kami akan menyiarkan resolusi ini di setiap blog kepunyaan Bloggers Pembela Negara (BPN) bagi menarik perhatian orang ramai untuk turut serta memperjuangkan perkara ini. Kami percaya apabila usaha ini dibuat secara kolektif dan bersepadu, pihak kerajaan akan terpanggil untuk melaksanakannya.

Oleh itu, adalah lebih baik pihak-pihak yang terlibat segera mengambil tindakan menurunkan harga barang agar perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Sekian terima kasih.

5 comments:

  1. salam chegu.

    kenapa waktu chegu post jam 5 pm ? bukan pagi ni ke ?

    mungkin ada sesuatu silap setting di masa blog barangkali.

    nak baiki, try chegu tengok di setting..

    buka dashboard..

    seronok sidang semalam. harap ramai lagi kawan lama dan baru akan datang..


    tq.

    ReplyDelete
  2. Ha, tu yang Panglima tak tau tu... Tok Demang kan boleh 'back to the future'? Sebelum bersidang lagi Demang dah tahu resolusi yang akan dibuat!!!

    Apa-apapun, terima kasih le. Akhirnya terjawab jugak persoalan kenapa tarikh dan masa di blog ni selalu haru biru.

    Saya dah betulkaan tadi.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Cheguman,

    Apa khabar orang Melaka? Di Shah Alam sekarang hujang hampir tiap tiap petang.

    saya sokong saranan Cheguman ini. InsyaAllah ramai akan sependapat dengan saya.

    ReplyDelete
  4. sdrku demang,

    Resolusi yang padat dan tegas.
    Syabas saya ucapkan!

    Saya setuju sangat dengan resolusi yang diputuskan. Setalah bersidang 2 kali? sudah dapat merumuskan satu resolusi yang padat dan tegas.

    ReplyDelete
  5. Salam perkenalan,

    Teruskan usaha tuan. Inshallah jika kelapangan dari masa kesemasa kawan akan terus melawat ahli2 BPN.

    Dari http://abangtuah.blogspot.com ahli BPN.

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.