Friday, May 15, 2009
Selamat Hari Guru
Semasa Demang memasuki maktab perguruan tahun 1988, betapa gembiranya apabila mengetahui kami akan dibayar elaun sebanyak RM345 setiap bulan. Setelah ditolak bayaran makan RM90 dan sewa bilik RM80 maka berbakilah RM175.
Demang katakan amat gembira kerana jika tidak dibayar elaunpun Demang tetap akan mengikuti pengajian tersebut kerana itulah cita-cita Demang sejak kecil.
Berbekalkan RM175 itulah Demang berbelanja. Sebagai panduan pembaca, ketika itu harga rokok RM2.50 sekotak. Tambang bas mini 50 sen. Jika bersarapan, antara RM1.50-RM2.00. Nasi dengan lauk sederhana antara RM2-RM3 sepinggan. Di samping beban hidup tinggal di KL, perlu juga menyediakan perbelanjaan untuk pulang ke kampung sebulan sekali. Sesekali perlu membeli pakaian dan keperluan lain. Walaupun kami disediakan makanan di asrama namun faham-faham sajalah makanan di kantin.
Sebagai remaja, walaupun kami tidak mempunyai HP, gandjet multimedia, atau laptop (belum dicipta), kami bersosial dengan cara lain seperti berbual di kedai kopi, menonton wyang, dan bermain snooker. Oleh kerana Demang mengikuti kursus muzik, kami sering berlatih (jamming) di studio berbayar.
Selepas tamat kolej, Demang ditempatkan di sekolah sebagai guru terlatih. Ketika itu Demang dibayar gaji SPM walaupun sebenarnya memiliki STPM bertaraf sijil penuh. Kelayakan sebenar Demang itu hanya disedari selepas hampir lima tahun berkhidmat. Itupun setelah secara tidak sengaja berbual mengenai gaji dengan seorang teman yang STPMnya lebih rendah dari Demang. Walaupun diajukan pada kementerian, perkara tersebut tidak boleh diperbetulkan kerana sudah bertukar skim dan sudah lama berlalu. Mahu tidak mahu Demang terpaksa menerima hakikat bahawa setakat itulah sahaja rezeki Demang.
Maka Demang mendapat RM435 sebulan ditambah elaun RM80 dan setelah ditolak caruman KWSP RM60, dapatlah Demang RM455 sebulan. Teringin pula memiliki sebuah pemain kaset dan untuk itu terpaksalah berhutang dengan bayaran RM60 sebulan.
Dengan RM395 itu, Demang hulur pada ibu RM100 maka tinggal RM295. Teringin pula memiliki motorsikal, maka berhutang lagilah Demang dengan ansuran bulanan sebanyak RM160. Baki RM130.
Duit makan RM5 x 30 = RM150 sebulan. Rokok? Petrol? Sosial? Arghhh...
Padahal ketika itu pendapatan operator kilang melebihi RM600 dan pemandu lori RM2000-RM3000 sebulan. Dikhabarkan ketika itu kementerian pendidikan menerima beribu-ribu permohonan daripada guru untuk bersara awal.
Justeru ketika itu sudah menjadi perkara biasa bagi guru-guru melakukan pekerjaan sampingan. Antara yang popular ketika itu ialah jualan langsung atau MLM dan agen insuran. Ramailah pemimpin MLM dan insuran dari kalangan guru, dan mereka berpendapatan 4-5 angka sebulan!
Perlu juga Demang sebut bahawa pada masa itu (awal 90-an) ekonomi negara sedang berkembang pesat. Maklumlah tika itu Tun Mahathir sudah melancarkan Wawasan 2020, Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan, Dasar Persyarikatan Malaysia, dan pelbagai plan rangsangan ekonomi yang hebat-hebat. Malah jika ingin membeli kereta Proton kita perlu menunggu sekurang-kurangnya 6 bulan kerana tempahan terlalu banyak. Pendapatan antara pekerja kilang Proton dengan guru bagai langit dengan bumi! Pendapatan pemandu bas ekspres dan peneroka FELDA selama seminggu sama dengan gaji cikgu sebulan. Demang tahu sebab bapa Demang adalah peneroka FELDA di samping menjadi pemandu lori.
Justeru apalah nak diharapkan sangat dengan kualiti guru dalam keadaan demikian. Pulang dari sekolah bergegas membuat jualan dan 'sponsoring'. Kemudian menghadiri mesyuarat dan perjumpaan dengan ahli kumpulan sehingga larut malam. Pagi esok keletihan di dalam kelas.
Namun segalanya mula berubah sebaik Najib menjawat Menteri Pendidikan (1995-1999). Skim gaji guru berubah serta merta. Demang ingat lagi sekembalinya Demang ke sekolah selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah (cuti separuh gaji: 4 tahun), Demang merasa hairan melihat kereta-kereta sederhana mewah yang bersusun di depan sekolah. Kebanyakannya adalah kereta import. Jika adapun yang masih menggunakan proton, itu adalah kereta kedua atau ketiga.
Alhamdulillah, Demang turut bergembira dan berharap para guru tidak melupakan jasa Najib itu.
Sebelum di Kementerian Pendidikan, Najib menjadi Menteri Pertahanan. Menurut sahabat Demang, seorang tentera, beliau mendengar sendiri Najib berkata bahawa apabila beliau menjadi menteri Pertahanan beliau tidak mahu lagi melihat anggota tentera hanya memiliki motorsikal atau menaiki bas pulang ke kampung. Ternyata Najib membuktikannya apabila pendapatan tentera ditingkatkan di samping pelbagai insentif lain.
Sewaktu Demang menulis artikel ini, Demang melihat di kaca TV Najib sedang mengumumkan bahawa semua kakitangan sokongan yang masih di tangga gaji lama akan menerima kenaikan secara menyeluruh.
Kini Najib sudah menjadi PM Malaysia. Seorang yang dibesarkan di dalam dulang emas itu rupa-rupanya begitu dekat dengan rakyat. Beliau sanggup berjalan kaki menyusuri gerai-gerai di Jalan TAR, menaiki kenderaan awam, dan bertanya sendiri masalah rakyat, termasuk menyediakan blog khas.
Demang percaya ramai yang tidak tahu bahawa bapa Najib iaitu Tun Razak juga sebenarnya bergelar Imappadulung Karaend Sanrobone Sultan Abdul Jalil, Raja Gowa XX. Ertinya Najib berkelayakan menjadi Raja Gowa XXI di Makasar, Sulawesi. (lihat buku terbaru S.H Al-Attas, Najib Tun Razak vs Kaki Kacau Malaysia).
Bacalah sejarah Bugis di Makasar dan sumbangan mereka dalam penyebaran dakwah Islam di Tanah Melayu.
Esok 16 Mei, Demang dan semua guru di Malaysia akan menyambut Hari Guru. Insya-Allah Demang akan jalankan kewajipan dengan sebaik mungkin sebagaimana pesan Najib 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.
"Guru Pembina Negara Bangsa"
http://www.moe.gov.my/hariguru/
2 comments:
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.
Selamat hari Guru Cikgu ~~~ Teruskan perjuangan demi anak bangsa ...
ReplyDeleteWassalam
(p/s: saya budak nakal amsa skolah .... huahuahuahuahua ... mintak mahap cikgu!!!!!)
terima kasih, Kucing.
ReplyDelete