Friday, June 19, 2009

52 tahun sudah terlalu lama


Fajar yang menyinsing pada subuh 1 September 1957 tidak mampu mengejutkan orang Melayu dari lena yang panjang. Mentari terik yang muncul dari celahan atap nipah rumah-rumah usang hanya mampu menyilaukan mata penduduk peribumi.

Sebagaimana silau yang tidak membantu mata manusia melihat dengan jelas, begitulah juga nasib orang Melayu. Dalam keadaan mata yang enggan terbuka, jalan di hadapan begitu kabur dan berbalam.

Lama sebelum kita merdeka lagi kaum cina sudah bertapak di Tanah Melayu. Sebahagian besar daripada mereka bergiat dalam aktiviti perlombongan yang memberikan mereka pendapatan yag tetap. Kedudukan ekonomi mereka memang mantap, malah boleh dianggap lumayan memandangkan permintaan yang begitu tinggi terhadap komoditi logam ketika itu. Lumayan, apatah lagi jika dibandingkan dengan kedaifan orang Melayu yang menghuni ceruk-ceruk desa ketika itu.

Sebagaimana kelompok-kelompok manusia lain, masyarakat pekerja lombong juga terbentuk dalam satu kerangka sosial yang beraras-lapis. Selain bermajikan 'kan syarikat British, mereka juga mempunyai pemimpin-pemimpin dari kalangan kaum sendiri.

Sudah tentulah para pemimpin ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding pekerja biasa. Maka terbentuklah golongan aristokrat cina yang unik dan tersendiri.

Keperluan terhadap pendidikan dan ilmu pengetahuan pula menyebabkan satu kumpulan baru turut dibawa masuk iaitu guru-guru yang diambil dari tanah besar cina. Golongan ini tercatat dalam sejarah sebagai pembawa dan penyebar fahaman komunis dalam kalangan kaum cina di Tanah Melayu.

Seterusnya, ekoran permintaan terhadap keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal maka muncul pula golongan peniaga yang kemudiannya mengaktifkan kegiatan ekonomi dalam kelompok mereka.

Bukan itu sahaja malah dengan kemudahan yang ada golongan ini menjadi orang tengah antara pengeluar dengan peniaga serta bertindak sebagai tempat orang Melayu berhutang.


Lama sebelum Tanah Melayu merdeka juga, kegiatan ekonomi dalam masyarakat cina sudah begitu aktif dan kemajuan tersebut berjangkit ke bidang-bidang lain termasuk perusahaan, teknologi pembuatan, pendidikan, pertanian, dan sebagainya.

Di celah-celah keghairahan ekonomi tersebut orang Melayu menumpang faedah sebagai pembeli dan pengguna pasif. Faedah lain yang diperolehi oleh orang Melayu ialah kemudahan untuk berhutang.

Kedudukan kaum cina semakin kukuh apabila Tanah Melayu memperolehi kemerdekaan. Pemergian British membawa dua implikasi besar iaitu kuasa pentadbiran diserahkan kepada orang Melayu manakala kuasa ekonomi diwariskan kepada kaum cina.

Kaum Cina terus bergerak pantas ke hadapan menyambar apa sahaja, merenggut semua peluang yang ada. Pengalaman dan modal yang diraih dan dikumpul sepanjang pemerintahan British digunakan bagi menampuk dana dan mengagihkannya sesama mereka.

Orang Melayu hanya mampu merenung sambil melengung.

Rupa-rupanya kuasa politik belum cukup untuk merubah lanskap ekonomi orang Melayu.

Adakah pemimpin melayu ketika itu tidak cukup peduli atau kurang keinginan untuk merubah nasib bangsa sendiri?

Pembukaan FELDA, FELCRA, RISDA, MARA, MARDI, dan sebagainya adalah bukti usaha yang telah dilakukan pemimpin Melayu bagi mengeluarkan orang Melayu dari belengu kedaifan. Namun rantai kemiskinan pada masa itu begitu kukuh membelit bangsa Melayu hingga sukar dirungkai.

Cabaran utama yang kita hadapi tidak setakat untuk merubah bentuk fizikal petempatan orang Melayu malah yang lebih mencabar ialah merubah minda dan menganjak paradigma mereka.

Institusi seperti FELDA, FELCRA, RISDA, MARA dan sebagainya itu boleh disiapkan dalam masa kurang daripada 10 tahun. Namun hasil daripada pembangunan fizikal tersebut hanya mampu dilihat jauh lebih lama dari itu.

Contohnya, generasi pertama peneroka FELDA sekadar menjadi perintis sedangkan yang diharapkan untuk bersaing dengan kaum lain ialah kalangan generasi kedua. Jika sebuah keluarga memasuki FELDA pada tahun 1970, maka selepas 1990 barulah generasi kedua mampu menginjak dewasa (berusia 21 tahun). Itupun setakat habis sekolah menengah.

Di waktu itu keluarga peneroka tersebut belum begitu bebas dari belengu kemiskinan.

Orang Melayu hanya ramai memasuki golongan menengah pada pertengahan 1990-an atau sekitar 1996. Namun belum sempat bersenang lenang, krisis ekonomi iaitu serangan matawang pula melanda pada 1998.

Tidak cukup dengan itu, politik negara tiba-tiba bergegar dengan kes salah laku seks Timbalan Perdana Menteri yang berakhir dengan penyingkiran beliau. Krisis tersebut terus berlarutan hingga kini dan belum menampakkan tanda-tanda akan reda.

Kini krisis ekonomi berulang lagi. Bahkan dijangka lebih hebat dari itu. Jika sebelum ini para pemimpin kaum cina mengesan setiap peluang ekonomi yang bakal tiba maka begitu juga kali ini; mereka pantas menghidu musibah yang bakal menghentam ekonomi negara.

Kecil atau besar, kek ekonomi perlu dibahagi sesama, namun tidak semestinya secara saksama. Apatah lagi samarata.

Selama ini masyarakat cina sudah terbiasa bermewah. Besar periuk besarlah keraknya. Justeru apabila kek ekonomi mengecil, maka ia tidak mampu memenuhi tembolok mereka yang terbiasa mewah.

Akhirnya masyarakat cina berfikir bahawa tempoh 52 tahun menunggu orang Melayu untuk mampu melangkah segagah mereka adalah terlalu lama. Sesuatu perlu dilakukan sebelum segala-galanya musnah. Dalam persaingan hukum belukar, hanya enau yang mampu melepaskan pucuknya yang akan menang. Manakala rumput yang merayap di tanah akan terus layu dan lemah.


Dalam perjuangan untuk hidup memang perlukan pengorbanan dan kini adalah masa untuk menentukan siapa yang patut dikorbankan.

Setidak-tidaknya kelompok yang 'lemah' itu patut ditinggalkan.

Corak agihan yang dirintis dan dipertahankan oleh pemimpin Melayu, kini mereka anggap sudah tidak relevan lagi. Ia hanya akan mengundang bencana kerana agihannya nanti berdasarkan keperluan sesuatu unit bukan berdasarkan kemampuan unit itu untuk memperolehinya.

Dengan kata lain, jika anda kuat dan mampu, maka anda akan mendapat apa yang anda mahu manakala jika anda lemah, bersedialah untuk melihat sahaja orang lain memilikinya.

Bagi kaum cina zaman bertolak ansur sudah berlalu. Dalam survival hari ini mereka perlu bertegas dan mengenepikan emosi. Memang masih ada pemimpin kaum cina yang bersimpati dengan orang Melayu namun apa boleh buat. Kehidupan adalah suatu realiti dan mesti berani menghadapinya.

Itulah realitinya?

Masih belum mahu sedarkah orang Melayu?

Bagaimana mahu sedar jika hanya yang berfikiran positif sahaja yang sudi membaca tulisan ini? Manakala yang berfikiran negatif dan suka membangkang malas membaca artikel panjang begini, apatah lagi yang berkaitan sejarah.

3 comments:

  1. Memang benar Demang. Saya pernah menulis sebelum ini bahawa UMNO dikhianati dalam PRU12. Untuk membuktikan perkara ini tidak sukar kerana jika kita meneliti keputusan penuh PRU tersebut ternyata gerakan bagi menolak BN berlaku secara menyeluruh.

    MCA dilihat tidak lagi menguntungkan kaum cina. Manakala DAP dilihat mampu menguasai pakatan pembangkang.

    ReplyDelete
  2. Assalamualalikum Cheguman,

    Apa yang Cheguman tulis adalah benar, tetapi bolehkah orang Melayu sedar akan apa yang sedang berlaku dan apa yang akan bakal berlaku jika mereka masih tidak peka dan mahu bersatu??

    Yang Peliknya, ada diantara kita yang percaya dan sayang pada DAP dengan tiba-tiba. Sejarah tidak dijadikan tauladan atau sempadan.

    Entahlah, janganlah kita tunggu sesuatu yang amat buruk, dah terantuk nanti baru nak tengadah. Waliyazubillah..minta Allah swt lindungi bangsa, agama dan negara kita!!

    ReplyDelete
  3. Ramdzan,
    Ramai yang tidak melihat dengan mata hati.

    Makcik,
    Kekadang saya rasa biar lah apa nak terjadi pun. Penat kita ajak bersatu; UMNO dah setuju, Hj Hadi dah setuju, ada pulak yang jadi penghalang. Dah serik, konon... Apa yang Nik Aziz serik sangat tu? Kenapa terlalu curiga sesama Islam?

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.