Saturday, June 27, 2009

Sistem Peperiksaan Malaysia

Musim durian tiba lagi. Di mana-mana ada durian. Di pasar malam, di tepi jalan, di pasaraya, dan di kaki lima kedai. Baunya merebak ke mana-mana dan boleh dihidu hingga ke tandas awam.

Untuk menjual durian, pelbagai cara digunakan. Ada yang ditimbang beratnya. RM1, RM2, RM4, dan ada yang sampai RM6 sekilogram.

Ada juga yang dilonggokkan. Contohnya,RM10 selonggok atau RM15 bagi dua longgok.

Malah ada juga yang dinilai sebiji-sebiji. Ada yang RM2 sebiji, RM5 sebiji, dan Demang pernah jumpa durian yang dijual RM20 sebiji.

Demikianlah kerenah jual beli durian. Pelbagai kaedah digunakan. Yang besar tidak semestinya mahal dan yang kecil tidak semestinya murah. Banyak tidak semestinya menggambarkan durian itu murah. Maksud Demang, kalau kita membayar RM10 untuk seguni durian dan apabila tiba di rumah hanya sebiji yang boleh dimakan, adakah ia masih dianggap murah?

Ketika memandu, kita sering nampak tanda harga yang ditulis besar-besar, RM2: 1 kg. Apabila kita singgah, barulah diketahui bahawa yang itu ialah harga bagi durian 'reject'.

Bagaimana dengan manusia? Bagaimana kita menilai anak kita? Bagaimana pula kita menilai calon wakil rakyat kita? Para pengundi di Manek Urai perlu bijak menilai. Jangan main borong sahaja, hanya kerana calon itu mewakili parti yang menguasai kerajaan negeri.

Macam tanda harga durian yang kita nampak tertulis RM2 tetapi sebenarnya ia hanya merujuk pada durian 'reject'.

Baru-baru ini kementerian Pelajaran berura-ura untuk menghadkan bilangan subjek yang boleh diambil oleh calon SPM. Jangan bimbang. Ia masih di peringkat cadangan. Berikan pendapat dan cadangan anda.

Bukankah slogan PM, Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan?

Peperiksaan hanya satu alat pengukuran. Sama seperti kita membeli durian. Maka jangan terlalu taksub dengan sistem peperiksaan. Ada banyak lagi kaedah untuk menilai manusia.

Rakyat Malaysia sudah terlalu biasa dengan sistem peperiksaan yang ada sekarang. Bagi Demang, peperiksaan sekarang lebih tertumpu pada keputusan akhir.

Adakah tempoh dua atau tiga jam mampu menentukan masa hidup seorang manusia?

Lebih malang lagi ia hanya menilai dalam perkara akademik sahaja.

Dalam mengejar kecemerlangan peperiksaan, banyak perkara yang tercicir dan terlepas pandang. Pelajar yang tidak cenderung pada akademik akan tercicir manakala perkara-perkara seperti sahsiah, sosial, emosi, jasmani, dan rohani, terlepas pandang.

Demang katakan tadi 'pelajar yang tidak cenderung pada akademik' kerana ramai yang menganggap kelompok tersebut mempunyai minda yang lemah atau bodoh. Padahal mereka mempunyai kebolehan dan keistimewaan lain yang tidak kurang pentingnya.

Minggu lepas isteri Demang menghadiri satu kursus penting. Nampaknya kaedah baru penilaian sedang dimulakan bagi mengubah sistem penilaian yang ada sekarang.

Beberapa buah sekolah di seluruh negara telah dipilih sebagai perintis.

Tidak lama lagi anak-anak kita tiak hanya dinilai melalui peperiksaan seperti SPM yang ada sekarang. Sebaliknya akan dinilai melalui pemerhatian sepanjang tahun dan sepanjang persekolahan.

Semoga anak-anak kita nanti akan dinilai dengan lebih adil, bukannya samarata.

2 comments:

  1. SALAM BRO...KWN STUJU SGT KLU SISTEM PEPERIKSAAN SKRG DI UBAH. KAEDAH PENILAIAN SEPANJANG TAHUN DI LIHAT LEBIH RELEVAN BERBANDING MENGUTAMAKAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN YG MANA AKAN TERLALU MENEKAN PELAJAR UTK MENDPT KEPUTUSAN SECARA PAKSA. MURID2 SKRG TAK MCM DLU. SO HARAP2 KEMENTERIAN WAJAR MEMPERTIMBANGKAN DEMI UTK GENERASI AKAN DTG

    ReplyDelete
  2. Salam cguman;

    Setuju...

    Bila durian gugur ke bumi, jgn main terkam jer...!! perlu pilih dan dinilai dengan lebih adil, bukannya samarata atau longgok.

    Jgn terpengaruh dengan label harga yang murah, "Macam tanda harga durian yang kita nampak tertulis RM2 tetapi sebenarnya ia hanya merujuk pada durian 'reject'."

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.