Wednesday, October 7, 2009
Petua Paklong
Antara petua paling Demang suka yang pernah Demang terima ialah petua daripada Paklong Demang di Sungai Besar. Beliau tidak berpelajaran dan hanya bekerja sebagai buruh di sebuah tapak semaian.
Selain itu beliau melakukan pelbagai aktiviti pertanian di atas tanah sekangkang kera di sekeliling terataknya.
Beliau mempunyai empat orang anak dan kesemuanya berkelulusan universiti termasuk di luar negeri. Walaupun sekarang beliau sudah agak senang, namun beliau pernah melalui zaman sukar ketika membesarkan anak-anak.
Salah satu usaha taninya ialah tanaman kangkung. Inilah petua hebat yang amat Demang kagumi. Rahsia bagaimana memperolehi pendapatan tetap hanya melalui 'sebatas kangkung' sahaja. Inilah petua bagaimana menggunakan masa, modal, tenaga, dan ruang yang amat terbatas.
Begini caranya;
Pada hari pertama Paklong membuat sebuah batas dan ditaburnya benih kangkung. Esoknya, Paklong menyiapkan sebuah lagi dan ditanaminya dengan kangkung juga. Pada hari ketiga sebuah batas lagi siap dipenuhi benih kangkung. Begitulah setiap hari dilakukan sehingga hari ke 20.
Maka pada hari ke-20 Paklong sudah memiliki 20 batas kangkung.
Kenapa 20 batas?
Ini rahsianya;
Pada hari ke-21, batas kangkung yang pertama sudah boleh dipetik. Paklong menghubungi peraih dan memperolehi RM50 dari hasil jualan borong tersebut. Oh ya... Setelah memungut hasil maka Paklong menyemai benih yang baru di batas pertama tersebut. Itu sahaja. Paklong sudah tidak perlu membuat batas yang baru.
Esoknya, Paklong memetik hasil kangkong batas kedua dan tidak lupa menyemai semula di situ. RM50 lagi diterima.
Demang pasti anda boleh mengira sendiri apa yang berlaku pada hari-hari seterusnya. Ya, setiap hari tanpa ada hari yang terkecuali, Paklong akan menerima RM50 tanpa perlu membuat batas baru. Setiap hari mendapat RM50 maka sebulan beliau mendapat RM1500.
Kisah tersebut berlaku 15 tahun dahulu ketika gaji Demang sebagai guru cuma RM450 sebulan. Cuba anda bandingkan!
Demikianlah bagi orang yang berfikiran positif. Apabila susah, mereka akan berfikir dan bertindak secara kreatif dan tidak sibuk mencari orang lain untuk dipersalahkan.
Inilah salah satu perubahan atau anjakan paradigma yang cuba diketengahkan oleh DS Najib melalui gagasan 1 Malaysia.
Bagaimana kita boleh aplikasi petua Paklong untuk menjana pendapatan kita?
Foto: dededo fleamarket 54 kangkung
Pullao flickr.com
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.