Sunday, January 24, 2010
Blogger Sampah
Salah satu keistimewaan Malaysia ialah Pasar Malam.
Semasa Demang melanjutkan pelajaran di Pulau Pinang dulu Demang agak arif lokasi-lokasi pasar malam serta masanya. Manakan tidak, Demang sempat menjadi sebahagian daripada peniaga pasar malam: menjual krepek.
Pasar malam adalah salah satu tempat tumpuan orang ramai bagi membeli belah. Kalau dulu, hampir semua keperluan boleh didapati di situ. Kini gaya hidup dan cita rasa rakyat sudah jauh berubah maka tumpuan di pasar malam lebih kepada juadah dan makanan ringan. Manakala bagi membeli pakaian dan keperluan harian, pasaraya dan hypermarket semakin menjadi pilihan.
Walau bagaimanapun pasar malam tetap sesak dengan pengunjung. Terutama orang Melayu.
Minggu lepas hajat Demang dan isteri mengunjungi pasar malam berdekatan kediaman kami tidak kesampaian. Walaupun kami tiba di lokasi tersebut tepat pada masanya namun kawasan itu lengang tidak berorang.
Rupa-rupanya pihak kesihatan telah mengeluarkan arahan agar aktiviti di pasar malam tersebut ditangguhkan selama dua minggu kerana masalah denggi dan H1N1 di situ.
Apa nak dikata. Demang tidak salahkan para peniaga dan pengunjung seratus peratus. Namun untuk melepaskan tanggung jawab menjaga kebersihan kepada majlis bandaran sahaja tentulah tidak adil. Sepatutnya semua pihak mengambil tanggung jawab bersama. Apabila berlaku kes, semua orang kecewa, lebih-lebih lagi para peniaga.
Di dunia maya, blog seolah pasar malam yang menawarkan pelbagai perkara kepada orang ramai. Pelbagai informasi terdapat dalam sekian banyak blog yang mampu dibina oleh siapa sahaja secara percuma.
Oleh kerana banyaknya blog di alam maya maka pelbagai bentuk, isi kandungan, dan gaya persembahan dipamerkan. Persaingan yang sihat melahirkan blog yang kreatif. Namun ada juga blogger yang mengambil jalan mudah bagi menarik pengunjung. Mereka menjamu pengunjung dengan berita-berita sensasi yang belum diketahui kebenarannya.
Selain itu ada juga blogger yang menulis seolah dunia ini tiada penciptanya. Maksud Demang, pahala dan dosa tidak lagi menjadi perkiraan utama. Ada blogger yang menulis seolah negara ini tidak berperlembagaan dan tiada undang-undang. Pemimpin negara dicerca sesuka hati. Malah sultan yang mangkat digelar 'mampus'!
Sepatutnya internet ini digunakan untuk berinteraksi sesama manusia dengan cara bersopan, berhemah dan bertatasusila. Manusia bukan sahaja mempunyai otak dan akal malah mempunyai hati dan perasaan. Selain itu manusia juga mempunyai roh.
Jangan sampai blog menjadi seperti pasar malam yang ditutup aktivitinya kerana mengabaikan kebersihan.
Sebelum itu berlaku, baiklah dicari jalan agar 'blog-blog sampah' tersebut dibuang dan bloggernya dihumban ke penjara.
foto hiasan:
rubbish tip jpg
rogersmalls.blogspot.com
pasar malam drinks jpg
backpackingmalaysia.com
1 comment:
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.
Frodo Baggins said...
ReplyDeleteuikk ... entry blogger sampah? mende yg sampah ni cikgu?
Maaf la Frodo Baggins. Tersilap 'posting'. Sekarang saya siarkan artikal sepenuhnya.
(posting guna E90, tak sempat nak semak tadi..)