Sambil mengemas kolam dan air terjun hiasan di belakang rumah, Demang terpandang anak jiran menunggang basikal tanpa memegang pemegangnya; satu kebolehan yang agak hebat bagi seorang budak perempuan berusia 7 tahun!
Apa agaknya yang sedang dilamun pemilik wajah comel tersebut? Keseronokan, kebanggaan, kepuasan?
Lantas Demang teringat peristiwa malam tadi ketika keluar makan bersama isteri kira-kira jam satu dinihari. Di tepi lebuh tersebut kelihatan sekumpulan remaja bermotorsikal berkumpul. Sebentar kemudian mereka menderam engin jentera dwi-roda mereka terus berdengung membelah malam yang masih enggan tidur.
Pelbagai aksi dipertonton pada kami yang sedang menjamu selera. Ada yang meniarap, berdiri, dan yang mengangkat roda hadapan dengan bergaya.
Ada juga yang merehatkan tangan dengan tidak memegang pada pemegang yang disediakan sebagaimana sepatutnya.
Sekali lagi, apakah yang sedang beralun dalam diri para remaja tersebut? Keseronokan, kebanggaan, kepuasan?
Mereka memperagakan aksi menunggang tanpa menuruti kaedah lama yang membosankan. Mereka berasa hebat kerana mampu menguasai motorsikal tanpa perlu memegang pemegangnya sebagaimana yang dilakukan orang lain. Mereka bangga kerana berjaya menunggang motorsikal dengan cara baru yang tidak mampu dilakukan ibu bapa mereka dan orang-orang terdahulu.
Mereka merasakan sedang menguasai motorsikal mereka walaupun tidak memegang pemegangnya.
Sudah tentu ia tidak hanya berakhir di situ. Esok, lusa, tulat dan seterusnya keseronokan malam ini akan disambung cerita pada teman-teman sepermainan. Kehebatan malam ini akan dihebahkan pada rakan-rakan 'sekepala' dengan tokok tambah yang lebih menarik.
Sayangnya anak-anak itu tidak mengerti kenapa orang lain tidak tahu dan tidak mahu menunggang seperti mereka. Mereka lupa bahawa keseronokan, kebanggaan, bahkan kemegahan boleh dicapai melalui pelbagai cara.
Mereka juga lupa bahawa keseronokan, kebanggaan, kemegahan yang dicapai melalui cara yang salah boleh mengundang padah yang bukan sedikit.
Menunggang motorsikal dengan bergaya bukanlah satu-satunya cara mencapai keseronokan atau kebanggaan kerana ia mengundang bahaya pada diri dan juga orang lain. Ia juga mengundang derita dan kesedihan ahli keluarga.
Beberapa minit kemudian, Demang terdengar bunyi siren ambulan dan berhenti tidak jauh dari tempat kami makan. Rupa-rupanya salah seorang remaja tersebut telah menerima padah.
Ketika Demang melalui tempat kejadian, motorsikal terlibat telah tiada. Dialihkan rakan-rakan atas alasan yang hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu. Padahal pihak polis belum tiba. Remaja yang sengaja menempah nahas tersebut telah dibawa ambulan ke hospital besar Melaka yang cuma 2-3 KM dari situ.
Peristiwa kanak-kanak menunggang basikal tanpa memegang pemegang dan remaja yang menunggang motorsikal dengan meninggalkan kaedah normal menimbulkan persoalan lain dalam fikiran Demang.
Bagaimana jika kita tidak memegang kuasa pemerintahan negara? Masih mampukah kita mengawalnya? Ataukah kita akan menerima nasib seperti remaja yang ditimpa nahas itu lantaran gagal mengawal jenteranya?
Manusia sering merasakan sudah menjadi lebih pandai berbanding bapa dan datuk mereka.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.