Saturday, July 17, 2010
Adakah Melayu Pendatang?
Demang dapati masih ramai yang keliru status orang Melayu di Malaysia dan kenapa mereka diberi layanan lebih istimewa berbanding kaum lain? Lebih malang lagi apabila yang tidak faham itu adalah orang Melayu sendiri.
Mari kita telusuri asal-usul orang Melayu:
Terdapat dua bukti arkeologi yang dikemukakan dalam soal ini iaitu;
Pertama, penemuan kapak batu di Tanah Melayu mempunyai persamaan dengan alat yang turut dijumpai di tanah besar cina yang menunjukkan nenek moyang orang Melayu juga datang dari wilayah asing yang serupa dengan kaum cina.
Kedua, sambil menafikan teori tersebut, persatuan arkeologi mengemukakan bukti yang lebih kemas bahawa orang Melayu memang bertumpah darah di Tanah Melayu, termasuk Sarawak sejak dahulu kala. (Rujuk link pada posting Demang sebelum ini).
Menyedari hujah melalui teori pertama tidak laku maka pihak tertentu mempertikai pula kenapa orang Jawa, Sulawesi, Sumatera, malah keturunan India Muslim dan Arab turut menerima status Melayu? Padahal nenek moyang kaum cina lebih awal tiba di Tanah Melayu?
Di sini kita perlu melihat beberapa konsep yang telah diterimapakai berkenaan ketamadunan manusia di seluruh dunia.
Pertama, konsep kerajaan berdaulat. Mana-mana kerajaan berdaulat berhak menentukan kerakyatan mereka sendiri.
Jika kita tidak menggunakan bukti kerajaan-kerajaan Melayu lain sekalipun, sejarah tidak mungkin menolak hakikat bahawa orang Melayu memiliki kerajaan berdaulat yang dikenali sebagai Kesultanan Melaka.
Memang, ketika Parameswara mengasaskan kerajaan Melaka, kawasan itu sudah ada penduduk tempatan. Namun mereka tidak ada kerajaan sendiri. Hal ini samalah dengan pembukaan Amerika, Australia, New Zealand, bahkan hampir semua negara besar yang ada sekarang. Malah ia juga tidak berbeza dengan penubuhan kerajaan Islam di Madinah oleh Muhammad (Rasulullah SAW).
Sebelum kerajaan di atas dibuka kawasan tersebut memang sudah mempunyai penduduk asal.
(Namun ia berbeza dengan Pulau Pinang yang kononnya dibuka oleh Francis Light padahal pulau itu adalah sebahagian kerajaan Kedah).
Orang asli yang mendiami Tanah Melayu sebelum tertubuhnya mana-mana kerajaan hidup berpuak-puak dan terasing antara satu sama lain. Apabila Parameswara tiba, kesemua mereka bernaung dan mengiktiraf Parameswara sebagai ketua/raja.
Selain itu parameswara juga membawa bersama para pengikutnya yang lengkap dengan menteri, pembesar, orang kaya, prajurit dan rakyat jelata.
Seterusnya, para penduduk di sekitar yang tertarik dengan kewibawaan baginda turut bernaung menjadi rakyat baginda atas pelbagai faktor. Antaranya kerana jaminan keselamatan daripada ancaman lanun dan sebagainya.
Kerajaan Melaka semakin membesar apabila kerajaan-kerajaan kecil turut bernaung di bawah Melaka atas pelbagai faktor, antaranya serupa dengan faktor individu tadi.
Ada juga kerajaan yang dipaksa bernaung bagi mengelakkan mereka menjadi saingan atau dimanipulasi oleh musuh kerajaan Melaka.
Maka terbentuklah empayar Melaka.
Biarpun Kota Melaka ditakluki pada 1511 namun kerajaan Melaka tidak bubar. Bahkan tiada seorangpun sultan Melaka yang ditawan. Kerajaan Melaka cuma memindahkan pusat pentadbiran ke Pahang, ke Kampar, ke Bentan, dan akhirnya ke Johor. Dari situ sultan- sultan Melaka terus mentadbir wilayah yang semakin mengecil (namun bukan lupus) serta melancarkan serangan ke atas Kota Melaka yang dicerobohi penjajah dari semasa ke semasa.
Kedatangan Inggeris juga tidak menghapuskan kekuasaan sultan-sultan yang masih menjadi ketua kerajaan. Inggeris cuma memaksakan penasihat kepada sultan melalui sistem residen.
Hanya pada 1946 Inggeris cuba mengambil alih kuasa menerusi Malayan Union. Namun hasrat tersebut tidak terlaksana berikutan kebangkitan menyeluruh orang Melayu yang cepat menghidu muslihat di sebalik agenda British tersebut.
(Ahli sejarah kemudiannya mengenalpasti sepucuk surat yang dikirim seorang kapitan cina kepada kerajaan British supaya mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu bagi menjaga kepentingan perniagaan mereka. Dari situlah timbul idea Malayan Union. Sayangnya fakta tersebut dibuang daripada teks sejarah kerana tidak mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu).
Berbalik pada konsep kerajaan berdaulat yang terdiri daripada rakyat dan raja, orang cina dan India yang dibawa masuk oleh Ingeris sebagai pekerja tidak diterima sebagai rakyat kepada mana-mana sultan dalam mana-mana negeri di Tanah Melayu sebelum merdeka.
Kenapa? Kerana kebanyakan mereka adalah rakyat British dan setia kepada ratu Inggeris (Queen). Selebihnya adalah rakyat negeri asal masing-masing.
Selain itu, sultan-sultan mempunyai hak untuk menentukan siapa yang boleh menjadi rakyat baginda. Dalam hal tersebut sultan-sultan sudah membuat ketetapan yang kemudiannya dipersetujui dan dimaktub dalam perlembagaan bahawa sekalian orang Melayu adalah rakyat baginda.
Seterusnya ditakrifkan definisi Melayu (rujuk Perlembagaan) sebagai orang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu serta mengamalkan adat Melayu. Sekalian keturunan mereka juga ikut bersama sampai bila-bila.
Sekali lagi ditanya, kenapa orang Cina dan India tidak menjadi rakyat baginda?
Jawapannya; itu adalah hak sultan yang menjadi ketua kerajaan ketika itu. Maka pihak British yang memahami hakikat tersebut terpaksa menerima ketetapan tersebut. Begitu juga orang Cina dan India ketika itu (di ambang kemerdekaan) turut bersetuju dengan perjanjian tersebut.
Bagi yang tidak bersetuju, mereka awal-awal mengambil keputusan kembali ke negara asal masing-masing. Maka yang tinggal hanyalah yang bersetuju dengan ketetapan yang diwartakan tanpa boleh mengungkit.
Persoalannya; kenapa sekarang perkara itu ditimbulkan semula? Demang percaya, jika datuk nenek orang Melayu tahu perkara begini akan timbul sudah pasti mereka tidak akan mengizinkan pendatang asing menjadi warganegara!
Marilah kita mengadap realiti sekarang demi keharmonian negara. Sebagai warganegara, kaum Cina dan India diberi peluang yang tidak terhad dalam memiliki kekayaan, mengamalkan kepercayaan masing-masing, dan turut dibawa berunding bagi menentukan dasar negara dalam pemerintahan.
Justeru kenapa dipertikai sedikit keistimewaan orang Melayu. Bukan apa sangat pun. Keistimewaan tersebut dikekalkan bagi membebaskan orang Melayu daripada belenggu kemiskinan akibat dasar penjajah.
Sedarlah bahawa tidak ada hak kaum lain yang dirampas bahkan hak orang Melayu lah yang diambil dan diagihkan kepada orang bukan Melayu.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.