Pagi ini Demang menghadiri mesyuarat PIBGke-37 di sekolah putera-putera Demang. Pada pemidang majlis tersebut terpampang nama perasmi iaitu Ketua UMNO cawangan kampung ini.
Kenapa orang politik dalam majlis sekolah?
Inilah yang ramai tidak faham. Demang percaya, ramai pengunjung yang kurang berpuas hati dengan perkara begini. Kata mereka, pendidikan tidak sewajarnya dicampuraduk dengan politik!
Namun Demang mempunyai pandangan berbeza. Bagi Demang tanpa politik bagaimana sistem pendidikan boleh direalisasi? Malah melalui politik (baca, kuasa) lah sekolah-sekolah dapat dibina sebagaimana yang berlaku hari ini.
Contohnya, melalui kuasa politik yang ada pada PakLah (Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi) -lah lulusan agama dari dalam dan luar negara diserap ke jawatan tetap (JQAF). Sebelum ini JQAF tidak ada. PAS pun tidak terfikir apalagi untuk mendesak unit JQAF ditubuhkan dalam sistem pendidikan negara kita.
Namun PakLah dengan kesedaran sendiri membuat keputusan besar menggunakan kuasa yang ada padanya ketika itu bagi mewujudkan unit JQAF.
Berapa ramai ustaz dan ustazah yang memperolehi pekerjaan serta pendapatan tetap lagi berpencen melalui keputusan politik ini?
Seperkara lagi, UMNO di Malaysia bukan sekadar parti politik. UMNO adalah sistem politik orang Melayu. UMNO adalah sistem masyarakat orang Melayu. Bahkan kemerdekaan negara juga diperolehi melalui perjuangan UMNO.
Hanya yang tidak mengenal sejarah bangsa dan negaranya sahaja yang sanggup menyangkal kenyataan ini.
Jika seseorang merasa janggal dengan keadaan ini bermakna ia terkeluar daripada budaya masyarakat Melayu yang mementingkan kemasyarakatan dan menolak individualistik.
Demang percaya, orang yang seperti itu memang tidak peduli dengan kehidupan bermasyarakat. Dengan kata lain, kera sumbang. Jika pun mereka hadir dalam mesyuarat komuniti, mereka hanya tahu memprotes dan membangkang!
Mereka memang cekap dalam mengesan kesilapan orang!
Demang katakan UMNO, bukannya orang UMNO. Yang memperjuangkan kemerdekaan bukan Najib atau Mahyudin. Bukan juga Rosmah Mansor!
Namun nama-nama yang Demang catat tadi adalah ahli UMNO. Najib adalah pemimpin semasa organisasi UMNO. Mahyudin adalah antara pemimpin UMNO hari ini. Mereka dan sekalian pemimpin UMNO lainnya adalah kesinambungan perjuangan UMNO.
Dalam pada itu kita perlu faham bahawa Najib juga seorang manusia seperti kita. Beliau ada isteri dan keluarga. Nama isteri beliau ialah Rosmah Mansor. Sebagaimana kita hormat pada beliau, maka isterinya juga patut dihormati. Kalaupun tak nak hormat, janganlah dikata, ditohmah dan dicerca sesuka hati!
Kenapa tak dapat tanduk telinga hendak dipulas?
Demang bukan nak menulis mengenai tanduk dan telinga. Demang cuma nak ingatkan bahawa kekecohan yang berlaku dalam politik negara wajib dihentikan segera. Susun atur dan budaya masyarakat jangan dipunahkan begitu sahaja. Jangan diberi peluang kepada musuh Islam mengambil kesempatan.
Sementara itu kempen di Sarawak sedang berlangsung. Biarlah orang Sarawak menentukan senario politik mereka sendiri. Sebelum ini tanpa PAS dan PKR orang Sarawak hidup tenteram dan harmoni dengan budaya tersendiri.
Demang kasihankan SNAPP yang terpaksa berebut kerusi di tempat sendiri!
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.