Wednesday, May 25, 2011

kekal subsidi petrol: dari sudut lain

Kabinet hari ini mengambil keputusan mengekalkan subsidi barangan utama termasuk petrol RON95.

Sudah mengalahkah kerajaan? Demang tak fikir ia keputusan yang manis bagi kerajaan.

Masih ingat dengan kata-kata, 'wang tidak bertambah cuma ia bertukar tangan'?

Begitu juga dengan kek ekonomi. Ia tidak mampu mengembang dalam masa yang singkat. Justeru jika si A mendapat lebih maka si B akan berkurang. Jika perbelanjaan untuk A ditambah maka budget B terpaksa dikurangkan.

Dalam hal ini, yang kuat akan menang. Siapa yang kuat? Wallahu'alam.

PRU13 pasti datang samada mengengsot atau berlari. Sampai masanya kuasa akan dikembalikan kepada rakyat bagi menentukan saf pimpinan baru.

Sedar atau tidak, pemain politik sedang mengatur bidak bagi menawan singgahsana. Dalam permainan ini kita juga tidak diberitahu siapa mangsa dan siapa pemangsa.

Subsidi adalah umpan yang manis. Biarpun sudah dijelaskan berkali-kali namun bukan mudah untuk menukarkan fahaman yang sudah sebati.

Di satu pihak lagi, sekumpulan pengundi yang tak kurang pentingnya sedang menunggu bahagian (kalaupun bukan habuan). Setiap daripada mereka bukan sahaja memegang satu undi bahkan mampu mempengaruhi beberapa undi di sekeliling.

Mereka adalah kakitangan awam yang sudah melangkaui sejuta ahli. Perkara pelarasan gaji dan agihan bonus tahunan bukan perkara yang boleh dibuat main.

Siapa boleh menyangkal betapa pengurangan subsidi adalah satu kelebihan pada kerajaan? Wang yang tersisih itu boleh digunakan bagi menyusun jadual pelarasan gaji serta bonus yang lebih selesa kepada kakitangannya!

Bukankah di situ juga ada undi yang mampu menjadi penentu?

Anwar tahu tentang itu. Maka sebab itulah isu subsidi ini dimainkan habis-habisan. Ia akan dipakejkan dengan isu 'BN: Barang Naik'. Padahal masalah itu tak mampu pun diselesaikan baik formula Obama mahupun Osama.

Maka dengan pengumuman tadi kerajaan terpaksa mencari alternatif lain agar penjawat awam yang memegang jumlah undi yang besar itu tidak akan terentak hati. Najib tentu sudah belajar dengan kesilapan Paklah ketika PRU-12 yang lalu.

Demang tidak mahu menjadi peramal. Namun pada peringkat ini pihak Pakatan berada dalam posisi calon pemenang. Keputusan kerajaan untuk mengekalkan subsidi meletakkan penjaga tabung negara dalam kesulitan. Kita tidak tahu siapa yang akan dikorbankan.

Sama-samalah kita melihat bagaimana Najib yang telah menjadi menteri sejak berusia 23 tahun yang kini menjadi PM mengawal semula permainan.

Sesuatu yang perlu kita ingat ialah bola masih di kaki Najib dan berhampiran kotak penalti pasukan Anwar.

Persoalannya, siapa bakal keluar sebagai pemenang pada peringkat final nanti?

1 comment:

  1. Saya rasa hujah Waadat akan seperti ini juga sekiranya kerajaan naikkan harga minyak, manusia memang tidak akan berpuashati, beri pun salah tak beri lagi dipersalahkan, jadi jangan jadikan kerajaan serba salah, bukan senang mentadbir negara yang mempunyai rakyat yang mentalitinya seperti awak dan yang seangkatannya..

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.