Sunday, June 12, 2011

melayani kerenah raja

Lebih kurang 24 jam yang lalu, Demang membelokkan kereta masuk ke garaj di kediaman kami dengan selamat.

Alhamdulillah.

Cuti sekolah kali ini Demang ke Cameron Highland. Memandu dari Tapah melalui jalan lama, meski lembab namun nyaman terasa. Sejuk mata memandang panorama hijau yang belum begitu banyak terusik.

Setelah dua malam menginap di Tanah Rata, kami mengambil keputusan untuk turun ke Gua Musang, seterusnya ke Kota Bharu.

Sebenarnya ini adalah perjalanan bersejarah kerana Demang sendiri belum pernah ke Kelantan sebelum ini.

Berbeza dengan perjalanan naik melalui Tapah, pemandangan sepanjang jalan melalui Kelantan diganggu tobekan dan tarahan bukit secara melampau di sana-sini. Isteri Demang tidak habis-habis menyesali tindakan tidak bertanggung jawab pihak yang terlibat.

Demang jelaskan pada beliau bahawa isu penarahan dan penggondolan Loging bukan isu terpinggir. Ia pernah menjadi isu besar dan mencabar kewibawaan kerajaan PAS Kelantan.

Namun isu tersebut dikatakan melibatkan pihak istana dan membabitkan kekangan serta batasan tertentu yang sukar diatasi.

Demang cuba memahami masalah kerajaan PAS Kelantan namun terfikir pula, Perak juga mempunyai raja tetapi kenapa masalah tersebut tidak timbul di Perak?

Demang ragu, benarkah pihak istana yang bersalah atau kerajaan negeri yang gagal mengurus masalah yang timbul dengan baik? Pahang juga mempunyai raja dan pernah mengalami masalah penebangan hutan tetapi kerajaan negeri menyelesaikannya dengan baik.

Lihat bagaimana Tun Khalil Yaakob mengendalikannya. Lihat juga bagaimana Tun Ghabar Baba menyelesaikan konflik ahli politik dengan Yam Tuan Besar NS.

Malah, Tun Dr Mahathir mempunyai banyak pengalaman berurusan dengan isu pihak istana. Lihat hikmah pindaan perlembagaan 1993 yang mengukuhkan semula institusi beraja. Pindaan tersebut bukan untuk membuang raja malah itulah formula terbaik bagi memastikan kemandirian institusi tersebut.

Sistem kesultanan adalah penerus sistem kekhalifahan Islam.

Kita perlu sedar bahawa negeri Melayu ialah hak sultan. Melarang sultan menggunakan harta mereka adalah tindakan bodoh tetapi membiarkan hutan dan bukit dibelasah sesuka hati menunjukkan kerajaan itu lebih bodoh.

Di sinilah perlunya KEBIJAKSANAAN.

Demang terfikir juga, barangkali inilah sebabnya pengundi bukan Melayu lebih cenderung memilih PAS yang diterajui silurus bendul (kalaupun bukan sibodoh sombong)? Maklumlah, kita pun tahu siapa pengusaha sebenar yang MENGERJAKAN bukit bukau di Loging dan sekitar perbukitan itu.



Apapun, suasana Kelantan terutama di Kota Bharu menambat hati kami. Tahniah kepada rakyat asal Sultan Kelantan yang mampu menguasai ekonomi berbanding negeri lain. Orang Kelantan ada kelebihan tersendiri dan patut dicontohi.

Terengganu sudah tidak asing pada kami. Destinasi pelancongan utama keluarga kami itu menyambut kedatangan kami dengan ramah. Sayangnya kami tidak boleh berlama tetapi masih sempat meratah SATA yang enak.

Begitu juga Pahang. Kami cuma melintasi bandar Kuantan sebelum menuju ke Segamat. Hasrat untuk menikmati ikan patin masak tempoyak di Temerloh terpaksa diurung akibat kekangan masa.

Demang tidak mahu mengulas panjang tentang Pahang sebab Demang membesar di negeri itu sejak berusia 7 tahun hingga menamatkan zaman bujang.

Terima kasih Pahang kerana memberi ruang untuk Demang dan keluarga menumpang selama hampir 30 tahun.

Kini Demang menumpang kasih di Melaka. Adalah silap jika mengatakan orang Melaka tidak beraja kerana negeri-negeri seperti Melaka bernaung di bawah Yang DiPertuan Agong. Ertinya, sekarang orang Melaka adalah rakyat Sultan Mizan menurut perlembagaan.

Kami menamatkan perjalanan sekitar jam 2.00 pagi setelah merentasi lebih 1500 KM meliputi enam buah negeri.

Bagi Demang, Kelantan biarlah terus dengan keunikan tersendiri. Adalah kurang adil memaksa rakyat Kelantan menentukan kerajaan mereka sendiri biarpun terdapat beberapa kelemahan kerajaan PAS.

Permulaan kemelut politik orang Melayu sebenarnya sedikit sebanyak dipengaruhi keghairahan sesetengah pihak untuk mengubah kerajaan sedia ada. Inilah juga yang berlaku di Kelantan. Hal ini kerana kerajaan yang sudah lama bertapak di sesebuah negeri sudah membina dan membentuk suatu sistem tersendiri.

Bagi Demang, perubahan tidak semestinya bermaksud mengubah sebaliknya ia lebih molek dilakukan melalui kaedah PEMBETULAN.

Itulah yang sepatutnya kita lakukan. Najib sedang melakukannya dengan gigih, maka bantulah beliau ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri dan selagi beliau tidak menderhaka pada wasiat raja-raja Melayu.

Yang lebih penting, beliau tidak mengajak kita murtad atau menyeleweng daripada akidah tauhid.

Wallahu'alam.



Foto:
Terima kasih http://anuarmz.blogspot.com/

3 comments:

  1. sdr demang,

    melihat gambar-gambar yang saudara paparkan, saya nampak seperti torehan tersebut sebahagian dari kerja kejuruteraan yang terlibat dalam pembinaan jalanraya (ini termasuk drainage, water diversion dan slope stabilisation).

    topik yang saudara bawakan akan lebih berkesan jika terdapat gambar-gambar lain yang lebih 'damning'.

    ReplyDelete
  2. T.ksh. Anda benar. Foto itu sy ambil drpd blog lain. Nampaknya anda memang sensitif. Nti sy gantikan dgn foto lain.

    ReplyDelete
  3. Salam Cheguman,

    Alhamdulillah, satu nukilan yang baik dan tepat.

    Selamat kembali bertugas esok, seperti Cheguman saya juga bertuah menjadi rakyat Malaysia dan berSyukur kerajaan saya telah berjaya buat yang terbaik untuk rakyat jelata.

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.