Umno boleh memperkenalkan hukum hudud jika Pas bergandingan dengan parti teras Barisan Nasional (BN) itu, dengan membangunkan sebuah negara Islam.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Umno amat mengalukan-alukan penyertaan Pas dalam parti itu jika ia berpisah dari Pakatan Rakyat (PR).
Beliau berkata, pelaksanaan hudud hanya dapat dilakukan jika Pas menyertai Umno untuk bersama-sama membina negara dan menggubal perundangan Islam.
“Sebelum itu, kita harus pastikan hudud yang akan dilaksanakan adalah bukan hudud Pas, sebaliknya hukum hudud yang ditetapkan oleh agama Islam.
“Pas harus keluar dari PR secepat mungkin kerana mereka saling berpelukan dengan orang kafir yang secara nyata menolak hudud” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis sumbangan dan berbuka puasa peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam, di Masjid Pekan Jerlun, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, sudah tiba masanya Pas meninggalkan PR dan menetapkan pendirian sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.
“Apabila Pas meninggalkan PR yang disertai parti bukan Islam, baru mereka boleh meneruskan perjuangannya yang didokong selama ini.
“Selagi Pas bersama parti yang tidak mengakui Islam adalah agama unggul, hukum hudud tidak dapat di laksanakan,” katanya.
Menurutnya, dunia mengiktiraf Malaysia adalah sebuah negara Islam tetapi ia tidak dapat melaksanakan hudud kerana Malaysia mempunyai kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Umno akan mewujudkan sebuah negara Islam yang lengkap jika Pas berbesar hati untuk menyertai Umno.
“Negara Islam lain juga menaruh harapan kepada Malaysia, namun masih ada orang yang cuba memecahbelahkan orang Islam. Oleh kerana itu hajat kita tidak tercapai.
“Untuk membina sebuah negara Islam, orang Melayu harus bersatu dalam satu pakatan dan membangunkannya secara lengkap.
“Kita tidak usah mempedulikan orang yang memperjuangkan hanya untuk menjadi Perdana Menteri, sebaliknya semua orang Melayu dan Islam mesti bersatu untuk membina sebuah negara Islam dan melaksanakan hudud,” katanya.
- SINAR HARIAN
Demang tunggu apa pula alasan PAS kali ini?
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.