Saturday, November 10, 2012

Masjid solat Jumaat 2 minggu sekali


Masjid Kampung Hulu Melaka 1728

Hajat semalam nak solat Jumaat di Masjid Kampung Hulu iaitu masjid pertama yang dibina selepas kesultanan Melaka tumbang di tangan Portugis.

Namun dari jauh lagi Demang lihat arus orang ramai tidak menghala ke situ. Masjid yang dibina pada 1728 masihi di zaman Belanda itu kosong tidak berorang meskipun waktu zohor sudah masuk.

Sudah lama Demang ingin solat di masjid binaan seorang cina muslim itu. Menurut catatan sejarah itulah masjid tertua di Malaysia dan masih berada pada tapak asalnya.

Portugis yang menakluki Melaka 1511 telah meruntuhkan semua masjid dan tidak membenarkan pembinaan masjid baru semasa mereka berkuasa.

Begitulah nasib jika kuasa berada pada orang lain.

Berbalik pada urusan solat tadi, rupa-rupanya pada minggu ini Masjid Kampung Hulu tidak mengadakan solat Jumaat.

Kenapa? Bukankah solat Jumaat wajib diadakan setiap minggu dan bukannya dua minggu sekali?

Mujur Demang faham situasi. Maka Demang terus menyertai pergerakan orang ramai yang berjalan kaki menuju ke sebuah lagi masjid kira-kira 300 meter dari situ.

Itulah Masjid Kampung Kling, sebuah lagi masjid tua yang dibina pada tahun masihi 1748.

Oleh kerana jarak kedua-dua buah masjid terlalu begitu dekat maka solat Jumaat di kawasan itu dilakukan bergilir-gilir di masjid-masjid tersebut.

Namun masjid ini sudah banyak berubah. Binaan asalnya diperbuat daripada kayu namun pada 1872 ia dibina semula menggunakan bahan batu.

Seni binanya menampakkan pengaruh Sumatera, China, dan Melaka.

Kebetulan ketika hari itu ada pihak yang melakukan rakaman video termasuk bacaan khutbah.

Demang pun tak pula menyiasat atau bertanya tujuan mereka.


Masjid Kampung Kling Melaka 1748

No comments:

Post a Comment

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.