Thursday, March 7, 2013

Gerakan pemisah di Sabah satu permulaan


Wajarkah serangan tentera dilakukan ke atas pengganas di Lahad Datu?

Kalau ditanya pada Demang sekarang, Demang kata, wajar dan tak wajar.

Nanti, jangan serang Demang dulu.

Demang nak tanya, kenapa pemberontak yang rata-rata merupakan kumpulan serpihan sanggup menghantar nyawa untuk direnggut? Tidak tahukah mereka bahawa mustahil boleh menang berperang dengan sebuah negara yang lengkap dengan senjata canggih?

Mereka amat sedar tentang itu. Malah itu sebabnya mereka sudah siapkan lubang besar sebagai kubur bagi memudahkan rakan-rakan mereka mengebumikan mayat mereka nanti.

(itu andaian Demang tentang adanya lubang besar berisi mayat-mayat penceroboh. Wallahualam).

Kenapa pula Demang kata tidak boleh guna kekerasan ke atas mereka?

Bagi Demang apabila kita menggunakan kekerasan ke atas mereka maka kita sudah terjebak dalam kemelut yang amat panjang. Ia tidak boleh padam dalam masa yang singkat. Setidak-tidaknya ia tidak akan berakhir kurang daripada sepuluh tahun!

Lihat di Sempadan Thailand. Sudah berapa lama ia berlangsung? Padahal kawasan pergerakan tentera pemisah di situ amat sempit. Terkepung pula oleh dua buah negara berdaulat.

Namun hingga kini masih belum nampak penghujung!

Lihat pula di Acheh. Secara geografi Sabah lebih kompleks berbanding Acheh. Puak pemisah Acheh hanya mempunyai hutan manakala Selat Melaka agak sukar untuk melarikan diri. Jika ada pun lautan luas di sebelah utara dan barat daya yang terdedah.

Dalam keadaan begitu pun tentera kerajaan Indonesia tidak mampu melenyapkan gerilya Acheh sehinggalah datang bantuan tsunami.

(kalau di Malaysia, pembangkang akan kata tsunami itu pun terlibat dalam konspirasi UMNO!)

Pemberontak di mana-manapun biasanya mempunyai tekad yang bulat. Biasanya mereka meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mendapat kuasa autonomi.

Walaupun mereka tidak boleh menang dalam satu peperangan namun mereka mampu mengacau secara berterusan sehingga kerajaan yang memerintah menjadi tertekan.

Walaupun mereka tidak kuat namun mereka tidak sentiasa lemah. Pada ketika kerajaan menghadapi masalah lain seperti tekanan pembangkang, ancaman luar, atau bencana alam (bukan di kawasan yang terlibat) maka secara relatif mereka menjadi kuat.

Intipati pada modus operandi mereka ialah istiqomah. Mereka membina sarang-sarang dalam bentuk perkampungan lengkap dan hidup secara bergenerasi.

Anak-anak dididik, dilatih, dan sentiasa dipersiapkan bagi menyambung perjuangan.

Mereka menyerang hendap orang awam secara berterusan dan melarikan diri dengan senyap. Tindakan ini dilakukan dalam jangkamasa yang lama sehingga kehidupan orang awam menjadi sukar dan akhirnya memberi tekanan pada kerajaan agar memenuhi tuntutan aktivis gerakan pemisah.

Puak pemisah sulu bergerak dari habitat asal mereka yang mereka sangat mahir segala selok beloknya. Sempadan yang ditandai di atas peta tidak pernah menjadi pemisah antara mereka dengan tanah Sabah.

Laut yang ditaburi pulau-pulau kecil bersempadankan Indonesia, Malaysia, dan Filiphina menjadi ruang penampan untuk mereka menyerang hendap dan kembali ke sarang yang sering bertukar lokasi.

Silap-silap ketiga-tiga negara tersebut pula yang saling tuduh menuduh dan berkelahi sesama sendiri.

Justeru konflik di Sabah ini bukan perkara remeh. Ia bukan sandiwara untuk dipentaskan dan jauh sekali untuk dijadikan umpan pilihanraya.

Jika tadi Demang katakan tidak wajar untuk berkeras namun pilihan kedua itu telah diambil. Demang fikir tindakan tersebut jikapun akibat tekanan daripada rakyat (bakal pengundi) namun ada rasionalnya.

Apabila ia telah dimulakan maka ia tidak boleh ditamatkan begitu sahaja.

Itulah sebabnya walaupun pihak penceroboh sudah mengumumkan gencatan senjata di pihak mereka namun kerajaan Malaysia tidak boleh menerima begitu sahaja.

Mahu tidak mahu saki baki penceroboh termasuk pengasas dan hirerkinya mesti dimusnahkan. Jika tidak, ia akan kembali bertunas, membesar, dan kembali aktif.

Demang percaya kerajaan melakukan tindakan setelah mengambil kira semua faktor, terutamanya berdasarkan situasi semasa dan kebaikan jangka panjang.

Perlu diingat, gencatan senjata dalam masa terdekat mungkin sekadar muslihat.

No comments:

Post a Comment

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.