Wednesday, May 28, 2014

Cuti yang pelik, tak pelik, dan amat pelik

Hari ini Rabu 28 Mei 2014 sekolah mula bercuti selama 2 minggu setengah. Cuti pada pertengahan tahun ini bukanlah pelik dan memang sudah ada sejak kita merdeka kalau tak silap Demang.

Yang agak pelik sikit ialah ada tambahan 'setengah' menjadi 2 minggu setengah!
Itupun tak berapa pelik kerana mungkin hari persekolahan sudah terlebih maka rugilah jika tidak dihabiskan.

Cuma andaian itu menjadi pelik semula apabila kita dimaklumkan bahawa pada hari-hari Sabtu tertentu, persekolahan terpaksa diadakan bagi menggantikan cuti tambahan sempena Hari Raya Aidil Fitri tahun ini.

Demang gunakan huruf besar pada nama perayaan itu sebab ia memang nama khas dan perayaan tersebut adalah perayaan negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Perkara 3.

Bagi yang tidak pernah menyemak perlembagaan kita, Demang nak catatkan sedikit:
Perkara 1. (1) Persekutuan dinamakan Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.
Perkara 2. (Penerimaan masuk wilayah-wilayah ke dalam Persekutuan. Sila baca sendiri)

Perkara 1 dan Perkara 2 mendefinisikan dan menentukan maksud persekutuan, wilayah, dan persempadanannya.

Perkara 3 yang paling penting dan inilah yang nak Demang sentuh kali ini. Demang salin bulat-bulat daripada buku Perlembagaan:

Perkara 3. (1) Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perhatikan baik-baik ayat tersebut. Tidak dicatatkan langsung perkataan 'agama rasmi' di situ sebagaimana fahaman sesetengah burung kakaktua yang belajar entah dari mana!

Kalau ada 'agama rasmi', ertinya akan ada pula 'agama tak rasmi'. Ada ke sesiapa di sini yang ada 'agama tak rasmi'? Itu sebabnya istilah itu tiada dalam Perlembagaan kita.

Janganlah pula dipertikaikan kenapa hal Islam diletak pada Perkara 3, bukannya pada Perkara 1. Sudah diberitahu tadi Perkara 1 dan Perkara 2 adalah bagi mendefinisi apa itu Persekutuan, namanya, dan persempadanannya (fizikal).

Jelas dalam Perkara 3 (1) bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan dalam Perkara 1 awal-awal lagi dinyatakan Malaysia adalah nama bagi Persekutuan.
Mari kita bandingkan ayat dalam perlembagaan dengan ayat berikut:
Sampel A. Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Sampel B. Islam adalah agama bagi Ali.

Jika ayat B bermaksud Ali beragama Islam maka sudah tentu ayat A bermaksud Malaysia beragama Islam.
Jika demikian, perayaan utama yang wajib disambut oleh Malaysia ialah Hari Raya Aidil Fitri maka kenapa ia dipandang ringan oleh pihak berkuasa? Tidak faham perlembagaankah atau sengaja tidak mahu melaksanakannya?

Betul, alasannya ialah cuti berganti itu adalah cuti tambahan sahaja sedangkan cuti wajib sudah ada. Demang nak tanya lagi, kalau cuti yang diperuntukkan itu diakui tidak mencukupi, kenapa tidak disusun semula jadual cuti persekolahan agar sesuai dengan agama negara kita?

Barangkali akan ada pula yang pertikaikan, jika Malaysia negara Islam kenapa tidak dilaksanakan hudud?
Jawapan Demang mudah sahaja. Hudud tidak dilaksanakan kerana ahli-ahli politik di negara kita baik UMNO mahupun PAS masih BELUM BERSEDIA untuk melaksanakannya. Jika mereka benar-benar ikhlas, mereka akan ketepikan ego masing-masing dan bersatu untuk merealisasikannya.

Baik UMNO mahupun PAS, hudud hanyalah bahan kempen politik sahaja dan ia akan dihilangkan apabila kepentingan undi pilihanraya mengatasi kepentingan Islam!
Demang tidak sentuh PKR kerana parti itu jelas menyatakan mereka tidak ada agenda Islam bahkan mereka memperjuangkan kesamarataan dalam semua perkara termasuk agama.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.