Saturday, June 28, 2014

Info yang patut kita tahu

Pernah dengar Whatsapp?
Ha ha ha.... soalan lawak!
Ini maklumat yang sangat penting yang Demang terima melalui whatsapp.
Apapun Demang tak paksa anda membacanya. Nak baca boleh, tak baca pun boleh. Walau bagaimanapun Demang sarankan anda baca cadangan Demang di bawah mesej tersebut dan panjang-panjangkan pada pihak berkenaan.
Mesej yang diterima:
Salam semua... Pagi ni maz terima pesanan dr wasap group ustaz zainudin dr jabatan agama islam selangor, dia suh sebarkan perkara ini..                          Puak yahudi dengan sengaja telah membina beberapa website untuk menyebarkan maklumat yang salah mengenai Al-Quran dan Hadis, dengan itu sila berhati-hati terhadap websites berikut & beritahu sahabat lain.
1.www.answering-islam.org
2.www.aboutislam.com
3.www.thequran.com
4.www.Allahassurance.com
Tolong kirim pesanan ini kepada seramai muslim yang boleh kerana jika tidak mungkin ramai orang islam akan mendapat maklumat yang salah mengenai agama Islam.
Dpt info ni.. Tadi ada mintak ustaz kat UM check... Dia kata betul.. Plg bahaya adalah answeringislam...
Copy paste info dr group lain..
--mesej tamat--
Ini pula respon Demang:
Jika benar perkara tersebut maka ia memang patut diketahui orang ramai baik orang Islam mahupun bukan Islam. Orang Islam patut tahu supaya tidak silap beramal manakala orang bukan Islam perlu tahu bahawa itu bukanlah ayat Quran yang sebenar.
'Patut tahu' bukan bermaksud orang ramai saling sebar menyebar info-info penting kerana tindakan begitu akan menyuburkan lagi fitnah.
Sepatutnya kita sudah ada satu pusat sebaran maklumat SOHIH yang diberi autoriti. Pusat tersebut akan bertindak menghantar terus apa sahaja info penting yang telah diSAHkan pada semua rakyat Malaysia yang mempunyai akaun media sosial.
Jika kita mahu ahli keluarga kita menerima mana-mana info penting, pastikan sahaja mereka mendaftar dengan portal sumber tersebut dan tidak perlu lagi 'copy & paste', share, forward' dan sebagainya.
Jadi, tak perlulah lagi Demang yang menjadi ahli pada10 group menerima 10 kali mesej yang sama dan belum tentu SOHIH.
Di pihak kerajaan pula akan lebih mudah menyalurkan maklumat dan dapat mengawal penyebaran maklumat palsu.
Nak guna aplikasi apa? Eh... yang itu tak perlulah Demang bagitau. Kalau gitu lebih baik Demang yang jadi menteri!
Boleh?


Keterangan foto di bawah:
Langsung tiada kena mengena dengan artikal ini.

Tuesday, June 24, 2014

Menipu jawapan teka teki

Dulu-dulu guru Demang pesan, jangan meniru sebab meniru seolah-olah menipu diri sendiri.

Demang angguk dan patuh walaupun tak begitu faham.

Rasanya sekarang Demang semakin faham erti ujian. Ia adalah sebuah teka-teki yang hanya pembuat soalan sahaja tahu jawapan manakala semua jawapan yang kita fikir itu selalunya tidak betul.

Ujian adalah penapis yang memerangkap calon palsu dan membenarkan manusia jujur dan ikhlas melepasinya.

Si penipu yang menjawab dengan betul akhirnya mendapati dia tidak mampu memikul tropi kemenangan manakala si jujur mungkin tidak dapat menjawab semua soalan dengan betul namun akhirnya membawa pulang hadiah yang sesuai untuk dirinya.

Untuk menjadi pemenang tulen, kejujuran amat penting. Si penipu mungkin memperolehi hadiah yang mahal namun akhirnya sedar hadiah itu tidak sesuai dengan dirinya. Si jujur pula mungkin kecewa apabila sekadar menerima hadiah saguhati namun akhirnya mendapati hadiah itulah yang yang terbaik untuk dirinya.

Wednesday, June 18, 2014

Peserta tilawah dapat Camry

Seorang ustaz merungut di depan Demang, pemenang tilawah dapat Myvi manakala pemenang Kilauan Emas dapat Camry dan wang RM100k. Adilkah?

Demang tak pasti pada siapakah beliau tujukan soalan itu. Kalau pada Demang, apalah yang boleh Demang buat? Habis-habispun, dalam blog inilah sahaja Demang menyambung omelan.

Kalau dilihat kerut dahi, intonasi suara dan juih mulutnya, kerajaanlah yang dipersalahkan. Demang bersetuju juga walaupun Demang sengaja mengajukan beberapa soalan menduga.

Kata Demang, hadiah Kilauan Emas ditaja syarikat swasta sebab audiens ramai. Penonton tilawah hanya orang Islam, itupun hanya segelintir yang tengok dan mereka pun tak lama lagi dah tak boleh beli apa-apa.

Lagipun kebanyakan syarikat-syarikat besar milik orang bukan Islam. Takkanlah mereka nak menaja tilawah Al-Quran? Beriman pun tidak, inikan pula nak keluar duit?

Ustaz tersebut mengalih pada cerita Brunei yang mengeluarkan RM1000 sebulan kepada rakyatnya yang hafaz Al-Quran. Erti perbandingan itu ialah kerajaanlah yang patut keluarkan perbelanjaan untuk tilawah.

Memang logik cadangan itu. Bukankah dalam Perkara 3 perlembagaan kita dinyatakan 'Islam adalah agama bagi persekutuan'? Takkanlah nak keluarkan belanja untuk agama negara pun tidak boleh?

Demang harap cadangan ustaz itu benar-benar ikhlas dan bukan sekadar nak buat isu. Jangan pula nanti ada yang merungut dan keluarkan isu baru; nak buat pahala pun nak minta subsidi!

Putera sulung Demang belajar di sebuah sekolah tahfiz swasta. Pemiliknya ialah seorang menteri bernama Zahid Hamidi. Konsep sekolah tersebut diasaskan oleh seorang lagi menteri bernama Idris Jusuh.

Selain mendapat pembiayaan khas tersebut, terdapat juga ibubapa pelajar yang tidak putus-putus menderma termasuk sebuah bas, van, dan kereta Myvi untuk kegunaan para pelajar tahfiz di situ. Baru-baru ini didermakan lagi untuk membeli tanah bagi meluaskan kawasan sekolah.

Ertinya selain melalui kerajaan, ummat Islam juga boleh berharap pada usahawan muslim yang telah berjaya. Justeru usaha membina dan menyokong usahawan dan pembesar muslim merupakan satu lagi cara untuk melaksanakan Islam di Malaysia.

Demang tidak nafikan peranan politik namun kita tidak boleh selamanya bergantung pada politik. Apapun sementara kita masih memegang kuasa politik, manafaatkanlah sebaik-baiknya. Buat apa nak kupas kelapa dengan gigi kalau kita memegang parang?

Sebagai rakyat, kita juga ada peranan. Jangan hanya nampak melalui pilihanraya sahaja rakyat berkuasa. Dalam berjual beli pun rakyat ada kuasa. Utamakan produk muslim ketika berbelanja. Memanglah kadang-kadang mahal sikit sebab di situ ada faktor sejarah yang masih mengikat kita. Kena faham bahawa kaum cina di Malaysia berjaya dalam perniagaan sebab mereka diberi peluang yang luas oleh Inggeris sebelum merdeka dan mewarisi tinggalan British ketika merdeka.

Dalam perjuangan mesti ada pengorbanan.

Di pihak pengusaha pula, perlu ada tanggungjawab pada agama. Selain zakat yang wajib ditunaikan, bantulah usahawan baru yang masih bertatih. Bimbinglah saudara-saudara kita dengan ikhlas dan praktikal. Jangan hanya bercakap sahaja.

Kalau nak berniaga, jangan hanya nak jadi kontraktor sahaja. Bidang pengeluaran amat luas. Apatah lagi pembuatan makanan yang selama ini dikuasai syarikat bukan Islam.

Daripada sibuk berbalah pasal persepsi politik dan fahaman tok guru masing-masing lebih baik lah gembeling usaha dalam perniagaan. Cambahkan networking dan perkecilkan perbezaan fahaman.

Setakat ini belum ada orang mati yang bangkit beritahu kita bahawa mana satu fahaman yang betul. Bagi Demang apabila dia mengucap Dua Kalimah Syahadah dan mengaku Islam, maka muslimlah dia. Biarlah Allah taala sahaja yang mengadili selebihnya.

Tuesday, June 17, 2014

Malaysia negara Islam atau sekular?

Malaysia sebuah negara Islam atau sekular? tanya Oscar Ling Chai Yew dan Jamil Khir menjawab...

Lihat jawapan Jamil Khir dalam berita di bawah dan sudi-sudikanlah membaca sedikit komen Demang selepas itu.

KUALA LUMPUR 16 Jun - Malaysia bukan merupakan sebuah negara sekular berdasarkan fakta sejarah penubuhan negara ini yang berasaskan kepada Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkara itu diperkukuhkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan agama Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan.

Beliau berkata, kedudukan ini juga dizahirkan dengan adanya peruntukan lain seperti dalam Fasal (4) Perkara 11 berkenaan dengan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan penganut agama Islam oleh undang-undang Negeri dan Persekutuan.

Malah katanya, dalam Fasal (2) Perkara 12 tentang hak berkenaan dengan pendidikan, di mana sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan, menyenggarakan, membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi Islam atau membantu untuk mengadakan ajaran dalam agama Islam serta melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu.

“Manakala dalam Fasal (1A) perkara 121 juga menyebut bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Malah, dalam butiran 1 senarai negeri jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan antaranya termasuk hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam dan mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan dalam kalangan orang yang menganut agama Islam serta ikrar Yang di-Pertuan Agong dalam jadual keempat untuk memelihara agama Islam pada setiap masa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) sama ada Malaysia adalah sebuah negara sekular atau Islam dalam Dewan Rakyat hari ini. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140616/dn_33/Malaysia-bukan-negara-sekular---Jamil-Khir#ixzz34rDuI6c2 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Setahu Demang Perkara 3 dalam perlembagaan kita bukanlah baru bahkan itulah teras utama perlembagaan apabila kita memutuskan untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah persekutuan yang baru.

Perkara-perkara lain adalah penyokong pada Perkara 3 tersebut.

Oleh kerana perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara maka semua yang diputuskan dan dilaksanakan mestilah tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Persoalannya, adakah ia telah dilaksanakan? Siapakah yang sepatutnya bertanggung jawab?

Demang percaya anda sedar bahawa tanggungjawab melaksanakannya bukan pada satu pihak sahaja tetapi semua pihak yang telah bersetuju menjadi warganegara pada negara ini.

Jika ada yang tidak bersetuju maka beredarlah dari negara ini tidak kira apa pun keturunan anda sekalipun anda berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Apabila dikatakan Islam adalah agama bagi Peraekutuan (Malaysia) maka agama-agama lain bukanlah agama bagi persekutuan. Justeru sebarang peruntukan tidak boleh digunakan secara langsung untuk agama selain Islam.

Namun oleh kerana dalam perlembagaan turut menyebut kaum-kaum lain (selain Melayu) boleh mengamalkan agama mereka dengan aman maka tidak ada halangan untuk mereka meneruskan.

Diberi kebenaran untuk mengamalkan ajaran sudah tentu tidak termasuk menyebarkan agama selain Islam. Amalkanlah sebab itu yang mereka percaya namun tidak bolehlah mangajak orang lain turut mengamalkannya apatah lagi menganut agama selain Islam.

Jika semua pihak memahami dan mematuhi perlembagaan yang telah dipersetujui bersama maka harmonilah negara kita.

Coda:
Lihat bendera Malaysia. Kenapa ada bulan dan bintang? Bukankah kita telah bersetuju lama dahulu dan angkara siapakah yang cuba memecahbelahkan semula rakyat Malaysia? Untungkah kita jika berpecah belah dan bersengketa? Rugikah kaum lain selama ini?

Monday, June 16, 2014

Jual tanah

Siapa nak beli tanah? Siapa nak jual tanah? Tanah mana nak dijual? Berapa hektar atau berapa lori?

Berikut adalah catatan Tun Mahathir dalam isu JUAL TANAH.

Selamat membaca.

Tidak seperti kebanyakan negara lain pemilik tanah di Malaysia bebas menjual tanah mereka kepada sesiapa sahaja, termasuk kepada orang asing. Di zaman British orang Melayu yang rata-rata miskin kerap menjual tanah milik mereka. Harga yang ditawarkan oleh pembeli begitu tinggi sehingga tidak mampu mereka menolak.

Setelah dijual, mereka akan pindah ke kawasan tanah murah, biasanya di luar bandar. Kemudian bandar berkembang sehingga sampai ke kawasan di mana penjual tanah mendirikan rumah. Dengan ini harga tanah pun naik lagi.

Sekali lagi pemilik tanah ditawar harga yang tinggi untuk tanahnya. Sekali lagi pemilik tidak dapat tahan hati dan lalu menjual tanahnya serta berpindah ke kawasan lebih jauh dari bandar untuk mendiri rumah. Akhirnya pemilik tinggal di pinggir hutan.

Oleh sebab ini maka diperkenalkan undang-undang Tanah Simpanan Melayu. Kawasan yang diisytihar Simpanan Melayu tidak boleh dijual kepada bukan Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu daripada menjadi penumpang di negaranya sendiri.

Tetapi jual tanah ini tidak terhad kepada orang rakyat sahaja. Raja pun sering menjual tanah takluknya. Demikian Pulau Pinang dijual kepada British. Kemudian Seberang Prai. Dinding di Perak juga dijual. Dan Singapura.

Dinding tidak berguna kepada British dan dikembalikan kepada Perak. Apabila cadangan Malaya Union dibuat oleh British Pulau Pinang, Seberang Prai dan Melaka dirancang sebagai sebahagian dari Union tersebut. Singapura dikecualikan kerana ianya strategik bagi British. Apabila Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu dan pejuang-pejuang anti Malayan Union dikalangan orang Melayu tidak menuntut Singapura sebagai Wilayah Persekutuan. Apa yang berlaku kemudian adalah sejarah.

Tetapi tabiat menjual tanah masih kekal. Ia tidak semestinya melibat kepingan tanah. Mengorek tanah untuk dijual kepada negara lain juga tidak banyak berbeza dari penjualan tanah.

Kerajaan melarang penjualan tanah seperti ini. Tetapi penjualan ini masih berlaku. Dengan digunanya tanah Negara ini untuk memperbesarkan wilayah negara lain,hasilnya tidak banyak berbeza dari penjualan wilayah kepada negara asing, seperti yang dilakukan dahulu.

Kita sudah merdeka lebih setengah abad. Tetapi kita sudah lupa akan kesalahan kita dahulu. Memang menjual tanah seperti dapat duit percuma. Tetapi duit yang didapati akan hangus dibelanja. Akhirnya duit pun hilang tanah pun hilang. Penjual akan jadi papa kedana.

Sebenarnya ada cara untuk mengekalkan pemilikan sementara mendapat nikmat berpanjangan dari nilai tanah yang meningkat sepanjang masa. Tetapi itu cerita lain.

Di zaman ini dengan teknologi dan modal yang banyak terusan seperti Selat Tebrau pun boleh ditebusguna sepenuhnya. Nilai tanah ini tentulah amat tinggi, lebih tinggi dari belanja menebusguna. Sedikit sebanyak usaha ini sudah dilakukan.

Setelah pihak kita menebusguna selat di sebelah kita, pihak lain pula akan menebusguna sebelah mereka. Terusan akan jadi parit. Jambatan tidak perlu lagi. Siapakah yang akan bangun tanah tebusan yang mahal ini. Siapakah yang akan tinggal di bandar-bandar baru. Tentulah mereka yang berada sahaja yang akan memiliki kondo-kondo mewah yang akan didirikan.

Tak mengapalah kita dapat duit banyak. Pinggir hutan amat selesa. Kalau kita ternampak sebagai penumpang di negara sediri, itu pun tak mengapa. Selagi boleh jual negara sendiri apa salahnya menjadi penumpang.

Tun Dr Mahathir
May 30th, 2014 @ 08:21 pm › chedet

Friday, June 13, 2014

Undang2 baru samaratakan rakyat

Khabarnya malam tadi Brazil menang ke atas Croatia 3-1. Ramailah yang berqiamullail malam tadi demi bola sepak walaupun tidak pernah  bangun untuk solat tahajjud sebalum ini!

Tak apalah. Kita berbaik sangka. Barangkali mulai malam tadi maka berterusanlah sampai bila-bila para peminat bola sepak bangun malam untuk menambah ibadat.

Jika tidak, maka bukan sahaja mereka yang perlu risau dan kecewa. Demang juga risau dan kecewa sebab jika orang ramai tidak bersikap adil pada tuhan dan diri sendiri, bagaimanakah mereka boleh diharap dalam menegakkan keadilan dalam negara?

Demang perturun di bawah ini AMARAN Tun Mahathir terntang kezaliman yang bakal melanda orang Islam. Sedarkah?

Jika sudah tahu, apa tindakan kita? Nak biarkan sahajakah? Mana perginya orang UMNO dan PAS yang tak habis-habis bersengketa? Mana perginya ulama-ulama kita yang begitu celupar menghukum sana-sini dan begitu alergik dengan pendapat orang yang tak sehaluan dengan fahaman mereka?

Mana perginya gerombolan yang setiap kali timbul isu ghairah turun berdemonstrasi? Adakah kerana isu-isu sebelum ini dijuarai dan dipimpin orang kafir seperti Ambiga manakala isu kali ini akan diketuai orang Islam?
Bacalah kenyataan Tun Mahathir berikut dan bertindaklah segera. Bacalah sungguh-sungguh. Jika tidak faham, bacalah beberapa kali dan buatlah bacaan tambahan untuk memahami DEB yang turut disentuh dalam artikal tersebut.

Semaklah majlis peguam dan ketahui siapa yang berada dalam majlis itu. Adakah ulama Islam ramai di situ?
1. Kerajaan Malaysia akan membentang tiga rang undang-undang (Bill) bagi mengganti Akta Hasutan 1948, demikian janji Perdana Menteri. Akta Hasutan dianggap tidak sesuai dengan keadaan zaman dan dasar keterbukaan Malaysia.

2. Apakah rang undang-undang yang akan dijadikan pengganti kepada Akta Hasutan? Dibawah diperturunkan nama-nama akta berkenaan:-
1) National Harmony Bill
2) National Unity Bill
3) National Unity and Integration Commission Bill

3. National Unity Bill dan National Harmony Bill bertujuan menghapuskan dasar pemilihan berasas kepada agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, jantina atau ketidakupayaan dan lain-lain yang berkenaan.

4. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan bangsa.

5. Di Malaysia kita kekalkan bangsa asal kita, bahasa dan budaya kita, sekolah kita, bahkan universiti kita. Susulan dari itu kita tinggal di tempat-tempat berasingan, amalan cara hidup dan kegiatan kita juga berbeza dan berasingan. Dalam bidang perniagaan masing-masing mempunyai network sendiri berasas kepada kaum/bangsa, bahasa dan budaya. Sistem “guild” atau kesatuan jenis perniagaan tertutup kepada orang lain.

6. Pencapaian masing-masing kaum/bangsa juga berbeza dengan kaum Cina mendahului kaum India dan Melayu dan kaum India sedikit sebanyak mendahului kaum Melayu.

7. Keadaan terpisahnya kaum/bangsa dan pencapaian kaum/bangsa yang tidak sama tidak membolehkan penyatuan dan harmoni di kalangan mereka dengan mudah. Kerana kaum/bangsa tidak boleh dihapuskan percubaan dibuat melalui DEB untuk mengurangkan jarak pemisahan antara mereka dalam bidang ekonomi.

8. Dasar Ekonomi Baru dibentuk bertujuan untuk mengurangkan jarak perpisahan antara kaum ini. Untuk ini perlu ada diskriminasi untuk satu kaum yang ketinggalan mengejar kaum lain. Apabila National Harmony Bill dilulus maka DEB tidak boleh dilaksanakan lagi. Ini bermakna negara akan amal meritokrasi – iaitu mereka yang mempunyai merit atau kebolehan tertinggi akan dapat segala-galanya. Biasiswa, tempat dalam universiti Kerajaan, kontrak, peluang kerja dan bermacam lagi akan diperolehi berasas merit. Di luar Kerajaan segala-galanya sudah pun didapati oleh mereka yang memiliki merit.

9. Memanglah ini amat adil. Tetapi besar kemungkinan kaum yang miskin, yang kerananya tidak berpeluang atau tidak memiliki persekitaran untuk belajar, pergi ke sekolah swasta yang baik dengan yuran tinggi, tidak cukup makan, kurang sihat, terlantar di rumah sekejap-sekejap, kaum ini tidak dapat memenuhi syarat, tidak memiliki merit untuk mendapat apa-apa. Mungkin mereka tidak pun dipanggil untuk ditemuduga.

10. Kerana keadilan sistem merit yang miskin (bumi) akan terus miskin dan yang kaya akan lebih kaya.

11. Di Eropah di zaman industri, yang kaya memiliki semua perusahaan dan yang miskin bekerja sebagai kuli. Tidak ada peluang sama sekali bagi kuli yang miskin menjadi kaya, kerana tidak ada pelajaran dan tidak ada modal, tidak memiliki merit.

12. Ini bukan kerana diskriminasi. Kuli sebenarnya tidak ada merit, justeru itu mereka tetap tinggal sebagai kuli. Yang kaya memperolehi merit maka mereka tetap kaya dan menjadi lebih kaya.

13. Akhirnya kuli mengadakan kesatuan sekerja, mengadakan mogok dan bermacam tindakan perusahaan, Kedudukan mereka menjadi lebih baik dan mereka berpeluang untuk mengejar ilmu dan kecekapan, kekayaan dan kejayaan. Wah! Rupa-rupanya mereka ada kebolehan, mereka yang tidak ada merit dahulu, apabila berpeluang jelas mereka ada merit dan mampu menjadi pengusaha dan majikan.

14. Kalau tidak kerana kuasa kesatuan sekerja dan mogok, potensi dan merit yang ada pada kuli tidak akan menjadi nyata.

15. Jika kita ambil iktibar, maka jelaslah yang kurang merit pun jika diberi peluang akan memiliki merit dan berjaya. Jika kita hapuskan diskriminasi yang memihak kepada yang tidak ada merit dan terus utamakan yang sudah ada merit maka tidak adalah yang kurang merit yang akan berjaya.

16. Memusnahkan diskriminasi berasas kaum atau bangsa akan menjadikan kita semua sama – sama sebagai warganegara. Tetapi ia akan kekalkan ketidaksamaan dan ketidakadilan yang sedia ada.

17. Baru-baru ini ada tokoh yang mendakwa keadaan di Malaysia amat buruk kerana amalan kronisma dan pilihkasih iaitu diskriminasi yang memihak kepada satu pihak. Oleh itu ia tidak ingin berniaga di sini. Apakah dia dilahir cukup kaya untuk pergi berniaga di negara yang tidak ada kronisma atau apakah dianya mengumpul modal yang banyak dari Negara ini dahulu sebelum dapat pergi ke luar negara untuk menikmati meperintahan tanpa diskriminasi. Kita tahu Negara ini yang begitu buruklah yang memberi peluang kepadanya mengumpul modal yang banyak untuk ke Negara lain. Jika dia dapat peluang, salahkah jika orang lain juga diberi peluang di negara yang kurang baik ini supaya dapat sedikit nikmat dari yang banyak yang sudah dinikmati oleh tokoh ini?

18. Peluang ini bagi kaum/bangsa yang ketinggalan tidak mungkin datang melainkan ada diskriminasi berasas kaum. Cadangan untuk rang undang-undang yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri bukan akan menghasilkan persamaan (equality) atau keadilan. Ia akan mengekalkan ketidaksamaan dan ketidakadilan yang terdapat sekarang.

19. Sesungguhnya rang undang-undang ini akan hapuskan saki-baki dari usaha mengimbangkan ekonomi antara kaum.
Sebarkanlah peringatan ini kerana ramai yang belum tahu. Jangan sampai sudah terantuk baru terngadah. Itupun masih bagus. Jangan sampai dah terantuk, baru sedar yang kita dah ada dalam keranda!

Wednesday, June 11, 2014

Apa beza PT3 dlm PBS dgn SRP PMR?

Minggu lepas Demang hadir taklimat Penilaian Tingkatan Tiga atau PT3 yang diperkenal Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menggantikan PMR.

Demang hadir atas tiket Badan Muafakat sekolah anak Demang.

Apa yang Demang faham, mula-mula kita kena bezakan antara SRP/LCE,  PMR, dan PBS. Sebenarnya ia dah digambar melalui namanya. Sijil Rendah Pelajaran (SRP) berasaskan SIJIL berkonsep peperiksaan untuk mengred pelajar. Kalau tak silap kita mewarisi sistem itu daripada Inggeris.

Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula suatu PENILAIAN tetapi berpusat. Ia dilaksanakan selepas kita mula sedar bahawa para pelajar tak sepatutnya terlalu awal digredkan yang akhirnya berlaku 'budaya peperiksaan' yang cenderung menguji intelektual semata-mata.

Manakala Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) ialah PENILAIAN tetapi berdasarkan penguasaan individu terhadap kemahiran-kemahiran yang ditentukan. Ia dibuat oleh pihak sekolah merangkumi semua aspek yang diperlukan manusia iaitu intelektual, emosi, rohani dan jasmani.

Nampak macam sama tapi konsepnya berbeza. Ada proses-proses yang perlu dilalui.

Bagi Demang semua pihak perlu faham konsep PBS. Jika tidak, PBS akan jadi sama seperti PMR yang akhirnya tiada bezanya dengan SRP apabila pihak sekolah mengambil jalan pintas bagi menjaga nama sekolah dari segi akademik sahaja.

Demang lihat PMR telah gagal menjadi alat penilaian yang berkesan apabila guru-guru mula mengumpulkan soalan-soalan ramalan dan seminar-bengkel diadakan bagi melatih pelajar teknik menjawab soalan peperiksaan.

Lebih teruk lagi apabila pelajar diasak siang malam dengan teknik latih tubi dan akhirnya menjadi burung kakaktua yg hanya tahu mencetak semula jawapan yang telah dihafal.

Aspek intelektual dianggap raja segala kejayaan manakala aspek-aspek rohani, jasmani dan emosi dianggap tidak penting padahal ia adalah teras dalam falsafah pendidikan negara.

Akhirnya apabila terhasil penjenayah pintar barulah kita sedar kesilapan besar kita dalam memberi pendidikan semasa di sekolah lagi. Kita ada beberapa pengalaman ngeri termasuklah kes pelajar cemerlang SPM menjual maruah di luar negara!

Apabila semua pihak sudah faham konsep PBS maka kita takkan bimbang lagi dengan PT3. Hal ini kerana keputusan  PT3 akan terhasil sendiri apabila PBS dilaksana dengan ikhlas dan amanah.

Jangan terlalu fikirkan peperiksaan!

Bagi memastikan PBS dilaksanakan sedemikian maka beberapa instrumen telah disediakan oleh pihak berkenaan.

Peranan semua pihak amat penting bagi menjayakan PBS. Paling ditakuti ialah jika ada ahli politik yang mengambil kesempatan. Mereka menggunakan PBS bagi menimbulkan polemik baru dan menguwar-uwarkan isu agar rakyat melihat kerajaan melakukan kesilapan besar kerana melaksanakan PBS.

Akhirnya kerajaan yang bimbang terjejas dalam PRU mengambil keputusan kembali pada sistem kuno kita dan usaha pakar-pakar pendidikan membuat kajian selama berpuluh tahun musnah begitu sahaja.

Lebih malang lagi apabila kalangan guru dan pensyarah IPG turut memperlekeh sistem yang diamanahkan pada mereka untuk dilaksanakan hanya kerana anutan fahaman politik.

Wednesday, June 4, 2014

Berguru dengan syaitan

Kata orang, yang menang menulis sejarah manakala yang kalah menulis puisi.

Demang tidak pasti pihak mana yang bersenandung begitu. Jika dibaca dengan nada keluhan maka bunyinya memang menghibakan dan pastilah sipengucap di pihak yang kalah.

Sebaliknya jika diucap dengan tegas, atau dengan lembut tetapi diikuti sedikit senyum sinis, maka mudah kita faham sipenutur adalah pemenang.

Puisi boleh ditulis sesuka hati tapi sejarah ada kaedah dan peraturannya. Hanya setelah melalui pelbagai prosedur barulah ia boleh diwarta sebagai fakta sejarah dan boleh diguna dalam berhujah.

Demang dapati sejak semua orang mendapat peluang menulis dan menyiarkan tulisan di ruang maya maka kita sudah tidak tahu lagi yang mana fakta sejarah dan yang mana pula sekadar puisi berlatarkan sejarah.

Maklumlah, puisi moden tidak terikat pada bentuk tradisi seperti rima akhir, rangkap, bilangan perkataan sebaris, dan sebagainya. Satu artikal panjang yang ditulis tentang sesebuah negara belum tentu sebuah penulisan sejarah. Ia mungkin sekadar puisi panjang. Kalau dulu-dulu, orang menulisnya dalam bentuk syair atau nazam.

Mungkin juga sekadar sebuah cerpen. Fiksyen semata.

Malangnya ramai yang tidak sedar tentang ini dan menerima bulat-bulat apa sahaja cerita yang diperolehi melalui internet seolah-olah ia fakta sahih.

Itulah sebabnya banyak hadis-hadis palsu tersebar dengan mudah dan terus diamalkan tanpa merujuk pada guru dan  hanya setelah sekian lama baru diketahui kedudukan sebenar. Ada juga yang hanya sedar setelah dihadap munkar dan nakir.

Jika hadis itu tidak sahih masih tidak mengapa lagi. Bagaimana jika ia bukan hadis tetapi disolek dengan beberapa perkataan yang jika dibaca bunyinya macam hadis?

Nak salahkan siapa jika beramal dengan ajaran sesat? Padahal sudah diberitahu awal-awal supaya jangan berguru dengan buku. Jika buku yang dikawal pihak berkuasa dengan pelbagai akta pun boleh diseleweng, bagaimana halnya berguru dengan blog atau fb yang tidak diketahui manusia atau hantu yang jadi penulisnya?

Jika jin kafir boleh tutup pandangan sang pengembara hingga sesat dalam hutan, takkanlah mereka tidak boleh tutup pandangan pembaca teks dalam blog? Apatah lagi sipenulis blog pun dua kali lima sahaja dengan iblisnya!

Bacalah Al-Fatihah lebih kerap agar kita sentiasa berada di jalan yang lurus dan terhindar daripada menjadi pengikut golongan yang sesat.

Tuesday, June 3, 2014

review Bantah halal dalam isu dna babi kadbury


Demang siarkan semula tulisan Demang pada 7 Jul 2012 di blog Waadat Ini. Betullah ummat Islam tidak pernah serik atau seperti kata Tun Mahathir: Melayu mudah lupa. Setelah terantuk beberapa kali dan terngadah setiap kali selepas kepala luka berdarah, masih lagi melalui jalan yang sama.

Baca semula artikal tersebut dan seperti biasa anggap sahaja ia suatu gurauan:

Kecoh juga isu logo halal pada premis dan produk di Malaysia.

Bagi Demang logo halal tidak banyak memberi kebaikan pada orang Islam.

Bayangkan jika syarikat orang Yahudi masuk ke Malaysia dan membuka restauran atau mengeluarkan produk serta mempunyai logo halal keluaran Jakim. Bagaimana?

Pengguna sudah diajar agar tidak peduli lagi siapa pemilik tersebut asalkan HALAL!

Maka wang keuntungan tersebut mengalir ke kantung Yahudi menjadi sebahagian dana bagi menyembelih ummat Islam di seluruh dunia.

Tak serik-serik lagi ummat Islam! Sekali terantuk, sekali terngadah. Selagi belum terantuk selagi itulah tidak mahu menengadah.

Terantuk, terngadah, terantuk, terngadah namun terus terbongkok-bongkok melalui lorong yang sama.

Apabila ada negara Islam yang diceroboh, atau nabi dihina, atau Al Quran dipijak maka kelam kabut lah kita berkempen memulaukan produk tertentu. Pada masa lain, 'hantam sahaja'!

Maka orang bukan Islam langsung tidak hairan, bimbang, atau gentar dengan ummat Islam. Kemarahan hanya bermusim dan menurut emosi sahaja.

Tiada strategi jangka panjang!

Jakim sepatutnya lebih insaf perkara ini. Logo halal menjadikan Jakim secara langsung membantu PROMOSI serta menggalakkan orang Islam membeli produk bukan Muslim dengan jaminan HALAL!

Sebagai balasan, Jakim mendapat bayaran daripada syarikat-syarikat berkenaan.

Yang teruk, pengusaha Muslim yang baru hendak bertatih. Baru hendak melangkah, terus tersungkur dibentes.

Ustaz dan ulama di Jakim peduli apa? Cukup bulan mereka dapat gaji. Ramai syarikat mohon logo halal mereka dapat pujian dan mungkin bonus tambahan.

Pengusaha muslim terensot-ensot menggagau jualan. Datang produk internasional dengan logo halal, mata pengguna pun kabur pada bungkusan menawan. Tambahan pula telinga dan mata siang malam dijamu dengan iklan. Walaupun isi di dalam hanya serdak dan hampas!

Guru Demang beritahu, zalim ertinya meletakkan sesuatu bukan pada haknya.

Justeru Demang rayu para pengunjung Waadat agar menyokong perjuangan ini bagi meletakkan yang hak pada tempatnya.

Sekurang-kurangnya makanan yang akan menjadi darah daging ummat Islam biarlah orang Islam yang sediakan.

Cadangan Demang, di samping logo halal untuk orang Islam yang ketagih dan kemaruk membeli produk bukan muslim maka kita perlukan satu lagi logo bagi memaklumkan pada pengguna muslim bahawa produk berkenaan dikeluarkan orang Islam.

Logo PRODUK MUSLIM.

Di syarikat bukan muslim walaupun pekerja adalah orang Islam namun jika berlaku perkara bertentangan syarak, adakah mereka berani membantah pada majikan mereka?


  • Ah! Lebih baik diam daripada dibuang kerja. Lebih buruk lagi jika terpaksa dihantar pulang ke negara asal!

Monday, June 2, 2014

kursus BTN wajib semula

Masa Demang bersekolah dulu, Demang pernah mengikuti kursus anjuran BTN. Tahun 1987 di Kuantan.

Dalam kursus itu kami didedahkan dengan pelbagai realiti dan fakta yang sebelum itu jarang diketahui umum.

Macamana nak tahu kalau tiap kali buka akhbar selak ruang hiburan dan sukan sahaja?

Melalui kursuslah peserta diberitahu semula fakta-fakta yang pernah disiarkan dalam akhbar, majalah, laporan, buku, dan sebagainya yang tidak dipedulikan sebelum ini.

Maka terkedulah kami melihat statistik kedudukan orang Melayu yang begitu jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. Patutlah hampir semua kereta mewah dan rumah-rumah kos sederhana dan mewah ketika itu hanya mampu dibeli kaum cina.

Demang gunakan istilah 'kaum-kaum lain' sebab itulah istilah yang diguna dalam perlembagaan. Untuk makluman, istilah 'bukan Melayu' tiada dalam perlembagaan kita.

Selepas terkedu, kami mula dilanda rasa bimbang tentang nasib bangsa Melayu yang selepas itu Demang faham bahawa Melayu dalam perlembagaan bermaksud seseorang yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan adat budaya Melayu.

Setelah diselimuti rasa bimbang, timbul pula rasa geram dan marah pada kaum-kaum yang diwariskan harta kekayaan oleh Inggeris ketika bangsa penjajah itu meninggalkan Tanah Melayu.

Kaum-kaum tersebut bukan sahaja mewarisi harta peninggalan Inggeris berupa lombong-lombong dan ladang-ladang bahkan sebelum itu lagi telah diberi peluang mendapat pendidikan yang tinggi serta menguasai perniagaan di bandar-bandar yang terbina akibat aktiviti perlombongan dan perladangan.

Patutlah mereka kelihatan maju dan berjaya. Rupa-rupanya mereka mendapat segala kemudahan dan bantuan daripada pihak Inggeris.

Betapa sedih dan pedihnya hati kami para peserta mengenangkan nasib bangsa sendiri yang terpinggir di bumi sendiri.

Namun ketika kami cuba melampias kemarahan kami atas ketidakadilan yang berlaku, para fasilitator mengingatkan kami betapa pergaduhan bahkan peperangan dengan kaum-kaum lain bukanlah penyelesaian.

Apalah gunanya jika kalah jadi abu, menang jadi arang?

Mahu tidak mahu kaum-kaum lain sudahpun diterima sebagai warga Malaysia. Kita mesti menerima hakikat itu.

Namun sesuatu mesti dilakukan bagi memperbetul keadaan. Keadilan apa yang nak dipertegak jika orang Melayu cuma memiliki 0.2% kepentingan ekonomi di tanah tumpah darah sendiri?

0.2%  bermakna jika ada RM100 maka kaum cina dan lain-lain menguasai RM99.80 manakala orang Melayu cuma ada 20 sen!

Kami juga didedahkan bahawa akibat ketidakseimbangan ekonomi dan sosial antara kaum maka berlakulah tragedi 13 Mei 1969.

Orang Melayu yang terhimpit dengan kemiskinan (meski semenanjung yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu telah merdeka), tidak mampu lagi menahan sabar apatah lagi diejek kerana dilihat hampir kalah dalam pilihanraya yang baru diadakan ketika itu (1969).

Seterusnya kami didedahkan tentang langkah kerajaan bagi mengelak tragedi berulang. Badan yang mengkaji peristiwa itu mendapati jurang ekonomi yang terlalu luas antara kaum merupakan penyumbang terbesar pada perpecahan kaum.

Akhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dirangka dan dilaksanakan.

Demang percaya ramai yang tahu DEB tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu bagaimana ia patut dilaksanakan?

Antara orang yang faham tentang DEB dan segera bertindak ialah Syed Mohtar Al-Bukhari. Namun oleh kerana ramai yang tidak faham DEB (terutama generasi muda) beliau dituduh kroni pada pemimpin tertentu di samping berlindung dengan pemodal kaum cina.

Tahukah anda bahawa konsep DEB ialah bekerjasama antara kaum? Ada yang tidak tahu, ada yang lupa, dan ada yang pura-pura lupa sebab apabila DEB persalahkan, mereka dapat keuntungan politik!

Sebenarnya DEB adalah serampang dua mata. Selain merapatkan jurang ekonomi ia juga bertindak bagi mencapai perpaduan kaum. Ramai yang tahu istilah ini dan faham maksud peribahasa itu tetapi berapa ramai yang sedar maksudnya dalam kontak DEB?

DEB sepatutnya menjadi ruang untuk orang Melayu dan kaum-kaum lain (baca kaum cina) bekerjasama dalam situasi menang-menang. Setiap syarikat yang ingin memasuki tender kerajaan ditetapkan agihan 30% milik Melayu, 40% milik bukan Melayu dan 30% milik asing. Malah itulah sasaran DEB setelah dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun.

Malangnya DEB dimanipulasi dan dieksploitasi tanpa ada rasa tanggungjawab terhadap negara. Pemodal bukan Melayu sekadar menggunakan nama orang melayu dan menjadikan mereka 'sleeping partner'.

Maka peribahasa baru pun muncul iaitu 'alibaba'. Maksudnya, permit atas nama Ali manakala pemilik sebenar ialah baba (cina).

Fenomena alibaba berleluasa tanpa dapat dikawal. Lebih buruk lagi apabila pemimpin politik Melayu sendiri terlibat melakukannya bersama-sama pemodal kaum cina.

Kelemahan utama konsep alibaba ialah ia menggagalkan usaha membina dan melahirkan usahawan tulen kalangan orang Melayu dan Bumiputera. Orang yang terlibat sekadar menjadi orang kaya baru (OKB) yang hasilnya tidak melimpah pada bangsa Melayu.

Lebih malang lagi apabila OKB sekadar menjamah keuntungan untuk seketika dan akhirnya kembali ke takuk lama apabila si baba beralih pada perniagaan lain, mendapat Ali yang baru, atau tidak memerlukan mana-mana Ali lagi.

Itulah masalah DEB. Disabotaj kiri kanan.

Apapun, DEB tidaklah gagal sepenuhnya. Biarpun tidak menepati sasaran 30% pemilikan Melayu/bumiputera menjelang tamat tempohnya, namun DEB berjaya juga mencapai 19% dan jika dibandingkan dengan 0.2% ketika ia bermula maka angka itu sudah boleh dibanggakan.

Demang percaya, meskipun anda kini faham tentang dasar kerajaan tentang DEB, masih ada rasa geram di hati. Kenapa? Kerana meskipun DEB dirangka dengan begitu baik namun terdapat ramai penyangak a.k.a malaun yang merajalela mengeksploitasinya untuk kepentingan diri semata-mata.

Demang tak kata 'kepentingan diri' tetapi 'kepentingan diri semata-mata'. Tidak salah melakukan sesuatu untuk kepentingan diri tetapi jangan sekali-kali melakukan sesuatu kerana 'kepentingan diri semata-mata'.

Demang fikir elok lah kursus BTN-SSM diadakan semula kerana walaupun ada banyak kursus lain oleh pihak lain namun kursus-kursus tentang kenegaraan hanya BTN yang berpengalaman dan berkemahiran melaksanakannya.

Sunday, June 1, 2014

BN menang besar PRK Teluk Intan

BN menang agak besar di Teluk Intan atau dengan kata lain calon DAP kehilangan undi yang agak banyak. Hampir 8000 undi kalau Demang tak silap.

Hairan? Lihat semula keputusan PRU-13. Calon DAP menang dengan majoriti lebih kurang 8000 undi dan kali ini mereka kalah dengan majoriti 238 undi.

Demang bukan nak ubah cara pengiraan undi daripada kiraan normal berdasarkan undi semasa kepada undi agreget daripada dua perlawanan. Demang cuma mahu melihat penerimaan pengundi Teluk Intan pada calon DAP berbangsa Melayu yang rasanya PKR hatta PCM pun enggan mengambilnya sebagai calon (jika jadi ahli parti tersebut).

Soal kemerosotan jumlah yang keluar mengundi tidak boleh dikira sangat sebab kita tidak tahu siapa yang akan mereka undi. Begitu juga bilangan undi rosak yang sukar dikesan berpihak pada siapa.

Ada beberapa persoalan yang boleh kita pandang daripada keputusan ini.

Pertama, adakah calon DAP tersebut adalah calon yang DAP mahu menangkan atau sengaja mahu dibenamkan bagi memberi laluan pada Presiden Gerakan yang dijanjikan menteri pengangkutan?

Kedua, adakah pengundi cina lebih cenderung memilih kaum sendiri dan mengenepikan nama parti dan persefahaman dalam pakatan pembangkang?

Ketiga, adakah pengundi Melayu telah sedar bahawa calon DAP tersebut hanya boneka DAP semata-mata?

Ramai orang Melayu (termasuk Dr Maza) yang menganggap pemimpin DAP jauh lebih hebat daripada pemimpin BN (baca UMNO-muslim) dan terlupa bahawa ummat Islam telah dijanjikan sebagai ummat terbaik dan lebih berhak memimpin sekalian manusia.