Wednesday, June 4, 2014

Berguru dengan syaitan

Kata orang, yang menang menulis sejarah manakala yang kalah menulis puisi.

Demang tidak pasti pihak mana yang bersenandung begitu. Jika dibaca dengan nada keluhan maka bunyinya memang menghibakan dan pastilah sipengucap di pihak yang kalah.

Sebaliknya jika diucap dengan tegas, atau dengan lembut tetapi diikuti sedikit senyum sinis, maka mudah kita faham sipenutur adalah pemenang.

Puisi boleh ditulis sesuka hati tapi sejarah ada kaedah dan peraturannya. Hanya setelah melalui pelbagai prosedur barulah ia boleh diwarta sebagai fakta sejarah dan boleh diguna dalam berhujah.

Demang dapati sejak semua orang mendapat peluang menulis dan menyiarkan tulisan di ruang maya maka kita sudah tidak tahu lagi yang mana fakta sejarah dan yang mana pula sekadar puisi berlatarkan sejarah.

Maklumlah, puisi moden tidak terikat pada bentuk tradisi seperti rima akhir, rangkap, bilangan perkataan sebaris, dan sebagainya. Satu artikal panjang yang ditulis tentang sesebuah negara belum tentu sebuah penulisan sejarah. Ia mungkin sekadar puisi panjang. Kalau dulu-dulu, orang menulisnya dalam bentuk syair atau nazam.

Mungkin juga sekadar sebuah cerpen. Fiksyen semata.

Malangnya ramai yang tidak sedar tentang ini dan menerima bulat-bulat apa sahaja cerita yang diperolehi melalui internet seolah-olah ia fakta sahih.

Itulah sebabnya banyak hadis-hadis palsu tersebar dengan mudah dan terus diamalkan tanpa merujuk pada guru dan  hanya setelah sekian lama baru diketahui kedudukan sebenar. Ada juga yang hanya sedar setelah dihadap munkar dan nakir.

Jika hadis itu tidak sahih masih tidak mengapa lagi. Bagaimana jika ia bukan hadis tetapi disolek dengan beberapa perkataan yang jika dibaca bunyinya macam hadis?

Nak salahkan siapa jika beramal dengan ajaran sesat? Padahal sudah diberitahu awal-awal supaya jangan berguru dengan buku. Jika buku yang dikawal pihak berkuasa dengan pelbagai akta pun boleh diseleweng, bagaimana halnya berguru dengan blog atau fb yang tidak diketahui manusia atau hantu yang jadi penulisnya?

Jika jin kafir boleh tutup pandangan sang pengembara hingga sesat dalam hutan, takkanlah mereka tidak boleh tutup pandangan pembaca teks dalam blog? Apatah lagi sipenulis blog pun dua kali lima sahaja dengan iblisnya!

Bacalah Al-Fatihah lebih kerap agar kita sentiasa berada di jalan yang lurus dan terhindar daripada menjadi pengikut golongan yang sesat.

1 comment:

  1. Satu peringatan yang cukup baik .

    JazakaAllah.

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.