Monday, November 17, 2014

Pelancaran bulan retorik

Hari ini Demang dikehendaki hadir bagi memenuhkan ruang dalam dewan negeri Melaka untuk majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 peringkat  negeri Melaka.

Demang sekadar ganti orang. Kebetulan dewan ini tidak jauh dari rumah Demang. Kebetulan juga bendahara Melaka pun hantar wakil sebagai perasmi dan pengarah DBP pun turut menghantar wakil.

Alah... bukan program penting sangat. Cuma bulan bahasa. Bahasa Melayu pulak tu.

Seperti majlis perasmian lain, aturcaranya dipenuhi ucapan-ucapan yang muluk-muluk serta retorik sebagai halwa telinga. Isu bahasa sebenar dianggap habuk-habuk dan serdak yang mudah disapu ke bawah karpet. Nanti tukang sapu boleh bersihkan.

Kemuncak majlis perasmian ialah seorang lelaki mengetuai lafaz ikrar dan disahut para hadirin beramai-ramai.

Maaf, Demang cepat-cepat keluar sebelum perkataan pertama ikrar keluar daripada mulut ketua ikrar sebab tiba-tiba sahaja Demang terasa loya. Demang taknak termuntah atas karpet mahal dewan tersebut.

Lagipun, Demang anggap ikrar macam sumpah juga. Demang tak berani nak bersumpah perkara yang Demang tak mampu laksanakan.

Tidak perasankah mereka betapa pihak yang menguruskan surat perjanjian, surat tuntut hutang, surat tawaran, surat peringatan, surat jual beli, surat jaminan, dan pelbagai dokumen termasuk undang-undang di Malaysia ini menganggap bahasa kebangsaan (bahasa Melayu?) sebagai bahasa kelas kedua atau ketiga sahaja?

Mustahil mereka tidak tahu! Namun setiap tahun bulan bahasa dilancarkan juga sebab di situ ada banyak ruang dan peluang untuk mengaut untung.

Paling tidakpun, bertambah elaun ceramah pakar-pakar bahasa.

Demang mintak maaf pada aktivis bahasa. Ambil lah bayaran daripada usaha anda tetapi jangan dilupa perjuangan memartanatkan bahasa. Demang sekadar rakyat biasa yang hanya tahu berbahasa Melayu. Jangan dikhianati orang seperti Demang ini yang terpaksa menandatangani perjanjian tanpa memahami sepenuhnya perkara tersebut.

2 comments:

  1. hujung oktober yang lepas, pelancaran bulan bahasa peringkat kebangsaan dilancarkan oleh menteri pendidikan 11 di tempat aku. punyalah 'havoc' (aku tanda sebab bukan perkataan asal melayu). persiapan untuk majlis tersebut menyebabkan hampir semua staf tak boleh tidur lena. semua kena 'perfect', hinggakan seketul batu asingpun seboleh mungkin kena singkirkan. tidak mengapalah, mungkin itu caranya orang malaysia melaksanakan program peringkat kebangsaan. tontonan untuk umum wajib hebat, jadi memang hebatlah jadinya. namun, hasilnya sama seperti yang waadat ungkapkan. belanja puluh-puluh ribu namun apa yang dihasratkan hanyalah retorik. tiada apapun penambahbaikan kepada umum. penutur-penutur tegar bahasa ibunda bukan melayu, tetap juga dengan tegar masing-masing. mana hasil kepada modal puluh-puluh ribu dan segenap tenaga yang dikeluarkan untuk pelancaran program berkenaan? sesungguhnya kita ini hipokrit dan seronok menipu diri sendiri, tidak begitu?

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.