Saturday, December 20, 2014

Di sebalik nama hasan laga

Malam tadi Demang terserempak sebuah drama di tv yang agak menarik. 

Mulanya Demang tertarik kerana ia menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Nasir Bilal Khan dan Eman Manan. Malah Rosham Nor pun ada.

Seorang lagi pelakon yang Demang suka tidak pula Demang tahu namanya. Wan... berambut putih, orang terengganu rasanya.

Beliau memegang watak utama, Hasan Laga iaitu seorang lelaki tua tetapi beristeri muda yang mempunyai sejumlah pengikut yang sangat menghormati beliau.

Pada pandangan awal Demang, Hasan Laga adalah tipa (type) lelaki 'gedebe'. Istilah gedebe sering disalah-erti sebagai samseng kampung. Padahal gedebe adalah istilah orang Kelantan untuk seseorang yang disegani di sesuatu kawasan.

Agak lama tidak menonton Nasir berlakon jahat. Nasir membawa watak orang kaya yang angkuh namun mempunyai pengikut sendiri.

Sekali imbas kita sudah tahu Nasir bukan orang baik-baik. Dia memikat dan mengikat penyokong melalui wang.

Drama tersebut berlatarkan sebuah kampung yang penduduk lelakinya amat suka berlaga ayam. Itulah barangkali sebab Hasan di gelar Hasan Laga.

Apabila seluruh kampung amat gemar dengan 'sukan' laga ayam maka kita faham betapa gelaran Hasan Laga menunjukkan Hasan memang sangat terkenal, sekurang-kurangnya di kawasan itu.

Peri taksubnya pada ayam laga sehingga Hasan Laga menyahut cabaran musuhnya (Nasir Bilal Khan - NBK) dengan pertaruhan: jika ayam Hasan Laga tewas maka dia hendaklah keluar dari kampung seluar sepinggang dan menyerahkan isterinya yang muda itu kepada pihak yang menang.

Mujur pihak Hasan Laga menang dan NBK hilang RM50 ribu serta terpaksa meninggalkan kampung.

Tiadanya NBK (Demang lupa nama wataknya) tidak bermakna kampung itu kembali aman sebaliknya perpecahan sesama sendiri kalangan ahli kumpulan Hasan Laga mula timbul.

Kejutan pada drama ini ialah gelaran LAGA pada Hasan Laga bukan semata-mata kerana beliau gemar berlaga ayam bagi memenangi pertaruhan malah Hasan Laga juga sanggup melaga-lagakan pengikutnya sendiri demi memenuhi keinginan peribadi.

Demang bukan hendak menulis sinopsis drama di sini. Justeru Demang terus kepada mesej yang ingin disampaikan.

Pertama, jangan terlalu taksub pada pemimpin dan hendaklah menyimpan rasa sangsi apabila pemimpin melakukan kemungkaran atau melanggar hukum.

Sejak awal drama tersebut menampilkan Hasan Laga seorang yang baik dan berkarisma manakala musuhnya NBK ketua samseng.

Di situ pandangan audien dikaburi hingga melupakan fakta paling penting iaitu pertandingan laga ayam adalah satu perjudian dan tindakan menganiaya haiwan adalah perlakuan tidak bermoral.

Baik Hasan Laga mahupun Nasir Bilal Khan, kedua-dua mereka memang tidak layak dicontohi apalagi dijadikan pemimpin.

Dalam kehidupan ini pun begitu. Apabila seseorang yang ingin menjadi pemimpin, apatah lagi 'tok guru' melakukan sesuatu yang jelas bercanggah dengan hukum yang asas, maka hindarilah ia segera.

Demang ucapkan tahniah pada pengarah, penulis skrip, dan pelakon atas penghasilan drama hebat tersebut.

Ada sesuatu yang perlu kita fahami yang tersirat pada karya ini.

No comments:

Post a Comment

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.