Sekarang musim panas. Dalam media sosial tersebar nasihat agar tidak diisi minyak kereta penuh-penuh kerana katanya sudah ada kes kereta terbakar setelah tangki meletup akibat pemeluwapan melampau.
Demang sebenarnya dah letih mempercayai info picisan bersumber media sosial ini. Lebih banyak 'auta' daripada fakta.
Itulah sebabnya (agaknya) pihak kementerian pelajaran pun (rasanya) BELUM mengeluarkan arahan agar aktiviti padang di sekolah tidak diadakan pukul 2.00 petang sebagaimana lazim.
KPM memang realistik. Selagi belum ada kes kritikal seperti tsunami berlaku di depan mata, tidak perlu diambil langkah berjaga-jaga. Syabas kawan-kawan Demang di kementerian.
Agaknya mereka tunggu arahan menteri atau YDA.
Malam kelmarin Demang isi minyak penuh-penuh. Demang ambik risiko demi menyelamatkan duit Demang 25 sen seliter.
Jangan sinis dengan Demang. 25 sen darab 100 liter (2 buah kereta) bermakna Demang sudah jimat RM25. Ia bersamaan pendapatan sehari bagi segelintir rakyat bawahan. Kalau tak percaya, semak borang profile murid di sekolah Demang.
Dulu Demang positif (optimis?) dengan harga minyak. Kalau harga petrol naik, petronas juga yang untung dan keuntungan itu berbalik semula kepada negara.
Namun setelah PM sendiri baru-baru ini menjelaskan bahawa kejatuhan harga minyak mentah dunia tidak merugikan negara maka Demang mula keliru.
Jika harga naik kita untung dan harga turun pun dikatakan untung maka eloklah dibiarkan harga runcit di paras terendah.
Fakta pertama, apabila harga petroleum tinggi maka hasil eksport petroleum kita bertambah. Untunglah.
Fakta kedua, apabila harga petroleum jatuh, negara tidak rugi kerana harga produk import berasaskan petroleum ikut menjadi murah. Untung juga.
Fakta ketiga, walaupun keuntungan Petronas (dan Malaysia) susut setelah harga petroleum jatuh, namun rupa-rupanya produk export kita yang lain menyumbang keuntungan yang lebih besar. Tetap untung.
Maka apa perlunya harga runcit yang dijual kepada rakyat dinaikkan? Sisihkan sedikit daripada keuntungan di peringkat global dan agih pada rakyat.
Jualan runcit petrol kepada pengguna hanya melibatkan keuntungan terus kepada pengusaha stesyen minyak. Kerajaan cuma dapat cukai.
Cukai dipulangkan semula pada rakyat dalam pelbagai bentuk, termasuk BRIM yang diterima dengan sinis oleh pelbagai pihak. Kata mereka BRIM ibarat gula-gula bagi melekakan kanak-kanak buat seketika.
Itu bukan sahaja pembangkang yang kata. Orang atas pagar dan sebahagian penyokong kerajaan pun berbunyi juga. Dengar kata, Tun M pun ada menegur.
Samada ia pandangan skeptikal atau apa, ia sudah memviral dalam masyarakat.
Kerajaan memandang harga petroleum yang direndahkan daripada harga sebenar lebih menguntungkan orang berkenderaan mewah yang bukan sasaran untuk dibantu.
Persoalannya, berapa peratus kelompok tersebut berbanding golongan yang benar-benar memerlukan? Berapa ramai yang ada kereta mewah? Kebanyakan kenderaan yang dulu dianggap mewah kini sudah tidak begitu mewah.
Kerajaan perlu lihat betapa gembiranya rakyat apabila harga turun dua kali baru-baru ini. Tidak bahagiakah melihatnya? Bukankah itu akan memberi impak positif pada kerajaan dalam pilihanraya?
Demang cadangkan, kawallah harga runcit petroleum. Jangan kata tak boleh. Jika harga petroleum dunia naik kita untung dan harga turun pun kita untung (relatif) maka apa nak dirisaukan?
Antara jajan subsidi dengan jajan BRIM tidak banyak bezanya. Belikan jajan anak-anak untuk menggembirakan hati mereka. Ingat (selagi ia tidak memudharatkan) belikan yang mereka minta bukan hanya mendengar nasihat doktor.
Ala.... anak-anak doktor pun makan jajan juga.
Salam. Blog ini dipautkan ke spotthebloggers.blogspot.com .Mohon email kepada spotthebloggers@gmail.com sekiranya tn membantah. TQVM
ReplyDelete