Monday, July 6, 2015

Wajib baca tips jimat belanja

Antara viral yang berjaya mengumpan sumpah seranah orang ramai minggu lepas ialah klip video saranan seorang motivator untuk berjimat. Cadangan beliau ialah jangan balik kampung beraya bersama ibu bapa.

Orang kata, makhluk yang paling bodoh ialah keldai maka bernasib baiklah motivator tersebut kerana selamanya lah keldai tetap lebih bodoh daripada beliau.

Demang tak nak komen tentang itu sebaliknya nak beri cadangan lain.

Demang cadangkan, bagi menjimatkan perbelanjaan sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mengatasi masalah gejala sosial yang semakin meruncing maka waktu kerja 8 jam di pejabat dipendekkan kepada 5 atau 6 jam sahaja dan semua jabatan dibuka lima hari dalam seminggu. Kalau 4 hari lebih baik.

Ertinya, masuk kerja jam 8.00 pagi dan sempat pulang ke rumah sebelum asar.

Sabar, jangan belasah Demang dulu. Kita bincang.

Apabila waktu bekerja dipendekkan maka rakyat Malaysia lebih banyak masa di rumah. Mereka boleh memasak, mengemas rumah, menumpahkan kasih sayang pada anak-anak, dan lebih masa bermesraan selayaknya suami isteri.

Kos memasak akan jimat separuh berbanding beli atau makan di luar.

Demang sedar para isteri sekarang memang suka memasak. Lihat sahaja 'posting' mereka di facebook. Resipi-resipi sering mendapat 'like' yang tinggi.

Malangnya selama ini para isteri tidak berkesempatan untuk memasak. Apabila tiba di rumah, letih lesu lantaran seharian terperosok atas kerusi pejabat.

Berbeza dengan saranan sang motivator dalam TV1 itu, cadangan Demang ini akan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

Di samping itu apabila balik awal, waktu jagaan anak-anak di pusat jagaan pun dapat dikurangkan dan sudah tentu menjimatkan. Anak-anak akan lebih lama bersama ibu bapa. Demang fikir semua orang tahu apa kebaikannya jika situasi begini dilaksanakan.

Demang bukan seorang motivator mahupun pakar kekeluargaan namun Demang yakin banyak masalah dapat diselesaikan jika institusi kekeluargaan diberi perhatian.

Agak sukar untuk kita kembali pada masa lalu iaitu wanita menguruskan rumah tangga manakala lelaki bekerja di luar rumah. Namun ia tidak mustahil boleh diubah sedikit. Sebenarnya kerajaan mampu lakukan dengan kesungguhan serta kreativiti. Gunakan kempen dan sedikit paksaan melalui peraturan.

Nak jadi kerajaan zaman IT ini bukan sahaja kena cerdik, malah perlu bijaksana.

Hari ini sudah ramai wanita yang berniaga hanya daripada rumah sendiri. Jika seorang individu boleh mendapatkan wang tanpa keluar daripada rumah, kenapa syarikat-syarikat tidak mampu memikirkan kaedah yang membolehkan sebahagian tugasan dilakukan dari rumah?

Demang percaya, produktiviti tidak hanya boleh ditingkatkan jika waktu berada di pejabat itu panjang. Banyak tugasan sebenarnya boleh dilakukan tanpa perlu hadir ke pejabat. Yang penting, tetapkan tugasan seperti KPI, sasaran kerja, dan sebagainya untuk dibereskan. Malah interaksi dan komunikasi secara langsung boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian.

Jika di pejabatpun, bukan sepanjang masa boss perlu memandang kakitangannya, melainkan boss gatal. Kaum lelaki tentu tidak mahu isteri mereka terdedah pada aktiviti yang boleh membawa pada godaan begitu.

Kalaupun tidak semua pihak mampu melaksanakan cadangan ini, sebahagaian pun sudah memadai. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya kerana ada yang pulang lebih awal.

Itu juga dapat menyumbang pada penjimatan.

Atau mungkin kita boleh laksanakan untuk kaum wanita sahaja buat permulaan manakala lelaki bertugas seperti biasa.  Ini dapat memperkasa lelaki dan akhirnya lelaki kembali menjadi ketua sebagaimana yang disarankan oleh Islam.

Barangkali kita perlukan sebuah parti untuk memperjuangkan cadangan ini atau... minta bantuan Tun Mahathir sekali lagi.

Najib pasti menggelabah.

No comments:

Post a Comment

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.