Bagai api dalam sekam, bagai gunting dalam lipatan.
Kedua-duanya bekerja dari dalam. Jika sudah selesai barulah nampak
rupanya. Itu pun cuma alatnya. Tok dalang masih belum menampakkan muka.
Mat Sabu tidaklah bodoh sangat. Setakat mengira 222 bahagi 2
tentulah dia tahu jumlahnya. Mat Sabu pun tahu bahawa kalau menang semua kerusi
yang ditandingipun PAS masih belum dapat menguasai kerajaan. Maklumlah, PAS
tidak pernah bertanding lebih daripada separuh kerusi parlimen.
Untuk tubuh kerajaan mesti ada satu perdua atau 111+1 (terkini)
kerusi di parlimen. Untuk mengubah
perlembagaan pula perlu sokongan dua pertiga. Barulah hudud boleh dilaksanakan.
Namun apabila PAS berhajat tubuh kerajaan dan meminda
perlembagaan, Mat Sabu berteriak sama, dan kemudian terkekeh-kekeh ketawa
bersama para pengikutnya.
Pemimpin PAS tulen bukan tidak tahu realiti ini. Namun PAS
perlu terus hadir sebagai pengimbang pada UMNO. Parti peneraju itu tidak boleh
dibiarkan berseorangan. Adanya PAS adalah bagi memberi amaran pada parti
komponan BN lain bahawa jika mereka mengada-ngada kerusi BN (melalui UMNO) akan
digantikan dengan wakil PAS.
Kini api tidak lagi di dalam sekam dan gunting pun sudah di luar
lipatan. Ertinya fasa bekerja dari dalam sudah selesai. Penubuhan GHB
menampakkan Mat Sabu dan kuncu-kuncunya memasuki fasa kedua. Samada memang
sudah bersedia atau terpaksa, Mat Sabu mesti meneruskan langkah bagi memastikan
pendapatan yang disalurkan daripada pihak penyedia dana tidak terhenti atau
beralih pada orang lain pula.
Platfom Mat Sabu dalam PAS sudah hancur maka tidak ada sebab
untuk dia terus menerima dana.
Nasib Anwar mesti dijadikan iktibar. Apabila sudah tidak
boleh diguna, dalam botol pawanglah tempatnya sebelum dikambus di dalam tanah.
GHB bukan untuk menarik orang UMNO. Kalau PAS dan PKR pun
orang UMNO tidak hingin, parti serabut baru itu lagilah tidak dipandang. Orang
UMNO sudah jelak dengan parti serpihan.
Bagaimana pula dengan pengundi Melayu? Dalam sejarah PRU, rata-rata
pengundi Melayu atas pagar akan tetap memberi undi pada BN. Kalau luak pun, tak
sampai menjejas majoriti di parlimen.
Maka yang akan terpeleot ialah PAS dan PKR. PAS menanggung
musibah akibat kesilapan besar beberapa pemimpin saduran yang menyamar sebagai
pejuang Islam. Ahmad Awang mungkin salah seorang daripadanya. Jika tidakpun,
beliau memang pernah buat silap besar di Perak!
Penyedia dana bagi merampas Putrajaya daripada tampuk
pemerintahan Islam sudah mengira. GHB akan mengecilkan lagi saiz PAS. PKR tidak
dirisau kerana parti itu hanya seperti buih di lautan. Nampak mengepul tapi
tidak sampai ke dasar pun.
Apabila PAS lemah,
UMNO bukan bertambah kuat. Orang Melayu yang galak menentang kerajaan akan
menyertai GHB pula. Jika sebelum ini PAS, PKR, dan DAP sekadar bekerjasama
secara tak rasmi, selepas ini GHB akan bergabung terus dengan DAP.
Dalam surah Al-Fatihah, kita memohon pada Allah agar
ditunjukkan jalan yang lurus dan bukannya jalan orang yang sesat.
Orang yang sesat bukanlah orang yang tiada matlamat sejak
awal. Mereka asalnya sebahagian ahli rombongan namun atas sesuatu sebab, mereka
keluar daripada jemaah dan akhirnya tersesat. Salah satu puncanya ialah mereka
cuba mencari jalan pintas.
Semoga kita kekal di jalan yang lurus dan tidak termasuk
dalam golongan orang yang sesat.
Al-fatihah.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.