Tinggal seekor ikan kembung bawah tudung saji, lebihan tengahari tadi. Jangan makan dulu, kata mak. Tunggu ayah balik surau, makan sama-sama.
Lepas isya, kedengaran bunyi salam. Ayah balik tapi bukan seorangan. Ada sesusuk tubuh lelaki mengekorinya dan ikut masuk ke dalam rumah.
Ayah membisikkan sesuatu pada mak dan sebentar kemudian setalam hidangan dibawa ke ruang tamu tingkat bawah. Ayah dan tetamunya makan di situ.
Adik, kakngah, dan along mengintai dari celah lantai loteng, tepat ke talam yang terhidang. Si tetamu makan dengan berselera. Ikan kembung nan seekor terdampar di dalam pinggan ayan berteman pucuk ubi rebus dan sambal belacan.
Kakngah menarik muka masam apabila tetamu mula mencubit ikan kembung goreng idamannya. Takpe, kata abang memujuk. Ada sebelah lagi. Si tetamu dipelawa tambah dan dengan segan-segan menadah pinggan untuk dicedukkan nasi.
Along menelan liur dan tiba-tiba adik bersuara agak kuat: "la... Dia alih sebelah lagi."
Itu kesah sekitar 1970an barangkali. Namun awal 1980an kesah seekor ikan kembung berkongsi 4-5 orang bukanlah pelik sangat. Rata-rata keluarga melayu sempat melaluinya.
Yang makan nasik berkuah air panas campur garam pun ada. Ikan masin sudah cukup baik dan sardin dikira mewah.
Masa itu, mitos yang ditanamkan ialah makan ikan boleh kecacingan. Kekurangan ikan diterima sebagai hikmah, bukannya masalah.
Satu lagi yang diulang-ulang ibu saya ialah: "makan malam ni nak bagi larat tarik selimut aja."
Hari ini? Tak perlulah saya beritahu anda sebab anda sendiri sedang melaluinya.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.