Monday, September 22, 2008

Kerajaan Rakyat: 'antara Kerajaan dan Rakyat'

Sambil menjengah ibu di desa semalam, sempat Demang bertemu dengan seorang sahabat lama yang kebetulan pulang dari KL. Perbualan kosong tanpa tajuk khusus. Oleh kerana kami sedia memahami aliran politik antara satu sama lain maka seboleh mungkin masing-masing cuba mengelak daripada menyentuh perkara tersebut.

Namun sesekali terselit juga satu dua isu rakyat yang bersifat sejagat.

Antaranya ialah tentang kegagalan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

Contohnya dalam belanjawan baru-baru ini, teman tersebut mendakwa pihak yang mendapat faedah langsung hanyalah kakitangan kerajaan. Itupun kumpulan menengah dan atasan.

Kakitangan bawahan? Operator kilang? Penduduk kampung? Peniaga kecil?

"Apakah yang kerajaan buat untuk mereka?" tanya teman tersebut. Sebenarnya beliau seorang penjawat awam – nampaknya begitu prihatin dengan nasib rakyat marhaen.

Beliau memberi contoh betapa masih ada pekerja yang dibayar kurang daripada 500 sebulan.

Daripada sembang-sembang tersebut Demang dapati ada beberapa perkara yang dibangkitkan itu memang benar dan tak perlu Demang ulas. Cuma ada beberapa perkara yang dipersoalkan hanya sekadar rasa tidak puas hati yang hampir mustahil ditangani walau siapapun yang memerintah.

Sekarang Demang ingin menyeret anda bagi mengimbas kembali sebahagian daripada peranan kita. Mungkin anda ‘tidak berkenaan’ tetapi Demang adalah seorang daripadanya.

Apabila menyebut soal amanah dan tanggungjawab, ramai yang cenderung menuding pada kerajaan semata-mata. Kita lupa bahawa antara kerajaan dengan rakyat, kita berada di tengah-tengahnya. Kitalah perantaranya. Kitalah pemangkinnya.

Maksud Demang ialah golongan menengah Melayu.

Kakitangan kerajaan gred 29 ke atas berpendapatan 2000 ke atas. Kebanyakan mereka mempunyai pasangan yang juga berpendapatan hampir sama. Ertinya pendapatan mereka suami isteri tidak kurang 4000 sebulan.

(Sahabat Demang tadi adalah guru biasa yang berpendapatan lebih 6k sebulan, mempunyai 2 buah kereta dan 2 buah rumah. 6k itu adalah gaji sebagai kakitangan kerajaan, tidak termasuk pendapatan sampingan kelas tuisyen dan rumah sewa. Beliau juga mendapat elaun warden asrama).

Kemanakah RM4000 itu dihalakan setiap bulan? Maksud Demang bukan sahabat tadi tetapi kepada sesiapa sahaja yang berkenaan, termasuklah Demang.

Jika merujuk pada artikal Demang tentang sistem piramid ekonomi, di manakah kedudukan golongan ini? Mereka adalah pengguna primer, penerima curahan hujan daripada kerajaan. Yakni di dua tingkat teratas dalam sistem piramid.

Amanah pertama golongan ini ialah melaksanakan tugas membantu rakyat. Jika seorang guru, beliau membantu ibu bapa mendidik anak-anak. Bagi seorang pegawai polis, beliau menjaga keselamatan rakyat. Begitu juga pegawai perubatan yang ditugaskan menjaga kesihatan rakyat. (Para pegawai di SPP dan KPM pun ramai dalam kelompok ini).

Itu tugas pertama kita yang wajib dilunaskan.

Atas tugas-tugas tersebut maka kita diberi saraan atau upah (istilah apapun tak apa kerana yang penting kita mendapat wang).

Wang tersebut dgunakan bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Maka apabila pegawai itu membeli makanan, pakaian, kenderaan, dan sebagainya maka dapatlah rakyat tertentu berniaga.

Para usahawan tersebut menggaji para pekerja dan dalam masa yang sama mendapat bekalan produk daripada kilang yang menyediakan pendapatan kepada lebih ramai pekerja.

Apabila ramai yang bekerja maka permintaan terhadap jualan makanan turut bertambah. Sebahagian daripada rakyat boleh mengambil peluang ini bagi menjana pendapatan keluarga.

Sumber utama makanan ialah pertanian dan penternakan. Justeru jangan ketawakan Paklah yang menyuruh rakyat bertani. Jika anda tidak mampu, beri galakan kepada abang-kakak kita di kampung. Banyak cara untuk menjayakannya dan bukannya mencemuh atau mencipta ribuan alasan.

Sesungguhnya ruang untuk kita bergerak masih luas. Medan untuk kita berjuang dalam jihad ekonomi masih jauh sempadannya. TDM pernah mensasarkan penduduk Malaysia seramai 70 juta. Sekarang jumlah kita baru setakat 27 juta. Kenapa perlu berdengki?

Ada yang berpendapat unjuran TDM itu mustahil dicapai memandangkan kadar kelahiran dan kematian manusia. Namun kita masih ada alternatif lain untuk mendapatkan tenaga kerja. Bukankah Tuhan berikan kita akal untuk mencipta teknologi?

Dalam ekonomi Islam, wang tidak boleh disimpan-beku. Itulah sebabnya riba diharamkan. Lebihan perbelanjaan bukan ditabung di bawah bantal atau ke dalam simpanan tetap di bank. Sebaliknya carilah pelaburan dengan sesuai. Bertindaklah secara proaktif dengan cara sama-sama menanggung risiko, bukan sekadar 'meminjamkan' wang kepada pihak bank untuk mendapatkan faedah tetap. Itu riba namanya.

Ada satu lagi amanah yang perlu kita bereskan: "sudahkah anda melunaskan zakat fitrah?"

Mungkin kita perlu fikirkan untuk menjadi penyumbang zakat-zakat lain pula seperti zakat harta, perniagaan, ternakan dan sebagainya.

Apakata anda mulakan dengan perusahaan lembu pawah dengan adik-kakak di kampung? 5 tahun lagi jika lembu itu berkembang biak menjadi 10 ekor, bermakna anda akan mempunyai RM20k. Dah boleh naik haji.

Ada seorang sepupu Demang sedang giat mengusahakan ternakan lintah. Menurut beliau, pasaran lintah sangat luas tetapi modalnya agak besar. Maka beliau mengajak saudara mara kami melabur dalam perusahaannya itu. Bukankah itu satu cara yang baik menambah pendapatan?

Demang cadangkan, daripada ahli politik kita sibuk berkempen sepanjang tahun dan berangan untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang, lebih baik setiap YB pembangkang mulakan satu usaha khusus bagi membangunkan ekonomi negara. Insya Allah rakyat akan lebih menghargainya dan tidak mustahil dalam PRU13 nanti mereka akan dipilih menerajui kerajaan yang ‘sah’ .

Maklum lah, mereka ni sebenarnya ada banyak masa lapang berbanding pak menteri.

12 comments:

  1. Saya sokong cakap demang... Memang kalau dilihat penjawat awam akan mendapat imbuhan besar... tetapi, kemudiannya wang itu akan disalurkan kepada golongan bawahan... Penjawat awam akan membeli petai, jering, durian dan ikan daripada penduduk kampung dan nelayan yang rajin mencari rezeki... malah, penjawat awam jugalah antara pembeli tetap mereka.... tindakan kerajaan menghambur imbuhan itu juga akan menggerakkan ekonomi negara...

    Kepada penganggur yang tidak melakukan apa-apa usaha mana mungkin akan menerima imbuhan, secara tidak langsung ataupun secara langsung...

    Kalau melihat kerajaan, jangan asyik melihat yang negatif...

    harap-harap mana yang negatif tue dapat dipositifkan kelak... Tidak kiralah sesiapa yang memerintah pun...

    ReplyDelete
  2. Berdasarkan komen demang dalam blog saya...

    Blog yang saya maksudkan bukan blog Demang... Blog Demang memang blog yang berorientasikan politik tetapi bukan sentimen politik tebal... Blog yang saya maksudkan itu sarat dengan kutukan dan makian keras kepada seteru politiknya...Nak menunjukkan tak puas hati ada adabnya, kan Demang? paling ekstrem pun biarlah memerli tapi tidak disebutkan nama...

    Terima kasih sebab komen...

    ReplyDelete
  3. wacana anda cukup baik tetapi berapa ramaikan yang berfikir macam anda? yang ramai di dalam masyarakat kita adalah golongan tamak. nak makan sorang. nak sedap sorang. nak seronok sorang. orang apa aku peduli. dan itulah silap orang kita sebenarnya. penting diri.

    kenapa bangsa lain boleh maju adalah disebabkan muafakat. bukankah muafakat itu membawa berkat? bila kita diberkati maka kita dirahmati olehNya.

    ReplyDelete
  4. Salam.

    Memang benar apa yang diperkatakan oleh Demang. Pendapatan yang diterima dibelanja dan dilaburkan akan dapat menggerakkan aktiviti ekonomi.

    Tapi barang diingat pengurusan dan pentadbiran ekonomi amat penting agar kuasa beli berada ditahap yang tertinggi. Disinilah peranan yang kerajaan amat penting.
    Kelemahan pengurusan ekonomi menyebabkan kadar inflasi terus meningkat dan kuasa beli kita sebagai pengguna terus jatuh. Ini lah yang dialami oleh kita sekarang.
    Nak atau tidak terpaksa la kita lalui nya kerana kita yang telah memilih...

    ReplyDelete
  5. salam cikgu dan selamat berpuasa..

    benar apa yang cikgu kata..dalam satu seminar minggu lepas di Institut Intergriti Malaysia, prof Khoo Kay Kim ada menyebut bahawa kita dipanggil kerajaan (Government)kerana adanya Raja, dan jika tiada Raja maka dipanggil (selected government). dengan erti kata lain, kitalah yang dipanggil kerajaan- Raja-keRajaan..

    jadinya, kita tak boleh menghina kerajaan kerana ia adalah menghina diri sendiri. tapi kita boleh mengkritik pegawai kerajaan atau pemerintah, dan jika mereka korup, boleh kita gantikan mereka ini, namun kita tak boleh tukar 'kerajaan'(kerja gila sebenarnya)...

    berdasarkan tulisan cikgu, dan tulisan blogger lain, saya dapati memang benar saranan cikgu itu. duit jika di simpan memang tak produktif, dan mengakibatkan peniaga2 kecilan(seperti saya)boleh jatuh melingkup.

    namun dalam sesetengah hal, kita memang kena berjimat cermat cikgu..maklumlah, kang habis semua duit di tangan, kita pula yang meminta hutang..kalau nasib tak baik, mungkin terima rasuah!

    pada pandangan saya, kuasa beli yang tinggi adalah berdasarkan hemah dan berhati-hati, maka secara tak langsung pasaran juga akan mengikut kita..ini pandangan saya semata, harap cikgu dapat beri pandangan..

    TQ..

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Cheguman,

    Duit kalau ada memang tidak patutlah seratus peratus kita simpan. Hancurlah ekonomi negara kalau duit tak 'bergerak'.

    Namun hakikatnya, berapa banyak pun gaji tak akan cukup jika perbelanjaan kita tidak berhemah. Jadi baiknya kita hidup ikut acuan kita sendiri.

    Memang bagus saranan Cheguman tentang perniagaan itu dan saya dengar Perniagaan Lintah memang lumayan. Rasulullah saw sendiri bersabda betapa 9/10 daripada rezeki itu adalah dari sumber perniagaan.

    Perniagaan yang dibenarkan Syarak dan jangan lupa zakatnya.

    Kita kena sentiasa berikhtiar untuk rezeki masing masing, tak perlu sangat kita lihat pada rezeki orang lain penjawat awam atau swasta. InsyaAllah kalau berikhtiar Allah swt akan limpahkan rezeki pada kita.

    Tentang penanggur ini, inilah yang sedihnya. Kalau berjuta rakyat pendatang Asing boleh datang mencari rezeki tak kan masih ada orang kita yang menganggur. Buat permulaan usahlah pilih sangat kerja, buat sahaja asalkan halal.

    InsyaAllah, akan terbuka pintu rezeki yang lain...

    ReplyDelete
  7. Sdr Demang,

    Singgah untuk kali pertama sebagai menyambut salam pengenalan.

    berkenaan sahabat demang yang mempersoalkan tanggungjawab kerajaan sehingga sanggup memperkatakan kerajaan gagal menjaga kebajikan rakyat ia adalah komen yang menjadi amalan bagi semua yang tidak bersetuju dengan kerajaan sekarang.

    Mengapa mereka tidak berpuashati saya rasa terlalu banyak sebabnya... uncle harap jangan sampai berperangai macam kaum nabi musa cukuplah...tak tahu bersyukur dengan pemberian yang esa.

    ps. secara peribadi uncle pun kurang berkenan dengan kepimpinan sekarang (ada 'off colour' sikit).

    ReplyDelete
  8. Redzwan,
    Betul tu. Pandangan yg negatif akhirnya menjadikan kita sering bersikap negatif.
    Malang lah jika posisi berubah nanti, yg jadi kerajaan pulak lebih teruk dari kerajaan skrg. Begitu juga yg jadi pembangkang, lebih teruk dari pembangkang sekarang.

    mountdweller,
    ramai yg berharap supaya orang lain melakukan yg terbaik melainkan dia seorang... "ala.. aku tak apa..."
    Bukankah kita adalah org lain kpd org lain?

    zulrahman,
    salam kembali. Amacam Penang?

    zulfie,
    Setuju dgn pandangan anda, tapi jika pun kita telah memilih namun kita masih berhak menegur dan membantah. Tapi, tak perlu lah membuang kot..?

    joharihamzah,
    memang benar kita mesti berjimat. Sedangkan mengangkat wudu' lebih drpd 3 kali pada satu-satu anggota sudah dikira 'haram' krn membazir...

    Pembaziran ialah menggunakan sesuatu melebihi keperluan. Kalau patut makan sepinggan nasi sudah kenyang, kenapa perlu order 2 pinggan, ye tak?

    Mesej saya dlm artikal ini ialah: orderlah 2 pinggan dan yg sepinggan tu sedekah pada yg memerlukan... atau, order lah sepinggan sahaja dan wang yg tak digunakan itu dilaburkan.

    Makcik dah pun buat saranan: "perbelanjaan berhemah"
    ...itulah yg nak saya sampaikan.

    Uncle,
    jika ada pendapat yg bercanggah dgn kerajaan, itu normal. Masalahnya ialah ada org yg sentiasa tak puas hati...

    Semoga selepas biduk berlalu kiambang 'kan bertaut kembali.

    Singgah2lah selalu berkongsi rasa...

    Kepada yg mengikuti perbincangan ini, jangan simpan sahaja pendapat anda. Tiada siapa yang terlebih pandai di sini. Kemukakan lah. Di sini kita sekadar berkongsi rasa...

    Minggu depan dah nak raya.

    ReplyDelete
  9. Betul sangat tu.....biarlah PU ke 13 menentukan kerajaan yang sah, jangan main pintu belakang, kelak akan menjadi kerajaan yang tak bermaruah dan kerajaan merasuah YB-YB BN. Janganlah mengadaikan keamanan yang selama ini kita kecapi. Fikirlah tentang nasib anak cucu kita nanti.

    ReplyDelete
  10. Keris warisan,
    Saya setuju. Lagi satu, kpd pemimpin politik berkenaan, tolong jangan eksploitasi istilah 'akar umbi' dan 'pakatan rakyat' bagi membohongi rakyat. Bila masa mereka buat 'survey' kpd rakyat? Saya tak terima apa2 borang kaji selidik pun! Saya pun rakyat juga. Ibu bapa dan mertua saya ahli akar umbi UMNO dan mereka pun tak pernah ditanya pendirian politik mereka.

    Yang saya tahu, yakin dan pasti ialah dalam PRU12 baru2 ini BN masih mendapat majoriti kerusi di Parlimen (140 kerusi) berbanding 82 kerusi yg dimenangi oleh beberapa buah parti.

    Saya juga difahamkan bahawa PAS tidak sama sekali bekerjasama dengan DAP, begitu juga sebaliknya. Ini ditegaskan oleh Hj Hadi selaku Presiden PAS sebelum rakyat membuang undi. Cuma PKR bekerjasama dgn DAP dan pada masa yg sama bekerjasama dgn PAS.

    Katak-katak yg nak melompat tu, sudahkah mendapat izin pengundi mereka?

    Kenapa mereka mungkir janji?

    ReplyDelete
  11. artikel ni la yang masuk dalam sinar harian

    ReplyDelete

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.