Dulu-dulu, rumah orang Melayu diperbuat daripada kayu. Bukan kayu biasa dan bukan sama sekali diperbuat daripada buluh, rembia, rotan, atau sebagainya.
Bukanlah tidak ada rumah yang begitu (berdinding buluh beratap rembia) tetapi cuma sedikit. Maklumlah, semua bangsa ada penduduk miskinnya. Begitu juga orang Melayu. Namun majoritinya sederhana dan ramai juga yang kaya, sesuai dengan aktiviti ekonomi mereka selaku saudagar dan ahli pelayaran.
Demang tidak maksudkan orang Melayu yang hidup semasa penjajahan dan di awal kemerdekaan. Apabila berkesah tentang peribahasa seperti di atas sudah tentulah ia merujuk pada zaman peribahasa itu dinukil. Mungkin di zaman khalifah Islam Melaka atau lebih awal dari itu.
Peribahasa di atas menyebut pahat dan bukannya tukul. Orang Kedah kata 'mertul'. Padahal tukul yang lebih penting dalam membina rumah. Kenapa?
Bangsa Melayu itu tinggi peradaban dan nilai estetikanya. Jika rumah siap tukul yang berbunyi, ertinya 'ada sesuatu yang tidak kena' dengan rumah tersebut. Peribahasa tadi menyebut pahat yang berbunyi. Maksudnya yang dipertikai bukanlah perkara asas sebaliknya cabang dan ranting sahaja. Aksesori.
Maklumlah, rumah kayu penuh dengan ukiran. Memanglah tukul turut digunakan bersama pahat. Namun yang penting ialah pahat. Tukul pula penting dalam proses mengetuk paku.
Kembali ke arena politik negara.
Biasalah. Biarpun PRK Hulu Selangor sudah hampir seminggu berlalu namun masih kedengaran ketuk-ketak di sana-sini.
Kalau setakat bedah siasat (post mortem) tak apalah juga. Namun yang tak eloknya ialah tuduhan dan tohmahan terhadap lawan.
Bagi Demang, ada dua sebab bunyi 'ketuk-ketak' selepas pilihanraya. Pertama, pihak yang kalah ingin memberitahu orang ramai bahawa mereka kalah bukan kerana mereka lekeh sangat sebaliknya kerana taktik kotor. Kedua, pihak yang menang pula melakukan serangan balas bagi memberitahu pengundi: 'pihak lawan pun guna taktik kotor tetapi kalah.
Orang kalah memang begitu. Nak pertahan egois.
Bagi Demang, yang penting proses pilihanraya sudah selesai mengikut peraturan yang ditetapkan. Mungkin ada kelemahan di sana-sini tetapi bukanlah pada perkara asas. Cuma berkenaan 'aksesori' sahaja. Buat apa nak bising-bisisng?
Kalau teringin sangat nak kecoh, pergilah ke Thailand. Jangan lupa pakai baju kuning atau merah. Sekarang ini dah ada kumpulan baru berbaju putih. Mungkin boleh tambah baju hijau berbelang biru pula di sana iaitu orang Malaysia yang mengidam nak berdemonstrasi.
Pesan Demang, apabila terdengar bunyi pahat daripada rumah jiran maka bertenanglah. Tidak ada apa yang nak dirisaukan. Ia cuma melibatkan aksesori tambahan.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.