Tuesday, May 24, 2011

kenali lelaki di sebalik video seks

KUALA LUMPUR 24 Mei – Sebelum Mac lalu, tidak ramai yang mengenali nama Datuk Shazryl Eskay Abdullah. Di tempat tinggalnya, bekas Konsul Kehormat Diraja Thailand di Langkawi itu dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya. 

Siapa sahaja yang berkunjung ke kawasan kediaman beliau di Naka, Kedah yang turut menempatkan pejabat dan kilang baja mineralnya pasti terpegun melihat kajayaan lelaki ini.
 

Shazryl Eskay yang menjadikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Raja Thailand sebagai idola berikutan keupayaan mereka membangunkan negara masing-masing 
dengan baik, mempunyai perwatakan yang mesra dengan sesiapa pun. 

Ia bersesuaian dengan tugasnya selaku Konsul Kehormat Diraja Thailand selama lebih tujuh tahun mulai Ogos 2004 hingga penghujung tahun lalu.
 Di sebalik perwatakannya itu, lelaki bernama Shazryl Eskay ini cukup berani.

Hakikat tersebut tidak mungkin dapat disangkal lagi kerana keberaniannya itu telah 
menggegarkan arena politik negara apabila mendedahkan rakaman video seks seorang lelaki didakwa mirip pemimpin pembangkang dengan wanita dipercayai pelacur dari China, baru-baru ini. 

Shazryl Eskay merupakan salah seorang anggota trio Datuk T yang bertanggungjawab 
mendedahkan rakaman video seks berkenaan. 

Malahan bukan itu sahaja, beliau turut membuktikan sikapnya yang berpegang teguh dengan prinsip ‘berani kerana benar’ apabila membuat dakwaan dan bersumpah laknat bahawa pelaku dalam video seks terbabit adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 


Ekoran isu berkenaan, nama Shazryl Eskay tiba-tiba begitu popular dan sering disebut-sebut. Tidak dinafikan terdapat segelintir pihak yang tidak menyenangi pendedahan berkenaan melontar pelbagai tuduhan terhadap Shazryl Eskay. 

Namun beliau sanggup berdepan dengan kritikan tersebut dan sebarang kemungkinan kerana baginya, apa yang dilakukan itu adalah demi masa depan negara.
 Lagi pula Shazryl Eskay sebenarnya bukan calang-calang orangnya.

Beliau dilantik sebagai Konsul Kehormat Diraja Thailand bertempat di Langkawi dengan menerima watikah yang ditandatangani oleh Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej dan Perdana Menteri Thailand (semasa itu), Thaksin Shinawatra pada 17 Ogos 2004.
 Beliau tamat perkhidmatan sebagai konsul pada penghujung tahun lepas.

Selain itu, Shazryl Eskay turut menjadi Pengerusi Kor Konsul Kehormat di Malaysia yang mewakili 46 buah negara dari 2008 hingga Mac lalu.
 Sepanjang memegang jawatan berkenaan, beliau mengenali dan mempunyai ramai rakan dalam kerajaan Thailand termasuk orang-orang kenamaan, gabenor di kebanyakan wilayah negara itu, polis dan tentera. 

Pejabat di Langkawi dan kediamannya di Naka kerap dikunjungi oleh ramai orang kenamaan. Siapa pun yang datang, tanpa mengira latar belakang politik akan dilayan Shazryl Eskay kerana sebagai seorang konsul, beliau tidak boleh terlibat dalam politik.
 

Dalam pertemuan eksklusif dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Shazryl Eskay berkongsi latar belakang hidupnya termasuk tugas beliau sewaktu menjadi seorang Konsul Kehormat Diraja Thailand yang disifatnya sebagai memberi banyak kelebihan dan peluang untuk menabur bakti kepada Malaysia dan masyarakat Islam di selatan Thailand.
 

Antaranya, tugas beliau itu telah menemukan Shazryl Eskay dengan pelbagai kelompok manusia termasuk ketua dan wakil-wakil puak pemisah Islam di selatan Thailand.


Pada 2005, menurutnya, Raja Thailand telah merestui penglibatan Dr. Mahathir, Pengerusi Perdana Global Peace Organization (PGPO) dan beliau untuk membantu mencari jalan penyelesaian bagi memulihkan keamanan antara kerajaan Thailand dengan puak pemisah Islam di selatan negara berkenaan. 







Bagi tujuan itu, mereka menggunakan platform Dialog Keamanan Langkawi (Langkawi Peace Talk) yang secara langsung telah merapatkan hubungan beliau dengan puak-puak pemisah berkenaan.

Shazryl Eskay memberitahu, dialog tersebut akhirnya berjaya menghasilkan Peta Keamanan (Peace Road Map) melibatkan semua wakil puak pemisah di bawah naungan organisasi yang dinamakan BERSATU termasuk pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Gerakan Mujahiden Islam Pattani (GMP) dan Barisan Revolusi Nasional-Kongres (BRN). “Cadangan kemanan ini berjaya dimeterai dengan syarat dan terma yang diserahkan kepada Perdana Menteri pada masa itu iaitu Thaksin. 

“Kebanyakan permintaan yang dimeterai itu seperti mengajar bahasa Jawi (bahasa Melayu) dan agama Islam di sekolah telah dilaksanakan,” kata beliau.
 

Berikutan penganjuran dialog berkenaan juga, Shazryl Eskay terus menjalin hubungan baik dengan puak pemisah Islam lain di selatan Thailand yang bukan di bawah naungan organisasi BERSATU iaitu ketua sel kumpulan-kumpulan kecil seperti Rhonda Kumpulan Kecil (RKK).
 

Beliau juga banyak membantu orang Islam di selatan Thailand mendapatkan pekerjaan di lading-ladang getah dan kelapa sawit serta di kedai makan di negara ini di samping menolong 
menghantar pulang penduduk di situ yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. 

Bagaimanapun, kelebihan dan hubungan baik beliau dengan penduduk dan kerajaan Thailand turut diketahui oleh seorang pemimpin pembangkang yang dipercayai berminat terhadap kelebihan tersebut.
 

“Inilah kekuatan saya yang pemimpin pembangkang itu mahukan,” katanya.
 

Bercerita lanjut, Shazryl Eskay memberitahu, semasa di Thailand, beliau sering menjadi hos kepada ramai pemimpin seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kini Menteri Pertahanan), Datuk Mukhriz Mahathir (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Dewan Negara dan lain-lain.
 

Katanya, sepanjang mengiringi tetamu kenamaan ini, beliau mendapati kedatangan mereka ke negara itu tiada agenda tidak bermoral kecuali seorang pemimpin pembangkang itu yang 
berkehendakannya. 

“Apabila membantu pemimpin atau kenalan yang ke Thailand, saya tidak boleh menghalang aktiviti yang ingin dilakukan mereka kecuali yang melibatkan soal dadah, jenayah dan sebarang perkara yang mampu menggugatkan keselamatan negara,”katanya.
 

Ditanya mengenai hubungan beliau dengan Anwar, Shazryl Eskay berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu hanya akan berkawan jika individu itu mempunyai kepentingan untuk manfaat diri sendiri.
 

“Tanyalah perkara ini kepada kawan-kawan Anwar yang sudah meninggalkan beliau semasa beliau berada di dalam UMNO dan PKR,”
 katanya.
 Menurut Shazryl Eskay, beliau bukan rakan karib Anwar seperti Datuk Nallakarupan, tetapi hanya rakan biasa yang dikenali sejak 1996 dan tidak mempunyai kaitan dengan kepartian atau menjadi pengikutnya.

Sebagai seorang rakan, katanya, beliau akan membantu apabila Anwar ke Thailand kerana kebanyakan masa Anwar pergi seorang diri ke negara tersebut. 

“Hubungan kami hanya sebagai kawan biasa. Saya tidak perlukan apa-apa daripadanya tetapi dia memerlukan saya bagi tujuan tertentu. Semasa di Thailand, banyak benda yang berlaku dan banyak juga benda yang berlaku itu saya tidak setuju,” katanya.
 

Ditanya mengapakah sekarang beliau meninggalkan Anwar, kata Shazryl Eskay:

“Soalan itu perlu diajukan kepada rakan-rakan seperjuangan Anwar seperti Dr. Chandra Muzaffar, Senator Ezam Mohd Nor dan bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari dan yang lain-lain yang meninggalkan ketua pembangkang itu kerana jawapan saya sama seperti mereka.”
 



Beliau juga mendakwa peribadi Anwar sudah jauh berubah berbanding sifatnya ketika pada awal perkenalan mereka dahulu. “Sebagai seorang rakan lama, saya sangat mengetahui Anwar. Beliau sudah berubah sejak kebelakangan ini terutama selepas tuduhan kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. 

“Malangnya, status emosinya kelihatan tidak stabil dan keutamaan serta agendanya tiba-tiba berubah. Dia menjadi pemimpin lemah di samping menghadapi pelbagai masalah peribadi, malahan dia sebenarnya sedang digunakan dan dimanipulasi oleh beberapa pihak untuk mencapai agenda mereka,” katanya.
 

Di hujung pertemuan, Shazryl Eskay meninggalkan pesan kepada Anwar supaya Penasihat PKR itu kini meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.
 

Katanya; Anwar tidak boleh lagi terus bersikap menafikan dakwaan yang berlaku kerana beliau sendiri sanggup melakukan sumpah bagi membuktikan ketua pembangkang itu merupakan pelaku di dalam rakaman video seks melibatkan seorang pelacur dipercayai dari China.
 

“Saya telah bersumpah bahawa kami berdua berada dalam paparan video itu, Anwar jangan nafikan lagi. Anwar perlu faham bahawa dalam kehidupan ini pembohongan tidak akan mampu menghalang munculnya kebenaran.

Rakyat sudah mempercayainya.
 

“Pesanan saya, keluarga anda lebih penting. Pergi luangkan masa dengan mereka, Insya-Allah kamu akan menjadi insan yang lebih baik,” ujar beliau.
 

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.