Hasrat ibu saudara Demang untuk membawa pekerjanya bercuti dan menginap di apartment sebuah taman tema air sempena cuti hari kemerdekaan kelmarin terencat apabila beliau mendapati tempat yang begitu cantik dan menyeronokkan itu sudah bertukar menjadi tempat penginapan burung liar dan mungkin juga jin dan hantu.
Sebelum ini Demang pernah beberapa kali membawa keluarga ke situ beberapa tahun lalu.
Kawasan tersebut dibina dengan pelbagai permainan air yang menarik dan blok-blok apartment dijual kepada individu untuk disewakan semula kepada orang ramai.
Ertinya, orang perseorangan membeli atas nama sendiri kemudian menyerahkan semula kepada pihak pengurusan yang bertindak memaju, mengurus, mempromosi, dan membayar sevbahagian keuntungan kepada pemiliknya.
Ia adalah satu konsep yang menarik daripada idea yang bagus. Malangnya, apabila krisis ekonomi melanda 10 tahun lalu industri pelancongan turut terjejas teruk. Pihak pengurusan mengalami kerugian apabila tidak ramai pengunjung.
Akibatnya mereka tidak mampu membayar kepada para pemilik menyebabkan sebahagian pemilik menarik diri dan bertindak mencari penyewa sendiri. Maka muncullah ulat-ulat yang menawarkan sewa yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.
Fenomena tersebut meninggalkan kesan buruk berganda menyebabkan pihak pengurusan terpaksa melepaskan sebahagian lagi pegangan mereka terhadap apartment lain.
Akhirnya walaupun ekonomi sudah pulih dan aktiviti pelancongan kembali rancak, para pelancong sudah beralih pada taman-taman tema yang baru muncul.
Maka tersadailah taman tema tersebut menanti masa untuk ditutup terus.
Yang rugi sudah tentulah para pemilik apartment melainkan mereka mahu berpindah ke situ beramai-ramai dan menjadikan kawasan tersebut tempat tinggal mereka.
Demang menulis tentang kemelut taman tema tersebut bukan kerana ada kepentingan peribadi di situ sebliknya Demang melihat perkara yang sama berlaku pada sistem zakat di Malaysia.
Demang melihat sudah ada kecenderungan pihak tertentu untuk tidak menggunakan sistem zakat berpusat yang disediakan kerajaan. Golongan ini suka membayar zakat yang wajib atas mereka terus kepada asnaf. Mereka luoa bahawa amil juga sebahagian daripada asnaf!
Jika ini berterusan dan berleluasa, pusat zakat akan ditutup. Implikasinya, tanpa pemusatan zakat akan ada asnaf yang tercicir selain usaha pembangunan ekonomi ummah ikut ranap.
Bagi Demang, keegoan golongan tertentu untuk menguruskan agihan zakat sendiri wajib dibendung.
Demang ulangi, golongan tersebut sebenarnya amat ego atau dengan kata lain, bodoh sombong!
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan”.
Berikut adalah asnaf yang berhak menerima zakat: (jika tiada pemusatan zakat, berjayakah semua asnaf menerima hak mereka?)
1) Fakir (al Fuqara) – adalah orang yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuknya dan keperluannya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Contohnya ia memerlukan RM10 sehari tetapi hanya mampu RM3 sahaja.
2) Miskin (al-Masakin) – mempunyai kemampuan usaha untuk mendapatkan keperluan hidupnya akan tetapi tidak mencukupi sepenuhnya seperti ia memerlukan RM10 tetapi hanya memperoleh RM8.
3) Amil – orang yang dilantik untuk memungut dan mengagih wang zakat.
4) Muallaf – seseorang yang baru memeluk agama Islam.
5) Riqab – seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri.
6) Gharimin – penghutang muslim yang tidak mempunyai sumber untuk menjelaskan hutang yang diharuskan oleh syarak pada perkara asasi untuk diri dan tanggungjawab yang wajib ke atasnya.
7) Fisabilillah – orang yang berjuang, berusaha dan melakukan aktiviti untuk menegakkan dan meninggikan agama Allah.
8) Ibnus Sabil – musafir yang kehabisan bekalan dalam perjalanan atau semasa memulakan perjalanan dari negaranya yang mendatangkan pulangan yang baik kepada Islam dan umatnya atau orang Islam yang tiada perbekalan di jalanan.
posted from Bloggeroid