Pada suatu hari seorang lelaki telah membeli sepuluh ekor unta.
Lelaki itu membawa pulang kesemua unta tersebut seorang diri dengan cara menunggang unta yang di depan sekali manakala yang lainnya mengikuti dari belakang.
Tidak berapa lama berjalan, lelaki itu berhenti dan menoleh ke belakang untuk mengira adakah bilangan unta-unta itu masih cukup.
Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati hanya ada sembilan ekor sahaja untanya.
Lelaki itu tidak berpuas hati lalu turun mengira seekor demi seekor dan didapati jumlahnya genap 10 ekor.
Maka dia pun meneruskan perjalanan seperti tadi.
Tidak lama kemudian lelaki itu berhenti lagi tanpa turun dari unta yang ditunggangnya dan mengira.
Sekali lagi dia dapati untanya telah kurang seekor. Namun apabila dia turun mengira, ternyata tiada yang hilang.
Begitulah yang berlaku beberapa kali dalam perjalanan tersebut sehinggalah dia tiba di destinasi.
Kesah di atas Demang baca ketika zaman kanak-kanak dulu. Sebenarnya ia tidaklah begitu lucu hanya sekadar membuatkan pembaca tersenyum sikit.
Namun sebagaimana cerita rakyat lain sudah pasti ada mesej yang hendak disampaikan.
Mari kita lihat kebijaksanaan si pengarang:
Langkah pertama, pengarang sengaja mengutarakan tingkah laku bodoh lelaki itu supaya audiens dengan mudah membuat kesimpulan bahawa lelaki itu seorang yang bodoh.
Apabila kita sudah menetapkan bahawa lelaki itu seorang yang bodoh maka sudah pasti ada lagi sifat bodoh lain pada dirinya.
Apakah sifat itu? Lihat semula cerita di atas.
Ketika membuat kiraan dari atas unta, lelaki itu hanya mengira unta-unta lain dan tidak mengira unta yang ditunggangnya.
Itu bermaksud, manusia (samada miskin atau kaya, bahkan yang swkolah tinggi pun) suka mengambil kira orang lain sahaja dan mengecualikan diri sendiri.
Sebagai contoh, apabila melihat negara orang bergolak, kita menyangka negara kita terkecuali daripada kemungkinan terjadinya masalah begitu di tempat kita.
Seterusnya si pengarang menyarankan agar kita turun (keluar) daripada tempat kita duduk dan melihat dari luar betapa semua unta adalah sama dan perlu diambil kira. Jika negara lain boleh berperang maka negara kita juga tidak terkecuali sekiranya kita leka dan menuruti pe'el rakyat negara tersebut.
Selamat menyambut hari kemerdekaan dan ingatlah bahawa biarpun sudah merdeka tidak bermakna kita tidak boleh dijajah semula.
posted from Bloggeroid
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.