Kali ini Demang utarakan satu soalan lurus dan telus. Tak perlu kelok-kelok atau bengkang-bengkok.
Apa beza warung melayu, siam, dan mamak?
Di sini Demang guna istilah warung tapi ia juga terpakai untuk semua jenis premis yang menjual makanan termasuk cafe dan restauren.
Persamaan ketiga-tiga perniagaan ialah ada pemilik, pekerja, dan makanan yang dijual.
Maka begitu juga perbezaannya terletak pada pemilik, pekerja, dan makanan.
Demang rasa tak perlu Demang menyuluh di tempat terang kerana dua perenggan di atas anda sudah faham-sefaham-fahamnya.
Cuma yang nak Demang timbulkan semula ialah apabila pemiliknya orang melayu maka rata-rata pekerjanya orang melayu.
Begitulah halnya di warung yang pemiliknya thai atau mamak maka pekerjanya juga terdiri orang siam dan India.
Barangkali ramai yang tidak perasan bahawa restauren mamak di Malaysia terbahagi dua: Islam dan Hindu.
Orang melayu biasanya jijik makan makanan yang dimasak tukang masak cina tetapi lahap membedal makanan yang dimasak tukang masak beragama hindu sebab mereka pukul rata: asalkan MAMAK.
Bagi mereka, yang penting: hindu tak makan babi! Mereka lupa ia halalun tapi tidak toiyibun...
Kedai mamak membawa citarasa India yang dimelayukan. Manakala kedai siam dengan makanan thai-nya.
Kedai melayu? Seingat lidah Demang, nasi goreng orang melayu berbeza dengan nasi goreng yang disediakan tukang masak di kedai siam.
Di kedai siam, nasi gorengnya dicampur jagung dan kacang. Jika mahu lebih pedas, dicampakkan sahaja ke dalamnya beberapa biji cili api yang dibelah-belah atau diketuk dengan pisau.
Seingat Demang, mak-mak kita akan menumbuk cili api dengan lesung batu sebelum ditumis dan akhirnya dijadikan nasi goreng. Selain cili api, ikan bilis atau udang kering turut ditumbuk dan digaul bersama.
Mak-mak kita tidak menggunakan perasa tambahan. Semua ramuan dibuat sendiri. Bukannya rumit sangat jika nak dikomersialkan.
Barangkali soal citarasa bersifat peribadi. Generasi sekarang pun sudah tidak peduli lagi dengan lidah melayu. Namun bagaimana dengan ekonomi?
Seperkara lagi, cuba lihat harga makanan di restauren mamak dan siam. Bandingkan dengan warung melayu. Memang berbeza!
Pemilik kedai melayu menggunakan tenaga kerja orang melayu. Anak-anak, ibu saudara, anak saudara, sepupu, anak jiran, anak orang kampung sendiri, dan sebagainya. Wang berlegar dan bertukar tangan dalam kalangan kita sahaja. Kedai orang asing?
Setiap tahun kita letih mendengar laporan berbilion-bilion Ringgit Malaysia dibawa keluar oleh pekerja asing. Apa langkah proaktif kita?
Demang cuma nak syorkan satu sahaja: perkasakan kedai milik orang melayu!
Caranya: kerajaan melalui agensi-agensi yang diberi amanah, bantulah para pengusaha melayu dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Bukan setakat melepas batok di tangga dan jangan asyik nak saman sahaja!
Orang melayu memang pandai memasak. Masalahnya orang melayu belum begitu pandai menjual makanan yang dimasak.
Sesedap-sedap roti canai berkuah kacang dal, apa kurangnya lempeng yang dicicah sambal bilis, asam pedas, atau kari kepala ikan?
Kita ada bijak pandai, pakar ekonomi, pakar pemasaran, dan macam-macam pakar lagi. Takkanlah nak jadi macam askar Gurkha yang kerja setakat dapat gaji sahaja?
Lebih daripada itu, kita ada kerajaan yang katanya disokong oleh majoriti orang melayu. Ertinya orang melayu memang ada kuasa penentu.
Nak tunggu apa lagi?
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.