Kali ini Demang ingin berkongsi kesah sahabat Demang bernama Derwish.
Derwish, hidupnya berkelana.
Pada suatu ketika Derwish tiba di sebuah desa. Ditemuinya sebuah surau usang dan ia solat di situ seorang diri.
Ternyata, biarpun setiap kali masuk waktu solat fardhu Derwish melaungkan azan namun tidak ada seorangpun ahli khairiah tersebut yang datang berjemaah.
Pada mulanya Derwish menyangka terdapat surau atau masjid lain berhampiran namun setelah disiasat hanya itulah satu-satunya tempat ibadat yang ada.
Dari pemerhatian Derwish penduduk desa itu hampir sama dengan orang Islam lain cuma mereka lebih suka solat di rumah kerana sibuk dengan urusan keluarga dan mencari rezeki.
Seminggu sekali mereka solat Jumaat di bandar berhampiran.
Maka Derwish pun berdoa agar dibukakan pintu hati penduduk disitu untuk mengimarah rumah Allah.
Tidak lama kemudian surau itu mulai didatangi penduduk kampung untuk berjemaah.
Selain itu mereka menubuhkan jawatankuasa khas bagi menguruskan surau dan mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan.
Mereka juga memperbaiki bangunan surau, membersih dan mencantikkannya.
Pada suatu hari jawatankuasa surau telah bermesyuarat dan dalam mesyuarat tersebut salah seorang ahli jawatankuasa telah menimbulkan isu Derwish yang siang malam menumpang di surau itu.
Setelah berlaku sedikit pertelingkahan pendapat akhirnya jawatankuasa surau telah mengambil keputusan (melalui undian) bahawa Derwish tidak lagi dibenarkan menumpang di surau tersebut kerana faktor keselamatan, keceriaan, dan sebagainya.
Maka Derwish pun meninggalkan desa itu bagi meneruskan perjalanannya.
Siapa tahu destinasinya selepas ini ialah kawasan anda?
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.