Pada suatu hari Derwish berkunjung ke pejabat Demang.
"Hamba nak mohon sebarang pekerjaan daripada tuan hamba." Ujar Derwish.
"Eh, bukankah tuan hamba tidak pernah makan gaji sebelum ini?" Tingkah Demang kehairanan.
"Ya, dulu hamba seorang diri. Bukankah kini hamba sudah beristerikan seorang janda yang mempunyai enam orang anak?" Balas Derwish.
"Baiklah. Kebetulan hamba memerlukan seorang juru tulis di pejabat ini. Tuan hamba boleh bermula esok. Berapakah gaji yang tuan hamba mahukan?" Demang bersetuju sambil melontarkan soalan.
"Hamba tidak memerlukan sebarang gaji tetapi tuan hamba hendaklah membiayai semua keperluan hamba, isteri, dan anak-anak hamba." Jawab Derwish.
"Baiklah. Hamba bersetuju." Jawab Demang setelah memikirkan bahawa apalah sangat keperluan sebuah keluarga fakir seperti Derwish.
Maka mulai keesokan harinya pagi-pagi lagi Derwish hadir ke pejabat Demang dan pulang pada waktu petang selepas tamat waktu kerja. Begitulah setiap hari.
Derwish memang seorang pekerja yang bagus. Demang amat berpuas hati dengan hasil kerjanya.
Cuma yang Demang resahkan ialah berkenaan perbelanjaan Derwish dan keluarganya.
"Demang. Isteri hamba perlukan pakaian baru untuk dirinya dan anak-anak." Pinta Derwish pada suatu hari.
Maka Demang pun memberikan sejumlah wang kepada Derwish.
Beberapa hari kemudian Derwish mengadu pada Demang bahawa isterinya meminta wang tambahan kerana sesekali mereka ingin makan di luar dan melancong bagi menghibur hati.
Mahu tidak mahu Demang terpaksa memberikan kerana itulah janjinya sebelum ini.
Tidak lama selepas itu, Derwish memberitahu Demang bahawa keluarganya memerlukan kenderaan bagi memudahkan mereka bergerak.
Sekali lagi Demang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan.
Nampaknya keinginan keluarga Derwish belum berhenti kerana selepas itu Demang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi membesarkan rumah Derwish pula.
Tidak cukup dengan itu, anak-anak tiri Derwish juga sudah pandai merengek meminta berbagai permainan seperti yang dimiliki rakan-rakan mereka. Isteri Derwish juga mahukan perabot yang lebih baik sesuai dengan peredaran masa.
Bahkan, Derwish sendiri memerlukan alat tulis dan alat untuk perhubungan yang lebih baik.
Walaupun keberatan, Demang terpaksa juga memenuhi semua kehendak mereka dengan alasan orang lain memilikinya.
Jika pada awalnya keluarga Derwish cuma mengharapkan keperluan asas namun apabila keperluan asas sudah diperolehi mereka mula cuba untuk memenuhi keinginan peribadi pula.
Selain barang-barang tempatan, terdapat banyak produk luar yang amat menarik dijual di pasaran negeri itu. Masalahnya, produk-produk itu sangat mahal sehingga melebihi perbelanjaan normal mereka.
Ada lebih kurang sembilan bulan keadaan itu berlaku dan akhirnya Demang sudah tidak tahan lagi menanggung perasaan.
Pada suatu pagi Demang memanggil Derwish.
"Derwish. Nampaknya begitu banyak perbelanjaan yang terpaksa hamba keluarkan bagi memenuhi keinginan keluarga tuan hamba hinggakan hampir menyamai perbelanjaan keluarga hamba sendiri." Ujar Demang.
Derwish memandang Demang dan berkata:
"Demikianlah halnya rakyat Demang sekarang. Terlalu banyak keinginan mereka sedangkan pendapatan mereka terhad."
"Mereka tergoda dengan pelbagai barangan baru terutama yang dibuat di negara asing dan dibawa masuk ke negeri ini. Sepanjang masa pengeluar-pengeluar berlumba-lumba mencipta produk baru yang amat menarik. Berbagai cara dilakukan bagi memujuk rakyat Demang agar berbelanja." Sambung derwish lagi.
"Demang fikir Demang mampu memenuhi semua keinginan mereka?" Tanya Derwish.
"Nafsu manusia adalah gaung yang maha dalam dan ruang yang tiada sempadan." Sahut Demang sedikit mengeluh.
"Ya. Justeru tuan hamba tidak boleh selamanya cuba memenuhi keperluan nafsu sebaliknya kembalikan mereka pada matlamat asal kejadian manusia iaitu untuk kembali pada-Nya." Ujar Derwish.
"Ia tidak semudah yang tuan hamba cadangkan. Manusia semakin maju dan bijak. Pengeluar berlumba-lumba membuat kajian untuk ciptaan terbaru. Para pelajar diajar, dilatih, dan digesa untuk berkreatif serta berinovatif dalam penghasilan." Demang mula berceramah.
"Mereka gembira dengan pencapaian sambil letih dalam persaingan. Yang kalah jatuh tersungkur manakala yang menang melangkah gagah dan akhirnya menjadi angkuh serta lupa diri." Sambungnya lagi.
"Para pengguna tersepit antara keinginan dan keterbatasan namun akhirnya tewas di lembah nafsu: nafsu yang tidak pernah mampu dipuaskan!" Demang menutup hujah dalam nada kecewa.
"Justeru tuan hamba perlu berubah." Tingkah Derwish segera.
"Sukar. Amat sukar." Keluh Demang.
"Ya. Ia memang amat sukar jika tuan hamba menyuruh rakyat berubah namun ia tidak mustahil jika Demang sendiri yang berubah." Ulas Derwish seolah memulang paku buah keras.
Demang terdiam, tunduk seperti berfikir. Derwish juga berfikir namun ia mungkin berbeza dengan apa yang sedang Demang fikirkan.
Akhirnya Derwish berkata:
"Demang, jika tuan hamba mahu mengubah cara hidup rakyat, tuan hamba pasti tewas kerana Demang seorang sedangkan rakyat ramai. Sebaliknya jika rakyat mahu mengubah Demang, pasti mereka akan berjaya kerana mereka ramai dan Demang hanya seorang."
"Apapun, ketahuilah bahawa kejayaan bukan sekadar usaha yang gigih tetapi kesabaran dalam berusaha. Demang mulakanlah dengan melakukan umrah ke tanah suci Makkah serta berdoa di sana."
Ikuti episod seterusnya minggu hadapan...
Kesah Demang & Derwish ini adalah karya asli blogger Cheguman dgn dibantu seorang pelukis otai yg pernah bernaung di bawah Creative Enterprise (penerbit majalah Bambino/Gila-Gila/Fantasi.
Ikuti episod demi episod yang akan disiarkan secara berkala di beberapa blog seperti waadat.blogspot.com dan , facebook.com/morha2u
Semoga bermanafaat.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.