Hari ini DEMOKRASI adalah suatu sistem ciptaan manusia yang sedang menuju ke kemuncak dengan begitu bergaya menewaskan satu persatu seterunya. Satu demi satu tali halangan ditetas dan disanggah dan demokrasi dianggap puncak kesempurnaan dalam sistem kepimpinan manusia.
Demokrasi yang diamalkan sekarang menyaksikan kerajaan tidak lagi menguasai rakyat bahkan rakyatlah yang akan menjadi raja. Andaian awal Demang ialah apabila misi ini selesai sepenuhnya maka runtuhlah negara.
Sudah tentu ramai yang akan tidak bersetuju dengan perenggan terakhir di atas. Jika diundi sudah tentu Demang akan kalah kerana yang menentang Demang ialah demokrasi itu sendiri dan demokrasi pasti akan menang dengan mudah kerana bala tenteranya ialah rakyat yang ramai.
Sejarah Melaka dan Andalusia akan terulang lagi tetapi dalam versi pembalasan. Jika dulu raja lemah dan zalim maka kali ini rakyat pula mengambil giliran.
(Siapa yang memegang kuasa maka dialah yang menanggung bahana)
Rakyat akan terus mendesak kerajaan meminta semahunya pada negara. Kerajaan pasti akan menurut perintah sehingga tidak lagi mampu memenuhi kehendak rakyat.
Lebih malang lagi pada kerajaan yang sedang memerintah ialah apabila rakyat sudah tidak sudi lagi pada mereka. Rakyat yakin yang kerajaan sekarang tidak akan mampu memenuhi permintaan. Maka mereka akan menggantikannya dengan kerajaan yang baru dengan sangkaan: yang baru mungkin boleh lakukannya.
Harapan-harapan rakyat terus mara dan membara. Dengan bermodalkan demokrasi, rakyat terus meredah ke hadapan. Setiap isu didominasi oleh rakyat dan kerajaan telah, sedang, dan akan terus tewas dalam semua isu dan akan terjelepuk keletihan sebelum menyerah kalah sepenuhnya.
Formula demi formula, strategi demi strategi dirancang dan digerakkan kerajaan namun tetap tidak membuahkan hasil. Dengan kuasa demokrasi yang meletakkan ketelusan sebagai perkara yang wajib dipatuhi, rakyat bukan sahaja cuba memenuhi kehendak material bahkan ingin memuaskan nafsu ingin tahu.
Sayangnya sifat ingin tahu yang baik itu tidak digunakan bagi mencari ilmu sebaliknya dengan mendengar khabar angin. Lebih teruk lagi apabila setiap perkhabaran terus ditelan dan dihadam tanpa soal.
Siapakah rakyat?
Rakyat adalah penghuni dalam sesebuah negara. Ada peringkat-peringkatnya. Kelompok paling bawah dalam struktur manusia ialah hamba sahaya namun tradisi jahiliah tersebut telah dibanteras oleh Islam secara perlahan-lahan.
Jika hamba sahaya masih ada, maka rakyat (termasuk Demang) berada hanya setingkat di atas level itu.
Apabila seseorang bayi lahir maka proses saringan pun bermula bagi pengkelasan manusia. Ujian-ujian akan dilakukan dan yang lulus akan naik ke level lebih tinggi manakala yang gagal akan dihantar ke lapisan bawah.
Seorang anak miskin yang belajar ilmu penerbangan dan menjadi juru terbang secara automatik melonjakkan dirinya ke level atasan. Dia lulus ujian.
Begitu juga anak orang kaya yang tidak mahu belajar akhirnya semua hartanya hilang lalu turunlah darjatnya ke tingkat bawah. Dia gagal ujian.
Apa itu demokrasi?
Demokrasi ialah rakyat menjadi raja, raja menjadi simbol dan kerajaan menjadi pekerja. Dalam demokrasi, orang yang paling popular diangkat menjadi pemimpin.
Maaf, sebenarnya dalam sistem demokrasi pemimpin hanyalah istilah hamba pada rakyat. Dengan kata lain, 'pemimpin' tidak ada dalam sistem demokrasi. Demokrasi hanya mengizinkan orang yang sanggup menuruti apa sahaja kehendak rakyat untuk menjadi 'ketua'.
Demokrasi mengajarkan bahawa semua manusia adalah setaraf dan memegang satu undi!
Apa itu zalim?
Zalim ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Contohnya, membenarkan sekumpulan manusia memilih ketua mereka sendiri padahal mereka tiada ilmu dalam memilih pemimpin. Mereka hanya akan memilih orang yang mereka suka.
Apa itu adil?
Adil adalah lawan kepada zalim.
Maka fikirkan semula apakah yang sedang kita lakukan sekarang? Bukankah apabila demokrasi telah berjaya diletakkan di kemuncaknya maka itulah tarikh mula keruntuhan sebuah negara?