Sunday, December 14, 2014

Deria ke-7

Sambungan....

Sebelum ini komunikasi sesama manusia banyak melibatkan mulut dan suara namun kini jari dan sentuhan mengambil tempat.

Begitu juga jika dulu telinga yang menjadi penerima isyarat komunikasi, kini mata pula mengambil tempat iaitu ketika membaca teks.

Mahu tidak mahu kita perlu terima hakikat betapa media sosial adalah medan pertemuan paling penting pada zaman ini. Grup-grup diskusi bukan lagi dikatakan 'tumbuh macam cendawan' malah apa sahaja yang merebak dengan pantas boleh dikatakan 'seperti grup sosial di tahun 2014'.

Barangkali juga ungkapan yang lebih tepat bukannya 'serangan media sosial seperti tsunami' sebaliknya 'serangan tsumani seperti media sosial'!

Seperti yang Demang nukil sebelum ini, setiap orang memiliki lebih daripada lima grup media sosial yang menjadikan otak manusia bersambung-sambung sesama sendiri dan berpaut (link) pula dengan kelompok lain. Barangkali ia bukan lagi berbentuk jaringan lelabah bahkan boleh menjadi gumpalan kapas yang tidak mudah dirungkai.

Manusia sudah mula menyatu dalam menyimpan maklumat dan akhirnya sebagaimana kita menyimpan data di  pusat pengumpulan data maka begitu jugalah minda manusia. Akhirnya nanti manusia tidak lagi menyimpan maklumat di dalam otak masing-masing (internal) sebaliknya semua maklumat disimpan pada kotak memori secara maya (external) dan boleh dicapai sebaik sahaja diperlukan.

Sebagaimana ruang maya yang kita tahu tiada penguasa yang berhak mengaku menjadi pengawal maka begitu jugalah nantinya masyarakat manusia. Mereka membentuk koloni sendiri yang hanya beriman pada berita dan cerita, bukan lagi kebenaran sebenar.

Rakyat tidak lagi membaca atau mendengar berita bahkan berita tiba sepanjang masa terus ke minda melalui tapak tangan sebagaimana haba yang menjamah kulit serta merta diproses otak dan difahami sebagai 'panas'.

Nampaknya semua orang sudah ada deria ke tujuh!

Ia sedang berlaku tanpa dapat diempang lagi.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.

Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.

Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.

Terima kasih.