Friday, May 30, 2014

Awas orang ke-3 di PRK Teluk Intan

Bahang PRK Teluk Intan (Teluk Ensen, kata arwah atok Demang) semakin terasa.

Sebenarnya Damang dah malas nak ulas tentang PRK dan itulah sebabnya satu posting pun Demang tak buat untuk PRK terakhir sebelum ini.

Demang yakin pengundi Melayu Teluk Intan faham apa yang sedang berlaku dan apa yang patut dilakukan.

Cuma Demang nak ingatkan bahawa dalam PRK banyak taktik kotor yang sukar dibuat semasa PRU akan dicuba dalam PRK. Hal ini kerana dalam PRK seluruh jentera parti yang bertanding dan parti komponen akan dikerahkan di cuma satu kawasan.

Barangkali istilah komponan kurang tepat sebab PR rasanya belum lagi didaftar.

Salah satu taktik kotor yang biasa digunakan ialah memalsukan (edit) foto calon. Ada beberapa kemungkinan yang boleh berlaku:

Parti A akan edit foto calon parti B.
Parti B akan edit foto calon parti A.

Itu biasa!

Parti A akan edit foto calon parti A.
Parti B akan edit foto calon parti B.

Kenapa? Mereka akan edit foto calon sendiri dan tuduh parti lawan yang lakukan.

Jangan lupa, akan ada jenis yang ketiga:

Pihak ke-3 akan edit foto calon parti A.
Pihak ke-3 akan edit foto calon parti B.

Tujuannya? Lu pikir le sendiri.

Nasihat Demang ialah jangan percaya sesuatu kecuali kita melihatnya sendiri!

Layakkah raja nazrin jadi sultan Perak?

Oleh kerana kita perlukan raja dan negara kita mengamalkan sistem raja berperlembagaan, maka sultan yang bagaimana lagi yang kita mahu?

Raja Nazrin kini bergelar Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Baginda berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Baginda juga memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England pada 1979 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada 1984.

Putera raja yang berjiwa rakyat, Raja Dr. Nazrin terlibat dalam program amal dan kemasyarakatan untuk kepentingan rakyat, khususnya bagi membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Putera raja berilmu tinggi dengan pandangan dan buah fikirannya dalam pelbagai isu mencakupi politik, sosial, ekonomi, kemasyarakatan, agama serta isu semasa sering diikuti dengan penuh minat oleh rakyat selain menjadi bahan perbincangan ilmiah serta bualan orang ramai.

Semoga dengan pertabalan ini akan membantu sedikit sebanyak kualiti negara kita biarpun baginda bukan Ketua Negara yang kini disandang Sultan Kedah.

Siapa tahu setelah tempoh YDA yang ada sekarang tamat, Malaysia melakukan satu transformasi baru dengan melantik baginda sebagai Ketua Negara yang baru.

Jika tidak pun, barangkali akan ada sultan atau bakal sultan negeri Melayu lain yang mampu menyaingi baginda.

Apapun kebarangkaliannya, dari semasa ke semasa kita akan beroleh Ketua Negara yang lebih baik dari sebelumnya.

Sementelah cabaran kita pun semakin getir.

*Takziah pada rakyat negeri Perak atas kemangkatan Sultan Azlan dan tahniah atas perlantikan Sultan Nazrin yang menyambung legasi ayahanda baginda untuk kemakmuran rakyat Perak.

Thursday, May 29, 2014

Mujahid akui PAS sukar laksana hudud

Amat jarang Demang salin bulat-bulat artikal daripada blog lain. Jika Demang suka, Demang akan buatkan link sahaja ke sumber asal.

Namun kali ini Demang salin satu artikal yang Demang rasa amat penting untuk kita fikirkan apakah tindakan dan strategi yang perlu kita ambil berdasarkan situasi yang disentuh dalam artikal ini.

Satu lagi alasan Demang salin bulat-bulat artikal ini ialah kerana ia merekodkan kenyataan beberapa orang penting dan kenyataan tersebut boleh dijadikan rujukan kemudian.

Selamat membaca.

Hasrat kerajaan Kelantan pimpinan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu telah menyebabkan gabungan Pakatan Rakyat goyang, kata pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional pusat Datuk Dr Mujahid Rawa.

Beliau berkata walaupun isu itu dianggap sebagai isu negeri tetapi ia telah memberi kesan kepada PR terutama di Semenanjung kerana kanun jenayah Islam ini tidak pernah dibincangkan semasa pembentukan gabungan itu pada 2008.

Katanya hudud juga bukan sebahagian daripada agenda apabila PAS, PKR dan DAP menandatangani rangka dasar bersama atau pun dimasukkan dalam “Buku Jingga” yang menggariskan dasar-dasar Pakatan Rakyat dalam keseluruhan aspek pentadbiran negara untuk jangka panjang.

“Saya juga harus berterus-terang dan mengaku bahawa secara realiti, masyarakat menganggap PR tidak dapat menyelesaikan perbalahan. Masyarakat juga tidak mempunyai keyakinan bahawa kami boleh mencapai persefahaman bersama mengenai hudud,” kata beliau.

Beliau berkata demikian sebagai speaker pada forum tentang “Perspektif Kemunculan Mengenai Hudud di Malaysia”, anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di sini, Selasa.

Mujahid yang juga anggota parlimen Parit Buntar berkata Pakatan Rakyat mesti mencari penyelesaian bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

“Ya, PAS amat komited untuk melaksanakan hudud tetapi kami juga menghormati proses demokrasi. Kami mengamalkan politik yang matang dan sebab itulah kami terbuka kepada perbincangan dan mendengar kritik,” kata beliau.

Sementara itu, anggota Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin berkata hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia sehingga rakyat memberi restu dan menerima bahawa undang-undang Islam adalah sebahagian daripada kehidupan mereka.

Hanifa, seorang peguam bersetuju bahawa masyarakat mungkin menganggap hudud sebagai bercanggah dengan perlembagaan kerana adalah lumrah untuk bercanggah pendapat tetapi percanggahan itu harus disalurkan melalui saluran yang betul dan menyerah kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahaya mencadangkan supaya golongan bukan Islam dibenarkan untuk menganggotai Jawatankuasa Teknikal berkaitan hudud supaya mereka mendapat penerangan yang jelas dan diberikan ruang untuk menyuarakan kebimbangan berhubung undang-undang Islam itu.

“Pada perbincangan jawatankuasa itu kita boleh bertanya secara terus terang mengenai soalan yang mungkin boleh menyentuh sensitiviti mereka jika dilakukan secara terbuka, seperti mengapa mereka takut dengan pelaksanaannya?,” katanya 

Artikal asal http://mymassa.blogspot.com/2014/05/hasrat-kerajaan-kelantan-pimpinan-pas.html

Wednesday, May 28, 2014

Cuti yang pelik, tak pelik, dan amat pelik

Hari ini Rabu 28 Mei 2014 sekolah mula bercuti selama 2 minggu setengah. Cuti pada pertengahan tahun ini bukanlah pelik dan memang sudah ada sejak kita merdeka kalau tak silap Demang.

Yang agak pelik sikit ialah ada tambahan 'setengah' menjadi 2 minggu setengah!
Itupun tak berapa pelik kerana mungkin hari persekolahan sudah terlebih maka rugilah jika tidak dihabiskan.

Cuma andaian itu menjadi pelik semula apabila kita dimaklumkan bahawa pada hari-hari Sabtu tertentu, persekolahan terpaksa diadakan bagi menggantikan cuti tambahan sempena Hari Raya Aidil Fitri tahun ini.

Demang gunakan huruf besar pada nama perayaan itu sebab ia memang nama khas dan perayaan tersebut adalah perayaan negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Perkara 3.

Bagi yang tidak pernah menyemak perlembagaan kita, Demang nak catatkan sedikit:
Perkara 1. (1) Persekutuan dinamakan Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.
Perkara 2. (Penerimaan masuk wilayah-wilayah ke dalam Persekutuan. Sila baca sendiri)

Perkara 1 dan Perkara 2 mendefinisikan dan menentukan maksud persekutuan, wilayah, dan persempadanannya.

Perkara 3 yang paling penting dan inilah yang nak Demang sentuh kali ini. Demang salin bulat-bulat daripada buku Perlembagaan:

Perkara 3. (1) Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perhatikan baik-baik ayat tersebut. Tidak dicatatkan langsung perkataan 'agama rasmi' di situ sebagaimana fahaman sesetengah burung kakaktua yang belajar entah dari mana!

Kalau ada 'agama rasmi', ertinya akan ada pula 'agama tak rasmi'. Ada ke sesiapa di sini yang ada 'agama tak rasmi'? Itu sebabnya istilah itu tiada dalam Perlembagaan kita.

Janganlah pula dipertikaikan kenapa hal Islam diletak pada Perkara 3, bukannya pada Perkara 1. Sudah diberitahu tadi Perkara 1 dan Perkara 2 adalah bagi mendefinisi apa itu Persekutuan, namanya, dan persempadanannya (fizikal).

Jelas dalam Perkara 3 (1) bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan dalam Perkara 1 awal-awal lagi dinyatakan Malaysia adalah nama bagi Persekutuan.
Mari kita bandingkan ayat dalam perlembagaan dengan ayat berikut:
Sampel A. Islam adalah agama bagi Persekutuan.
Sampel B. Islam adalah agama bagi Ali.

Jika ayat B bermaksud Ali beragama Islam maka sudah tentu ayat A bermaksud Malaysia beragama Islam.
Jika demikian, perayaan utama yang wajib disambut oleh Malaysia ialah Hari Raya Aidil Fitri maka kenapa ia dipandang ringan oleh pihak berkuasa? Tidak faham perlembagaankah atau sengaja tidak mahu melaksanakannya?

Betul, alasannya ialah cuti berganti itu adalah cuti tambahan sahaja sedangkan cuti wajib sudah ada. Demang nak tanya lagi, kalau cuti yang diperuntukkan itu diakui tidak mencukupi, kenapa tidak disusun semula jadual cuti persekolahan agar sesuai dengan agama negara kita?

Barangkali akan ada pula yang pertikaikan, jika Malaysia negara Islam kenapa tidak dilaksanakan hudud?
Jawapan Demang mudah sahaja. Hudud tidak dilaksanakan kerana ahli-ahli politik di negara kita baik UMNO mahupun PAS masih BELUM BERSEDIA untuk melaksanakannya. Jika mereka benar-benar ikhlas, mereka akan ketepikan ego masing-masing dan bersatu untuk merealisasikannya.

Baik UMNO mahupun PAS, hudud hanyalah bahan kempen politik sahaja dan ia akan dihilangkan apabila kepentingan undi pilihanraya mengatasi kepentingan Islam!
Demang tidak sentuh PKR kerana parti itu jelas menyatakan mereka tidak ada agenda Islam bahkan mereka memperjuangkan kesamarataan dalam semua perkara termasuk agama.

Wallahualam.

Saturday, May 24, 2014

Memilih ulu kayu buat menebang si pohon besar

Apa yang Demang gusarkan dalam satira http://waadat.blogspot.com/2014/05/sila-baca-kesah-ini-baik-baik.html sudah mula menjelma. Cepat sungguh tuhan tontonkan pada kita, itupun jika masih mahu dan mampu berfikir. (Lihat poster di bawah).

Namun kalau hati sudah terpalam dan mata hering hanya menginginkan bangkai, maka dipilihlah untuk bersama pada jalan orang-orang yang sesat dan tidak beramal soleh.

Sebenarnya agenda DAP bukanlah kemas sangat. Bocor di merata-rata tempat. Namun dek dendam kesumat beberapa pemimpin tertentu ditambah imbuhan yang agak lumayan oleh parti yang dibiayai pemegang sebenar ekonomi Malaysia, maka diwajarkanlah beberapa perkara yang ssbenarnya tidak wajar.

Apalah nak diharapkan pada budak perempuan baru berumur 20an untuk menjadi wakil rakyat dan lebih penting lagi mewakili suara Melayu dalam DAP? Berupayakah dia melakukan apa-apa? Ia hanya lah ulu kayu yang cuma boleh nenumbangkan pokok apabila ada baji besi. Jika dicabut baji pada ulu kayu itu, maka akhirnya menjadi kayu reput yang tak berguna lagi.

Sebelum ini kehidupannya dibiayai DAP dan selepas ini jika menang pun (nauzubillah) batang lehernya akan terus dipegang DAP.

Seorang pemimpin yang nak kita lantik mestilah seseorang yang berani menegakkan kebenaran. Kebenaran apa yang boleh ditegakkan oleh bekas pelajar UiTM itu yang jati diri sendiripun masih samar-samar?

Jika PAS selama ini merindukan politik Islam, politik Islam yang bagaimanakah yang mahu dijelmakan jika sanggup memberi undi pada calon DAP di Teluk Intan itu?

Friday, May 23, 2014

Panda 25 juta

Tersedak juga Demang apabila menerima pelbagai mesej teks mahupun bergambar tentang isu dua ekor panda yang dikatakan dibeli daripada China pada harga RM25 juta.

Bab buat lawak dengan isu politik memang jadi kepandaian orang Malaysia. Orang negara lain Demang tak tahu lah. Kreatif pulak tu. Sakit jugak perut Demang menahan tawa membaca dialog-dialog satira yang dipadankan dengan foto panda.

Dalam pada itu sudah tentu lah Demang juga sakit hati kerana ketika rakyat marhaen sedang bergelut dengan masalah ekonomi, pemimpin dan orang atasan membeli haiwan peliharaan yang amat tinggi harga dan kos penjagaannya.

Namun dalam keadaan sakit perut dan sakit hati kerana termakan dengan paparan poster-poster itu, Demang gagau juga dalam Google bagi mencari maklumat tambahan.

Maka terjumpalah Demang dengan dua web berikut:

http://ping.busuk.org/v/753244/projek-pinjam-panda-china-rm25-juta-tidak-membazir-menteri.html

http://www.mazeermohamad.com/2014/04/kisah-sebenar-isu-panda-rm25-juta.html

Setelah membacanya maka timbullah persoalan baru, kenapakah hal panda ini dijadikan isu?

Itu sebabnya Demang dah pesan banyak kali: jangan hanya lihat isu sebaliknya lihatlah juga agenda di sebalik isu.

Tiba-tiba Demang teringat hubungan diplomatik kerajaan Melaka-China 500 tahun dulu. Sultan Melaka menerima Puteri Hang Li Poh dan rombongannya 'untuk dijaga' sebagai simbolik persahabatan.

Tinggi gak kos penyelenggaraan tu... he he...

Wednesday, May 21, 2014

Akan luluskah hudud?

Demang melalui zaman remaja semasa zaman rock kapak. Rock kapak bukan lah hanya berisi lagu-lagu keras sahaja. Lagu-lagu 'tangkap leleh' pun berlambak.

Salah sebuah kumpulan rock yang Demang gemar ialah Search dan salah satu lagu tangkap lelehnya berbunyi:  "hulurkan tanganmu kawan aku takut tenggelam.... hulurkan tanganmu kawan jurangnya sangat dalam..."

Bagi Demang jika sampai kawan kita merayu supaya dihulurkan tangan kerana dia sedang tenggelam, maka orang Terengganu kata: berat nanang! Apatah lagi orang tersebut saudara muslim kita.

Demang difahamkan ada sekumpulan saudara kita sedang membuat kajian akhir terhadap hudud dan akan dibentangkan di parlimen untuk diluluskan tidak lama lagi.

Eloklah kita tahu bahawa untuk meluluskan perkara tersebut memerlukan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Kini ada 222 orang MP dan untuk meluluskan hudud tersebut kita perlukan minimum 112 undi.

Oleh kerana yang akan membawa usul ialah PAS sudah tentulah kesemua 21 orang MP PAS akan menyokongnya. Namun perlu diingat, undi yang diperlukan ialah 112, bukannya 21. Maka dari mana akan dicari tambahan 91 undi lagi?

Mahu tidak mahu bantuan MP Islam lain amat diperlukan.

Buat masa ini, UMNO mempunyai 87 undi maka jika dicampur menjadi 108 undi. Nampaknya masih kekurangan 4 undi!

Jangan bimbang kerana kita masih ada MP Muslim daripada parti lain dan kita doakan mereka akan turut mengundi sebagai orang Islam.

Persoalan yang tidak ringan juga ialah adakah 87 MP UMNO yang dikatakan jahat itu akan menyokong? Ingat, orang PAS kata mereka orang jahat dan tidak boleh dibuat kawan!

Mari kita lihat senario PRU-12 di Perak. Ketika UMNO memperolehi hanya 27 daripada 59 kerusi DUN Perak, mereka hanya memerlukan 3 sokongan daripada PAS.

Jika PAS bersetuju ketika itu, UMNO tawarkan jawatan MB dan 4 daripada 10 exco kepada PAS. Ertinya PAS akan mendominasi kerajaan Perak dengan jawatan MB dipegang oleh PAS dan juga speaker dewan. Malangnya entah apa fatwa yang diguna, PAS mengambil keputusan untuk menolak tawaran sebaliknya bersatu dengan DAP bagi membentuk kerajaan baru.

Sebelum itu DAP telah cuba untuk meminta jawatan MB tetapi ditolak oleh Sultan kerana perlembagaan Perak tidak membenarkan MB yang tidak beragama Islam.

Hanya setelah tiada perkenan Sultan barulah DAP menawarkan jawatan tersebut pada PAS walaupun PAS dan DAP mengisytiharkan mereka tiada kerjasama semasa PRU-12. Ini fakta penting kerana ia berkaitan konsep mandat rakyat dan janji kepada pengundi.

Dengan penggabungan tersebut kedudukan dalam kerajaan Perak yang baru ialah:

DAP 18 kerusi
PKR 7 kerusi (3 Islam)
PAS 6 kerusi (6 Islam)
JUMLAH: 31 daripada 59 kerusi DUN Perak.

Jelas pada fakta di atas kerajaan Perak yang ditubuhkan didominasi oleh DAP (18) manakala PAS (6) sekadar malukut di tepi gantang dengan Nizar menjadi MB boneka. Hanya 3 daripada 7 ADUN PKR Perak beragama Islam.

Antara kesan pembentukan kerajaan DAP-PAS itu ialah:
1) keputusan kerajaan Perak menghadiahkan kampung-kampung baru yang diambil daripada tanah rizab Melayu kepada orang cina.

2) keputusan kerajaan Perak menganjakkan tempoh pajakan tanah tersebut daripada 99 tahun kepada 999 tahun.

Demang bukan nak mengungkit-ungkit namun dengan peristiwa bersejarah tersebut, mahukah MP UMNO yang pernah ditolak mentah-mentah itu memberi kerjasama dalam meluluskan draf hudud yang akan dibentangkan PAS di parlimen nanti?

Jika MP UMNO setuju, alhamdulillah dan itulah yang Demang doakan. Namun perlu diingat, orang UMNO bukan lah orang baik-baik. PAS sendiri mendakwa lebih baik bergabung dengan orang kafir daripada bergabung dengan UMNO.

Maka di sini Demang ingin merayu UMNO, walaupun PAS telah mengguris hati seluruh ummat Islam dalam peristiwa di Perak namun keputusan draf hudud nanti adalah tanggungjawab kita untuk meluluskannya. Maka janganlah berbalas dendam.

Tuesday, May 20, 2014

Sila baca kesah ini baik-baik

Dah ramai yang tahu cerita Si Tanggang namun tak ramai yang tahu Tanggang mempunyai seorang kawan baik bernama Tonggang. Barangkali bapa mereka memang berkawan baik maka mereka menamakan anak masing-masing dengan nama yang hampir sama.
Persamaan ketara antara Tanggang dengan Tonggang ialah kedua-duanya pemalas dan asyik merayau di dalam kampung sahaja dan hanya balik ke rumah untuk makan dan tidur.

Apabila Tanggang belayar mengikut kapal besar (secara tidak sengaja), Tonggang berubah laku menjadi pendiam. Lebih malang lagi apabila tidak lama kemudian bapanya meninggal dunia.

Maka Tonggang yang selama ini tidak pernah bekerja terpaksa mengambil alih tugas bapanya iaitu mengambil upah di ladang orang.

Pada suatu hari, Tonggang didatangi seorang taukey meminta dia menebang sebatang pokok besar.

Setelah berbincang kadar upah dan sebagainya maka bersetujulah Tonggang dengan tugas tersebut.

Maka Tonggang pun segera menyelongkar stor peninggalan bapanya bagi mencari alat untuk menebang pokok. Setelah puas mencari dengan bantuan ibunya yang telah tua maka ditemuinya sebuah baji yang diperbuat daripada besi.

Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi si Tonggang keluar dari rumah ke tempat yang telah diberitahu sambil membawa baji besi tersebut.

Tanpa berlengah, si Tonggang pun mula bekerja. Dia memegang baji besi sekemas yang boleh dan mula menakek pada batang pokok yang besar itu.

Tonggang bekerja bersunggug-sungguh. Tubuhnya sudah bermandi peluh dan lebih teruk lagi apabila tapak tangannya sudah mula melelas dan  berdarah kerana bergeser dengan baji besi yang dipegangnya.

Nampaknya tak banyak yang mampu dihasilkan. Pokok besar itu bukan sahaja tidak tumbang walaupun telah seminggu dikerjakan malah bergoyang pun tidak. Pada pangkal pokok hanya terdapat sedikit serpihan kayu yang telah ditakek.

Rupa-rupanya, pekerjaan si Tonggang itu diperhatikan seorang lelaki tua. Akhirnya lelaki tua tersebut menemui si Tanggang dan berkata:

"Kalau nak tumbangkan pokok besar kita hendaklah menggunakan alat yang diperbuat daripada pokok juga. Bukan hanya menggunakan bahan asing."

"Menggunakan pokok untuk menebang pokok? Maksudnya saya perlu cari pokok yang lebih besar untuk menghentam pokok ini? Mustahil?" Tukas si Tanggang.

Orang tua itu tersenyum dan berkata:

"Kita tak perlukan pokok yang besar. Cukup sekadar batang sebatang lengan. Jadikan ia ulu dan lekatkan pada baji besi kepunyaanmu."

Si Tonggang pun mengikuti nasihat orang tua itu. Dia memotong sebatang dahan, memasangnya pada baji besi untuk dijadikan ulu dan mulai menakek. Ternyata kerja menjadi lebih mudah dan tidak lama kemudian pokok besar itu pun tumbang.

Sebelum beredar, orang tua itu sempat berpesan:

"Untuk menumbangkan bangsa kita pun begitu juga. Jika orang asing datang untuk menguasai kita secara terang-terangan sudah tentu kita akan menentang. Oleh itu mereka menggunakan orang tertentu daripada bangsa kita sendiri, maka dengan mudah kita akan ditewaskan."

Thursday, May 15, 2014

Karipap sebiji 20 sen

Demang tak risau dengan ramainya pembangkang tapi Demang amat risau dengan individu yang cuba jadi pembangkang tapi dalam kepala lebih banyak hampas daripada santan.

Lebih malang lagi kalau perkara asas pun tak begitu faham tetapi cuba bercakap perkara besar. Bukan sahaja dia yang keliru malah mengelirukan orang ramai. Jadi satu kerja pula kita nak bersihkan 'tahi' yang dia taburkan di merata jalan.

Beberapa hari lalu Demang terjumpa satu sebaran tentang harga karipap dulu dan sekarang. Persoalan yang dikemukakan ialah kenapa pada 1990 sebiji karipap berharga 20 sen dan pada 2014 menjadi 50 sen?

Ada dua persepsi Demang pada penulis tersebut iaitu samada dia seorang yang bodoh atau seorang yang jahat!

Kenapa tak ditanya gaji guru lepasan maktab pada 1990 cuma RM435+ dan gaji guru keluaran IPG 2014 (maktab dinaiktaraf) RM2k++?

Manakala guru yang keluar maktab pada 1990 dengan gaji RM500 kini menerima lebih RM5k setiap bulan (setelah upgrade)?

Demang harap penulis itu cuma bodoh dan bukannya jahat sebab kalau bodoh masih boleh belajar tapi kalau memang berniat jahat pada kakak/makcik yang mencari rezeki menjual karipap di tepi jalan, patut benar kita korek matanya biar tak boleh melihat sampai bila-bila. Ada mata tapi tak reti guna pun menyusahkan orang jugak.

Wajarkah harga karipap kekal 20 sen sebijik pada 2014 padahal gaji guru pun dah bertambah 10 kali ganda? Sistem keadilan apa yang diguna?

Yang peliknya, harga gadjet komunikasi, harga aksesori kenderaan, harga makanan di restauren francais tak pula dipertikai? Itu sebabnya Demang katakan penulis tu jahat! Dia nak gaji meningkat untuk dirinya tapi tak bersedia berkongsi pendapatannya dengan peniaga kecil dan penjaja.

Demang tahu, dia nak 'kenen' kerajaan atas kenaikan harga barang yang kemudian dikaitkan dengan kegagalan kerajaan mengawal inflasi. Itu Demang setuju namun kita kena faham punca inflasi dan faktor kenaikan harga secara menyeluruh.

Kalau betul-betul nak bantu rakyat bawahan dalam soal ekonomi, bantulah perniagaan mereka. Kalau masa gaji kita RM500 dulu kita bayar 20 sen untuk sebiji kuih, apa salahnya kita bayar 50 sen apabila pendapatan kita sudah membolehkan kita beli rumah yang lebih selesa, beli kereta seorang sebiji untuk laki bini, belikan motor untuk anak ke sekolah sambil belajar merempit, beli kucing parsi, beli pokok bunga, tukar hanphone baru setiap 6 bulan sekali dan lain-lain.

Satu lagi, apa salahnya bayar lebih sikit untuk pengasuh anak-anak kita terutama yang gemar bercuti ke luar negara atas alasan dapat tambang murah.

Demang cadangkan harga minimum kueh tradisional di warung-warung mulai sekarang ialah 50 sen sebiji dan nasi lemak RM2 sebungkus.

Kalau nak jimat, buat sendiri atau beli yang frozen. Bantu pengusaha kita yang terdiri daripada rakyat bawahan.

Sementara itu Demang ucapkan selamat hari guru pada semua warga pendidikan di Malaysia.

Maaf kerana menjadikan gaji guru sebagai contoh dalam artikal ini. Sebabnya ialah Demang sendiripun seorang guru yang bermula dengan gaji RM435 sebulan, naik motor buruk ke sekolah, menoreh getah di hujung minggu, dan mula menjual karipap yang dibuat ibu sejak darjah dua.

Alhamdulillah, sekarang kehidupan guru sudah jauh berubah cuma beban tugas makin bertambah. Biasa lah.

Kepada rakan-rakan yang rajin menegur kerajaan, lakukanlah dengan niat untuk mencari keredhaan Ilahi, bukan kerana nak glemor sendiri.


Wednesday, May 14, 2014

Kerajaan campuran Terengganu

Tak sampai 24 jam, hampir 12 kali kerajaan Terengganu bertukar tangan!

Itulah yang Demang faham jika dikira pada mesej-mesej yang berlegar di laman-laman sosial semalam. Sekejap tukar MB, lepas tu tukar parti, kemudian balik semula pada BN, selepas itu dirampas semula oleh PR, dapat pula mesej yang memalsukan mesej sebelumnya, dibatalkan pula mesej itu oleh mesej terbaru..!

Itulah jadinya apabila media sosial dijadikan bahan rujukan.

Demang tidaklah peduli sangat samada UMNO atau PAS yang mentadbir Terengganu. Malah agihan kerusi melalui PRU13 pun hampir sama banyak antara parti yang membentuk kerajaan dengan parti yang menjadi pembangkang.

Cuma Demang rasa adalah lebih baik kita tidak terlalu fokus pada isu sebaliknya lebih sensitif dengan rahsia di sebalik isu.

Opss... ini bukan spekulasi baru 'kuda trojan' atau projek Perak II, mahupun Road to Putrajaya cubaan ke-2, dan sebagainya.

Dengan 16 kerusi UMNO, 14 PAS, 1 PKR dan 2 Bebas (baru), formula penubuhan kerajaan secara tradisional harus diubah. Mana-mana kerajaan tidak sewajarnya memegang kuasa mutlak melalui kelebihan majoriti dua tiga kerusi sahaja!

Demang mencadangkan sebuah kerajaan campuran dibentuk di Terengganu dan ahli dewan undangan negeri perlu memilih seorang di antara mereka yang difikirkan paling layak menjadi MB.

Nampak macam sukar namun kita mesti berani mencubanya.

Kekangan pertama yang Demang lihat ialah pihak UMNO pasti menentang kerana mereka sekarang berada pada posisi menang.

Kekangan kedua sudah tentu pada PAS yang kekurangan dua kerusi. Jika dua Adun bebas berikrar menyokong PAS maka mereka pula akan menjadi majoriti. Masalah pada PAS ialah mereka segera menjadi sombong apabila berada di hadapan.

Cara yang Demang rasa boleh diambil ialah dengan mengemukakan undi tidak percaya pada MB yang dilantik oleh parti. Dalam hal ini 14 Adun PAS + 1 PKR + 2 bebas pasti dapat menewaskan MB baru yang dilantik UMNO.

Tekanan perlu diberi pada kedua-dua parti agar tidak menangguh di air keruh. Rakyat dan sultan sepatutnya memainkan peranan penting dan pemimpin-pemimpin parti di luar Terengganu mesti menghormati mereka dengan cara tidak campurtangan.




Sunday, May 11, 2014

Sekolah ganti cuti berganti

Tahun ini sebagaimana tahun-tahun lalu kita akan ada perayaaan seperti biasa. Ada raya puasa, raya haji, tahun baru cina, thaipusam dan lain-lain.

Walaupun tarikh tepat untuk hari raya aidil fitri sedikit terkucil namun ia pasti datang saban tahun dalam lingkungan tarikh  yang memang diketahui.

Anehnya, Sabtu lepas murid-murid bersekolah ganti kerana cuti hari raya. Memang aneh. Seolah-olah KPM terlupa bahawa setiap tahun ummat islam memerlukan jumlah cuti yang agak selesa.

Dalam kita berkempen keluarga bahagia, kempen ziarah ibu bapa, kempen rapatkan silaturrohim, KPM seolah hilang daripada arus perdana dan sibuk dengan program anti-keluarga.

Malang sungguh apabila institusi yang mendidik manusia terlepas daripada semangat kemanusiaan yang sepatutnya menjadi agenda utama.

Sudah hilangkah nilai budi dan sentuhan nurani penguasa di KPM yang asalnya golongan guru juga?

Susah sangatkah merancang cuti dan persekolahan di Malaysia? Bukankah sudah diperuntukkan jumlah hari persekolahan sekian-sekian dan jumlah hari cuti pula sekian-sekian? Kenapa dikumpulkan terlalu banyak cuti di penghujung tahun sehingga hari raya puasa yang sangat penting itu terpaksa dijimat dengan cuti ganti?

Cuti berganti dan sekolah ganti sememangnya akan menyusahkan banyak pihak. Ia menyentuh dan mengganggu jadual ibubapa, pengusaha bas, pengusaha kantin, dan merosakkan program kemasyarakatan seperti kenduri kendara dan sebagainya.

Orang KPM tak sedarkah semua ini? Atau para pegawainya terlalu lama berada di luar masyarakat atau memang sebelum inipun tidak tahu bercampur dengan masyarakat? Bagaimana orang yang tak faham hidup bermasyarakat berada di tempat kelompok yang menyediakan pendidikan pada anak manusia? Akan jadi apa generasi kita nanti?

Wednesday, May 7, 2014

Preview era selepas karpal anwar

Proses pemilihan kepimpinan PKR sedang berlangsung di seluruh negara. Yang mana boleh bersabar, sabar je le. Yang larat ikut campur, pergi lah. Yang dah bosan, menepi lah.

Ia bukan soal 'biduk lalu kiambang bertaut'. Ia lebih pada 'air sama air sampah ke tepi juga.'

Siapa sampah dan siapa air?

Melihat gelagat watak-watak dalam pemilihan PKR tidak banyak beza dengan pemilihan UMNO. Maklumlah, mereka orang yang sama. Orang Melayu PKR tu, orang UMNO lah!

Sebagaimana bosannya rakyat dengan UMNO sebelum ini maka demikian juga yang berlaku pada PKR sekarang. Rakyat bukanlah bodoh untuk tidak melihat kebobrokan badut-badut politik biar kostum apa pun yang mereka sarungkan.

Cuma rakyat telah berjaya meletakkan kembali parti-parti politik di atas pentas yang rata. Selepas ini, pandai-pandailah mereka nak hidup.

Kalau tak dapat hidup, matilah kita sama-sama! Sebuah pesawat awam dah pun ghaib begitu sahaja dan presiden US pun dah datang melihat tapak yang sesuai untuk diletakkan senjata mereka.

Siapa air dan siapa sampah? Bagi orang politik, mereka adalah air dan rakyatlah sampah. Manakala bagi rakyat pula, merekalah air dan politikus adalah sampah. Ah, tikus dengan sampah bukankah pasangan yang sesuai?

Tadi Demang katakan rakyat telah meletakkan semula parti-parti politik di atas pentas yang rata. Demang harap ia benar. Kalau dulu UMNO dan sekutunya ibarat parti dewa dewi dan pembangkang parti ghurka kini tidak lagi. Bila-bila masa sahaja dewa dewi boleh bertukar menjadi ghurka.

Ya, siapa sangka Ali Rostam akan kalah pada Shamsul Iskandar di bumi bertuahnya sendiri?

PRU14 nanti tiada siapa lagi mampu membusung dada. Rakyat hari ini bukan lagi rakyat yang terketar-ketar melintasi busut jantan dengan serapah 'anak cucu tumpang lalu'. Rakyat hari ini tak peduli siapa bomoh diraja, siapa pekida.

Yang Demang tenung-tenung sekarang, setelah Karpal mati dan Anwar ke penjara semula, maka siapa yang akan Najib pandang?