Dalam kelam kabut negara dilanda banjir besar, tersentak juga Demang menatap foto Perdana Menteri kita bermain golf dengan Presiden Amerika, di Hawaii katanya.
Maka ramailah yang kecewa termasuk sahabat- sahabat Demang yang sebelum ini mempertahankan Najib.
Bagi Demang, kalau Najib ada di tanahair pun, bolehkah ditahannya air? Kalau dia ada pun, berapa banyak rumah yang dia boleh tolong?
Sabar, jangan marah Demang. Demang gurau sahaja. Rumah ibu bapa Demang di Pahang pun tenggelam. Walaupun kami tidak lagi mendiami rumah itu namun hati dan perasaan Demang tetap melekat di sana.
Pertemuan dengan presiden Amerika bukan boleh dibuat sesuka hati. Temujanji bukan sehari dua dan kita bukannya ada banyak pilihan. Kena sedar diri lah.
Demang percaya PM tahu apa yang sedang berlaku dan apa yang sedang dilakukannya.
Pagi ini di Jengka dan kebanyakan tempat di pantai timur air sudah semakin surut.
Surut di hulu seperti biasa menjadikan kawasan hilir seperti Temerloh mula dilimpahi air. Moga orang Temerloh sabar menghadapinya.
Surut juga bermaksud kerja-kerja pembersihan akan bermula. Barangkali ia akan lebih memenatkan. Ketika air naik proses perpindahan dilakukan secara pantas dan tidak serentak namun selepas banjir semua orang ada rumah sendiri untuk dibersihkan.
Justeru bantuan daripada saudara-saudara yang kawasan mereka belum dinaiki air amat diperlukan. Kalau musim PRK kita boleh serbu ke kawasan PRK beramai-beramai sehingga menyemakkan ruang dan kepala penduduk tempatan, takkan lah di waktu begini kita nak mengelat?
Tambah-tambah yang senyum sinis ketika melihat foto Najib bermain golf. Buktikan anda memang seorang yang baik dan bukan hanya tahu mengkritik.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa sahaja boleh memberikan komen. Jika anda perlu menyembunyikan identiti anda, sila masukkan nama samaran yang konsisten agar memudahkan rujukan perbahasan.
Sikap berhemah dan bertanggung jawab anda amat dihargai.
Komen pro atau kontra amat dialu-alukan namun biarlah dibuat secara beradab.
Terima kasih.