Minyak Morhabshi (Add by Morha Mart)

yang istimewa

Monday, September 15, 2014

Antara SRP, PMR, dan PT3

Siapa dalang di sebalik kebocoran dan penyebaran kertas UPSR 2014 sebelum masanya?

Terkini Demang mendapat berita beberapa individu di Pulau Pinang telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sebelum itu Ketua Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia dan timbalan pengarah bahagian operasi (kalau tak silap) digantung tugas.

Kali ini Demang bukan nak bicara soal kertas bocor lagi meski isu tersebut iaitu kertas Sains dan BI UPSR 2014 bocor masih berdengung di warung-warung, majlis kenduri, dan media sosial.

Biasalah, apabila terbakar, walaupun api sudah padam namun baranya masih ada. Kalau sekam lebih bahaya, ia membakar dalam diam.

Kali ini Demang ingin menyelak lipatan sejarah yang belum begitu jauh ditinggalkan.

Masa Demang bersekolah dulu, kami ambil Sijil Rendah Pelajaran (SRP) manakala sebelum itu ada pula LCE (BI).

Namapun SIJIL Rendah Pelajaran maka ketika itu masih ada jawatan yang meletakkan syarat, calon jawatan tertentu perlu memiliki SIJIL tersebut.

Malah semalam seorang bapa saudara Demang beritahu, ada rakannya yang hanya pemegang sijil SRP/LCE kini telah berada di gred 48 setelah mengalami beberapa kali kenaikan pangkat.

Demikianlah pentingnya sijil SRP.

Selepas itu SRP diganti dengan Penilaian Menengah Rendah atau PMR. Ramai yang menyangka PMR cuma perubahan nama padahal beza SIJIL dengan PENILAIAN amat besar.

Kekeliruan tersebut bukan hanya berlaku pada orang awam yang bukan berlatar belakang pendidikan bahkan pengetua sekolah menengah dan segelintir pegawai pelajaran pun agak kabur atau pura-pura kabur.

Calon SRP yang gagal dalam peperiksaan tersebut tidak dibenarkan menaiki tingkatan empat. Mereka perlu menduduki sekali lagi di sekolah swasta atau merayu ke sekolah kerajaan. Pilihan lain ialah menamatkan pesekolahan dan terus ke bidang pekerjaan.

Hal ini kerana tanpa sijil SRP seseorang tidak boleh mengambil sijil SPM manakala untuk memperolehi sijil STPM perlu ada sijil SPM.

Sebaliknya pelajar yang mengambil ujian PMR tidak perlu bimbang kerana samada lulus atau gagal mereka tetap ke tingkatan empat. PMR hanya berfungsi mengasingkan pelajar yang cenderung di bidang sains, sastera, perdagangan, pertanian, atau vokasional.

Demang agak nakal semasa bersekolah. Semasa di tingkatan tiga sudah tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan sebaya. Apabila jauh daripada ibu bapa dan tiada kawalan guru maka faham-faham sahaja lah. Ke sekolah pun sekali sekala.

Akhirnya Demang cuma lulus sederhana, sekadar layak ke tingkatan empat. Itupun aliran sastera.

Daripada sekolah aliran agama Demang bertukar ke sekolah menengah biasa tidak jauh daripada kampung sendiri.

Di sekolah baru, Demang bertemu semula kawan-kawan semasa di sekolah rendah. Ramai juga yang masuk aliran sains. Kebanyakan mereka tinggal di asrama semasa tingkatan tiga.

Pelajar aliran sastera dianggap manusia kelas kedua. Kami pun sedar diri dan tidak begitu bergaul dengan 'budak-budak sains.'

SPM adalah saringan paling penting untuk anak manusia di Malaysia. Rasa Demang, tidak sampai 2% daripada calon SPM sekolah Demang berjaya ke universiti. Sudah tentulah 'budak sains.'

Demang termasuk dalam kelompok kecil yang layak melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam dalam aliran sastera. Demang agak sekitar 10% daripada lepasan SPM memasuki tingkatan enam yang juga dianggap prauniversiti.

Walaupun tingkatan enam ada aliran sains namun Demang dapati ramai juga rakan-rakan daripada aliran sains semasa SPM ditawarkan aliran sastera untuk tingkatan enam.

Demang ceritakan semua ini bukan untuk mendedahkan kesah peribadi sebaliknya ini adalah sampel yang dikongsi oleh manusia yang seangkatan Demang.

Kadang-kadang Demang terfikir bahawa Demang bernasib baik kerana tidak begitu rajin ke sekolah semasa tingkatan tiga. Jika tidak tentulah Demang akan terlibat dengan program peperiksaan seperti latih tubi, soalan ramalan, dan mungkin juga menerima soalan bocor.

Jika demikian maka Demang akan masuk ke aliran sains dan akhirnya gagal dalam SPM sebab kemasukan Demang ke aliran sains bukan benar-benar kerana kecenderungan dan minat Demang sebaliknya kerana hafalan soalan-soalan peperiksaan yang disediakan setiap hari oleh pihak sekolah.

Alhamdulillah, Demang serasi dengan aliran sastera dan sudah lebih 20 tahun menjadi guru! Sekarang sudah DG44.

Sebenarnya semua anak manusia di Malaysia diberi peluang yang sama untuk menerima pendidikan dari umur enam tahun hingga mencapai usia 15 tahun. Dalam tempoh itu mereka akan belajar semua subjek. Dengan kata lain, tiada pengkhususan.

Lebih penting lagi, semua anak manusia di Malaysia diwajibkan untuk dididik berdasarkan empat unsur utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dihafal dan dihadam para guru sebagai JERI iaitu akronim:

Jasmani
Emosi
Rohani
Intelektual.

Pihak penggubal dasar pendidikan negara telah menegaskan bahawa setiap pelajar mestilah diseimbangkan keempat-empat unsur tersebut pada diri mereka.

Itu adalah asas yang tidak boleh diambil ringan.

Seterusnya potensi diri anak manusia perlu dikembangkan berdasarkan kecenderungan dan kebolehan mereka.

Namun adakah ia benar-benar diaplikasi?

Kes kebocoran kertas UPSR baru-baru ini adalah bukti bahawa falsafah pendidikan sudah terpinggir. Demi mengejar keputusan akademik, integriti (sifat amanah) diketepikan.

Demang dengar-dengar, ini bukan kes tunggal malah setiap tahun sampai berita kebocoran ke telinga Demang. Memang Demang tiada bukti namun perlu diingat, Demang sudah lebih 20 tahun menjadi guru!

Itu baru isu bocor. Ada beberapa isu penting lagi yang Demang simpulkan dengan ayat:

"dalam mengejar keputusan UPSR semua unsur yang terkandung dalam FPK telah dipinggirkan sama sekali termasuk unsur intelektual".

Berbalik pada perbincangan awal iaitu perbezaan SRP, PMR, dan PBS maka Demang lihat PBS yang mula diperkenalkan tahun 2014 adalah satu usaha bagi kembali pada FPK yang menekankan keseimbangan rohani, emosi, intelek, dan jasmani tanpa ada yang lebih utama.

Pelajar tingkatan tiga 2014 ini akan menerima empat keping penyata penilaian iaitu:
1) Pentaksiran Pusat
2) Pentaksiran Sekolah
3) Pentaksiran Psikometrik
4) Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Ertinya anak- anak kita nanti tidak dinilah semata- mata faktor akademik.

Sekali lagi Demang persoalkan, adakah semua sekolah bersikap positif dan melaksanakannya dengan patuh sebagaimana sebaris ayat yang terdapat di bawah surat rasmi iaitu "saya yang menurut perintah"?

Demang amat dukacita apabila mengetahui pihak-pihak tertentu di kementerian, jabatan, dan sekolah-sekolah berasrama penuh masih mendewa-dewakan peperiksaan sehingga sanggup mengenepikan aspek lain demi menjuarai PT3 yang mereka samakan dengan SRP.

Demang tahu mereka berpegang pada konsep:

"apabila pelajar terbaik UPSR berada di sekolah terbaik maka keputusan PT3 mestilah terbaik".

Jika tidak, pengetua sekolah berasrama penuh (SBP) tersebut akan kena marah dengan JPN.

Sudah tentu konsep tersebut dicetus dan didalangi pihak atasan dalam kementerian pelajaran!

Akhirnya para pengetua merancang program-program yang terlalu berfokus pada peperiksaan sehingga ada sekolah yang tidak membenarkan pelajar beriadah pada waktu petang, membekukan semua program bukan akademik, dan mengharamkan pelajar bercuti bersama keluarga.

Demang ingin bertanya: produk apakah yang sedang mereka keluarkan?

Jika begini, berjayakah sistem baru yang sedang kita laksanakan?

Berikut adalah salinan daripada web rasmi berkenaan PBS:

PELAKSANAAN Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) mulai murid tahun satu 2011 diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ketika ini, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan.

Tekanan ke atas guru-guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran menyebabkan fokus kepada produk akhir dan bukannya proses pembelajaran.

Tambahan pula, di sesetengah negara maju, sistem pentaksirannya telah banyak berubah dan ada yang langsung tidak mempunyai peperiksaan awam sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Justeru mulai 2016, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dibuat berdasarkan nisbah 60:40 iaitu 60 peratus Pentaksiran Berasaskan Pusat (PBP) dan 40 peratus PBS. Manakala peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula bermula pada 2014.

PBP di peringkat UPSR sama seperti yang diamalkan sekarang akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) yang melibatkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Dalam PBS pula terdapat empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Pentaksiran Pusat dan Pentaksiran Sekolah bersifat akademik manakala Pentaksiran Psikometrik dan PASJK pula bersifat bukan akademik.

Bagi Pentaksiran Pusat, ia dilaksanakan oleh sekolah menggunakan instrumen dan garis panduan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Pentaksiran ini melibatkan kerja khusus dan projek lisan.

Pentaksiran Sekolah pula melibatkan mata pelajaran teras dan elektif. Ia dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.

Manakala Pentaksiran Psikometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

PAJSK adalah pentaksiran yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat tentang kapasiti dan potensi jasmani, sukan dan kokurikulum yang dikawal secara harmoni oleh kapasiti dan proses mental seseorang individu murid supaya pertumbuhannya dapat dipantau dan diperbaiki.

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum cikgu demang.

satu penulisan yang penting. saya hingga ke hari ini masih tidak faham dan kurang jelas tentang pbs dan pt3. sebagai ibu bapa memang merunsingkan kerana tidak tahu prestasi semasa anak-anak. nak membantu di rumah pun masih tidak jelas apa yang dimahukan sistem baru ini.

tanya guru pun guru jadi serba salah kerana ada sekolah gurunya belum diberikan kursus atau informasi lengkap. sistem masih baru katanya.

tak tahulah bagaimana nak membantu anak-anak melainkan hantar tuisyen.

CEO Siber said...

Adam Adli Dipenjara - Bukti UMNO BENCI anak muda!!

Tak perlu berdolak-dalik...

Politik tetap politik. Kuasa bukan segala2nya.... Tetapi kenapa pemimpin UMNO perlu takut dengan bayang2???

Adakah bila generasi tua UMNO mati, akan diganti dengan generasi datuk nenek UMNO???




Kekejaman pemimpin UMNO yang dilakukan kepada anak muda bukti jelas mereka membenci dan menghina anak muda dan takut dengan bayang2 sendiri!!!



Yang pasti, apabila pemimpin UMNO membuat sebarang hasutan dan kesalahan, mereka akan terlepas dan kalau didenda pun tidaklah setimpal...


Sumber berita

>>>> Klik Di Sini

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

Apa kata anda?

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)