Tong kosong atau tin kosong berkongsi satu ciri iaitu apabila diketuk berbunyi kuat. Sekurang-kurangnya lebih kuat daripada tong atau tin yang penuh berisi.
Anda boleh lakukan eksperimen mudah. Belilah air minuman dalam tin dan cuba ketuk. Kemudian minum airnya hingga habis dan cuba ketuk semula. Berbezakah?
Sekarang buka media sosial dan cuba kesan berapa bayakkah tong dan tin kosong di dalamnya? Cuba kenalpasti dengan melihat 'bunyi-bunyi' yang mereka keluarkan. Yang paling bising itu biasanya sama lah macam tong atau tin kosong.
Tong kosong boleh diisi dengan apa sahaja termasuk air, beras, ikan pekasam, mahupun sampah sarap. Begitu juga dengan 'Facebooker kosong'.
Facebooker kosong sarat dengan pelbagai perkara yang dicopy paste daripada pihak lain secara membabi buta. Mereka juga gemar mengeluarkan kata-kata kesat, mengutuk dan mencarut.
Bagi mereka, yang salah ialah orang lain sedangkan diri sendiri sentiasa betul.
Hal ini berbeza dengan Facebooker yang menyiasat terlebih dahulu berita yang diterima sebelum disebarkan.
Bagi Demang, facebooker yang rajin memuatnaik foto makanan itu jauh lebih baik sebab mereka tahu bahawa FB adalah media sosial ringan untuk bersantai dan bersosial dengan rakan taulan.
Facebooker tong kosong menyangka dengan membaca teks yang dimuatnaik oleh pengguna FB lain itu sudah menjadikan mereka orang yang berilmu pengetahuan. Padahal mereka hanya disogokkan dengan propaganda murahan semata-mata.
Sebagai contoh, dalam peristiwa MH370, ketika pakar seluruh dunia amat berhati-hati dalam membuat penyiasatan, mengumpul maklumat dan membuat keputusan paling sesuai, facebooker tong kosong dengan mudah membuat kesimpulan dan spekukasi sendiri tanpa sandaran yang kukuh.
Itu masih tidak mengapa berbanding si tukang 'copy & paste' dan 'tukang share' tanpa usul periksa.
Lebih malang lagi apabila andaian serkap jarang menjadi spekulasi dan akhirnya diterima sebagai fakta!
Nota:
sentiasa amalkan 3S: Siasat Sebelum Sebar!
No comments:
Post a Comment