Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Sunday, August 31, 2014

Dawn Raid Malaysia serang London

Catatan sejarah di bawah Demang terima melalui media sosial semalam. Rasanya ini versi terbaik yang Demang pernah jumpa berkenaan Dawn Raid atau 'Serangan Selepas Subuh'. 

Satu lagi nama yang Demang dapati tiada dalam rencana ini ialah Tun Ghafar Baba selain Tengku Razaleigh yang diakui penulis tidak dimasukkan kerana kekurangan maklumat.

Sejarah “Dawn Raid” — Serang Hendap Kuala Lumpur Ke Atas Kota London pada 1981
Pada 7 haribulan September tahun 1981, kota London digemparkan dengan pengambilalihan mengejut syarikat perladangan Guthrie di London. Guthrie yang berusia lebih 100 tahun dan merupakan antara syarikat perladangan terbesar British jatuh ke tangan pihak asing di dalam masa 4 jam sahaja.

Apa yang lebih mengejutkan ialah syarikat tersebut jatuh ke tangan kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan Dr. Mahathir Muhammad yang baru memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 bulan.


Latarbelakang – Kemiskinan Orang Melayu dan Kekayaan Orang Inggeris

Pemandangan yang lazim selepas merdeka –seorang pesawah wanita sedang menanam anak padi
Selepas kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, hampir 1 juta bangsa pendatang seperti Cina dan India diberi kerakyatan secara beransur-ansur. Sebagai balasannya, mereka bersetuju untuk menghormati hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan.


Setelah lebih 10 tahun merdeka, pegangan orang Melayu terhadap kekayaan bumi Malaya sangat kecil. Walaupun orang Melayu merupakan majoriti , bangsa ini memegang hanya 1.5% bahagian harta korporat (itupun melalui syarikat kerajaan) berbanding bangsa Cina sebanyak 22.8%. Walaupun tidak lagi menjajah, bangsa Inggeris pula memegang lebih 60 % dari kekayaan negara ini.

Pada masa yang sama, hampir separuh penduduk Malaya tinggal di bawah paras kemiskinan. Orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di kampung sebagai petani dan pesawah adalah bangsa paling ramai tinggal dalam kemiskinan (74%).

Ketidaksamarataan kekayaan dan sikap perkauman tebal menyebabkan beberapa insiden pergaduhan terjadi berulang-ulang diantara kaum pribumi yang miskin (Melayu) dengan kaum pendatang yang kaya (Cina). Ia berlaku di beberapa tempat seperti di Georgetown, Pangkor dan Bukit Mertajam — sehinggalah kemuncaknya pada tahun 1969 di
Kuala Lumpur


Dalam keputusan pilihanraya tahun itu, parti-parti bangsa Cina dan parti Islam berjaya menafikan majoriti parlimen parti pemerintah, sekaligus menyebabkan orang Melayu gusar kehilangan bukan sahaja kuasa ekonomi malah kuasa politik mereka. Orang Cina pula merayakan kemenangan mereka dengan berarak membawa penyapu dan melemparkan laungan provokatif dalam perarakan besar di Kampung Baru , Kuala Lumpur – satu kawasan penempatan yang dihuni kaum Melayu.
Provokasi ini akhirnya mencetuskan insiden berdarah 13 Mei 1969 yang mengakibatkan ratusan mati dan darurat di isytiharkan.

Antara pihak yang lantang menyalahkan kerajaan pada waktu yang dianggap memberi muka kepada kaum pendatang ialah seorang ahli parti pemerintah bernama Mahathir Mohammad yang mengkritik Perdana Menteri pertama dengan satu surat terbuka.

Katanya sikap berlembut Tunku Abdul Rahman menyebabkan “… orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.”

Kerana kritikan ini, beliau dipecat dari parti itu.


Dasar Bagi Membantu Orang Melayu
Apabila Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri ke-2 (1970-1976) beliau memperkenalkan satu dasar yang dianggap radikal yang diberi nama Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuannya — menghapuskan kemiskinan bangsa Melayu dan memastikan agar pegangan orang Melayu dalam kekayaan negara dapat mencapai 30% pada tahun 1990.

Dasar ini bukan saja akan membantu orang Melayu, tetapi juga boleh mengelakkan krisis antara kaum terjadi lagi.

Walaupun adanya dasar baru ini, pemilikan syarikat-syarikat Inggeris sebenarnya semakin bertambah. Guthrie contohnya, mempunyai 175,000 ekar pada tahun 1970an tetapi memiliki lebih 190,000 ekar tanah kelapa sawit, getah dan teh pada tahun 1981.

Sekitar tahun 1970an juga, seorang hartawan bijih timah Cina dari Ipoh bernama Lee Loy Seng giat membeli tanah pertanian dari British sehingga menyebabkan beliau menjadi salah seorang pemegang tanah terbesar di negara ini.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat British melengah-lengahkan usaha kerjasama dengan kerajaan dengan mengadakan perjumpaan demi perjumpaan dengan wakil kerajaan tanpa sebarang resolusi. Guthrie juga menolak usaha kerajaan untuk penanaman semula getah untuk pekebun kecil Melayu dan penubuhan kesatuan sekerja yang dianggap menyusahkan British.

Tetapi atas tekanan Bank Negara Malaysia, Guthrie akhirnya menubuhkan Guthrie-Ropel, sebuah anak syarikat Guthrie yang diberi kurang 17% dari jumlah tanah Guthrie di Malaysia. Usaha kerajaan ini bertujuan agar orang tempatan dapat membeli sebahagian kecil tanah Guthrie melalui Bursa Saham Kuala Lumpur. Namun begitu, tembelang British akhirnya pecah apabila didapati bahawa kebanyakan tanah kepunyaan Guthrie-Ropel adalah tanah yang buruk untuk pertanian dan lazimnya terletak di atas kawasan bukit.

Pemerintah Anti-Penjajah, Mahathir Menduduki Kerusi Penting

Mahathir yang diterima masuk semula pada 3 tahun selepas dipecat, akhirnya menjawat kerusi Perdana Menteri pada tahun 1981.

Berbeza dari 3 Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir dirakamkan oleh ahli sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang tidak merokok, tidak minum arak dan tidak meminati sukan golf. Dan jika pemegang jawatan sebelum beliau berdarah raja, berpendidikan British dan mengekalkan hubungan baik dengan Inggeris, 

Mahathir pula belajar di Universiti Malaya Singapura, tidak mempunyai rakan berbangsa Inggeris dan terkenal dengan sikap anti-penjajahnya.

Sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, beliau mengkritik dasar Inggeris yang membuka Tanah Melayu seluas-luasnya kepada pendatang dari India dan China, sekaligus menyebabkan orang Melayu terpinggir.

2 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, pihak Inggeris menarik semula subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Britain dan menaikkan yuran kepada pelajar asing, tetapi tidak kepada pelajar Eropah.

Ia memberikan tamparan hebat kepada 17,000 pelajar Malaysia di negara itu yang terbeban dengan yuran pengajian yang meningkat 3 kali ganda secara tiba-tiba. Malaysia juga pada waktu itu tidak mampu menyerap pelajar-pelajar ini kerana ia hanya mempunyai 2 buah universiti.

Mahathir yang ketika itu merupakan Menteri Perdagangan memberi amaran bahwa tindakan ini akan merugikan Britain dalam jangka masa panjang. Namun begitu, amaran beliau tidak diendahkan.
Tidak lama kemudian, London menolak permohonan Malaysia agar syarikat penerbangan MAS diberi hak mendarat tambahan di lapangan terbang Heathrow. Tetapi pada masa yang sama, Inggeris mencabar kewibawaan kerajaan Malaysia apabila sebuah pesawat supersonic Concorde miliknya menceroboh ruang antarabangsa Subang dalam perjalanannya ke Singapura.

Mahathir melihat ini sebagai sikap angkuh British yang masih memperlakukan Malaysia seperti tanah jajahannya.

Dato Ismail Ali Sebagai Pemimpin Serangan

Tandatangan Ismail atas wang kertas 50 ringgit Malaysia sewaktu menjadi gabenor bank negara.
Keangkuhan British bukan sahaja disedari oleh Mahathir dan ahli-ahli politik Melayu, tetapi turut dirasai oleh penjawat awam seperti pengerusi PNB, Dato Ismail Ali. Secara kebetulan, abang ipar Mahathir ini juga adalah bekas Gabenor Bank Negara yang terlibat menggesa Guthrie menubuhkan Guthrie-Ropel.
Beliau juga adalah antara tokoh utama yang menubuhkan
PNB
— satu agensi yang ditugaskan khas bagi menjayakan DEB.
Sewaktu menjawat jawatan gabenor Bank Negara lagi, beliau menunjukkan sikap tidak mesra kepada Inggeris. Mark Gent, iaitu pengerusi Guthrie ketika itu berkata, beliau dan pengarah urusan Guthrie, Eric Griffith-Jones hampir pasti akan diarah oleh Ismail Ali untuk “menunggu diluar pejabatnya selama ½ jam” setiap kali mesyuarat diadakan.

Sewaktu Ismail menjadi gabenor juga, wang negara yang disimpan di bank Inggeris seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank tempatan. Bank-bank asing pula tidak lagi diberi peluang membuka cawangan di Malaysia.

Seperti Mahathir, beliau juga tidak berpuashati dengan orang Inggeris kerana sungguhpun PNB memiliki 25% saham Guthrie, tiada wakil PNB yang dirujuk dalam mesyuarat untuk menentukan halatuju syarikat. Ini termasuk keputusan Guthrie menjual beberapa kepentingannya kepada MPH, sebuah syarikat koperasi milik hartawan-hartawan Cina di Malaysia pada awal 1981.
Syarikat MPH yang memiliki aset yang banyak ini pernah cuba membeli bank UMBC (iaitu antara bank terbesar negara ketika itu) sehingga menyebabkan Mahathir campurtangan. Agar ia tidak didominasi bangsa Cina, Mahathir memastikan PERNAS dan Petronas juga mempunyai kepentingan dalam UMBC.

Kedua-dua tokoh ini melihat bahawa jika pengambilalihan demi pengambilalihan MPH diteruskan, bangsa Cina semakin hampir mengganti orang Inggeris menguasai ekonomi negara ini.
Atas sebab ini, Ismail membuat keputusan nekad. Guthrie mesti diambilalih secepat mungkin.
Kerjasama Pelbagai Pihak

Setahun sebelum menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang merupakan Menteri Perdagangan dan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri Kewangan telah di maklumkan oleh Ismail Ali bahawa beliau merancang untuk mengejutkan Inggeris dengan pengambilalihan syarikat mereka.
4 bulan sebelum serangan, pasukan di PNB yang diterajui oleh pengurus pelaburan bernama Khalid Ibrahim diberi tugas khas untuk meneliti dan merangka strategi bagi memastikan semua berjalan lancar.


Khalid yang pernah bekerja di Barings London (iaitu syarikat yang menjadi penasihat kewangan Guthrie), pakar-pakar pelaburan PNB dan penasihat dari bank saudagar N. M. Rothschild & Sons Ltd diarahkan untuk mengkaji secara rahsia samada Guthrie boleh diambilalih. Jika positif, mereka diarahkan merangka strategi terperinci bagaimana ianya boleh dibuat.

Hasil dari penelitian mereka, kumpulan ini menjumpai satu kelemahan dalam akta bursa saham London yang boleh dieksploitasi. Dengan kelemahan ini, satu serang hendap ekonomi untuk mengambilalih Guthrie boleh dibuat. Syaratnya ianya dibuat sepantas dan serahsia mungkin hingga Inggeris tidak sempat melakukan pertahanan.

Dengan persetujuan Mahathir, modal pengambilalihan (sebanyak 282 juta pound) diambil dari tiga punca – Petronas, PERNAS dan menerusi satu skim amanah saham baru yang ditawarkan kepada orang Melayu 4 bulan sebelum serangan. Skim ini dinamakan Amanah Saham Nasional (ASN).
Untuk memastikan Inggeris tidak menyedari bahawa kerajaan Malaysia berada di belakang pengambilalihan ini, Khalid diarahkan oleh Rothschilds untuk membuka bank akaun di Switzerland untuk tujuan pembayaran saham.


Mengapa Guthrie ?
Guthrie menjadi sasaran kerana selain dimiliki pelabur Ingeris, saham-saham Guthrie pada waktu itu juga dipegang oleh beberapa syarikat bukan Inggeris yang mesra kepada PNB. Antara syarikat tersebut antaranya adalah Genting, Bank Simpanan Nasional, Kuwait Investment Office dan OCBC.

Dengan pegangan sedia ada sebanyak 25%, PNB memerlukan 15% saham sahaja lagi bagi menjadikan keseluruhan pegangannya ke 40% , sekaligus menjadikannya sebagai pemegang saham utama Guthrie.

Untuk ini, N. M. Rothschild & Sons Ltd dilantik bagi membeli saham Guthrie dari pelabur besar bagi pihak PNB, manakala Rowe & Pittman pula dilantik menjadi broker bagi membeli saham Guthrie dari pelabur-pelabur kecil.

Ideanya di sini ialah agar sebahagian besar saham Guthrie di Malaysia dan di London dibeli serentak sebelum bursa dibuka, dan ia mesti dibeli tanpa disedari oleh pihak pengurusan Guthrie sendiri.

Untuk memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya sekumpulan kecil perancang sahaja yang terlibat secara langsung. Mohammad Desa Pachi, yang juga Ketua Eksekutif PNB ketika itu juga tidak diberitahu secara terperinci bagaimana operasi ini akan dilaksanakan.
Operasi Serangan Subuh atau “Dawn Raid”

Hari serangan akhirnya diputuskan — 7 September, pukul 9 pagi waktu London (4 petang waktu Malaysia).
Mengikut rancangan, kesemua yang terlibat akan mendapatkan persetujuan penjual-penjual sebelum bursa dibuka. Apabila ia dibuka, PNB akan mengisytiharkan berita menggemparkan ini dan menguruskan dokumentasinya sahaja — sekaligus memberi kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain.

Yang rumitnya ialah memastikan pembelian ini dilakukan secara rahsia. Kerana jika ia terbongkar awal, harga saham Guthrie bakal melambung tinggi dan pengurusan Guthrie akan bertindakbalas untuk menggagalkan serangan hendap ini.

Di Malaysia Khalid yang diberi tugas menguruskan pembelian di sini optimis bahawa Bank Simpanan, Genting dan Kuwait Investment Group akan menerima tawaran PNB kerana ketiga-tiganya dianggap “mesra” dengan PNB.

Dato Ismail pula bergegas ke Singapura pada hari itu untuk berjumpa dengan pengerusi OCBC. Rancangannya ialah untuk meyakinkan pihak OCBC untuk menerima tawaran membeli saham Guthrie yang dipegang bank itu pada pukul 3:30 ptg, dan menghantar notis penerimaan pada pukul 3:45 petang.

Di London, Rowe & Pittman serta Rothschilds hanya menunggu lampu hijau dari Malaysia untuk membeli saham-saham Guthrie dari pelabur Inggeris pada pagi tersebut.
Sewaktu di Singapura, Ismail dan pengerusi OCBC, Tan Chin Tuan berbincang mengenai pembelian saham Guthrie sewaktu makan tengahari. Perbincangan yang memakan masa lama itu akhirnya berakhir dengan satu berita kurang enak. OCBC menolak tawaran PNB.

Ismail menelefon Khalid dan memberitahu berita buruk tersebut. Tetapi oleh kerana Khalid telah berjaya membeli saham dari Kuwait, Bank Simpanan dan Genting, mereka tiada jalan lain kecuali meneruskan serangan.

Di London, sebaik menerima lampu hijau, kedua-dua firma yang diupah PNB memulakan proses pembelian sepantas mungkin. Bank saudagar Rothschilds berjaya memujuk M&G Investment Trust, sebuah syarikat amanah saham Inggeris (yang memegang 17% dari Guthrie) menjual 11% saham Guthrie miliknya.

Broker-broker Rowe & Pittman yang ditugaskan membeli saham dari pelabur kecil Britain pula berjaya mengumpulkan sasaran 5% saham dari orang Inggeris.

Walaupun tanpa saham OCBC, dalam masa 4 jam, PNB berjaya memiliki 8 juta saham, atau 50.41% dari keseluruhan syarikat, tanpa disedari atau keizinan pihak pengurusan Guthrie.
Lewat tengahari waktu London, Guthrie jatuh ke dalam genggaman Malaysia.


Mahathir Terus Menekan British
Laporan akhbar Glasgow Herald di London pada 8 Sept 1981
Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya sedar bahawa bahawa syarikatnya jatuh ke tangan Malaysia setelah mendengar berita itu di radio.

Pengambilalihan secara tiba-tiba dengan mengeksploitasi kelemahan system bursa London oleh tanah jajahannya sendiri menyebabkan kerajaan British malu besar.

Walaupun ada broker di London memujinya sebagai urusniaga “licik”, media London kebanyakannya menyelar serangan ini sebagai “nasionalisasi pintu belakang”. Sebagai tindakbalas, London kemudiannya bertindak meminda peraturan di Bursa Saham London bagi memastikan syarikat-syarikat lain milik British seperti Dunlop tidak jatuh dengan cara sama.

Sebulan selepas itu, London dikejutkan lagi dengan pengumuman baru Mahathir.

Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia akan memboikot barangan dan perkidmatan dengan British melalui kempen yang dinamakan Buy British Last. Mahathir yang marah kerana spekulasi timah dunia di London mengakibatkan harga eksport utama Malaysia jatuh mendadak, telah mengarahkan agar semua kontrak kerajaan kepada pihak British dibekukan.

Tindakan Mahathir ini memberi kesan besar kepada kontrak semasa dan akan datang British berjumlah 1.25 billion pound sterling yang sepatutnya diterima oleh British. Kontrak Dunlop untuk membekal tayar kepada kerajaan sejak 1963 lagi contohnya kini diberi kepada sebuah syarikat Amerika Syarikat sehingga menyebabkan Dunlop menjual kepentingan mereka kepada MPH.
Dalam masa 3 bulan, saham-saham Guthrie perlahan-lahan dijual kepada PNB. Pada akhir tahun 1981, 100% Guthrie berada di bawah pegangan anak tempatan.

Ismail akhirnya mengambilalih pengurusan Guthrie dan memindahkan ibu pejabat operasi Guthrie dari London ke Kuala Lumpur sebagai tanda berakhirnya penguasaan Inggeris ke atas syarikat tersebut.

Tidak lama selepas Dawn Raid juga, Mahathir memboikot Persidangan Negara-Negara Komanwel (negara bekas jajahan British) yang diterajui oleh Britain. Menurutnya, mesyuarat itu hanya melebihkan kepentingan orang berkulit putih.

Beliau juga mengumumkan dasar baru kerajaan iaitu Dasar Pandang ke Timur. Dengan dasar ini , cara kerja Inggeris akan digantikan dengan cara pengurusan dan kerja orang Jepun, Taiwan dan Korea.

Hasil Besar dari Serangan
Operasi mengejut “serangan subuh” ke atas Guthrie dan dasar-dasar keras Mahathir memberi impak besar dalam masa yang cukup singkat.

Firma-firma British di Malaysia yang sebelum ini bersikap acuh tidak acuh kepada arahan kerajaan Malaysia kini akur membuka pintu rundingan.

Tidak lama selepas itu, tiga syarikat perladangan besar British di Malaysia — Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C) akhirnya tunduk menjual kepentingan mereka di Malaysia kepada PNB. Hasilnya, tanah milik Guthrie dan tanah-tanah lain milik Inggeris di Malaysia kembali ke tangan rakyat Malaysia.

Oleh kerana H&C memiliki tanah ladang getah, kelapa sawit dan aset bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti di India, New Zealand dan Taiwan, PNB juga menjadi tuan tanah baru kepada asset-aset Inggeris dari seluruh dunia.

Dengan pemilikan baru ini, PNB selaku wakil orang Melayu muncul sebagai pemilik tanah ladang terbesar di dunia.

Lebih manis lagi, dalam temuramah dengan wartawan tempatan, Khalid memberitahu bahawa setelah PNB menjual aset Guthrie di luar Malaysia, keuntungan yang didapati melebihi jumlah kos yang diguna sewaktu Dawn Raid.

Kata Khalid “..kita sebenarnya mendapat Guthrie secara percuma.”

Nota:
1. Penulis merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr. Shakila Yacob atas kesudian memberi manuskrip kajian beliau bersama Nicholas J. White untuk rujukan penulis.
2. Penulis memaparkan tulisan ini sebagai rencana ilmiah, dan tidak berminat untuk memihak kepada mana-mana individu atau parti politik.
3. Penulis mendapati terdapat sumbangan penting tokoh-tokoh lain dalam Dawn Raid seperti Ananda Krishnan dan Tengku Razaleigh. Tidak disebut dlm artikel ini kerana kekurangan sumber maklumat.
4. Loophole/kelemahan bursa London pada waktu itu tidak diperincikan untuk memudahkan pemahaman pembaca.
Rujukan:
    Shakila Yacob & Khadijah Md Khalid (2012): Adapt or Divest? The New Economic Policy and Foreign Businesses in Malaysia (1970-2000), The Journal of Imperial and Commonwealth History, 40:3, 459-482
    Shakila Yacob & Nicholas J. White (2010): The “Unfinished Business” of Malaysia’s Decolonisation: The Origins of the Guthrie Dawn Raid, Cambridge University Press 2010
    Karminder Singh Dhillo (2009): Malaysia Foreign Policy in the Mahathir Era, 1981-2003: Dilemmas of Development
    Brian Ritchie (2005): Coalitional Politics, Economic Reform, and Technological Upgrading in Malaysia, Elsevier World Development Vol 33, pp 745-761
    Abdul Rahman Embong (1996): Social Transformation, the State and the Middle Classes in Post-Independence Malaysia, Southeast Asian Studies, V01. 34, No. 3, December 1996
    Boon Kheng Cheah (2002) : Malaysia: The Making of a Nation
    Tin Price Moves Jolt Market : Reuters (The New York Times); Financial Desk, November 28, 1981, Saturday
    Surat Terbuka Dr. Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman, Jun 1969
    PNB Wrests Control of Guthrie Corp : The Straits Times Singapore, September 9, 1981
    PNB Making Up For Lost Time: The Straits Times Singap

Thursday, August 28, 2014

Melayu itu Islam lah

Pagi ini Demang terbaca artikal yang cukup mantap daripada sahabat blogger Demang iaitu GAP.

Satu perkara yang Demang terkesan dalam tulisan itu ialah mengenai keunikan bangsa Melayu.

Setahu Demang memang tiada bangsa lain di dunia ini yang mensyaratkan agama sebagai ciri utamanya selain Melayu.  Ini bermakna untuk menjadi orang Melayu seseorang itu mestilah beragama Islam dan tidaklah seseorang itu Melayu jika tidak beragama Islam.

Lihat perlembagaan negara kita Perkara 160 (2) berkenaan definisi MELAYU.

"Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura." (Wikipedia)

Jelas dinyatakan di situ bahawa untuk seseorang ditakrif sebagai orang Melayu, ia mestilah beragama Islam.
Demang tak kata Islam itu Melayu tetapi orang Melayu itu beragama Islam. Jika dia tidak Islam maka dia bukan orang Melayu namun bukan semua orang Islam berbangsa Melayu.

Maka jangan diperlekeh bangsa Melayu di Malaysia kerana orang Melayu itu agamanya Islam.
Satu lagi persoalan yang blogger tersebut timbulkan ialah dalam kehidupan ini memang Allah taala hantar individu tertentu yang tugasnya mengganggu perjalanan hidup dan perjuangan kita. 

Maka janganlah pelik apatah lagi terpengaruh dengan orang seperti Kalid Samad (bukan Khalid Ibrahim) yang sering menongkah arus dan menyimpang daripada perjuangan asal PAS.

Tuesday, August 26, 2014

Tugas berat hadi awang

Rumusan awal yang Demang buat ialah apabila demokrasi berjaya ditegakkan maka bermulalah kehancuran sesebuah negara.

Itulah sebenarnya yang sedang berlaku di seluruh dunia dan Malaysia salah satu daripadanya.

Demang mengharapkan pengangkatan TGHH sebagai naib presiden ulamak sedunia akan membawa satu era baru dalam penegakan Islam sepenuhnya di Malaysia dan menjadi asas pada kebangkitan ummat Islam seluruh dunia namun ia seolah satu igauan semata.

Manakan tidak. Haji Hadi sendiri mendapat jawatan daripada proses demokrasi. Proses yang meletakkan kasta paling bawah dalam hirarki manusia menjadi penentu. Rakyat berkuasa!

Bolehkah rakyat yang sepatutnya dipimpin diberi kuasa untuk memilih sendiri pemimpin yang mereka suka? Maka mereka hanya akan memilih pemimpin yang senada dengan pemikiran mereka bukannya pemimpin yang sanggup memperbetulkan kesilapan mereka.

Konsep Demang mudah. Dalam sesebuah keluarga, anak-anak dilahirkan oleh ibubapa dan bukannya anak-anak yang menentukan siapa ibubapa mereka.

Ya, memang ibubapa pun tidak mampu menentukan siapa yang akan menjadi anak mereka namun ibubapa lah yang mencorakkan anak-anak bukannya anak-anak menentukan masa depan keluarga orang tua mereka.

Mesej Demang ialah TG Haji Hadi mesti bertegas dan jadilah pemimpin Islam sebenar.

Sunday, August 24, 2014

PAS baru di bawah gerakan baru TGHHadi

Mana lebih baik, meramaikan ummat Islam atau menambah peraturan yang menjadikan tiada lagi ummat Islam?

Demang rasa jika Hj Hadi ingin dipertikai ekoran fatwanya terhadap UMNO suatu ketika dulu maka beliau bukan berseorangan.

Banyak lagi firqah-firqah yang saling tuduh menuduh antara satu sama lain dan mempunyai set peraturan yang menyebabkan orang lain dianggap tidak betul.

Demang akur bahawa ummat Islam akan terpecah 73 (betulkan Demang jika salah) dan hanya satu yang benar namun masalahnya semua pihak mendakwa mereka lah yang benar!

Bagi Demang, hanya Allah taala yang berhak menentukan siapa betul siapa salah. Kita? Tugas kita ialah melakukan sesuatu yang disampaikan oleh Rasulullah saw.

Namun itu juga satu masalah kerana kita tidak pernah bertemu dengan Rasulullah saw apatah lagi berguru dengan baginda.

Maka kita perlukan ulama yang berkesinambungan dengan Rasulullah saw dan mengikuti amalan mereka.
Jika itupun tidak mampu maka kita ikutlah guru-guru kita yang belajar daripada ulama yang mendapatkannya daripada para sahabat radiallahuanhum yang hidup di zaman Rasulullah saw.

Sesungguhnya Demang bukanlah seorang yang arif dalam bidang ini dan tidak berniat untuk memperinci perkara ini.

Bagi Demang, apabila seseorang itu mengucap Dua Kalimah Syahadah maka Islam lah dia dan bersaudaralah kita dengannya. Justeru jangan lagi memandai-mandai menuduh dia tidak Islam selagi dia tidak mengatakan sebaliknya.

Maka bersatulah ummat Islam atas faktor itu kerana serangan kafir terhadap orang Islam pun bermula dari situ.

Apa kaitan Hj Hadi dalam perkara ini? Bagi Demang apabila beliau telah dilantik menjadi naib presiden majlis ulama dunia (wakil negara kita) maka apabila kita mengikuti beliau bermakna kita berada dalam jemaah Islam sedunia.

Ada yang lain? Sila respon jika anda berniat mencari kebenaran sebaliknya beredarlah jika sekadar untuk bertengkar.

Wallahualam.

Saturday, August 23, 2014

Tahniah TG Hj Hadi naib presiden ulama dunia

Pertama-tamanya Demang ucapkan syukur alhamdulillah dan tahniah pada TG Hj Hadi Awang atas lantikan sebagai naib presiden ulama dunia yang diadakan di Turkey semalam.

Demang anggap ia 'permulaan' yang baik untuk perjuangan yang lebih besar.

Demang sedar ada sesetengah pihak memandang sinis lantikan tersebut kerana PAS sekarang dilihat hanya pak turut pada PKR (baca: Parti Keluarga anwaR) dan DAP.

Namun setakat manakah kita membantu beliau dalam berhadapan dengan puak Anwarinas dalam PAS?

Bagi Demang majoriti ahli tulen dalam PAS hanya celik semangat buta strategi. Kebanyakannya hanya tahu melenting apabila ada perkara yang menyakiti hati namun tidak tahu bagaimana untuk memenangi seluruh permainan.

Lebih teruk lagi apabila kebanyakan penyokong PAS adalah manusia lurus bendul yang amat mudah dieksploitasi oleh individu-individu yang tersepit.

Mudah cakap, kebanyakan dalam PAS tiada jati diri sehingga tidak mampu memahami bahawa Islam itu agama dan Melayu itu bangsa. Akhirnya malu mengaku sebagai berbangsa Melayu atas alasan Melayu tidak semestinya Islam.

Kesinambungan daripada malu mengaku Melayu ini ialah malu berketuakan raja-raja Melayu dan membuka jalan pada penubuhan negara republik yang diimpikan DAP.

Akhirnya apabila sistem kesultanan yang berkesinambungan daripada sistem khalifah Islam lenyap barulah terkebil-kebil menggigit jari.

Barangkali ramai yang marah dengan Demang namun jika teguran begini pun tidak mahu diterima, bagaimana mahu berjuang?

Mari kita lihat satu strategi halus DAP melalui PKR iaitu menjana motto ABU = Asal Bukan UMNO.

Amat malang apabila ada juga yang mengaku ahli PAS melagu-lagukan skrip ABU tanpa sedar ia boleh membawa pada kerosakan teruk pada hati mereka.

Apa maksud 'asal bukan UMNO'? Ia bermaksud, apa sahaja dihalalkan asalkan ia bukan UMNO. Ertinya, babi pun halal kerana babi bukanlah UMNO!

Adakah Islam mengajar perjuangan yang begitu? Bolehkah dicampuradukkan yang betul dan yang batil?

Berbalik pada tajuk Demang tadi iaitu ucapan tahniah pada TG Haji Hadi Awang, Demang fikir inilah masanya PAS dibersihkan daripada makhluk-makhluk asing yang menyamar sebagai ahli PAS padahal mereka sebenarnya berjuang semata-mata kerana hendak menghapuskan UMNO.

Mereka tidak peduli sangat apa yang akan berlaku selepas UMNO ditumbangkan. Bahkan mereka tidak pedulipun pada perjuangan Islam yang diasaskan para pemimpin PAS yang asal.

Yang penting, 'asal bukan UMNO'.

PAS perlu mulakan semula perjuangan menegakkan Islam bukannya perjuangan memusnahkan UMNO.

Nampak macam sama tetapi memang besar bezanya.

* rupa-rupanya bukan Demang sahaja bawa isu pembersihan Anwarinas dalam PAS. Lihat http://santauberapi.blogspot.com/2014/08/dua-adun-syaitan-pengkhianat-enggan.html

Thursday, August 21, 2014

Tahniah pimpinan baru pkr tanpa khalid ibrahim

Tahniah PKR.

Akhirnya setelah melalui proses 'demokrasi' yang panjang maka terbentuklah jua barisan kepimpinan 'baru' PKR.

Demang harap pihak yang kalah dapat menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Dah tak ada rezeki.

Terlindung daripada carta organisasi tersebut ialah Ketua Umum iaitu saudara Anwar Ibrahim yang terlantik secara automatik.

Ia diikuti oleh isteri beliau Wan Azizah manakala Azmin Ali yang sering dianggap sebahagian keluarga pasangan tersebut berjaya menyingkirkan Khalid Ibrahim bagi jawatan Timbalan Presiden.

Anak pasangan suami isteri tersebut iaitu Nurul Izzah mendahului barisan naib presiden ditemani 3 orang lain.

Di peringkat jawatankuasa nampak bilangannya sama banyak iaitu 10 wakil muslim yang mewakili 66% rakyat Malaysia dan 10 orang daripada kaum lain.

Tak berani pulak Demang nak bertanya kenapa kaum lain yang cuma 35% daripada rakyat negara ini turut mempunyai bilangan yang sama banyak. Maklumlah, Demang risau juga nak pertikai keputusan PKR setelah melihat suasana 'meriah' yang berlaku dalam mesyuarat-mesyuarat cabang di seluruh negara. Yang pecah kepala pun ada.

Persoalan Demang tadi mudah sahaja dijawab memandangkan ketua pemuda, ketua wanita, dan kedua-dua timbalan mereka adalah beragama Islam. Demang harap mereka benar-benar berjiwa Islam walaupun enggan menyertai PAS yang terang-terang sebuah parti Islam. (Sanggup buat parti baru asalkan bukan PAS).

Diharapkan barisan ini dapat meneruskan perjuangan membela agama, bangsa, dan negara kita dan bukan semata-mata merealisasikan impian ketua umum mereka atau memudahkan agenda pihak lain yang lama mengidam menguasai politik setelah berjaya menguasai ekonomi negara kita.

Benarkah khalid salah?

Ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor Dr Halimah Ali menafikan dakwaan PKR bahawa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat keputusan pentadbiran kerajaan negeri secara bersendiri.

Sambil menyifatkan Khalid sebagai sangat berhati-hati dan bertanggungjawab berkaitan soal kewangan, katanya beliau tidak pernah melihat Khalid membuat sebarang keputusan tanpa berunding lanjut dengan Exco terlebih dahulu.

"Daripada pengalaman saya, apa saja keputusan yang dibuat olehnya (Khalid), semua mesti tentang rakyat sebab dia akan tanya butiran sama ada ia akan beri manfaat pada rakyat," katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Halimah berkata sepanjang berkhidmat lebih enam tahun dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu, tuduhan PKR terhadap MB itu lebih berkaitan dengan masalah dalaman parti itu.

"Kami berada dalam situasi ini (kemelut politik Selangor), kami (Exco PAS) tidak mahu perkara ini berlaku... bila sudah berlaku, kami sekarang kena pastikan kerajaan stabil dan kakitangan kerajaan tidak huru-hara untuk memastikan ia (pentadbiran) berjalan lancar," katanya.

Halimah berkata sejak enam Exco daripada PKR dan DAP dipecat minggu lepas, kerajaan negeri kini membuat sebarang keputusan berkaitan portfolio keenam-enam Exco tersebut secara kolektif menerusi mesyuarat yang dijalankan sepanjang minggu.

Usaha itu adalah untuk memastikan urusan dan perancangan kerajaan negeri dapat berjalan seperti biasa termasuk semua projek pembangunan serta pentadbiran kewangan, katanya.

9 Ogos lepas, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk memecat Khalid daripada parti malah MB itu disifatkan sebagai 'open defiance' atau menunjukkan keingkaran secara terbuka.

Antara keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang didakwa diingkari Khalid adalah menangguhkan proses dan perbincangan projek Loji Rawatan Air Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, MB, Exco dan Adun Selangor.

Halimah berkata dalam isu penstrukturan semula industri air Selangor, Khalid pernah membentangkan perkara tersebut ketika mesyuarat Exco malah menyatakan isu berkenaan telah berlarutan sejak lima tahun lepas. – Bernama, 20 Ogos, 2014.

Wednesday, August 20, 2014

Dokumen agenda sulit isu selangor tersebar

Sedang tersebar dalam media sosial sekarang ialah satu set dokumen RAHSIA yang dipercayai menjadi tulang belakang grand design terhadap beberapa isu semasa.



Ia bukan dokumen baru sesuai dengan namanya 'Langkah Kajang' yang telah dijana sejak setahun lalu.

Apapun, melihat senario yang berlaku strategi ini sedang dilaksanakan dan para pemain mematuhi jadual dengan amat baik.

Demang tidak begitu hairan dengan perancangannya sebaliknya Demang amat kagum dengan para pemain yang konsisten mematuhi setiap langkah yang direncana termasuk mengorbankan kepentingan peribadi.
Justeru kita boleh lihat tindakan-tindakan seperti ura-ura perletakan jawatan akhirnya benar-benar berlaku meski ada sublakonan bagi 'merealkan' drama.

Dalam pada itu Demang rasakan masih ada agenda yang terlindung yang disimpan rapi. Hanya individu tertentu sahaja yang mengetahui iaitu mereka yang terlibat merancangnya.

Demang tidak terkejut jika ia melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi daripada parti-parti utama kalangan kerajaan dan pembangkang.

Cuma Demang tidak tahu adakah TGHH dan PAS telah menghidunya!

Tuesday, August 19, 2014

siapa buat keputusan PAS?


Demang masih tertanya-tanya apakah hikmah di sebalik keputusan PAS menukar pendirian daripada kental menyokong TSKI kepada membenarkan PKR memilih samada Wan Azizah atau Azmin Ali.

Demang hormati jika itu keputusan kepimpinan ulama namun bagaimana jika ia adalah hasil tekanan golongan Anwarinas yang menyusup dalam PAS sejak lama melalui plan Anwar-ABIM dan secara agresif pada 1999 iaitu sebelum PKN/PKR ditubuhkan?

Untuk memahami perkara ini kita perlu menyelak banyak lembaran sejarah yang ramai generasi muda teringgal.

Sementara itu lihat sini.

Monday, August 18, 2014

Akhirnya u turn juga

PAS hari ini...

apa diharap padi seberang
entah berbuah entahkan tidak
entah dimakan burung melayang
apa diharap PAS sekarang
entah PAS betul entahkan tidak
entah-entahkan dah jadi sarang musang

Wednesday, August 13, 2014

Siapa lagi yang tinggal bersama anwar?

Ada yang pertikai bagaimana Demang begitu yakin PKR akan berkubur dalam waktu terdekat.

Demang bukan sekadar meneka tetapi itulah analisis Demang berdasarkan faktor sejarah dan situasi semasa.

Perpecahan dalam UMNO bukan kali pertama berlaku. PAS sendiri adalah parti yang ditubuhkan oleh ahli UMNO yang tidak berpuas hati setelah ketuanya gagal dalam pemilihan menduduki kerusi tertinggi UMNO.

Kemudian berlaku juga pada parti Semangat 46 apabila Tengku Razaleigh Hamzah tewas dalam pertandingan menentang Tun Dr Mahathir untuk jawatan presiden.

Barangkali generasi baru melihat Anwar Ibrahim begitu hebat dan  mereka tidak tahu bahawa Ku Li juga hebat hingga sekarang. Malah Tun M hampir-hampir tewas ketika itu.

Malah kemelut parti ketika itu menyebabkan pendaftaran UMNO dibatalkan sehingga terpaksa ditubuhkan parti baru dan setelah melalui proses undang-undang barulah nama UMNO boleh digunakan oleh parti baru tersebut.

Kenyataannya, Anwar telah diputuskan bersalah oleh mahkamah. Perlu diingat bahawa Anwar sekarang bukanlah Anwar yang dulu terutama dari segi usia.

Lebih penting lagi, orang di sekeliling Anwar bukan lagi orang sama seperti ketika beliau disingkir daripada UMNO dulu.

Dulu, Dato Hasan Ali sedang top sebagai motivator dan popular dengan Forum Perdana. Kedudukan beliau kadangkala lebih hebat daripada Dato Fadhilah Kamsah. Apabila beliau menyokong Anwar secara terbuka, beliau menang kerusi parlimen dan DUN serentak!

Sekarang di mana Hasan Ali?

Ketika itu juga ada Ezam Mohd Nor seorang pemuda yang lebih popular dan hebat daripada YB Khairy Jamaludin.

Di sebelah manakah sekarang Ezam Mohd Nor?

Ketika itu juga ada Lokman Adam dan  jangan lupa aktivis masyarakat Dr Chandra Muzaffar juga menyokong kuat Anwar sehingga dilantik sebagai Naib Presiden PKN.

Jangan lupa waktu itu Tun Mahathir dikatakan mahazalim dan mahafiraun oleh rakyat manakala sekarang apakah pandangan generasi sekarang terhadap beliau? Buatlah survey dan buatlah kesimpulan secara jujur pada diri sendiri.

Satu lagi faktor yang tidak boleh dilupa ialah Karpal Sigh sudah mati!

Sekarang, satu lagi gelombang sedang bergerak akibat isu penyingkiran MB Selangor iaitu TS Khalid Ibrahim. Beliau bukan calang-calang orang walaupun sering diremehkan pihak lawan. Beliau adalah salah seorang yang terlibat dalam serangan downing raid bersama Tun Ghafar Baba, Tun Ismail Mohd Ali, dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam misi merampas Guthrie, Sime Darby, dan Golden Hope daripada Britain.

Dipendekkan cerita, berikut adalah senarai orang yang pernah berjuang bermati-matian membela Anwar ketika beliau tersingkir dulu dan kini mereka bukan sahaja telah meninggalkannya bahkan turut membongkar banyak perkara yang sebelum ini tidak diketahui.

1. Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden Parti KeAdilan Nasional)

2. S. Nalla Karuppan (Ketua Bahagian PKR Kepong)

3. Ezam Mohd Nor (Ketua Pemuda PKR)

4. Anuar Shaari (Setiausaha Anwar Ibrahim)

5. Fairus Khairuddin (ADUN Penanti – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang)

6. Zahrain Mohd Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru)

7. Zulkifli Noordin (MP Bandar Baru Kulim)

8. Zainur Zakaria (Bekas peguam bela Anwar, AJK Parti KeAdilan Nasional)

9. Ruslan Kassim (Ketua PKR Negeri Sembilan dan juga Ketua Penerangan PKR)

10. Nell Onn (Ketua Wanita Parti KeAdilan Nasional)

11. Jeffrey Kitingan (Naib Presiden PKR)

12. Marina Yussuf (Naib Presiden Parti KeAdilan)

13. Lokman Noor Adam (Setiausaha Angkatan Muda Keadilan)

14. V. Arumugam (ADUN Bukit Selambau)

15. Mohd Radzi Salleh (ADUN Lunas)

16. Badrul Hisham Abdullah (ADUN Pelabuhan Kelang)

17. Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal)

18. Sallehudin Hashim (Setiausaha Agung PKR)

19. Dr Halili Rahmat (Bendahari PKR Hulu Selangor)

20. Muhammad Zahid Md Arip (Naib Ketua Pemuda PKR)

21. Mohsin Fadzli Samsuri (Ahli Parlimen Bagan Serai)

22. Hamdan Taha (Timbalan Pengarah Pilihanraya Keadilan)

23. Dr Abdul Wahid Ahmad Suhaimie (Pengerusi Perhubungan Keadilan Pahang)

24. Jamaludin Abu Hassan (Pemangku Ketua PKR Padang Serai)

25. Mohd Hanafiah Man (Ketua Pemuda Keadilan Perak)

26. Fakhrul Azman Abu Bakar (Exco Pemuda Keadilan)

27. Shamsul Bahari Shamsuddin (Exco Pemuda Keadilan)

28. Rosli Mohd Johar (Naib Ketua Pemuda Keadilan Wilayah Persekutuan)

29. Zainuddin Awang (Exco Pemuda Keadilan Terengganu)

30. Datuk Bujang Ulis (Keadilan Sarawak)

31. Rusli Mohd Shariff (Naib Ketua Pemuda Keadilan Negeri Sembilan)

32. Jeffry Nizam (Exco Pemuda Keadilan Pahang)

33. Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang)

34. Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (ADUN Changkat Jering)

35. Tan Wei Shu (ADUN Bakar Arang)

36. Soraya Sulaiman (Ketua Penerangan Wanita PKR)

37. Roshanita Mohd Basir (Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai)

38 . Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak (Naib Presiden PKR) – Updated

http://jebatmustdie.wordpress.com/2010/04/21/mereka-yang-telah-meninggalkan-anwar-ibrahim/

Hanya takdir Allah sahaja yang kita belum tahu kerana ia belum berlaku.

Jika dilihat pada sifir, begitu lah.

Thursday, August 7, 2014

PKR: gerhana atau sudah senja?

Sebagaimana munculnya secara tiba-tiba maka adakah lenyapnya juga akan begitu sahaja?

Demang tak tahu sama ada nak menjerit gembira atau nak bertafakur hiba andai PKR terbubar dalam masa terdekat.

Demang tidak hairan jika ada pemimpin atasan a.k.a elit dalam PKR menyeberang ke parti lawan sebaliknya Demang jadi terkedu apabila pemimpin-pemimpin kelompok akar umbi mula bersuara menentang teraju utama.

Itu tanda-tanda besar sebelum PKR diberi noktah terakhir!

Perlu diingat, PKR tidak lahir di istana sebaliknya dianyam dari cebisan tikar para reformis yang bergelandangan di denai reformasi. Justeru jika akar umbi sudah menyanggah, ia sudah sukar diselamatkan lagi.

Sebagaimana kegusaran Demang dalam posting sebelum ini, adakah karamnya bahtera PKR sebelum sempat tiba ke pelabuhan utama memungkinkan rakyat menumpang di armada UMNO? Ataukah nanti kita kembali menjadi marhaen yang  sekadar melangut melihat keghairahan pemimpin UMNO yang hobinya menampuk harta?

PKR sememangnya tidak perlu dipertahankan lagi sementelah kemunculannya meski membawa hikmah namun kerosakan yang ditajanya amat besar dan sukar diperbaiki.

Demang cuma nampak satu cara untuk kita mengharungi iklim pasca PKR nanti sebab rakyat harus ada medan untuk bersuara. Kaedah memanipulasi isu Anwar sudah berakhir. Kita mesti menyediakan alatan baru.

Demang fikir PAS masih relevan memikul tanggung jawab tersebut dengan syarat golongan Anwarisme yang menyelinap masuk seterusnya menyingkirkan golongan ulama 10-15 tahun lalu harus ditendang keluar terlebih dahulu.

Sementara itu di pihak UMNO juga harus ada pembersihan dalaman. Demang fikir tidak perlu Demang ulas lagi sebab perihal keangkuhan segelintir pemimpin UMNO ibarat sudah terang lagi bersuluh.

Kesimpulannya, kita akan menyelak satu lembaran baru dalam buku sejarah yang sedang ditulis: Malaysia pasca PKR.

Ikuti perbincangan seterusnya: Menampal yang koyak
Jaringan manusia
Apa (bukan siapa) selepas Anwar?
Teratai layu Kiambang bertaut

Sunday, August 3, 2014

Perangi riak & riba bagi memenangi perang gaza


Boikot: memerangi riba menghindari riak
Mengikuti perkembangan di Gaza sememangnya meruntun emosi yang berselang seli. Terkadang marah, geram, bangga, gembira, dan yang penting meningkatkan keinsafan tentang banyak perkara.
Ini ujian besar daripada Allah taala. Selain penduduk Islam di bumi berdarah itu, ia adalah ujian pada ummat Islam di seluruh dunia. Ia menguji jatidiri ummat Islam. Mencabar kita untuk menyingkir semua perkara lain dan bersatu hati dalam menghadapi musuh bersama.
Adakah kita telah menyediakan diri kita untuk itu?
Penyatuan ummat Islam tidak boleh sekadar ikut-ikutan meski ia perlu untuk permulaan. Kesedaran mesti timbul dari sudut hati. Insaf dengan kekerdilan diri dan dari situ bertekad untuk keluar daripada belengu kebergantungan pada makhluk, yang merugikan.
Serentak dengan kebencian pada Yahudi muncul pelbagai kempen memboikot produk berkaitan Yahudi. Ia suatu usaha yang bagus dan sudah menampakkan impak positif. Ibarat gerakan burung ababil, ia adalah sumbangan yang cukup bermakna kerana adakalanya kita terpaksa melawan nafsu yang sekian lama terjerat dalam perangkap 'branding'.
Kempen boikot jika diteruskan akan merombak pemikiran ummat Islam yang terjajah dengan 'kosmetik' dan mementingkan 'kulit'. Mengenepikan kulit bukan bermaksud kulit itu tidak perlu sebaliknya mengembalikan kita pada kualiti sebenar produk iaitu manafaatkan kegunaan sesuatu produk.
Lebih dari itu ia adalah permulaan untuk menyingkir sifat riak.
Sedar tidak sedar ekonomi dunia telah dikuasai Yahudi melalui sistem riba. Pelengkapnya ialah promosi berdasarkan kulit produk. Wanita dieksploitasi secara sedar dan sedia pula merelakan diri untuk diperguna.
Kesemua ini menimbulkan kemurkaan Allah taala. Justeru kesungguhan kita untuk menolak unsur-unsur jahiliyah tersebut (riak & riba) adalah langkah awal untuk kita memenangi peperangan ini.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)