Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Friday, September 26, 2008

Pernah sedikit masa lalu, segelintir ahli korporat digelar keparat. Hal ini berlaku apabila terdapat segolongan manusia yang melihat dunia keusahawanan adalah pusat mengaut laba semata-mata.

Adakah berdosa jika usahawan mendapat keuntungan?

Sebenarnya, apabila kita singgah di sebuah warung dan membayar RM0.80 untuk segelas teh tarik maka tidak ada sesiapa yang akan menuduh pemilik warung tersebut sebagai keparat.

Malah jika selepas itu kita berkunjung ke sebuah hotel dan membayar RM6 untuk minuman yang serupa, kita masih mampu tersenyum.

Kemudian, jika esoknya kita minum air spt itu di kantin pejabat dan membayar RM3, apa perasaan anda? Mungkin anda masih boleh bersabar sehinggalah anda terserempak dengan pemilik kantin itu memandu kereta mewah dengan isteri barunya. Tambahan pula anda memang tahu bahawa hanya kantin kecil itulah satu-satunya sumber pendapatan beliau.

Itulah keparat namanya.

Seorang tokoh keparat bukan sahaja beraksi dalam dunia perniagaan. Mereka boleh ditemui dalam gelanggang politik, akademik, perkhidmatan dan juga agama.

Kebetulan tengahari tadi seorang ustaz (rakan sejawat) menceritakan kisah seorang ustaz yang mempunyai hubungan sulit dengan beberapa pelajarnya.

Tidak sukar untuk mengecam golongan keparat ini. Mereka melakukan usaha yang minimum tetapi cuba mendapatkan hasil melebihi sepatutnya. Mereka berbelanja sehingga katak pun hairan melihatnya.

Kenapa Demang berikan contoh katak?

Katak adalah spesis amfibia yang tidak peka dengan persekitarannya. Jika anda ingin merebus katak hidup-hidup anda cuma perlu masukkan katak tersebut ke dalam periuk yang diisi air dan kemudian nyalakan api di bawahnya.

Katak tersebut akan berenang-renang di dalam air suam itu tanpa mengesyaki apa-apa. Walaupun air tersebut semakin panas dan hampir menggelegak, sang katak masih leka bermain air. Sang katak hanya tersedar tentang bahaya apabila dia sudah terkejang menjadi bangkai.

Demikianlah nasib katak.

Demikian juga nasib si keparat yang tidak sedar betapa masyarakat sekeliling sedang mengutuknya.

Seorang usahawan muslim meletakkan akhirat sebagai matlamatnya. Dalam hal ini beliau sedar bahawa terdapat dua hubungan yang perlu dijaga. Yakni hubungan dengan Allah yang menjadikannya dan hubungan sesama manusia.

Sejak kecil lagi kita diingatkan sebesar mana pun dosa kita kepada Allah (kecuali syirik), kita masih berpeluang memohon ampun kepada-Nya. Allah maha pengampun.

Namun dosa atau kesalahan kepada manusia lain tidak akan diampun Allah selagi orang yang kita aniaya itu enggan memaafkan.

Elok juga jika renung kata-kata ahli sufi Abu Nasser Bisyir bin al-Harith al-Hafi:

"Harta yang halal tidak sanggup untuk dihambur-hamburkan, dan tidak akan merasai manisnya hari Akhirat bagi seseorang yang suka dikenali oleh orang ramai."

Demang rasa yang pertama tu ok tapi yang kedua tu yang selalu k.o.

Wallahu'alam.

Wednesday, September 24, 2008

Nota daripada Cheguman

Memiliki sebuah blog memang mudah namun untuk menguruskannya tidak ramai yang mampu. Apatah lagi jika mengendalikan lebih daripada sebuah blog. Sejak tahun 1999, saya biasa menjadi webmaster kepada lebih daripada sebuah laman web serentak dan menjadi moderator kepada lebih daripada tiga group perbincangan dalam masa yang sama. Saya biasa tidur dua jam sehari.

Mengendalikan lamanweb biasa lebih sukar berbanding blog. Namun saya berusaha mengekalkan www.morhabshi.com sehingga hari ini atas dasar ‘itu saya punya sendiri sedangkan blog sekadar rumah tumpangan.’

Pada peringkat awal kemunculan blog (asalnya, web log tetapi disingkatkan menjadi blog. Istilah web log diberi kerana kita cuma perlu ‘log masuk’ sebelum membuat sebarang aktiviti), saya mengendalikan lebih daripada satu blog. Namun akhirnya saya mengambil keputusan untuk menumpukan hanya satu iaitu ‘Waadat’ manakala yang lain telah saya ‘remove’ atau biarkan tak berjaga.

Namun sekarang mahu tidak mahu saya terpaksa memulakan sebuah lagi blog. Hal ini kerana saya perlu menunaikan satu lagi tanggungjawab iaitu meneruskan warisan keluarga. Meskipun asalnya sekadar suka-suka namun akhirnya menjadi satu perusahaan keluarga yang perlu diteruskan.

Hal ini kerana terdapat beberapa pihak yang telah menjadikan produk rumusan datuk saya ini sebagai sumber pendapatan sampingan mereka. Jadi sebagai orang yang bertangungjawab memulakannya maka saya perlu meneruskan agar usaha pihak tersebut tidak terputus begitu sahaja.

Memang, tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan jika saya melakukan usaha mempromosikan produk tersebut melalui blog Waadat. Namun bagi saya ia bukanlah satu pendekatan yang bijak buat masa ini. Para pengunjung akan membuat andaian bahawa saya mengambil kesempatan, seolah-olah ada udang di sebalik batu.

Memang tak salah, namun berapa ramai yang beranggapan begitu? Setidak-tidaknya mungkin ada yang kecewa apabila berkunjung ke blog Waadat dan mendapati artikal di dalamnya sudah dipenuhi dengan iklan komersial.

Saya tidak mahu anggapan-anggapan begitu merosakkan usaha saya menyampaikan mesej kenegaraan kepada para pengunjung. (Perlu disedari bahawa Waadat bukanlah sebuah blog partisan. Kecenderungan Waadat pada parti politik tertentu sekadar kebetulan memandangkan itulah parti yang menjadi kerajaan sekarang).

Jadi, saya mulakan blog baru dan menyediakan satu pautan istimewa melalui Waadat.

Namun saya masih menggunakan pendekatan yang serupa dengan Waadat. Saya masih belum bosan berkesah dan bercerita. Masih sarat dengan kiasan dan analogi serta sedikit satira.

Anggap sahaja blog baru ini sebagai cawangan kepada Waadat. Cuma jika anda ingin membacanya anda perlu ‘klik’ ke ruangan tersebut.

Melalui kesempatan ini saya ingin membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk bersama-sama kami mempromosikan produk warisan ini sekaligus bersama-sama berkongsi faedah dan keuntungan daripadanya. Jika berminat, sila berkunjung ke blog tersebut: “Demang & Dunia Morhabshi di http://morhabshi.blogspot.com (terutamanya kepada yang mempunyai blog atau web sendiri).

Monday, September 22, 2008

Kerajaan Rakyat: 'antara Kerajaan dan Rakyat'

Sambil menjengah ibu di desa semalam, sempat Demang bertemu dengan seorang sahabat lama yang kebetulan pulang dari KL. Perbualan kosong tanpa tajuk khusus. Oleh kerana kami sedia memahami aliran politik antara satu sama lain maka seboleh mungkin masing-masing cuba mengelak daripada menyentuh perkara tersebut.

Namun sesekali terselit juga satu dua isu rakyat yang bersifat sejagat.

Antaranya ialah tentang kegagalan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

Contohnya dalam belanjawan baru-baru ini, teman tersebut mendakwa pihak yang mendapat faedah langsung hanyalah kakitangan kerajaan. Itupun kumpulan menengah dan atasan.

Kakitangan bawahan? Operator kilang? Penduduk kampung? Peniaga kecil?

"Apakah yang kerajaan buat untuk mereka?" tanya teman tersebut. Sebenarnya beliau seorang penjawat awam – nampaknya begitu prihatin dengan nasib rakyat marhaen.

Beliau memberi contoh betapa masih ada pekerja yang dibayar kurang daripada 500 sebulan.

Daripada sembang-sembang tersebut Demang dapati ada beberapa perkara yang dibangkitkan itu memang benar dan tak perlu Demang ulas. Cuma ada beberapa perkara yang dipersoalkan hanya sekadar rasa tidak puas hati yang hampir mustahil ditangani walau siapapun yang memerintah.

Sekarang Demang ingin menyeret anda bagi mengimbas kembali sebahagian daripada peranan kita. Mungkin anda ‘tidak berkenaan’ tetapi Demang adalah seorang daripadanya.

Apabila menyebut soal amanah dan tanggungjawab, ramai yang cenderung menuding pada kerajaan semata-mata. Kita lupa bahawa antara kerajaan dengan rakyat, kita berada di tengah-tengahnya. Kitalah perantaranya. Kitalah pemangkinnya.

Maksud Demang ialah golongan menengah Melayu.

Kakitangan kerajaan gred 29 ke atas berpendapatan 2000 ke atas. Kebanyakan mereka mempunyai pasangan yang juga berpendapatan hampir sama. Ertinya pendapatan mereka suami isteri tidak kurang 4000 sebulan.

(Sahabat Demang tadi adalah guru biasa yang berpendapatan lebih 6k sebulan, mempunyai 2 buah kereta dan 2 buah rumah. 6k itu adalah gaji sebagai kakitangan kerajaan, tidak termasuk pendapatan sampingan kelas tuisyen dan rumah sewa. Beliau juga mendapat elaun warden asrama).

Kemanakah RM4000 itu dihalakan setiap bulan? Maksud Demang bukan sahabat tadi tetapi kepada sesiapa sahaja yang berkenaan, termasuklah Demang.

Jika merujuk pada artikal Demang tentang sistem piramid ekonomi, di manakah kedudukan golongan ini? Mereka adalah pengguna primer, penerima curahan hujan daripada kerajaan. Yakni di dua tingkat teratas dalam sistem piramid.

Amanah pertama golongan ini ialah melaksanakan tugas membantu rakyat. Jika seorang guru, beliau membantu ibu bapa mendidik anak-anak. Bagi seorang pegawai polis, beliau menjaga keselamatan rakyat. Begitu juga pegawai perubatan yang ditugaskan menjaga kesihatan rakyat. (Para pegawai di SPP dan KPM pun ramai dalam kelompok ini).

Itu tugas pertama kita yang wajib dilunaskan.

Atas tugas-tugas tersebut maka kita diberi saraan atau upah (istilah apapun tak apa kerana yang penting kita mendapat wang).

Wang tersebut dgunakan bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga. Maka apabila pegawai itu membeli makanan, pakaian, kenderaan, dan sebagainya maka dapatlah rakyat tertentu berniaga.

Para usahawan tersebut menggaji para pekerja dan dalam masa yang sama mendapat bekalan produk daripada kilang yang menyediakan pendapatan kepada lebih ramai pekerja.

Apabila ramai yang bekerja maka permintaan terhadap jualan makanan turut bertambah. Sebahagian daripada rakyat boleh mengambil peluang ini bagi menjana pendapatan keluarga.

Sumber utama makanan ialah pertanian dan penternakan. Justeru jangan ketawakan Paklah yang menyuruh rakyat bertani. Jika anda tidak mampu, beri galakan kepada abang-kakak kita di kampung. Banyak cara untuk menjayakannya dan bukannya mencemuh atau mencipta ribuan alasan.

Sesungguhnya ruang untuk kita bergerak masih luas. Medan untuk kita berjuang dalam jihad ekonomi masih jauh sempadannya. TDM pernah mensasarkan penduduk Malaysia seramai 70 juta. Sekarang jumlah kita baru setakat 27 juta. Kenapa perlu berdengki?

Ada yang berpendapat unjuran TDM itu mustahil dicapai memandangkan kadar kelahiran dan kematian manusia. Namun kita masih ada alternatif lain untuk mendapatkan tenaga kerja. Bukankah Tuhan berikan kita akal untuk mencipta teknologi?

Dalam ekonomi Islam, wang tidak boleh disimpan-beku. Itulah sebabnya riba diharamkan. Lebihan perbelanjaan bukan ditabung di bawah bantal atau ke dalam simpanan tetap di bank. Sebaliknya carilah pelaburan dengan sesuai. Bertindaklah secara proaktif dengan cara sama-sama menanggung risiko, bukan sekadar 'meminjamkan' wang kepada pihak bank untuk mendapatkan faedah tetap. Itu riba namanya.

Ada satu lagi amanah yang perlu kita bereskan: "sudahkah anda melunaskan zakat fitrah?"

Mungkin kita perlu fikirkan untuk menjadi penyumbang zakat-zakat lain pula seperti zakat harta, perniagaan, ternakan dan sebagainya.

Apakata anda mulakan dengan perusahaan lembu pawah dengan adik-kakak di kampung? 5 tahun lagi jika lembu itu berkembang biak menjadi 10 ekor, bermakna anda akan mempunyai RM20k. Dah boleh naik haji.

Ada seorang sepupu Demang sedang giat mengusahakan ternakan lintah. Menurut beliau, pasaran lintah sangat luas tetapi modalnya agak besar. Maka beliau mengajak saudara mara kami melabur dalam perusahaannya itu. Bukankah itu satu cara yang baik menambah pendapatan?

Demang cadangkan, daripada ahli politik kita sibuk berkempen sepanjang tahun dan berangan untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang, lebih baik setiap YB pembangkang mulakan satu usaha khusus bagi membangunkan ekonomi negara. Insya Allah rakyat akan lebih menghargainya dan tidak mustahil dalam PRU13 nanti mereka akan dipilih menerajui kerajaan yang ‘sah’ .

Maklum lah, mereka ni sebenarnya ada banyak masa lapang berbanding pak menteri.

Thursday, September 18, 2008

Kalau Anwar enggan sumpah, biar Demang buat surat sumpah

Mungkin kita tidak perlu salahkan Anwar atas kekecohan dan ketidakstabilan politik negara kini. Demang pernah berpendapat Anwar berhak mempertahankan diri sendiri. Dia sahaja yang tahu samada tuduhan ke atasnya benar atau tidak. Orang yang tak tahu atau tak pasti, lebih baiklah menghindari daripada terlibat.

Biarlah proses perundangan dan hukum alam menjalankan tanggungjawabnya. Hal ini kerana kita juga masih mempunyai tanggungjawab yang pasti dan hakiki. Bacalah pengalaman benar Demang yang belum selesai hingga kini.

Kes 1: Kisah surat sumpah.

Cuti sekolah yang lepas Demang berpeluang membawa anak-anak ke Teluk Kemang. Sempatlah menginap semalaman sambil menemani anak-anak bermain air dan mengikuti beberapa aktiviti yang disediakan.

Namun, pagi-pagi esoknya Demang terima panggilan daripada pejabat meminta balik segera. Rupa-rupanya ada masalah berkenaan perjawatan Demang.

Maka bergegaslah Demang pulang bagi menyelesaikan masalah tersebut. Nampaknya Demang terpaksa mengisi semula borang-borang yang telah dihantar tiga bulan lepas.

Apa yang berlaku? Rupa-rupanya kerani Demang tersalah hantar dokumen-dokomen tersebut. Salinan asal yang sepatutnya dihantar ke SPP telah dihantar ke KPM. Yang peling penting, SURAT SUMPAH.

Demang cuba menghubungi pihak KPM untuk meminta semula semua dokumen tersebut. Namun pegawai yang berkenaan memberi alasan mereka tak dpt mengesan dokumen-dokumen tersebut jikapun memang berada 'dalam tangan' mereka.

Mahu tidak mahu terpaksalah Demang menyediakan semula semua dokumen. Nak kena mengadap Pesuruhjaya Sumpah lagi.

Agak menghairankan sebuah kementerian tidak mampu mengesan dokumen penting yang dihantar kepada mereka. Alasan pegawai berkenaan ialah dokumen yang diterima daripada seluruh negara terlalu byk. Memanglah KPM cuma menyimpan salinan namun jika berlaku sesuatu kes bukankah salinan itu perlu didapatkan semula? Bukankah itu tujuannya satu salinan dokumen dihantar kepada mereka? Jika tidak, apa perlunya mereka dipertanggungjawabkan menyimpan satu salinan?

Mahu tidak mahu terpaksalah Demang mengadap semua pihak yang berkenaan bagi menyempurnakannya dlm masa tidak sampai satu hari.

Bagi memastikan semuanya tiba ke tempat yang sepatutnya dengan cepat dan selamat maka Demang dinasihatkan untuk pergi sendiri ke Putrajaya pada petang itu juga.

Maka bergegaslah Demang ke sana untuk menyerahkan sendiri semua dokumen ke tangan pegawai yang bertanggungjawab. Demang difahamkan oleh kerani Demang bahawa pegawai tersebut mahu dokumen diserahkan terus kepadanya.

Setelah tersesat sehingga terpaksa dibantu oleh telefonis SPP melalui telefon untuk sampai ke bangunan tersebut, alhamdulillah Demang berjaya tiba sebelum pukul 4.30 petang. Nasib Demang agak baik kerana terserempak dengan dua orang pegawai SPP yang kebetulan hendak pulang ke pejabat. Jadi mereka mempelawa Demang untuk mengikut mereka. Sambil berjalan dapatlah Demang menjelaskan tujuan kedatangan Demang itu kepada mereka.

Tiba di depan lif untuk naik ke atas Demang mengerling jam yang semakin menghampiri 4.30 petang. Harap-harap pegawai tersebut masih ada. Sebaik terbuka sahaja pintu lif, terjojol lah seorang wanita dari situ. “Ha, ini dia Puan Rxxxxh.” Kata pegawai tadi. “Puan, cikgu ni nak…” Pegawai itu cuba memberitahu tetapi setakat itu sahaja suaranya kerana Puan Rxxxxxh cepat-cepat menggawang tangannya memberi isyarat tidak mahu melayan kedatangan Demang.

Terfikir hati Demang, bisukah perempuan ini? Sepatah perkataan pun tidak keluar daripada mulutnya. Hanya gerakan tangannya sahaja memberi isyarat menyuruh kami pergi meninggalkannya.

“Kenapa dengan dia tu?” Demang bertanya.

“Oh, sekarang sudah masa untuk dia pulang. Dia memang macam tu… ikut time.” Jawab pegawai tadi.

“Bagus betul dia tu. Sangat menepati masa. Tak boleh kah dia tunggu 10 saat untuk mengesahkan dokumen yang saya bawa ini? Lagipun saya dtg dari Melaka atas cadangan beliau.” Kata Demang.

Pada perkiraan Demang jika beliau berjaya tiba di lobi bawah sebelum 4.30, pukul berapa beliau keluar daripada pintu pejabatnya? Ertinya beliau bukanlah terlalu menepati masa sebagaimana dakwaan pegawai tadi.

Akhirnya pegawai yang cuba membantu Demang tadi membawa Demang naik ke pejabatnya dan berjanji untuk menyelesaikan masalah ini.

Malangnya setelah meneliti dokumen yang Demang bawa, beliau mengatakan hanya Puan Rxxxxh tadi sahaja boleh mengesahkan samada dokumen tersebut betul atau tidak.

Bolehkah anda bayangkan perasaan Demang tika itu?

Apa nak dikata lagi, maka terpaksalah Demang pulang dan menanti jawapan samada Demang perlu menyiapkan semula sekeping lagi dokumen yang tersilap itu atau tidak. Dlm pada itu Demang menghubungi kerani Demang untuk mendptkan maklumat bagi mengetahui pihak mana yang melakukan kesilapan. Maklumat yang Demang terima ialah semua borang yang dikehendaki itu difaks daripada SPP. Hal ini bermakna semua dokumen yang Demang bawa tadi sepatutnya sudah tepat dan lengkap kerana ‘kerangkanya’ bersumber daripada SPP sendiri, lebih tepat lagi Puan Rxxxxh sendiri yang faks borang-borang kosong itu.

Pada hari Isnin minggu berikutnya, setelah jenuh menelefon (tak diangkat) Demang disambungkan kepada pegawai lain. Rupa-rupanya beliau adalah pegawai yang bertangunggjawab dlm hal ini. Kebetulan beliau baru pulang dari berkursus dan baru dimaklumkan tentang kes ini. Beliau berjanji untuk meneliti semua dokumen yang telah dihantar dan meminta Demang menelefon semula lusa (Rabu). Maka mulai pagi Rabu Demang menelefon, hari Jumaat barulah panggilan Demang diterima. Alasan telefonis tersebut ialah beliau bercuti. Sebenarnya Demang mempunyai tiga talian ke bahagian berkenaan (satu telefonis dan dua lagi talian terus) dan kesemuanya tidak dijawab selama tiga hari!!!

“Alahai, tak de ke ganti?” kata hati Demang. Macamana agaknya kalau telefonis itu kembali ke rahmatullah (mati)? Agaknya kelam kabut lah SPP nak keluarkan iklan bagi mendapatkan kakitangan baru.

Apa jawapan yang Demang terima pada hari Jumaat?

“Cikgu,jika cikgu membuat semula surat sumpah yang baru, itu akan mengesahkan yang cikgu telah lewat daripada tempoh yang ditetapkan. Oleh itu cikgu mesti dapatkan surat asal yang berada di KPM sebab tarikh pada surat tersebut akan mengesahkan yang cikgu tidak melanggar syarat tempoh yang ditetapkan.”

Wah! Macam itu kah? Tiba-tiba Demang teringat seorang ibu saudara Demang bekerja di KPM. Maka Demang cuba menghubungi beliau dan meminta jasa baiknya untuk membantu. Beliau berjanji untuk membantu namun hingga kini masih belum berjaya.

Setelah puas berhubung semula sana-sini, akhirnya pihak SPP memaklumkan yang mereka sedia menerima surat sumpah yang baru dan akan mengeluarkan surat khas mengenainya. Maka Demang pun mengirimkannya menggunakan Poslaju setelah diyakinkan oleh seorang pegawai SPP bahawa Demang tak perlu pergi ke Putrajaya untuk menghantar sendiri.

Episod ‘percubaan menelefon’ pun berulang dan dua-tiga hari selepas itu barulah panggilan dijawab dan Demang dimaklumkan yang surat tersebut masih belum tiba ke meja pegawai berkenaan.

Dalam pada itu, dua hari lepas Demang terima satu surat yang meminta Demang menghantar satu surat sumpah yang baru dalam tempoh 14 hari. Demang lihat tarikh pada surat yang Demang terima itu sudah hampir 10 hari berlalu.

Sebentar tadi Demang berjaya menelefon lagi (setelah dua hari tidak dijawab) SPP. Tujuan Demang ialah untuk memastikan tindakan mana yang perlu Demang ambil? Nak abaikan atau nak patuhi? Pegawai yang menjawab (Puan Rxxxxh le tu…) menyatakan yang semua urusan telah selesai dan surat mengenainya sudah dihantar (dalam perjalanan). Beliau turut mengesahkan bahawa surat yang baru Demang terima tadi boleh diabaikan.

Demikianlah satu kisah benar. Tujuan Demang memaparkan kisah ini bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak. Demang tahu lebih ramai pegawai di SPP yang rajin, ikhlas dan bertanggungjawab. Begitu juga di KPM. Namun Demang rasa masih banyak ruang untuk dilakukan penambahbaikan. Takkan lah itupun nak tunggu PM datang siasat?

Barangkali Tuhan sengaja mengkehendaki Demang merasakan sendiri pengalaman ini. Selama ini apabila Demang mengendalikan kursus kepada kakitangan awam, semua gambaran yang Demang terima molek-molek dan indah-indah belaka. Rupa-rupanya…

Beberapa bulan lalu Demang pernah menulis: “Apabila semua rakyat melaksanakan tanggungjawab masing-masing maka selesailah masalah negara.”

Bukankah negara ini kita bina bersama? Takkanlah jadi PM baru boleh berkhidmat? Bak kata seorang professor (akhbar hari ini), hinakah menjadi Ketua Pembangkang? Bukankah jawatan itu juga hebat dan sesuai dengann konsep demokrasi negara kita? Menjadi Ketua kepada 82 orang YB di Dewan Rakyat sudah cukup hebat.

Coda:
Agaknya disebabkan pengalaman pahit Demang dengan kes surat sumpah inilah maka Anwar jadi takut nak angkat sumpah walaupun diminta oleh rakyat.

Nampaknya masih banyak yang perlu kita ubah sebelum mengubah PM dan kerajaan sedia ada. Takkan nak tunggu kerajaan baru untuk mengubah sikap sendiri? Takkan lah kita begitu lemah?

Wednesday, September 17, 2008

Iklan: sejarah awal morhabshi

Vespa berwarna hijau pucuk pisang meredah denai desa meninggalkan debu kecil di belakangnya. Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun berdiri di antara penunggang dan 'handle' vespa, di atas pelantar. Angin yang agak keras menampan muka dan mengusai rambut sikecil.

Vespa itu membeluk ke laman sebuah rumah kayu dan berhenti. Penunggangnya yang berusia akhir 40an memberi salam.

"Waalaikum salam," sahut seorang lelaki dengan kepalanya terjengul pada jendela. "Ha, naik Ustaz," pelawanya.

"Naik? Tak pa la, kot?" jawab Ustaz Hamid sambil tersenyum.

Walau bagaimanapun beliau sudahpun menongkat vespanya dengan kemas, kemudian melangkah ke arah rumah tersebut.

Kanak-kanak yang bersamanya tadi mengekori dari belakang.

"Apa halnya pesan suruh saya singgah?" orang yang digelar ustaz Hamid bertanya.

"Macam ni..." tuan rumah mengengsot rapat ke depan datuk Demang yang sedang bersila itu.

Pelan-pelan Demang yang 'rajin' mengikutnya 'mengubat orang' memasang telinga...

Nak tahu apa yang Demang dengar? Nantikan iklan seterusnya.

Tuesday, September 16, 2008

Penubuhan Malaysia 1963 dilihat dari sudut lain

Sekitar 1960an, kaum cina sudah menguasai 70% daripada penduduk Singapura. Jika penduduk pulau tersebut digabungkan dengan penduduk Tanah Melayu maka kaum cina akan tetap menjadi penduduk majoriti.

Justeru kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu akan memberikan peluang kepada LKY untuk menguasai seluruh Tanah Melayu dan Singapura. Selaku negara yang mengamalkan demokrasi sudah pasti pilihanraya umum yang bakal diadakan akan melonjakkan beliau ke persada tertinggi dalam politik negara baru tersebut.

Pengaruh komunis di Singapura menjadi alasan utama kepada LKY bagi merealisasikan cita-citanya. Ternyata TAR diletakkan dalam situasi ’tersepit’ antara permintaan Singapura dan tekanan Britain. Alasan bekas penjajah tersebut ialah gabungan Tanah Melayu-Singapura adalah kaedah paling berkesan bagi mengekang pengaruh komunis.

Ternyata isu komunis dieksploitasi secara maksimum oleh Britain dan LKY bagi mencapai hasrat mereka menguasai semula Tanah Melayu.

Namun manusia hanya merancang sedangkan perancangan mereka hanyalah sebahagian kecil daripada perancangan Tuhan. TAR berjaya melepasi kemelut ini dengan cara mengundang tiga buah negeri di kepulauan Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei menyertai sama persekutuan. Kehadiran 70% penduduk peribumi yang berada dalam negeri-negeri tersebut diharap dapat mengimbangkan semula populasi kaum. LKY dan Inggeris mahu tidak mahu terpaksa menyetujui keputusan ini.

Oleh kerana plan penguasaan tersebut gagal maka LKY membuat helah dan berjaya disingkirkan 2 tahun kemudian. Britain yang tiada pilihan lain terpaksa berputih mata dengan kemerdekaan Singapura.

Jika persepsi ini diterima, ia adalah jawapan kepada persoalan kenapa Singapura sering ’menyusahkan’ Malaysia sehingga kini. Dengan kata lain usaha mengusai Tanah Melayu oleh Singapura adalah satu usaha berterusan yang dilakukan sejak dulu hingga kini.

Mengapa Demang membawa persolan di atas?

Demang melihat kemelut politik dalam negara kini adalah refleksi kepada usaha berterusan yang dibuat untuk menghentikan dominasi orang Melayu dalam politik negara. Jika dilihat pada rentetan peristiwa menjelang PRU12, terdapat usaha terancang beberapa pemimpin bukan Melayu untuk menafikan kuasa politik orang Melayu. Kempen-kempen secara senyap telah berjalan lama dengan perancangan yang agak teliti. Kenyataan ini disokong dengan keputusan PRU12 yang memperlihatkan penolakan sebenar ke atas kerajaan BN datangnya daripada pengundi bukan Melayu.

Anwar hanyalah bidak caturnya.

Kenapa Demang membawa isu ini kepada perbincangan terbuka?

Demang yakin dan percaya bahawa keamanan dan kestabilan negara hanya mampu diperolehi jika ada persefahaman, tolak ansur dan sikap saling menghormati, bukannya melalui monopoli dan penguasaan oleh sesuatu kaum sahaja dalam semua bidang.

Persefahaman tidak sekadar ucapan retorik semata-mata malah perlu diterjemahkan dengan tindakan dan perlakuan yang menyokong usaha tersebut.

Buat masa ini kaum cina masih menguasai ekonomi meskipun terdapat usaha yang agak agresif bagi mengubah keadaan ini.

Ingat, mengubah bukan sentiasa bermaksud menukar. Perubahan boleh berlaku daripada kecil kepada lebih besar. Sedangkan menukar sering dimaksudkan dengan menggantikan dengan sesuatu yang lain.

Hal ini bermakna, usaha yang dilakukan terutamanya melalui DEB adalah bagi mengubah nasib orang Melayu daripada amat mundur kepada maju sebagaimana kaum cina. Tidak sama sekali untuk menukar posisi iaitu orang Melayu nak dijadikan kaya dan orang cina nak dijadikan miskin.

Perlukah Demang ulang semula aliran ekonomi dalam negara yang telah acap dibincang sebelum ini? Rugikah kaum cina apabila banyak tender diberi kepada orang Melayu melalui DEB? Tidakkah ahli perniagaan cina turut menikmati faedah ini? Demang lihat, orang cina yang marah dengan DEB ialah orang cina yang gagal dengan dirinya. Begitu juga orang Melayu yang menyalahkan DEB apabila gagal mencapai kejayaan yang diimpikannya. Kegagalan peribadi dialihkan kepada pihak lain agar dirinya tidak dipersalahkan.

Demang percaya apabila barisan kepimpinan baru terlantik, korupsi dan kronisme cuma akan bertukar pemilik, bukan terhapus. Kalau dulu dilakukan oleh grup A, sekarang diamalkan oleh grup B pula. Rakyat yang lurus dan mudah diperdaya akan sentiasa ketinggalan. Nanti akan tiba pula pemimpin baru yang akan membawa mereka melakukan perubahan untuk kesekian kalinya.

Sebagai rakyat Malaysia, Demang menyeru agar rakyat terbanyak menghormati asas pembinaan negara.

Jong pecah yu yang kenyang... (kalau ’you’ yang kenyang tak pa lah jugak. Untung-untung you boleh kasi I sikit. Kalau ikan yu kat luar tu...?).

Selamat Menyambut Hari Malaysia.



Rujukan:

http://www.geocities.com/cominglucky/s4tema3.htm

Thursday, September 11, 2008

harmoninya negaraku

Demang sedar kisah piramid dalam artikal lepas agak berat dan mungkin juga menimbulkan polemik. Malah Demang terbaca satu artikal baru-baru ini yang menolak sistem piramid yang didakwa tidak adil kepada manusia.

Terima kasih kepada yang sudi memberi pendapat. Bagi yang enggan memberi komen, Demang tidaklah sampai menghukum ‘diam tanda setuju’.

Perbezaan adalah satu hikmah.

Pagi tadi Demang pulang ke rumah sebentar kerana menghantar putera Demang yang kurang sihat. Maka Demang mengambil kesempatan menjengah ‘rumah baru’ Demang yang sedang disiapkan. Sebenarnya bukan rumah betul-betul. Kami sekadar menaiktaraf bilik kami sebab saiz lamanya agak sempit. Apabila siap kelak, bilik baru tersebut hampir sebesar rumah PPRT. Itu sebabnya Demang katakan ‘rumah’.

Itulah kebaikannya tinggal bersama mertua di dalam sebuah kampung. Boleh buat ‘rumah di dalam rumah’.

Ketika Demang tiba, seorang lelaki India sedang memasang bingkai jendela sambil dibantu isterinya. Seorang lelaki Cina sedang memotong dinding bilik bacaan bagi menambah keluasannya. Sementara itu lelaki Melayu yang mengetuai proses pembinaan tersebut menyiapkan bahagian siling kamar.

Selain itu Demang dapati tugas-tugas tertentu telah diagih-agihkan kepada beberapa pihak lain. Contohnya untuk pendawaian elektrik, menggali lubang tandas, pemasangaan jeriji tingkap, peralatan tandas, dan sebagainya. Masing-masing dengan tugas dan kepakaran masing-masing.

Ibu mertua Demang sempat memberi komen: “wah, muhibah betul tukang-tukang rumah kita…” Yang beliau maksudkan ialah kerana mereka terdiri daripada pelbagai kaum.

Memang betul pun. Demang tumpang seronok melihat suasana mereka bekerja. Sesekali terdapat juga usik mengusik dan senda gurau sesama mereka. Tambahan pula lelaki Melayu yang menjadi ‘kontraktor utama’ kami tu agak kelakar orangnya.

Semasa berbuka puasa petang tadi bapa mertua Demang beritahu: “Ah Kuang minta tambahan RM1500 sebab mereka tersilap kira kos yang dijanjikan dulu.”

“Kesian nengokkan diorang tu. Kita pun pernah susah dulu.” Ibu mertua Demang menyampuk.

“Tak apalah. Bagikan aje. Tapi bukan ke Abang Ali tu yang jadi ketua?” Tanya Demang.

“Dia tu nampak je seloroh dan tak kesah. Tapi dalam hal macam ni dia malu nak berterus terang. Lagipun si Kuang tu yang pegang duit. Kuang tu dah lama berkawan baik dengan Abah,” bapa mertua Demang menjelaskan.

******************

Barangkali secebis kesah manusia di sudut kecil negara kita ini boleh kita renungkan sebentar. Bagi Demang ia ada kaitan dengan artikal ‘Piramid’ yang baru Demang siarkan itu.

Sebagai pegawai kerajaan, alhamdulillah pendapatan Demang cukup untuk kami sekeluarga. Tambahan pula isteri Demang juga bekerja. Kami tinggal bersama ibu bapa (sebelah isteri). Bapa mertua Demang bukan orang kaya dan hanya pemandu ambulan yang telah bersara. Namun rezeki beliau agak murah di samping rajin berusaha sebagai agen hartanah.

Kata orang agen hartanah boleh jadi kaya raya, namun Demang tak percaya sangat sebab bapa mertua Demang masih menggunakan ‘motor cup’ buruknya sehingga kini. Duit simpanannya pun tak banyak walaupun dia selalu menguruskan jual beli tanah/bangunan bernilai jutaan ringgit. Melalui perbualan dengan beliau, Demang dapati komisyen yang diterima walaupun kelihatan besar namun setelah ditolak segala kos dan pengurusan serta dibahagikan antara pihak yang terlibat (ramai) sebenarnya tidak seberapa.

Yang Demang tahu, duitnya banyak dipinjam orang.

Selain itu sesekali Demang dan isteri dijemput ke program motivasi dan sebagainya. Selain berbakti, kami mendapat tambahan pendapatan melalui usaha tersebut.

Dalam pada itu ada satu lagi usaha Demang iaitu membuat promosi produk keluarga Demang melalui internet iaitu sejenis minyak untuk perubatan tradisional. Namun Demang tak masukkan dalam sumber pendapatan sebab hasilnya terus disalurkan kepada ibu Demang di kampung. Lagipun cuma perusahaan kecil-kecilan. (nanti Demang ceritakan).

Kenapa Demang ceritakan ini?

Jika kita imbas artikal ‘piramid’ Demang, didapati air mengalir terus dan dimanafaatkan di setiap peringkat. Wang yang ada pada Demang bertukar tangan ke pihak lain untuk dimanafaatkan pula oleh mereka. Seterusnya ia akan berpindah pula kepada pihak lain mengikut giliran dan keperluan.

Kata seorang teman lama Demang yang mengulang kata-kata seorang ustaz: “duit yang di dalam poket kita pun belum tentu menjadi rezeki kita. Mungkin kita cuma tolong simpan sahaja sebelum diserahkan kepada orang lain.”

Bagi Demang, jika kita berada di puncak, gunakan peluang tersebut untuk mengumpul pahala dengan berbuat sebanyak mungkin kebajikan. Perlu diingat bahawa kebajikan bukan sekadar memberi sedekah malah menyediakan pekerjaan juga merupakan fardhu kifayah.

Itulah jihad seorang Muslim.

Monday, September 8, 2008

Sistem piramid

Pernahkah anda melihat gunung yang kuncup ke bawah? Atau payung dan bumbung yang terkangkang ke atas? Bagaimana jika menara Petronas dibina dengan puncaknya besar dan tapaknya kecil?

Lihatlah pepohon yang tirus ke atas dan kembang di bawah. Gali lagi ke dasar dan lihatlah akarnya yang merebak pada medan yang lebih luas.

Itulah bentuk piramid.

Dari mana air mengalir?

Bumi adalah permukaan yang luas, menadah hujan yang cucur dari langit. Lautan pula menjadi kolam takungan bagi semua air yang mengalir dari segenap ceruk. Sinar suria menghangatkan cecair dan menyejatnya menjadi wap lalu mengapung ke langit. Awan-awan yang terbentuk berada di segenap pelusuk bumi termasuk perbukitan dan pergunungan. Sejurus ia memberat dan berderai menjirus puncak gunung. Airnya mengalir menempuh keluk-keluk sungai, menuruni lurah, lembah dan denai sebelum kembali bergenang di laut.

Di manakah anda? Di puncak, di lereng, di kaki gunung atau di laut?

Air menunaikan fitrahnya dengan mengalir dan terus mengalir memenuhi aras. Sebahagiannya meresap ke bumi dan meruap ke langit. Tak kurang juga yang dihirup haiwan dan diserap akar tumbuhan. Semuanya menikmati hak dan ketentuan masing-masing.

Sekali lagi, di manakah posisi anda?

Bagi yang berada di puncak, anda adalah pengguna primer. Anda adalah raja. Tiap titis hujan akan menimpa atas jemala anda terlebih dahulu. Minum lah sepuasnya. Serap lah sebanyak yang boleh dan gunakan selagi terdaya. Jika mahu, kepung dan takunglah ia.

Meskipun demikian, samada rela atau terpaksa air akan mengalir terus meninggalkan anda. Samada ia telah anda manafaatkan atau merupakan lebihan yang tak larat anda guna, ia tetap akan tiba pada pihak lain yang berada di aras lebih bawah. Kelompok ini lebih ramai dan mereka menanti giliran selepas anda.

Semakin rendah aras semakin ramai penghuninya. Masing-masing melangut menanti habuan. Itulah hak menurut keperluan.

Cuba periksa, pada aras manakah anda sekarang?

Adakah anda bersendirian di kemuncak sana atau bergaul dalam kelompok tengah yang sederhana ramai? Atau anda berada dalam kelompok teramai di bahagian dasar?

Di mana sekali pun anda berada air akan tetap mengalir dan hanya sedikit yang mampu anda takung. Selebihnya akan terus mengalir untuk dijamah makhluk lain.

Di bahu anda ada amanah dan tanggungjawab. Anda adalah khalifah di bumi ini.

Jangan cuba-cuba menterbalikkan piramid ini.

Sunday, September 7, 2008

BTN memecahbelahkan perpaduan kaum?

Demang lahir dalam keluarga melayu dan membesar dalam masyarakat melayu. Demang bermain, bergaul, bersekolah hatta bertengkar dan bergaduh pun dalam kalangan orang melayu sahaja.

Demang bertembung dengan kaum bukan melayu cuma sekali sekala tatkala Demang ke bandar atau jika mereka datang ke kampung Demang. Selebihnya Demang lihat kaum lain di kaca TV sahaja.

Suatu perkara yang pasti ialah Demang sering berurus niaga dengan kaum cina.

Apa pandangan Demang pada kaum lain?

Secara peribadi Demang tidak ada masalah langsung dengan kaum lain. Agaknya sebab secara logik kita tak akan berkonflik dengan orang yang tak kita kenal.

Namun dalam perbualan dengan teman-teman Demang dapati ada yang tidak beres. Ada cerita pergaduhan, dendam dan iri hati.

Lama kelamaan Demang ikut terpengaruh untuk menyimpan prejudis terhadap kaum lain, sehinggalah...

Semasa di tingkatan 6, 1986, pihak sekolah yang risau dengan prestasi pelajaran kami telah mendapatkan khidmat BTN bagi menyuntik semangat baru sebelum kami menduduki STPM.

Dalam kursus selama dua hari itu kami didedahkan dengan fakta-fakta yang menginsafkan kami bahawa ada sesuatu yang wajib diperjuangkan.

Kami ditunjukkan fakta betapa orang melayu amat jauh ketinggalan dalam hampir semua bidang terutama ekonomi, pendidikan dan jawatan profesional. Orang melayu hanya memegang kuasa politik dan itu bukanlah jaminan yang kekal.

Kami disedarkan bahawa situasi yang tidak seimbang antara kaum akhirnya membawa padah, pergaduhan kaum 1969 (13 mei).

Demang pahatkan dalam hati pesanan fasilitator BTN yang mengendalikan kumpulan Demang: setiap kaum perlu bekerjasama bagi memastikan kek ekonomi dapat diagihkan dengan lebih saksama. Tidak boleh ada kaum yang jauh ketinggalan sebab ia akan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati. Untuk itu kerjasama perlu dilakukan dengan penuh ikhlas. Perkongsian 'ali-baba' haruslah dibenteras dan perkongsian pintar mesti dirintis dan digalakkan.

Perkongsian perniagaan antara melayu-cina-india hanya akan boleh berlaku jika masing-masing mempunyai kualiti yang mampu memberi keuntungan pada perkongsian tersebut. Jika hanya 'rakan kongsi daripada kaum cina' sahaja yang berkualiti sedangkan 'rakan kongsi daripada kaum melayu' tidak berkualiti, bagaimana usahasama tersebut dapat membuahkan kejayaan? Oleh itu kualiti orang melayu perlu meningkat dan ditingkatkan agar dapat berdiri sama tinggi dengan kaum lain. (melalui penerangan tersebut juga Demang segera insaf betapa kaum India juga perlu dibela sebagaimana kaum Melayu).

Setiap kaum mempunyai kelebihan masing-masing yang sepatutnya dijadikan asas perkongsian.

BTN juga menjelaskan asas pembinaan negara berdasarkan persefahaman antara pemimpin kaum yang akhirnya melahirkan kontrak sosial. Malangnya semangat dalam kontrak sosial sering dimanipulasi oleh ahli politik demi kepentingan politik sempit mereka.

Bagi kakitangan awam tidak kira melayu-bumiputera, cina dan india yang mengikuti kursus BTN pasti sedar bahawa fokus utama BTN adalah bagi membina negara yang aman untuk didiami oleh semua kaum. Itulah sebabnya fokus utama BTN ialah NEGARA: bukan perjuangan kaum atau agama. Tanpa sebuah negara yang aman bagaimana kita nak beribadat kepada Tuhan dengan sempurna?


Demang bawa kisah lama ini selepas terbaca serangan hebat Lim Kit Siang dalam blognya yang menuduh BTN menjadi punca perpecahan kaum di negara kita. Bagi yang telah melayari blog tersebut dan membaca komen-komen di dalamnya, barangkali terjumpa komen Demang dalam blog tersebut: "...sebaiknya saudara Lim kit Siang serta semua ahli parlimen menghadiri kursus BTN dan lihat sendiri adakah maklumat yang saudara Lim Kit Siang terima berkenaan BTN itu betul atau fitnah? Adalah mustahil parlimen meluluskan budget untuk BTN selama berpuluh tahun tanpa menyedari bahawa BTN digunakan untuk menghancurkan negara.”

Demang cabar sesiapa dapat membuktikan modul BTN selama ini adalah untuk memecah belahkan kaum di Malaysia. Malah Demang percaya usaha-usaha BTN lah yang selama ini berjaya meredakan kemarahan orang melayu yang tidak puas hati kepada kerajaan yang dianggap memberi kelebihan pada kaum India dan Cina.


(Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak boleh dipertanggungjawabkan pada BTN. Sebarang persoalan mengenainya hendaklah dikemukakan terus kepada penulis melalui ruangan komen atau email cheguman@yahoo.com )

Friday, September 5, 2008

Bahtera Merdeka: dilema nakhoda

Bahtera kecil masih terolang-oleng di samudera luas. Sang nakhoda sayu memandang lautan yang belum kelihatan garis tepinya. Namun dalam kotak fikirnya terpacak kukuh pelabuhan akhir yang sedang dituju. Tanpa ragu, di situ semua akan terlerai. Di situ segalanya akan terjawab. Matlamat yang pasti.

Timbalan nakhoda melangkah masuk. Hatinya resah melihat wajah nakhoda yang murung. Di hatinya, keinginan dan harapan bergaul dengan simpati. Sepatutnya di situlah tempatnya. Itulah impian yang hampir menjadi kenyataan beberapa tahun dahulu. Namun telah diserah kepada nakhoda yang sedang berdiri di hadapannya sekarang.

Harapan? Ia bukan miliknya seorang. Harapan tersebut dikongsi bersama mantan nakhoda yang kini sedang bimbang dan gelisah. Kemunculan semula panglima perang yang pernah ditajanya suatu masa dulu benar-benar membuatnya terancam. Panglima perang yang cuba dijinakkannya ternyata anak harimau yang tidak selayaknya dibiar berkeliaran di dalam taman. Harimau yang pernah dirantainya itu telah bebas kini dan sedang berusaha untuk membalas dendam.

“Sepatutnya tuan hamba yang berada di sini sekarang” Nakhoda menyapa.
“Mungkin, tetapi apakan daya keadaan tidak mengizinkan.” balasnya. “Malah mereka sudah menyediakan peluru yang cukup untuk meledakkan kepala hamba sekiranya hamba berada di situ.” Tokok timbalan nakhoda dengan suara sayu.

Bahtera kecil terus membelah samudera penuh gelora. Para penumpang pasrah terhadap nasib dan memajakkan seluruh hidup mereka pada pemimpin masing-masing. Para pemimpin pula sibuk melekatkan penanda pada kolar baju para penumpang. Label hijau untuk penumpang asal yang digelar peribumi manakala label biru dan merah untuk penumpang yang datang kemudian. Terdapat juga penumpang yang tidak berlabel. Golongan ini adalah buruh dermaga yang naik turun bahtera sesuka hati.

“Bagaimana dengan semua penumpang?” Nakhoda meminta laporan.
“Mereka resah dan kebingungan. Mereka hanya mendengar arahan kapitan masing-masing.” Lapor sang timbalan.
“Baguslah. Sudah sepatutnya mereka patuh pada pemimpin mereka.” Ulas Nakhoda.
“Malangnya terdapat kapitan yang tidak menyokong nakhoda.” Tambah sang timbalan.
“Itu kan lumrah. Kudengar ada juga kapitan yang sebelum ini menyokong kita sudah berubah hati?” Tanya nakhoda.
“Belum dapat dipastikan. Mantan timbalan yang pernah tersingkir mendakwa kekuatannya hampir cukup untuk mengambil alih bahtera ini.” Lapor sang timbalan lagi.

Nakhoda mengelus pipi sendiri dan membuang pandang ke muka samudera. Beliau amat sedar kedudukan dalam bahternya kini. Para penumpang tidak mengerti sepenuhnya. Semua maklumat yang tiba pada telinga mereka sudah diadun, ditapis dan dibentuk oleh para pemimpin masing-masing. Para jurucakap bertebaran tanpa dapat dikawal menjaja apa sahaja berita bagi menimbulkan kekeliruan.

Ketidakstabilan pentadbiran dalam bahtera menjadi alasan besar bagi menumbangkan kepimpinan nakhoda sekarang. Justeru pelbagai situasi dicipta dan dilagangkan pada semua penumpang bagi membuktikan bahawa sang nakhoda seorang yang sangat lemah.

Nakhoda amat sedar tentang itu. Beliau juga tahu bidak-bidak sudah dicatur dan sedang ditolak oleh tangan-tangan ghaib. Sang timbalannya sendiri bukan lagi milik dirinya sendiri. Malah timbalannya ini diperkirakan sebagai umpan pertama yang akan disua bagi menenggelamkan bahtera lebih cepat lagi. Mujur kedua-dua mereka tidak cepat melatah.

Sebarang kesilapan hanya akan membuatkan bahtera ini karam lebih awal lagi. Para penumpang tidk tahu ini semua. Para pemimpin mereka mungkin sedar tetapi mereka menyangka mereka dapat menyelamatkan keadaan di saat akhir.

Mereka seakan lupa jerung-jerung lapar di luar sana hanya menunggu bahtera ini pecah dan karam.

Monday, September 1, 2008

Tolak ansur: asas membina negara

Setelah enam minggu terpaksa mematuhi program yang disediakan orang lain, maka minggu ini adalah giliran aku pula merancang program bersama keluarga.

Destinasi kami sudah tentulah melunaskan hutang yang telah tertangguh hampir dua bulan iaitu menziarahi bonda di kampung. Mujurnya beliau ada mengunjungi kediaman kami dua minggu yang lalu.

Kali ini kami tekad menolak semua program lain.

Keluar daripada tol Ayer Keroh, kuhalakan kereta terus ke selatan. Seketika baru kusedar yang kami sepatutnya ke utara. Isteri di sebelah sudah masam. Mahu tidak mahu terpaksalah kami ‘makan angin’ hingga ke Jasin sebelum dapat berpatah balik.

Tiba di Senawang, telefon isteriku berbunyi. Panggilan dari Melaka memaklumkan Pak Itam sakit semula dan dibawa ke hospital. Aku serba salah. Antara penumpang kami ialah dua orang adikku. Aku menghubungi ayahku dan dia bersetuju untuk mengambil mereka di Seremban atau KL bagi membolehkan aku berpatah balik ke Melaka.

Namun isteriku menyarankan agar kami meneruskan perjalanan kerana bapa saudaranya itu tidaklah teruk sangat. Kami menziarahinya hampir setiap hari dan ternyata dia semakin pulih.

Kami tiba di kampong hampir jam 12 malam. Rupa-rupanya semua adik beradikku telah berkumpul. Walaupun telah larut malam namun kami ‘lepak’ di luar sebentar untuk berbual. Beberapa ketika kemudian guruh berdentum dan hujan turun dengan lebatnya. Mahu tidak mahu kami terpaksa bergegas masuk ke dalam rumah.

Sebaik aku meletakkan kepala ke bantal, telefon isteriku berdering. Panggilan dari Melaka. Isteriku menyambut panggilan tetapi tidak bersuara. Hanya tangisan yang kudengar. Tanpa menyoalnya aku sudah boleh meneka apa yang telah berlaku. Setelah mengesahkan berita itu aku memberitahunya bahawa aku perlu tidur sebentar kerana terlalu letih.

Kira-kira sejam kemudian kami sudah pun berada di jalan raya semula untuk kembali ke Melaka bagi menziarahi jenazah Pak Itam Maaruf Hj Minhat (AL Fatihah…).

Peristiwa ini mengingatkanku betapa manusia tiada kuasa langsung untuk menyusun jadual hidupnya. Segalanya ditentukan Allah SWT.

Guruku sering berpesan dan sering pula kupesankan pada anak-anak muridku yang kecil-kecil itu:

“matlamat hidup di dunia ialah kehidupan di akhirat. Kematian hanyalah satu perpindahan dari alam fana’ ke alam baqa’. Justeru berbuat kebajikan lah semasa masih hidup dan jangan sekali-kali melakukan kerosakan di bumi ini.”

‘Membuat kebajikan’ dan ‘tidak melakukan kerosakan’ bukan sekadar niat, kata-kata, dan harapan. Ia perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh dan berstrategi. Sebagai contoh, ada yang berkata jika beliau memegang kuasa bermakna rakyat lah yang menjadi raja. Kuasa dikembalikan kepada rakyat. Kekayaan negara akan diagihkan samarata.

Samarata? Begitukah konsep keadilan? Jika demikian kenapa para pemimpin negara kita membuat agihan 30-40-30 dalam pegangan ekuiti negara ketika merancang DEB? Kenapa tidak diperuntukkan 65% ekuiti mesti dimiliki oleh orang Melayu & bumiputera berdasarkan populasi rakyat Malaysia tika itu (dan kini)?

Tidak adil lagikah apabila para pemimpin kaum India diletakkan sebagai calun BN di kawasan yang majoriti pengundi orang Melayu? Tahukah anda bahawa kita langsung tidak mempunyai kawasan yang mempunyai majoriti orang India? Bukankah peratusan kaum India di Malaysia lebih rendah berbanding pendatang asing?

Jika ‘hak, adil dan samarata’ nak diambil kira, maka semua kerusi yang pertandingkan pada PRU 1955 hendaklah diwakili oleh orang Melayu sahaja. Kaum cina tidak ada hak sama sekali dilantik menjadi calon. Sebaliknya mereka bukan sahaja menjadi calon malah diberi kemenangan pula oleh para pengundi yang sebahagian besar adalah orang Melayu.

Jika ‘hak, adil dan samarata’ nak diambil kira maka orang Melayu-bumiputera tidak boleh menggunakan banyak kemudahan yang kerajaan sediakan kerana mereka kurang memberi sumbangan dalam bentuk cukai.

Di sinilah perlunya tolak ansur. Inilah asas kita membina negara.

Negara kita adalah tanggungjawab kita.

3+1: puasa, merdeka & bonus

Selamat menyambut ketibaan Ramadhan al mubarrak dan selamat berpuasa. Puasa... jangan tak puasa, tau...

===========================================================

SMS Demang sempena 31 Ogos 2008

Andai bahtera ini terpaksa karam, kita bukan lah yang terakhir meninggalkannya malah kitalah yang akan tenggelam bersamanya.

Selamat Hari Kebangsaan.


============================================================


Masih bernilaikah sebuah keikhlasan?

Selalunya Demang dapat bersabar dengan beberapa tindakan aneh Paklah. Namun kali ini Demang benar-benar kecewa dan 'rasa teraniaya'.

Tak bolehkah Paklah tangguhkan pilihanraya kecil Permatang Pauh selepas belanjawan? Jika Paklah tiada kuasa menentukan tarikh pilihanraya, tak kan lah beliau tak boleh mempercepatkan tarikh pembentangan belanjawan?

Namun semua itu tidak dilakukan. Padahal beliau boleh menggunakan belanjawan sebagai umpan. Kalaupun BN tidak menang sekurang-kurangnya dapat menurunkan majoriti lawan.

Namun isteri Demang mempunyai rasional lain. Katanya, "itu lah bukti keikhlasan Paklah. Jika beliau bentang belanjawan sebelum pemilihan Permatang Pauh orang akan kata Paklah beri rasuah. Jadi, lebih baik diberi selepas rakyat mengundi. Terpulang lah kepada rakyat untuk menilainya.

Demang terima satu SMS daripada seorang sahabat: "Paklah ni memang 'betui bendoi?'

Sementara itu Demang juga pernah dengar Paklah selalu buat solat istikharah sebelum buat keputusan besar.

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)