Kalaupun bukan cekodok, bingka aka bingkang pun boleh. Yang jelas kek bukanlah makanan orang melayu.
Makanya kenapa orang melayu sekarang berfikir soal kek, berebut kek, potong kek, nak agih kek, tagih kek?
Lebih baik buat cekodok atau lempeng. Ramas-ramas pisang, taruk air, kepal-kepal buat cekodok atau tepek-tepek atas belanga jadi peknga aka lempeng.
Seperti biasa, walaupun Demang mulakan dengan cerita cekodok dan kek namun bukan itu intipati utama yang nak disampaikan. Tradisi penulisan Demang, itu hanyalah mukaddimah sahaja. Anda kena lihat yang tersirat.
Idea kek terbukti tak menguntungkan orang melayu. Apatah lagi sejak awal pembahagian kek 30%-40%-30% sudah tidak berlaku adil terhadap orang melayu. Cuma apabila dirasionalkan, ia sekadar lebih baik daripada tiada langsung. Maklumlah ketika merdeka, ekuiti melayu cuma 0.2%.
Bahan untuk buat cekodok tidak mahal dan mudah dicari. Tak perlu simpan dalam buku resepi. Godeh macamanapun ia tetap berasa cekodok atau lempeng. Kalau nak lebih sedap, sediakan kuah atau sambal untuh cicah.
Idea cekodok dan lempeng membolehkan lebih ramai yang merasa. Malah kalau nak makan sampai kenyangpun tak banyak masalah. Cuma tambah tepung. Tak macam kek, bukan boleh ditambah sesuka hati. Bertambah tepung; telur, gula, dan margerin juga mesti ditambah. Silap timbok atau salah bakar, kek bantat atau hangit.
Maksud Demang ialah buatlah sesuatu yang mudah dan sesuai dengan selera melayu. Sebagaimana dalam hal makanan, begitu jugalah ekonomi.
Orang melayu tak reti berniaga dalam bangunan besar. Kalau adapun, tak ramai. Lihatlah bangunan2 MARA yang berderet2 kosong tak beroperasi. Ada satu dua pintu dibuka pun, produk yang dijual boleh dipadankan dengan bilangan jari tangan sahaja. Tak payah tambah jari kaki.
Bukan sahaja kedai produk biasa, kedai makanan melayu juga tidak menarik pelanggan jika dijalankan dalam bangunan besar. Orang melayu lebih genar makan di warung. Kalau disediakan bangunanpun mereka lebih suka lepak di bawah payung. Itupun jika hujan. Jika tidak, pelanggan melayu lebih gemar terdedah di bawah langit.
Janganlah tunjukkan Demang 2-3 restauran melayu yang berjaya. Lihatlah yang majoritinya.
Demang pernah buka restoran berhawa dingin dan akhirnya terpaksa ditutup tidak sampai setahun selepas itu kerana tidak mampu bersaing dengan gerai dan warung. Majlis bandaran pun bukan seronok sangat melihat restoran begitu. Pelbagai peraturan dikenakan sehingga pengusaha menggelupur dan akhirnya kejang dengan pelbagai surat saman.
Sebelum anda kecam Demang kerana tidak pandai berniaga, Demang cabar anda mulakan sebuah restauran dengan modal RM100k. Mana tau mungkin anda ada bakat atau ilmu yang boleh Demang menuntut pula.
Akhirnya perniagaan pengusaha melayu menjadi sinonim dengan jualan langsung. Bisnes tanpa premis. Pengguna menjadi agen dan menjual pada rakan sekerja, jiran tetangga, dan saudara mara.
Jika demikian, maka apa salahnya sistem sedemikian terus diperkasa?
Jualan langsung tidak semestinya melibatkan produk seperti makanan tambahan, ubatan berasaskan herba, dan pakaian sahaja. Sebenarnya apa sahaja produk boleh dijalankan secara jualan langsung dari agen kepada pengguna atau sering juga disebut dari pengguna kepada pengguna dan dari pengeluar kepada pengguna.
Salah satu produk yang sekarang amat popular dijual secara langsung dari pengeluar kepada pengguna ialah makanan. Ia termasuklah kueh kering, kueh mueh basah, sehinggalah masakan panas sperti mee goreng, nasi ayam, atau juadah berbuka puasa.
Sistem perniagaan begini disemarakkan lagi dengan adanya media sosial yang memudahkan komunikasi dan promosi terus kepada pelanggan.
Tiada bangunan y inggi pencakar langit bukan bermakna negara ridak maju. Apa ertinya kota bermenara hebat jika melayu hidup melarat?
Demang tidak memusuhi orang tengah dan amat sedar kebaikan perkhidmatan yang kelompok ini mampu sediakan. Seharusnya ketiga-tiga pihak ini yakni pengeluar-agen-pengguna bekerjasama.
Kehadiran golongan agen jualan yang menjadi orang tengah meski kelihatan menambah kos namun hakikatnya menjimatkan kos tidak langsung seperti petrol, susut nilai kenderaan, parking dan tenaga manusia.
Marilah kita raikan kecenderongan orang melayu yang suka bersosial melalui sistem jualan langsung. Sekaligus ia mampu menggerakkan ekonomi negara, khususnya orang melayu.
Untuk melengkapkan sistem ini maka Demang kemukakan sistem Kaunter Penghantaran Setempat (KPS) yang bertindak melancarkan lagi sistem penyampaian produk terus ke rumah pengguna tanpa tambahan kos yang ketara.
Jika anda kata ia menambah kos penghantaran, Demang kata ia menjimatkan kos pengiklanan yang jauh lebih mahal dan menggalakkan pembaziran serta seringkali pula tidak patuh syariah.
No comments:
Post a Comment