Tok Demang Waadat

Tok Demang Waadat
Menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat

Eksklusif untuk anda

Saturday, May 31, 2008

Ketuanan Melayu?

Demang dimaklumkan bahawa istilah sinonim bagi Ketuanan Melayu ialah supremacy (dominance), equality, nationalism, atau fairness. Manakala Ketuanan dirujuk pada Raja Melayu selaku ketua negara.

Demang buka pula buku perlembagaan, Perkara 160 ditulis bahawa orang Melayu adalah beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu, dan berbahasa Melayu.
Dalam perlembagaan juga dinyatakan betapa raja adalah 'guardian' kepada Islam.
Tegasnya Ketuanan Melayu adalah 'penjagaan' (kelangsungan) syiar Islam.

Yang peliknya, kini timbul pula istilah Ketuanan Rakyat. Barangkali nanti akan ada ketuanan hamba, ketuanan kuli, ketuanan buruh dan lain-lain tanpa asas yang jelas. Jangan sampai nanti ada cadangan untuk menobatkan ketuanan berasaskan kaum pula.

Dalam pada itu Demang dapati demografi penduduk menunjukkan 67% adalah bumiputera dengan Melayu mendominasi penduduk asal Tanah Melayu disamping menjadi kaum majoriti. (Melayu 55% dan bumiputra lain 12%).

Meskipun Orang asli juga merupakan penduduk asal Tanah Melayu namun kalangan mereka tidak boleh menjadi raja kerana fakta sejarah menunjukkan kelompok ini tidak pernah ada kerajaan kecuali dalam kumpulan kecil.

Sebaliknya sejarah membuktikan terdapat beberapa kerajaan Melayu seperti Langkasuka, Patani, Johor Riau, Champa dan lain-lain.

Jika demikian realitinya, pemerintah wajar mengikut demografi. Ironinya sosioekonomi dan pendidikan Bumiputera hingga kini masih di bawah 35%. Justeru Kelompok ini wajar dibela kerana ada polarisasi kaum sekurang-kurangnya setara dengan kaum lain atau seadilnya 66% (ikut demografi). Justeru perlaksanaan DEB bukan soal menafikan hak kaum lain sebaliknya satu usaha mempertahankan dan mengembalikan hak kaum Melayu dan bumiputera yang telah diabaikan.

Malang sungguh apabila JPA mengumumkan biasisawa bagi melanjutkan pengajian ke luar negara untuk non-bumiputra dinaikkan daripada 10% kepada 45%. Lebih malang lagi apabila presiden MBM menyetujuinya dengan alasan kaum bukan bumiputra juga ada yang miskin. Berapa peratus? 45% daripada non-bumi miskin?

Malang sungguh apabila sejarah dilupakan dan fakta diketepikan.

Thursday, May 22, 2008

Ketuanan sebenar Melayu

Kekuatan Melayu terletak pada kombinasi sultan, bendahara dan hulubalang. Malangnya interpretasi terhadap Sejarah Melayu telah lama dipesongkan puak sosialis. Sultan Mahmud (1488-1511) digambarkan sebagai lemah, jahat dan zalim. Tun Tuah pula dituduh pengampu yang bodoh. Beliau sanggup berbuat apa sahaja termasuk turun ke dalam lubang najis bagi menyelamatkan kuda sultan.

Fahaman inilah yang di'anuti' (maaf) majoriti rakyat kini. Demang fikir tafsiran begitu perlu dibersihkan terlebih dahulu. Memang ramai kalangan rakyat yang masih menganggap Jebat adalah wira manakala Sultan Mahmud jahat dan zalim.

Dalam situasi sekarang kita masih ada sultan meski agak samar. Kedudukan bendahara pun agak kabur. Hal ini tidak sukar jika kita kembali pada asas sistem kesultanan Melayu. Raja adalah paksi ketuanan Melayu. Bendahara selaku ketua eksekutif wajib setia pada raja. Sebagai balasan, raja akan menaungi dan merestui keputusan bendahara dalam pentadbiran.

Demang berpendapat kunci pada perkara ini ialah bendahara perlu dilihat oleh rakyat sebagai melaksanakan perintah raja disamping menjadi penasihat raja. Hulubalang seperti Tun Tuah akan kita bina berterusan.

Perkara pertama perlu dilakukan ialah rakyat perlu sedar bahawa tindakan Sultan Mahmud dan Tun Tuah adalah betul. Dalam hal ini intisari Sejarah Melayu perlu difahamkan kepada semua rakyat.

Justeru waadat akan mula membongkar pembohongan demi pembohongan puak sosialis-komunis serta agenda jahat Yahudi yang memanipulasi peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam Sejarah Melayu.

Teruskan mengikuti waadat.

Wallahu'alam.

Tuesday, May 13, 2008

Kesultanan Melayu Melaka: pewaris sistem khalifah, peneraju dakwah Islamiah

Allahu ahad: Allah itu satu. Allah SWT tidak beranak atau diperanakkan.
Allah SWT mencipta Adam. Adam adalah makhluk.

Malah bukan Adam sahaja makhluk yang dicipta oleh Allah SWT.

Allah SWT turut mencipta Malaikat yang berperanan menguruskan hal berkaitan manusia. Dalam hal ini sudah tentu Allah SWT mampu menguruskan sendiri semua ciptaan-Nya namun pengagihan tugas dalam kalangan para malaikat mempunyai hikmah tersendiri.

Melalui perkongsian hidup Adam dan Hawa maka lahirlah anak-anak manusia. Padahal Allah SWT maha berkuasa untuk mencipta ummat manusia tanpa melalui proses persenyawaan, kehamilan dan kelahiran.

Adam bukan sekadar bapa malah juga nabi dan rasul yang bertanggung jawab memimpin anak cucunya agar mengesakan Allah, menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.

Adam juga bertindak sebagai pemimpin kepada keturunannya yang semakin bertambah ramai.

Sejarah perkembangan manusia terus berlangsung. Allah SWT tidak membiarkan manusia begitu sahaja tanpa pimpinan dan petunjuk. Selepas Adam tiada, dari semasa ke semasa rasul-rasul diutus untuk memimpin manusia.

Selepas rasul terakhir iaitu nabi Muhammad saw wafat, manusia tidak lagi mempunyai pemimpin dari kalangan rasul mahupun nabi. Namun makhluk jenis manusia ini tidak betah hidup tanpa pemimpin yang khusus boleh membimbing dan mengingatkan mereka tentang hakikat ketuhanan.

Justeru tugas ini diganti oleh khalifah-khalifah Islam bermula dengan khulafa rasyidin. Usaha ini disambung pula oleh dinasti atau bani tertentu silih berganti. Antaranya ialah bani Umaiyah dan bani Abbasiyah.

Meskipun dikatakan ada beberapa kelemahan dalam masa pemerintahan kerajaan beraja ini namun mereka tidak pernah cuai dalam memberi tumpuan pada:

1. Usaha dakwah Islamiah
2. Menaungi tradisi keilmuan
3. Menguasai perdagangan
4. Memperkasa sistem pertahanan

Hasilnya Islam tersebar luas melepasi tanah Arab, menjelajah benua Eropah dan merentasi benua Asia sehingga menarik minat beberapa kerajaan besar ketika itu. Salah satu daripadanya ialah Kesultanan Melaka yang kemudiannya memayungi lebih separuh Nusantara. Selain itu kesultanan Pasai, Aceh dan Brunei juga pernah menjadi pusat dakwah Islamiah.

Sistem pemerintahan beraja memang diamalkan dengan baik di kepulauan Melayu. Kedatangan Islam memantapkan lagi kedudukannya dengan konsep tauhid. Apabila sultan menerima akidah Islam maka sekalian rakyat mengikutinya. Lantas bermulalah satu lagi peranan institusi raja iaitu memegang amanah sebagai pemimpin Islam.

Kesultanan Melaka meneruskan tradisi kekhalifahan dengan muncul sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan, pusat pendidikan dan pusat penyebaran Islam.

Kesultanan Melayu Melaka mengaplikasikan piramid pemerintahan dengan meletakkan sultan sebagai ketua negara dan ketua agama.


Demikianlah keadaan sebenar negara kita. Amat malang apabila anak-anak Melayu sendiri tidak mahu mengerti akar sejarah dan asal usul keturunannya. Lebih malang lagi apabila enggan membaca dan memahami teks Sejarah Melayu tetapi ikut serta berbicara tentang Ketuanan Melayu. Akhirnya turut terpengaruh dengan pembohongan kaum sosialis dan komunis, antaranya:

1. mengangkat Jebat sebagai wira.
2. menuduh Tun Tuah sebagai pembodek.
3. memfitnah Sultan Mahmud sebagai raja yang buruk laku dan zalim.
4. mendakwa sistem feudal kejam terhadap rakyat.
5. Menyatakan bahawa 'Tuhan' hanya ciptaan kapitalis bagi memperbodohkan rakyat dan kaum buruh.

Kini fahaman komunis mungkin telah tiada namun corak pemikiran seperti perkara 1, 2, 3 dan 4 di atas sudah semakin ketara. Malang bagi kita apabila rakyat menerimanya tanpa periksa.


Wallahu'alam.

Tuesday, April 29, 2008

Siapa wira? Tuah atau Jebat?

"Yang kubunuh bukan seorang sahabat sebaliknya orang yang cuba meruntuhkan sebuah sistem pentadbiran negara." Tun Tuah.

Situasi 1
Tarikh: tidak diketahui
Tempat: Bukit Saguntang
Peristiwa: Pertabalan Sang Sapurba sebagai raja Melayu pertama.

Catatan sejarah:
Demang Lebar Daun mempunyai kuasa mutlak untuk mempertabalkan dirinya sendiri sebagai raja yang sah. Malah beliau sememangnya penguasa sebenar di Bukit Saguntang. Namun beliau memilih untuk menabalkan Sang Sapurba sebagai raja.

Situasi 2
Tarikh: awal abad ke 15
Tempat: Melaka
Peristiwa: Bendahara Sri Wak Raja ditemui mati akibat 'keracunan'.

Catatan Sejarah:
Tun Perak tetap setia kepada kerajaan Melaka meski ayahandanya disingkir oleh sultan, ditemui mati dan beliau sendiri terpaksa membawa diri ke Ulu Kelang. Mengikut adat Melayu Tun Perak berhak dilantik menggantikan ayahandanya.

Situasi 3
Tarikh: sekitar 149x
Tempat: Istana Melaka
Peristiwa: Jebat merampas istana/menderhaka.

Catatan sejarah:
Tun Tuah mempunyai peluang yang besar untuk berpakat dengan Hang Jebat bagi mengambil alih pentadbiran Melaka ekoran 'kejayaan' Hang Jebat menggulingkan sultan ketika itu.

Situasi 4
Tarikh: beberapa tahun sebelum 1511
Tempat: Kota Melaka
Peristiwa: Bendahara Seri Maharaja sekeluarga dihukum bunuh atas dakwaan merancang rampasan kuasa.

Catatan sejarah:
Bendahara Seri Maharaja berpeluang untuk membantah hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas beliau sekeluarga. Beliau ketika itu dalam posisi sangat kukuh dari segi politik dan ekonomi sebaliknya beliau melarang para pengikutnya daripada memberontak.

Situasi 5
Tarikh: 1946
Tempat: Tanah Melayu
Peristiwa: Malayan Union

Catatan sejarah:
Raja-raja Melayu telah menyerahkan Tanah Melayu kepada Inggeris. Dato' Onn Jaafar berjaya merampasnya semula dan menyerahkan kembali kuasa kepada institusi beraja dengan beberapa penambahbaikan.

Situasi-situasi di atas secara mudah ditafsirkan oleh penganut sosialisme dan komunisme sebagai keputusan bodoh hamba-hamba feudal.

Dalam peristiwa-peristiwa di atas, pengambilalihan kuasa bukan sahaja tidak berlaku malah sejarah mencatatkan betapa institusi beraja kekal hingga ke hari ini dengan beberapa penambahbaikan.

Mengapa tokoh-tokoh Melayu terbilang tersebut tidak membantah keputusan raja yang mereka yakini sebagai tidak adil?

Mari kita fikirkan bersama.

Demang Lebar Daun sebenarnya sedang membina negara.

Jika beliau menjadi raja, siapakah yang beliau yakin boleh memimpin rakyat untuk setia kepada raja? Adakah raja itu sendiri? Mampukah seorang manusia raja membina negara seorang diri?

Maka Demang Lebar Daun yang bijaksana memilih untuk berperanan sebagai penyokong dan pembantu setia kepada ketua. Beliau mengenepikan kepentingan peribadi padahal ketika itu tiada siapa akan membantah jika beliau sendiri yang menjadi raja. Berbanggalah kita selaku cucu cicit beliau yang tidak mementingkan diri sendiri sebaliknya meletakkan kepentingan negara sebagai perjuangan utama.

Meletakkan seseorang di singgahsana sebagai satu simbol dan rujukan merupakan satu percaturan politik yang bijak dan berhikmah.

Pada prinsipnya sebuah kumpulan yang hebat mestilah mempunyai ketua yang hebat. Individu yang hebat sebenarnya ramai, terpulanglah kepada kita untuk memilih, mengiktiraf dan mempertahankannya. Membuka peluang kepada semua orang untuk jawatan tertinggi dalam negara hanya akan menggalakkan perpecahan yang lebih besar. Konsep raja sangat berbeza dengan pemimpin diktator. Seorang diktator boleh muncul dari kalangan rakyat biasa yang kemudian memaksa rakyat menerima perintahnya. Sebaliknya seorang raja diterima dengan redha oleh rakyat sebagai satu ketentuan Ilahi yang tidak boleh dipertikaikan. Penderhakaan kepada raja adalah penderhakaan terhadap rakyat itu sendiri. Menentang konsep redha samalah seperti menentang Qadha dan Qadar Allah. Penulis bukan membincangkan soal dosa dan pahala atau halal dan haram. Sebaliknya hanya melihat pada fikrah manusia yang hidupnya sudah ditentukan takdir, samada mahu atau tidak mahu; redha atau tidak redha. Malah orang yang tidak percayakan takdir juga di suatu masa terpaksa bersemuka dengan takdir yang ditentukan ke atasnya. MAUT.



April, 2008

Politik negara kini sedang bercelaru. Rakyat sedang keliru dan tertanya-tanya tentang apa yang berlaku. Individu-individu yang menganggap diri mereka sebagai pemimpin rakyat bergerak ke sana ke sini cuba menawarkan penyelesaian. Padahal mereka sebenarnya tidak ubah seperti tikus membaiki labu.

Sebenarnya mereka cuma berminat memperbaiki kedudukan masing-masing.

Setakat ini belum nampak lagi bayangan Demang Lebar Daun atau Tun Tuah atau Tun Perak atau Tun Mutahir maupun 'Tun' Onn Jaafar dalam kalangan individu yang mendakwa ingin 'membetulkan' keadaan itu. Setakat ini yang ada hanyalah Jebat yang tiba-tiba dinobatkan sebagai wira baru orang Melayu. Padahal si Jebat sebelum itu tidak pernah membantah hukuman bunuh yang dijatuhi ke atas Tun Tuah. Jebat hanya mendapat 'ilham' untuk menuntut bela atas kematian Tun Tuah hanyalah selepas terkejut menerima kunjungan sahabatnya itu yang disangka telah mati.

Bukankah itu sekadar alasan orang yang terdesak?

Selepas PRU ke 12 selesai, berlaku beberapa peristiwa yang mempunyai mesej yang sama iaitu "raja masih berkuasa". Isu perlantikan Menteri Besar (bendahara) di Perlis, Perak, Selangor dan Terengganu menyedarkan rakyat bahawa mereka masih mempunyai raja. Di tengah-tengah keghairahan sesetengah pemimpin berebut kuasa mereka lupa bahawa negeri-negeri Melayu ini adalah milik raja.

Dunia bukan sahaja belum kiamat (meminjam kata-kata Pak Habib), malah negara kita baru bermula. Masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan keadaan. Pemerintahan negara perlu diletakkan pada landasannya semula. Asas yang dirintis oleh moyang kita iaitu Demang Lebar Daun perlu dirujuk dan dihayati.

Daulatkan semula raja-raja Melayu! Bukan sekadar satu simbol malah sebagai ikon yang 'hidup'. Negara Britain bukan sahaja hebat dan gagah di bawah naungan raja mereka malah mereka lebih dihormati di mata dunia. Lihat pula US yang dianggap hebat dan gagah. Adakah mereka lebih dihormati dan kelihatan lebih bertamadun? Dari segi material mungkin benar. Tetapi dewasa ini US lebih dilihat sebagai negara paksi kejahatan dan ikon kurang ajar. Lihat juga Soviet Union yang telah runtuh; negara China, India dan jiran kita Indonesia yang membuang raja-raja mereka. Lebih hebatkah mereka berbanding Jepun dan Belanda yang masih mengekalkan raja meski sekadar simbol?

Malah jika tidak kerana serangan ekonomi sekitar 1998, Thailand juga mampu menjadi contoh negara maju di bawah naungan raja.

Bagaimana pula dengan Brunei? Lemahkah mereka? Kucar kacirkah Arab Saudi dan Kuwait? Amankah Iran dan Iraq yang pernah berada di kemuncak kegemilangan semasa raja masih berkuasa? Kemudian, kita ambil iktibar jiran kita Kemboja yang membuang raja mereka setelah terpedaya dengan janji manis komunis. Apa yang terjadi kepada Turkey setelah runtuhnya dinasti Islam yang berkerajaan di situ? Baca sejarah Mustafa Kamel Atta Turk Al Yahudi.

Selama ribuan tahun hampir semua negara bangsa diterajui raja masing-masing. Rupa-rupanya keadaan begini bukan disenangi oleh semua pihak. Ternyata kesetiaan rakyat terhadap raja menyukarkan zionist merealisasikan protokol mereka. Lantas para pemuka Yahudi diam-diam menaja ideologi baru yang begitu indah. Konflik antara raja dengan rakyat!

Bumi mana mana tak ditimpa hujan, laut mana yang tak bergelora. Itulah adat dunia. Lautan, meski sering mengambil korban namun tidak pernah lupa menyalurkan rezeki. Begitu juga institusi raja. Meski ada kelemahannya namun system itu jauh lebih baik daripada komunis dan sosialis. Buktinya? Lihatlah sejarah dunia dan bandingkan pencapaian kerajaan beraja dengan kerajaan tanpa raja. Bandingkan kejayaan sesebuah Negara semasa mempunyai raja dengan keadaan Negara tersebut selepas tiada raja.

Bagaimana dengan Malaysia? Tulisan kali ini hanyalah satu permulaan. Teruslah mengikuti tulisan dalam blog ini dari semasa ke semasa.

Wallahu'alam.

Wednesday, April 23, 2008

Putrajaya vs Putera Berjaya

salinan daripada http://www.binanegara.blogspot.com/ Monday, April 14, 2008


Kata orang, sambil menyelam minum air. Justeru kesempatan kursus di KLIA semalam saya gunakan untuk bertemu teman-teman lama. Bukan sebarang lama: sebenarnya satu pertemuan bersejarah setelah 25 tahun tidak bersua! Dan, pertemuan tersebut berlaku di Putrajaya yang pernah mencetuskan polemik ekoran pembinaannya yang diklasifikasikan sebagai projek gajah putih.

Kebetulan setelah kembali ke tempat kursus malam itu, seorang peserta menyuarakan isu keberuntungan yang dinikmati oleh beberapa individu melalui projek-projek kerajaan. Kedua-dua perkara tersebut bukan isu baru namun hal-hal yang seperti itu memang sering diungkit. Kenapa ia berbangkit? Pertama mungkin kerana rakyat benar-benar tidak berpuas hati. Kedua mungkin juga kerana adanya pemimpin tertentu menghasut rakyat agar tidak berpuas hati.

Sebagaimana pandangan kami sebelum ini, rakyat memang tidak harus dipersalahkan. Kalau rakyat tidak faham maka tanggung jawab kerajaan untuk memberi penjelasan. Manakala bagi mengelakkan rakyat salah faham maka peranan pemimpin pembangkanglah untuk memberitahu hanya yang benar. Bukankah gaji dan elaun mereka dibayar atas sebab itu? Tak kiralah samada YB kerajaan ataupun YB pembangkang.

Putrajaya memang projek berkos tinggi. Kemewahannya dirancang bagi menonjolkan kehebatan. Kita mahukan sebuah kota paling hebat yang boleh kita banggakan. Keperluan kita bukan sebuah bandar biasa. Bandaraya biasa sudah banyak. Kita mahukan sebuah kota yang mampu menandingi bandaraya Ipoh yang diwarisi dari penjajah dan mengatasi kotaraya Kuala Lumpur yang didakwa dibuka oleh Yap Ah Loy. Kita mahukan sebuah kota yang mencerminkan wajah Malaysia yang boleh kita banggakan. Kita tidak mahu anak cucu kita tertanya-tanya kenapa negara yang didakwa bersusur galur daripada kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ini mempunyai ibu negara yang diasaskan oleh seorang imigran yang bukan daripada gugusan kepulauan Nusantara. Malah terdapat pendapat yang mengatakan latar belakang perniagaan dan peribadi beliau pun tidak begitu boleh dibanggakan oleh generasi sekarang biarpun sebangsa dengannya.

Maka itu saya berpendapat pembinaan Putrajaya dalam bentuk yang ada sekarang bukan satu pembaziran sebaliknya satu keperluan.

Itu kisah Putrajaya. Bagaimana pula dengan 'putera yang berjaya'? Adakah terdapat keperluan untuk itu?

Jika anda berbangsa Jepun, menjadi rakyat Jepun dan bermastautin di Jepun, apakah perasaan anda apabila disiarkan 10 orang paling kaya di Jepun, tiada seorangpun yang sebangsa dengan anda? Berpuas hatikah anda?

Kita mempunyai sekurang-kurangnya dua pilihan. Pertama, biarkan setiap orang Melayu/bumiputra bergelut sendiri untuk bersaing dengan sesiapa sahaja dalam persada perang perniagaan. Kedua, bantu semua orang Melayu/bumiputra menggunakan enjin-enjin tambahan di tempat-tempat tertentu. Ingat, kita bukan hanya mempunyai dua pilihan. Mengapa tidak kita mengambil pilihan ketiga? Bantu individu tertentu dan biarkan individu selebihnya bersaing dengan kekuatan sendiri? Maksud saya ialah jangan terus dibuang semuanya dan jangan dicemburui individu yang bernasib baik mendapat bantuan. Namapun 'bernasib baik'. Bukan semua orang bernasib baik, sekurang-kurangnya pada tanggapan dirinya sendiri.

Terdapat pihak yang berteori bahawa jika orang Melayu tidak dibantu maka mereka akan dengan sendirinya lebih gigih berjuang. Mungkin benar namun tidak semestinya benar. Untuk jangka panjang situasi begitu sememangnya wajar disediakan. Namun dalam masa yang sama kita perlu mengambil kira situasi semasa. Kita perlukan pemangkin dan bekalan sebelum kekuatan sebenar dapat dimiliki. Kita tidak mahu ditipu dengan muslihat agar kita melepaskan keistimewaan yang ada ini untuk sementara waktu sahaja. Kita tidak mahu dalam jeda yang panjang itu kita lebih tertindas lagi sehingga lebih sukar untuk bangkit kembali.

'Melantik' beberapa individu untuk memegang 'title' putera-putera yang berjaya adalah satu strategi bagi memajukan bangsa. Contohnya dalam perlaksanaan GLC. Adalah diharapkan mereka ini dengan kekuatan dan kemudahan yang dipinjamkan dapat bersaing di 'level' yang lebih tinggi. Tindakan ini hampir sama dengan tindakan kita menggabungkan bank-bank agar lebih berupaya menghadapi saingan bank-bank asing yang beroperasi di peringkat global.

Dalam hal ini kita perlu bersikap positif dan berlapang dada. Jangan cemburu dengan tuah orang. Sesungguhnya di dalam harta orang kaya itu terdapat hak orang miskin. 'Putera-putera yang berjaya' tersebut bukan dilantik oleh kerajaan sebaliknya mereka dilantik oleh Allah bagi menunaikan amanah Allah. Jika anda tidak terpilih sebaiknya anda bersyukur kerana terlepas daripada memikul tanggung jawab yang begitu berat. Barangkali anda tidak dipilih kerana Allah melihat anda tidak begitu kuat menghadapi dugaan setelah menjadi kaya. Sebaliknya anda lebih kuat menghadapi cabaran untuk berjaya. Jika ini dapat diterima dengan fikiran terbuka, akan lahir dua golongan putera-putera yang berjaya iaitu satu golongan yang berjaya dengan bantuan kerajaan dan satu golongan lagi yang berjaya dengan usaha sendiri. Pada masa itu kelak barulah boleh kita nilai golongan manakah yang terbaik.Wallahu alam'.
Posted by Cheguman at 11:24 AM 0 comments

Senarai produk Belanda: jom boikot!!!

Salinan daripada binanegara.blogspot.com Friday, April 4, 2008

Kaedah terbaik 'mengajar' pengeluar filem Fitna. Apabila perniagaan para pengeluar produk berikut terjejas, mereka akan bertindak ke atas pengeluar filem tersebut. Dengan kata lain, apabila kita bersatu, mereka akan bergaduh sesama sendiri.Berikut senarai produk dari Belanda yang mesti diboikot umat Islam di negara ini
(sumber : laman web Pemuda UMNO Malaysia dan laman web PPIM).

1. Dutch Lady - Susu
2. Ferrero Roche - Coklat
3. Wall’s - Ais Krim
4. ING -
5. Planta - Magerin
6. Lady’s Choice - Magerin
7. Lipton - Teh
8. Shell – Minyak
9. Knorr - Perisa Makanan
10. Dove - Mandian
11. Sunlight - Magerin/Pencuci Pinggan
12. Radiant - Deodoran
13. Rexona - Deodoran
14. Ponds - Produk Kecantikan
15. Kieldsens - Coklat
16. Slimfast - Produk Pelangsing
17. Lego - Kismis
18. Philips - Barangan Elektrik
19. Duyvis - Makanan Ringan
20. Gouda - Keju
21. Robin - Pencuci Lantai/Pakaian
22. Ariel - Pencuci Lantai/Pakaian
23. Omo - Pencuci Lantai/Pakaian
24. Labello - Lip Balm
25. Pickwick - Teh
26. Venz - Mentega Coklat
27. Kinder Bueno - Coklat
28. Unilever - Syarikat29. Sunsilk - Shampoo
30. Fair & Lovely - Produk Kecantikan
31. Lux - Mandian
32. Vaseline - Lip Balm
33. Cif - Pencuci Lantai
34. Surf - Pencuci Kain
35. Wishbone - Pencuci Kain
36. Doriana - Keju Krim
37. Bertolli - Minyak Masak
38. Clear - Shampoo
39. Breeze - Pencuci Kain
40. Sun - Pencuci Kain
Posted by Cheguman at 6:58 AM 0 comments

R-A-H-M-A-N atau R-A-H-M-A-T ? (kakitangan awam patut baca sampai habis)

Salinan daripada binanegara.blogspot.com Monday, March 31, 2008

R-A-H-M-A-N atau R-A-H-M-A-T ? (kakitangan awam patut baca sampai habis)
Kata seorang rakan, sungai politik Melayu sekarang sedang keruh. Lantas saya teringat pesanan nenek moyang kita, sekurang-kurangnya ada tiga pepatah Melayu berkenaan 'air keruh' iaitu 'jangan menangguk di air keruh' , 'buang yang keruh ambil yang jernih', dan '...hilang keruh nampaklah ia'.Apabila saya mengingatkan rakan tersebut tentang itu, beliau lantas menjawab bahawa pepatah dulu-dulu sudah tidak relevan lagi dengan zaman sekarang yang serba canggih. Berdesing telinga saya. Lalu saya ajukan soalan padanya sejauh mana pemahaman beliau terhadap bidalan, pepatah dan perumpamaan. Saya beri contoh, apa maksud "kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan"? Beliau memberikan jawapan bahawa maksud pepatah tersebut ialah sipengucap sangat berbesar hati dengan sesuatu pemberian.Lalu saya menjelaskan bahawa jawapan beliau belum lengkap. Itu hanya maksud tersurat dan bukan maksud tersirat. Dalam pepatah tersebut, perkataan nyiru digunakan. Nyiru ialah alat untuk menampi padi. Fungsinya ialah bagi mengasingkan padi bernas dengan padi hampa. (dari situ juga terbitnya ungkapan 'pendapat bernas' dan 'cinta hampa'!).Hal ini bermakna, sipengucap memberikan penghargaan terhadap pemberian tersebut tetapi dalam masa yang sama menghantar mesej bahawa hanya yang baik akan diterima.Bidalan, pepatah, perumpamaan dan sebagainya dicipta dan digunakan nenek moyang kita sejak ratusan tahun dahulu. Dalam tempoh yang begitu panjang, hanya yang benar-benar ampuh dan teruji sahaja kekal hingga ke hari ini. Jangan angkuh dan sombong dengan kehebatan hari ini. Nenek moyang kita dulu lebih hebat lagi dalam melakar sejarah. Kehebatan Empayar Kesultanan Melayu Melaka tiada tolok bandingnya hingga ke hari ini.Mesej saya di sini adalah jelas: samada R-A-H-M-A-... akan disambung dengan 'N' atau 'T' tidak penting. Yang penting ialah 'A' masih menjadi pemimpin no 1 negara/parti. Sekali lagi saya titipkan pesan nenek moyang kita:'jangan menangguk di air keruh' ,'buang yang keruh ambil yang jernih', dan'...hilang keruh nampaklah ia'.Kakitangan awam pun jangan nak lepas tangan. Kita adalah cermin kepada kerajaan yang memerintah. Memang kerajaan ada buat silap, tetapi jangan kita tak nak mengaku bahawa kesilapan kita dalam tugas juga antara yang menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan. Kalau kita berani minta Paklah letak jawatan dan beri peluang kepada orang lain pula, beranikah kita pakat letak jawatan dan beri peluang kepada ramai lagi yang sedang mencari kerja di luar sana?Wallahu alam.
Posted by Cheguman at 8:50 AM 0 comments

linkwith

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ramuan & Petua untuk anda

Blog Mesti Jengah

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD

apartmen utk percutian keluarga di Bukit Merah atau Tiara Beach PD
ctc: 019 6000 654 (Yusra)
Kadar mampu sewa untuk kita sama kita


Hubungi: 017 236 9686 atau 019 6000 654 (Puan Yusra: owner)